Wednesday, January 26, 2011

Dari sembang di kefe fb

….
Abdul Rahman Hashim :  Walaupun saya kelihatannya berakitkan UMNO, namun saya bimbang rakit ini bakal ditenggelami arus yg deras jika UMNO tidak mahu muhasabah diri. UMNO hanya relevan jika bersedia untuk berubah menjadi lebih baik daripada hanya berpuas hati dgn sokongan yang berbaki ini. Jika tidak....UMNO mungkin diubahkan?

Naharudin Abdul Rashid Dinbatubara :  Aman, sifat rakit ialah samada statik atau dinamik. Statik ialah duduk diam spt rumah rakit di Sungai Temerloh, Pahang; alangkah lemahnya kerana terpaksa ditambat dgn kawat ke tebing & terolang-oleng meski oleh ombak kecil. Sifat kedua: Dinamik (sikit bagus) tp hukumnya ialah menghilir (mengikut arus) sungai. Rakit akan menghilir sungai bersama2 dgn hanyutan2 lain. Umno pd sifat STATIK, sudah tentu bukan - Umno sudah mengalami anjakan. Ada sifat DINAMIK pd Umno; tp berapa lama lg perlu bersama2 'apungan/hanyutan yg tak berguna' yg hari ke hari dilepaskan dari celah/lubang/ekor rakit & sampah sarap. 

Malang bg Umno - yg bakal tenggelam oleh onar/korupsi moral kepimpinan dan pengikut buta-tuli ahli yg sudah terasuh oleh politik regimentasi. Rakit tidak akan memudiki sungai (Rakan Umno lain dlm BN telah berdulu-duluan menungkah arus - menggunakan bot-bot laju; dari khilaf dan alpa & berani yg entah apa-apanya Umno). 

Rakit tidak akan boleh menungkah arus. Jgn beretorik dgn pepatah yg menyebut 'berakit-rakit' ke hulu. Tak usah nak kata anda sudah bersedia & pandai berenang ke tepian; kerana orang yg pandai/bijaksana/jujur tempatnya bukan lg Umno.Anda sendiri sudah sangsi dgn rakit anda. Tunggu apa lagi. Biar Hidup Sehari Jadi Harimau Dari Hidup 1000 Tahun Menjadi Kambing.

Hirwan Hambal :  bangsa menumpang rakit....sebagai renungan sekadar pandangan diri sendiri......PAS bukan nakhoda dalam pakatan......PAS hanya komponen...undang-undang mengangkatkan PAS di Perak...undang2 menurunkan PAS.....akibat dari ada yg melompat...maka tumbangnya ....yg sepatut diangkat......tapi yg baring yg menjerit bukan yg ditumbangkan......sebaliknya yg tumbang bertepuk tangan bersorak......menyerah bulat-bulat nasib bangsa kepada PAS belum menjamin langit itu cerah....biar mendung asal tidak hujan....nasib yang nak menanggung bukan 1,kalau diri sendiri boleh juga tabahkan hati....nak tabahkan hati org lain takut tak terdaya....kalau jadi harimau 1 hari biar yg harimau hidup bebas gagah dan dihormati oleh penghuni rimba....daripada jadi harimau 1000 tahun hidup dalam sarkas.....mengaum tapi disuruh duduk die duduk.....di suruh lompat die lompat...di suruh berdiri die berdiri....

Naharudin Abdul Rashid Dinbatubara : Dik Hirwan; tidak diminta supaya orang Melayu menyerah bulat2 nasib bangsanya kpd PAS; PAS tidak memiliki lampu Aladdin utk menjamin survival Melayu. PAS insaf dgn peringatan Allah: Allah sama sekali tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, sehingga kaum itu sendiri mengubah nasib mereka. Selamanya PAS memang tidak mahu bersendirian.

PAS mengajak ummat Melayu khususnya & bangsa Malaysia umumnya berganding-bahu. Tolong kami (sekarang Pakatan Rakyat) meraih kuasa supaya kita dpt mengemukakan/ melaksanakan agenda kerja utk bangsa/Negara.

