Wednesday, September 22, 2010

Memperingati 25 tahun Ibu Pergi - Hjh Zainon bt HJ Yeop Majelis; meninggal pada 1hb. Julai; 1985/ 14hb. Syawal 1406H - Warkah Ibu (Tersiar di ADILA Klasik Nasional)

Kira-kira tiga puluh lima tahun dahulu – Lepas SPM; aku mula bekerja di Kuala Lumpur. Pelepas rindu ke kampung adalah surat  Setiap suratku dibalas ibu.  Aku gunting-cermat sampul-surat ibu. Ibu bahasakan diri bonda-anakanda. Setelah mencoret doa agar aku sihat, dan menceritakan kesihatan ayah dan ibu sendiri, tentang abang dan adik-adik; ibu pun beritahu; bingkisanku telah selamat diterima. Wang ala kadar dapatlah ayah bayarkan hutang di kedai Wak Zari. Adik-adik pula suka benar dengan buku dan majalah terbaru yang kukirim. Ibu ucap terima kasih. Sebak rasa hati untuk terima kata terima kasih dari ibu. 

Ibu tulis lagi; sudah dua minggu matahari  tidak terbit. Hujan – kadang-kadang pagi; kadang-kadang petang. Ada kalanya sepanjang hari. Ayah dan abang tidak dapat menoreh – batang getah basah. Dalam warkah lain ibu cerita; air sungai melimpah. Padi yang baharu menguning, tenggelam-masam dek banjir.

Surat musim kemarau pula; ibu beritahu :  Daun getah kuning dan luruh. Ayah tidak menoreh – susu tak ada. Atau, ibu akan tulis :  Pokok getah sedang berpucuk-muda. Dalam dua minggu lagi baru ayah boleh menoreh.  Insyaallah; susu akan bertambahlah sedikit; kata ibu.  Kemarau menyebabkan air sungai surut dan cetek.  Orang kampung tua-muda turun ke sungai,  mengutip remis; boleh buat masak lemak.  Ada sebesen kira-kira dua gantang yang dikutip abang semalam sedang direndam dalam 'periuk genting' di dapur (remis ditrendam semalaman supaya pasir-pasir yang tersimpan dalam cengkerangnya dimuntahkan). Ibu tulis itu,  ikut gaya bahasa ibu. 

Iya; hujan dan kemarau; petaka yang amat mencekik kehidupan kami; dan warga sekampung.  Bila ia tiba; anak ayam yang baru belajar berkokok pun; atau telor, tidak  sempat diramkan – semua dijual. Ah Chong bermotorsikal dari Tanjung Tualang datang keliling-keliling kampung beli apa saja – anak ayam yang baru sebesar genggaman tangan, angsa, telor, bapa itek; semua dia terima.  Semua itu untuk secupak-dua beras, lapan tahil gula, empat tahil minyak kelapa dan sekeping-dua anak tamban masin.

Ibu tulis semua itu.  Ibu ambil bahagian tengah buku latihan adik.  Selalunya dua helai.  Kadang-kala ibu tulis dalam tulisan jawi. Rindunya pada coretan ibu.  Bagi aku, ibu bukan tulis surat.  Tetapi bercerita -   warkah ibu yang kadang-kala ada bau minyak tanah. Dan pernah ada kesan tumpuk tumpahan minyak tanah dan kesan corengan arang dari sumbu pelita, pada helaian warkah ibu – pastilah ibu menulis di waktu malam. Selalu juga tulisan ibu sukar dibaca kerana terlalu banyak kesan dipadam – adakalanya hingga terkoyak tempat yang dipadam, apabila ibu tulis dengan 'pen kaban' (pena mata bulat). Namun tulisan rumi, tulisan tangan ibu, bagiku amat cantik – bukti ibu pernah masuk sekolah sebelum perang Jepun.    Dan aku yakin bakat bercerita ibu turun kepada adik perempuan ku; Am, yang telah banyak menghasilkan novel.

Suatu ketika aku menyimpan cermat semua surat ibu - surat bersampul surat cap kapal terbang berlakar biru merah sekeliling sampul.  Sayang, surat itu hilang entah bila; mungkin tatkala isteri atau anak-anakku mengemas bilik bacaan di rumah kami.  Namun ingatan kepada ibu tetap terpahat-kuat di hati; bagai baru semalam aku terima warkah ibu; meski sudah dua puluh tahun lima tahun lebih ibu pergi. Alfatihah.

23hb. Sept.; 2010/ 14 Syawal 1431H




dinbatubara

Tuesday, September 21, 2010

Masjid Kg Aku Pasca Ramadhan; alahai.



1.         Hari ke 12 ‘Eidul Fitri.  Umat Islam masih sibuk – meladeni jemputan sanak saudara rakan-taulan di rumah terbuka, pejabat terbuka, kampung terbuka.  Seminggu lebih sebelum itu di kampung.  Yang selalu balik kampung pun, hari Raya kena lama-lama juga di kampung – ada saudara-mara, ipar-duai yang kadangkala hanya dapat jumpa pada setahun sekali itulah.  Lepas ini akan berjumpa pula di Hari Raya tahun hadapan.  Begitulah.

2.         Maghrib, Isya di masjid dekat rumah aku, masih lengang.  Ahli jamaah  dalam 80 orang. Mungkin dalam dua minggu lagi graf kehadiran akan kembali normal - seperti sebelum bulan puasa; iaitu dua saf setengah (kira-kira 150 orang).  Malam Jumaat lepas; seminggu lepas Raya jamaah ada 80 orang.
 
2.1.            Adat malam Jumaat sebelum bulan puasa, graf  kehadiran ialah empat saf (di ramaikan sama oleh kanak-kanak dan muslimat) – tambah-tambah menjelang hendak UPSR SPM; memang ramai – di tengah-tengah bulatan besar jamaah, berlonggok botol-botol air (hingga ada yang bawa botol 10L, air dari tujuh kolah dari tujuh masjid agaknya – kira-kira untuk kegunaan seminggu hingga datang Jumaat akan datang; untuk minum - diniat sebagai penerang hati, atau yang belum kahwin bikin mandi, moga-moga cepat dapat jodoh).

2.2.      Kehadiran jamaah akan bertambah sedikit kalau ada  tuan guru datang mengajar selang antara Maghrib ke Isya atau kuliah Subuh pagi Sabtu atau Ahad.

3.         Bulan puasa masjid penuh hingga nak santak ke dinding belakang (14 saf).  Bagusnya tak ada jamaah yang ambil baris di beranda sebelah luar mesjid Ramadhan kali ini, sebab mesjid sudah di pasang pendingin hawa – suatu pembaharuan yang ketara di mesjid akuni.  Sembahyang Maghrib, Isya dan Tarawih tidak panas melengas. Selesa.

4.         Sepanjang Ramadhan, masjid ada panggil penceramah empat atau lima kali; sampaikan tazkirah sebelum tarawih.  Jamaah tua-muda akan tunggu/dengar  tazkirah sekitar 15 ke 20 minit.  Bila ada tazkirah, tarawih akan di buat lapan rakaat sahaja – mulai jam 9.30mlm.  Bacaan imam jemputan (yang sama beri tazkirah) amat sedap telinga mendengar (kalau buat 20 rakaat pun tak apa; tapi aku dengar pentadbiran masjid tak mahu habis lewat, nanti budak-budak tadarus akan lambat mula dan lewat pula balik, esuknya nak sekolah). Munasabah.  Okay.  Lapan rakaat; pukul 10.15 sudah habis dengan tahlil dan doa sekali.

5.         Malam khatam al Quran, malam 27 Ramadhan, Tuan Nazir berucap pendek sebelum acara bermula.  Menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kerana penyertaan kanak-kanak yang mencecah 200 orang lebih dalam program tadarus kali ini.  Disebut juga terima kasih kerana penglibatan warga dewasa. Tahniah, kata beliau  kerana kesabaran mereka duduk di masjid, ada yang hingga jam satu pagi baca al Quran.