Pun lihatlah juga trek rekod PAS di sepanjang keberadaanya di persada politik tanah air – jatuh/bangun & kalah/menangnya. Kalah; PAS tidak mengamuk atau membuat/ mencipta onar yg bukan2 hingga menyulitkan semua institusi. PAS malah teruskan perjuangan. Individunya tidak bersedih, apa lagi merajuk atau berhenti berjuang. Menang (miliki kuasa negeri) tidak berlaku zalim/sombong/pandang kroni/kumpul harta utk peribadi.

Sebelum PAS menang di Kelantan (zmn MuhammadYaacob MB) orang yg sokong PAS; (petani) tak dapat subsidi baja – guni baja dicap dacing, (nelayan) tak dapat subsidi disel, (anak sekolah, masuk universiti) tak dapat biasiswa – kdg-kala dpt borang tp tok sidang yg mengesahkan status anak-mukim bagi syarat mesti isi borang Umno. Saya (di Perak) bersekolah di Sek Keb Tlk Sarih, nak minta biasiaswa anak Melayu Perak, Tok Sidang kata Pandak Ashid orang PAS – tak dapat; ‘lorong bertar’ diturap setakat tiga rantai dari kebun almarhum ayah saya (Pandak Ashid), tak bersambung hingga ke kebunnya. Kenapa. Alasannya tak cukup peruntukan. Bukan. Bukan tak cukup peruntukan; tp utk 3 rantai lagi itu dilarikan ke tempat lain; hukuman sebab almarhum Pandak Ashid penyokong tegar PAS.  Kg Empai pernah di lebel sebagai kwsn Hitam (tambahan : oleh Umno), bila PAS menang di Parlimen Parit dan DUN Kg Gajah (1969).

Ini kerja pemimpin Umno yg di bawah. Kerja pemimpin Umno yg di atas (sekarang) jgn ceritalah; sudah menjadi rahsia yg diketahui umum – orang Umno pun tahu. PAS tidak berhenti mengajak ummat Melayu/Islam & bangsa Malaysia seluruhnya dgn formula/plan perubahan – pembentukan masyarakat berkebajikan, sejahtera dan takut kpd Allah. PAS mencuba mekanismanya – pernah bersama Umno,/BN bersama dlm Angkatan Perpaduan Ummah (PAS, Hamim, Berjasa,&Semangat 46), mencuba membina hubungan dgn komuniti China dlm CCC & terakhir dlm Pakatan Rakyat.

Tidak kisah kalau kami bukan nakhodanya.  PAS tidak mabuk untuk jd pemimpin. (tambahan : Berkali-kali ahli PAS diperingatkan oleh pemimpinnya :  PAS perlu kuat kalau mahu dihormati) Yg penting ialah tujuan perjuangan PAS dapat diterima & dikenderai bersama. Kpd yg bukan Islam; bebarapa nilai & tuntutan Islam dpt PAS perkenalkan/ sampaikan. Umno yg bersama2 rakan-konsi bukan Islamnya nampaknya belum bagi tahu rakan bukan Islamnya itu bahawa bersentuhan kulit yg bukan muhrim itu haram (isu terkini di Tenang, Johor). Ulama’ Umno belum berbisik agaknya kpd Najib bahawa hukum tak pakai tudung oleh isterinya itu haram. Atau kalau dah diberitahu, Najib belum mahu nasihatkan isterinya; atau kalau Najib dah beritahu isterinya, big mama tu masih tak mahu ikut; apalagi yg diharapkan oleh orang Umno kpd Najib. 