5.1.      Setakat itu.  Alangkah baik/sempurnanya jika di samping kata-kata retorik terima kasih dan tahniah itu di iringi pengharapan dan atau bagi tahu perancangan masjid (yang kalau boleh disebut  sebagai program pasca Ramadhan) terhadap peserta tadarus tersebut.
5.1.1.   Terdapat sekurang-kurangnya empat kategori ’ahli baca’ pada pemerhatian aku :  (1) Pembaca yang memang mahir al Quran dan dek selalunya baca Quran (bukan bermakna langsung tidak ada silap/tersasul sebut. Ada, tapi dibetulkan oleh rakan-rakan, itu hikmahnya baca al Quran bertadarus (aku fikir ini konteks tadarus Nabi dengan Jibril – Nabi yang bersifat fatonah itu tetap didengar/betulkan bacaannya.  Bukan aku maksudkan pembaca kategori ini juga milik sifat fatonah seperti Nabi. (2) Pembaca yang boleh baca tapi tersangkut-sangkut macam kabarator kotor kerana jarang baca Quran.  (3) Pembaca yang lancar tapi langgar semua – entah di mana ikhfa’-izdhar-iqlabnya, sifat-sifat huruf dan hamasnya, panjang pendeknya, tempat berhenti dan menyambung bacanya, tarik nafas dan saktahnya, hentam semacam. (4) Pembaca yang merangkak-rangkak (macam kereta jalan tiga selinder), seolah-olah bulan Ramadhan ini baru nak belajar baca Apa ini.  Betul, mengambil iktibar dari peristiwa Jibril mendengar/membetulkan bacaan Quran Nabi dalam bulan Ramadhan.  Kita yang bebal, lambat pandai, banyak dosa ini perlukan pembelajaran berterusan – bukan semata-mata bulan puasa baru nak belajar al Quran.

5.2.      Begitulah setiap tahun.  Tak ada pembaikan dari cara persembahan (yang terancang oleh pentadbiran masjid terhadap penyertaan tadarus) dan juga program pembaikan kualiti bacaan yang sepatutnya di rancang di luar bulan Ramadhan.

5.2.1.   Apa masjid nak buat dengan peserta dari pelbagai kategori itu – kalangan kanak-kanak yang sudah bagus bacaannya itu – perancangan menambah-baik kualiti bacaan mereka.  Kalau perlu hingga menganjurkan kelas taranum untuk mereka.  Atau lihat kecenderungan pelajaran agama mereka di sekolah – dengan duit masjid membiayai pengajian (jika berpeluang melanjutkan pelajaran dalam bidang agama di dalam atau luar negeri).  Betullah bagi mereka yang ada penaja tapi yang jika tidak ada penaja.  Kalau masjid boleh hantar setiap tiga tahun seorang tiga tahun seorang.  Akan ramailah anak qariah masjid yang pandai agama yang boleh menyumbang tenaga di masjid akan datang.

5.2.2.   Duit masjid wakaf orang ramai kononnya banyak.  Boleh guna duit itu untuk tujuan agama yang lebih bermakna.  Jangan peruntukan tertumpu pada program pengkomputeran masjid, tambah peralatan LCD dan balik balik nak baiki longkang rosak, ganti pagar atau cat pagar masjid, baiki kubah masjid, beli pasu/ tanam bunga.

5.2.3.   Mana kelas mengaji Mukadam/al Quran untuk kanak-kanak yang masih merangkak bacaannya; yang simpang perenang tajwid dan makhrajnya itu 

5.2.4.   Untuk kumpulan dewasa yang sudah keras lidah dan bibir, gusi ada kalanya sudah licin, nafas sudah tak panjang; tidak mampu nak ikut pelajaran tajwid yang penuh disiplin itu; apa masjid nak buat untuk mereka.

5.3.      Mahunya ialah untuk Ramadhan akan datang akan berkurang fenomena pembacaan al Quran seperti yang disebutkan.

6.         Tapi Tuan Nazir tak sempat (?) nak sebut ini.  Tapi tahun lepas macam itulah juga. Tuan Nazir menutup ucapannya sambil tersenyum mengingatkan lepas khatam Quran nanti para jamaah jangan balik dulu; ada jamuan nasi beriani lauk kambing disediakan.  Boleh makan sama-sama.

22hb. Sept; 2010/ 13 Syawal; 1431H

dinbatubara

Friday, September 17, 2010

BAGAIMANA AKAN AKU LUPA

Eidul fitri di Teluk Sareh 

1.         Sampai kampung jam 8.15pg. – bertolak dari Rawang jam 5.30 pagi; terus ke Masjid Teluk Sarih. Exited nak sembahyang raya di masjid baru Teluk Sarih (sembahyang jam 9.00pg.).  Bukan kerana masjid barunya itu tapi kerana sudah lapan tahun tidak sembahyang Hari Raya di kampung – bersama-sama program malam raya;  takbir rumah ke rumah di Rawang; baru balik kampung, selepas sembahyang Hari Raya.  Dua tahun lepas cuba tak ikut habis program masyarakat tersebut – bertolak balik kampung jam 3.30 pagi; kereta yang dipandu anak kemalangan di Tanjung Malim, jam 4.30 pagi.  Balik ke Rawang.  Balik kampung sebuah kereta sahaja; sebelah tengah hari.

2.         Terigin sangat nak jumpa kawan-kawan lama : Lias, Latip, Derus, Man Peto, Tajudin, Manan, Wahab Tok Bolah, Dolah Maei Kerani, Ju’ie Yeop Jatin, Azmi Yeop Jatin, Azmi Mat Beso, Ani Mat Beso dan lain-lain.  Dapat jumpa Ayob, Mat Seperin dan Je’i Mat Amin saja, serta dua tiga orang dulunya budak-budak sangat di bawah aku; seperti anak wak Zari, anak abang Deris dan entah anak siapa lagi; saudara mara akulah juga.  Yang lain-lain tak jumpa.  Lepas sembahyang lama juga aku berdiri depan masjid (bawah bangsal tempat juadah jamuan pagi Raya disediakan). Aku kerap balik kampung – paling lama tak balik ialah dua bulan; tapi balik kampung hari-hari biasa begitu amat payah dapat jumpa kawan-kawan yang jauh-jauh dan haluan masing-masing.

3.         Terkilan, kerana tidak dapat ikut sama kenduri tahlil di surau.  Sejak puluhan tahun lalu orang kampung adakan kenduri tahlil di surau selepas solat Subuh pada pagi Hari Raya – mereka bawa juadah seperti lemang & rendang, tapai pulut, dodol, wajik, baulu, kopi o, teh susu dan lain-lain kuih raya.  Selapas solat Subuh kami akan bertakbir dan berselawat tiga empat ’penaik’, kemudian duduk ramai-ramai di depan juadah di anjung surau; tok imam akan baca tahlil dan doa untuk arwah mak-bapak tok-nenek.

Lepas itu makan dengan gembira.  Ada usikan; pak saudara usik anak saudara yang baru balik dari Kuala Lumpur; minta rasa rokok Kuala Lumpur, kata mereka – rokok Gold Leaf, Tiga Lima, Dunhill.  Macam-macam. Antara yang suka mengusik dan kena usik ialah Abang Main, (bekerja di Straits Times), Ya Abang Aki, Yu Harun, Pandak Usin, Abang Ta, Cu Amat, (yang melatah menyebut coca cola apabila dicucuk pinggangnya). Ada juga yang usikannya agak kasar – seperti stail Tamam; tapi tak ada yang ambil hati.  Pagi Raya semua saling bermaafan.

Lama sebelum itu; ketika surau itu di tepi tebing (tepi Sungai Perak) orang kampung akan bergerak bertakbir berdoa tahlil rumah ke rumah; tetapi suatu ketika kerana pergerakan yang  berlarut-larutan hingga ada jamaah tidak sempat pergi sembahyang Hari Raya; maka jumhur ulama kampung buat keputusan/arahan supaya bawa juadah kenduri ke surau sahaja.  Kalau ada yang hendak minta ’datang ke rumah’ juga, buat selepas sembahyang Hari Raya.  Itulah yang diikuti hingga sekarang.

Zaman aku di sekolah menengah dulu, antara yang ambil tugas pimpin tahlil ialah Yeop Jatin, Abang Jidi, Cu Amat dan sekali sekala abah suruh Pakcik Cat (bilal gantian surau paling junior – adik abah, pak sedara aku). Selalunya arwah abah akan serah tugas itu kepada mereka inilah; walaupun mereka semua amat menghormati abah (abah pernah mengaji pondok Mohd Salleh Masri, Tanah Liat, Bukit Mertajam sebelum perang), yang ketika itu sudah pun jadi imam masjid.  Takdir Allah kesemua mereka meninggal dunia sebelum abah, lalu tugas pimpin tahlil dan doa diambil alih oleh abah.  Takdir Allah juga, Pak Asyim orang Lenggong ('berilmu juga'); kahwin dengan seorang janda di kampug aku.  Abah selalu bagi kesempatan pada Pak Asyim untuk tugas-tugas imam, pimpin tahlil dan doa.  Tak lama selepas itu abah meninggal dunia, tugas diambil alih oleh Pak Asyim sampai sekarang sudah hampir 15 tahun. (Pesan abah yang masih aku ingat ialah kalau di tengah ramai, biar kita di tepi-tepi)

Selepas kenduri, Cu Amat akan agih-agihkan wang mengaji quran yang sedekah oleh pak cik makcik kampung kepada kami – upah baca (tadarus) quran sepanjang Ramadhan.  Seronok dapat duit raya, pernah sampai 20 ringgit seorang.  Rakan mengaji yang masih aku ingat ialah Mat Seperin, Azmi Yeop Jatin, Arwah Nik Abang Ta; di samping yang tua-tua seperti Cu Amat sendiri, arwah abah, arwah pakcik Cat dan Arwah abang Asin.

4.         Teringat fasal mengaji Quran aku nak sebut ada suatu jenis ratip yang sering diadakan setiapkali mengiringi bacaan takhtim dalam majlis khatam al Quran pada malam 27 Ramadhan ditahun-tahun 60an.  Ia disebut Ratip Saman. Dipimpin oleh pak khalifahnya; Tok Mat Kawah (pangkat datuk aku sebelah emak).  Tak tahu aku nama sebenarnya beliau. Mula-mula zikir biasa saja; duduk sambil meratipkan lailahaillallah, lailahaillallah.  Makin lama semakin laju dan bening hingga yang kedengaran ialah illallah, illallah dan ill ill sahaja (mungkin sebutan Allahnya sudah tidak keluar di rengkungan). Tok khalifah bangun berdiri.  Para jamaah ikut berdiri. Kanak-kanak termasuk aku di arah oleh entah sesiapa membentuk sebuah bulatan besar di tengah-tengah jamaah. Kami berpegang tangan sambil mengikut sebutan Tok Mat Kawah; Allahu ah, Allahu ah (jika dibaca terus – wasal, akan berbunyi Allahuah, Allahuah). Perilaku Tok Mat Kawah berpeluk tubuh dan menghayun badan lembut ke depan dan ke belakang atau ke kiri dan ke kanan, diikuti bersama oleh para jemaah.  

Lantunan zikir menjadi semakin pantas berirama sambil menghentak-hentak kaki. Ada yang menghentak tumit. Tok Khalifah masih di situ berpeluk tubuh, mata di pejam.  Kami terus berpegang tangan dan membuat pergerakan berkeliling/ berpusing sambil menyebut Allahuah, Allahuah.  Rak rak rum, rak rak rum bunyi dentuman tapak kaki dan tumit mengikut rentak zikir Allahu ah, Allahu ah, Allahu ah, Allahhu ah.  Pusingan ada kalanya menjadi laju – ada yang tertanggal kain, lalu membetulkan gulungan ikatan kain di pinggang sambil berpegang tangan, berkeliling, terjatuh dan ikut jatuh oleh rakan-rakan yang lain. Gelagat hiruk-pikuk dan kami ketawa keseronokan, bangun dan berkeliling lagi hingga zikir Tok Mat Kawah jadi perlahan. Tok Mat Kawah akhirnya duduk dan meneruskan baki zikir, dan diakhiri dengan doa.    

Mungkinkah ratip Saman adalah suatu amalan dari tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol – tarikat yang dikenal di Jawa Barat dan Aceh, dipelopori oleh Syaikh Muhammad Saman dari Madinah, Arab Saudi, meninggal dunia pada tahun 1702 M.  Zikir Saman ini yang kemudian berkembang menjadi zikir yang ekstrim.   Ada juga aku terjumpa kaedah berzikir begitu oleh pengamal tarikat di Turki- berzikir sambil menari (pada peringkat zuq).  Itukah barangkali mula asalnya ratip Saman.  Mungkin Tok Mat Kawah pengikut tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol ?  Entah.  Yang pasti selepas kematian Tok Mat Kawah ratip begitu turut terhenti.  Ada dicuba bawakan oleh anaknya; tapi tidak menjadi.  Dan ratip itu hilang khalayak sementelah tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol itu telah diisytihar sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1990an dahulu.    

5.         Lepas sembahyang ziarah Kak Som, Kak Endan, Makcik Rosnah dan terus ke Bota Ziarah Mak Teh (sudah dua kali raya tak pergi rumah Mak Teh; khususnya selepas Ayah Cek meninggal).  Ada pergi ke rumah dia tapi lepas sehari Raya Mak Teh tidak ada di rumah – entah di Ipoh atau di mana.  Ada juga pergi ke rumahnya di Ipoh; juga tak ada di rumah.  

dinbatubara

Sunday, September 12, 2010

Buat sesuatu yang baru meski terlewat

                                                                                                                                                      Iftitah : 
اَلله أَكََْبَر كَبِيْرًا وَالحَمْدُلِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ الله بُكْرَةً وَأَصِيْلاً . إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ المُشْرِكِيْن . إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْن لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ المُسْلِمِيًن.
“Allah maha besar lagi sempurna kebesaran-Nya; segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Sesungguhnya aku hadapkan mukaku kepada zat yang menciptakan langit dan bumi dengan keadaan lurus dan berserah diri, dan bukannya aku termasuk dalam golongan musyrik. Sesungguhnya sembahyangku ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk-Nya, Pencipta semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, kerana itu aku rela diperintah dan adalah aku dari golongan orang Islam.”

Bukan tidak pernah ada.  Pernah ada.  Minta bantuan anak kreatkan blog sebelum ini; tapi tidak pernah tersisi.  Konon sering tidak ada masa; meski keinginan nak tulis macam-macam itu sentiasa hidup.  Ada masa terluang habis kerana baca blog orang lain - lepas satu, buka lagi satu, buka lagi satu.  Kemudian letih (letih minda, bukan bosan), atau keperluan hal yang lain, tutup komputer.  Besuk begitu lagi.  Besuk dan selepas besuk begitu juga lagi.

Menulis catatan memang suatu yang rutin suatu ketika lama dahulu - waktu bujangan. Hairan, waktu tidak banyak urusan amat rajin tulis dairi.  Kadang-kala yang ditulis bukan apa; perkara remeh-temeh - tentang beli kasut baru, tali kasut putus, beli jarum jahit butang baju sendiri, tiba ke pejabat awal, makan nasi lemak sambal basi, tengok tayangan larut malam film Hindustan (buat bising ramai-ramai dalam panggung) dan lain-lain dan lain lain.  Entah apa apa; semua dicatat dalam dairi.  Tapi entah bila kerja mencatat begitu berhenti. 
 
Congak congak, mungkin kerana pada suatu ketika disibukkan oleh menulis rencana/ulasan politik di akhbar tabloid atau menulis puisi (tak sebanyak mana pun yang tersiar di akhbar dan majalah) dan atau menulis untuk ruangan cerpen dan bisikan kalbu di Radia 1 RTM.  Kesemua itu telah merencatkan keseronokan menulis (entah apa-apa) di diari.  Diari itu pun sudah hilang entah ke mana apabila pindah-pindah rumah.  Mula-mula terasa juga dek kehilangan itu, tapi lama kelamaan tak rasa apa-apa.  Biarkan saja. Dalam suatu cerpen aku tulis :  Bakar semua diari lama kenapa terus terbelenggu oleh kenangan lalu.
 
Teruja dengan pertanyaan kawan-kawan - adakah aku punyai blog sendiri.  Dan terasa malu juga apabila seorang rakan bertanya apa nama blog aku (aku beritahu ada menulis ulasan politik) dan aku beritahunya aku tumpang laman bloggers lain. Dan anak-anak pula kerap perli aku tidak gunakan kemudahan sesawang begini sebagai medium melantunkan idea dan atau suatu kaedah komunikasi. Ah, ketinggalan zamannya aku.
 
Atau sekurang-kurangnya (barangkali yang menjadi sesuatu yang penting) sebagai medium untuk aku
bercakap kepada diri sendiri apabila aku pencen dan atau bila tidak ada orang yang sudi hampir bila di datangi tua (minta-minta tiak sampai tua bangka) nanti.
 
Aku mahu kembali mencatat.  Apa sahaja.  Mungkin remeh pada pandangan orang; tapi penting pada aku.  Mungkin lucu pada aku tapi iInnocence (tak ada ambiguiti) atau mungkin merepek pada pandangan orang.
 
Rakan-rakan yang mengikuti catatan entah apa-apa ini dipersilakan sertai aku - beri komen anda.  Tentu lebih seronok jika kita dapat berbual meski tidak mengetahui/mengenali siapa yang singgah di jaring sana.  Dan tentu akan lebih menyenangkan rasa lantaran dapat menghubungi kembali rakan-rakan lama yang telah lama tidak berjumpa. 
 
12hb. Sept.; 2010/ 3 Syawal 1431H

dinbatubara