Najib tak boleh pimpin isterinya macam mana nak pimpin 27 juta rakyat Malaysia.. Ulama akan ditanya dlm kubur, Najib akan ditanya, Orang Umno semuanya akan ditanya. Orang PAS juga akan ditanya Allah : “sudahkah kamu menyampaikannya.” Nabi kata : “Pemimpin akan ditanya kepemimpinannya.” Kata Nabi : “Kalau kamu melihat kemungkaran, ubah dgn tangan (kuasa – angkat tangan/mengundi/pangkah/buat pungutan suara). Tak boleh dgn tangan, ubah dgn mulut (dakwah/bagi tahu/tegur – terpulang pada cara; yg degil, keras hati, tak faham-faham : tegur terus dgn cara paling baik). Tak boleh dgn mulut; dgn hati - sesungguhnya itu adalah selemah2 iman." Orang Umno selamanya memilih menegur dgn hatikah. Takkan nak selama2nya (tambahan: kita) hendak dlm golongan lemah iman. Nak bagi tau juga sikit di sini; dlm perlembagaan  (pembetulan: pebincangan tentang hala-tuju Pakatan Rakyat yang sudah di wacanakan) Pakatan Rakyat; antara lain ialah memelihara demokrasi, begerak dlm batas Perlembagaan Malaysia, Mempertahan/(tambahan: memartabatkan) institusi Raja-Raja Melayu, menjunjung prinsip-prinsip Rukun Negara & tidak menyentuh(tambahan: mempersoal) hak keistimewaan orang-orang Melayu. 

Dan, ah; apa tujuan PAS ditubuhkan. Lihat Fasal 5 (Perlembagaan PAS) iaitu (1) Memperjuangkan wujudnya di dlm negara ini sebuah masyarakat & pemerintahan yg terlaksana di dlmnya nilai2 hidup Islam & hukumnya menuju keredhaanAllah; (2) Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan & kedaulatan negara. Jadi betullah PAS ditunggang oleh orang lain ? Tak betul, tu !! Aspek mana tomahan itu ? 

Dua baris terakhir itu, kita cerita lain kali, insyaAllah.

dinbatubara

Friday, January 14, 2011

INTERLOK Yang Saya Baca

Baru mengkhatam pembacaan novel Interlok; karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Di sekolah menengah dahulu saya di aliran sains – tidak sempat membaca novel ini. Bagaimana pun kecenderungan membaca karya-karya besar penulis tempatan; khususnya tulisan Sasterawan Negara, menyebabkan saya sentiasa memburu karya adicipta tempatan (sesetengahnya sudah tidak ada di pasaran).  Kebetulan pertengahan tahun lepas saya menemui buku tersebut dari suatu ekspo mini buku (edisi pelajar); beli pada harga diskaun 50%; pun belum sempat untuk segera menghabiskan  pembacaannya.  Tak tahu pula novel ini dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) untuk Tingkatan Lima mulai 2011.
        Terpanggil untuk segera menghabiskan pembacaan berikutan isu penarikan balik penggunaan teks ini yang didakwa mempunyai unsur penghinaan kepada orang India dan Melayu.  Khabarnya ada beberapa halaman menyebut orang Melayu bodoh, malas selain perkataan paria serta ada unsur menyentuh isu ketuhanan dan keagamaan bagi kaum India. Betulkah.
        Di kulit belakang novel dicatat :  Novel ini memangi hadiah sagu hati dalam peraduan novel merdeka tahun 1967. Novel yang memaparkan tema integrasi kaum; Melayu, Cina dan India, yang diwakili oleh tiga keluarga yang berusaha menjalani hidup bersama sebagai rakyat Negara yang merdeka dan berdaulat. Iya, Interlok menggambarkan latar awal perhubungan antara kaum terbesar itu di Malaya sekitar awal tahun 1900 sehingga Malaya merdeka 1957.
      Abdullah Hussain membahagikan penulisan buku ini kepada empat Bab (disebut Buku) iaitu; Buku Satu – Keluarga Seman, Buku Dua – Keluarga Cing Huat, Buku Tiga – Keluarga Maniam dan Buku Empat – Interlok.  Buku Satu, Buku Dua dan Buku Tiga pemerihalan kehidupan berkeluarga/sistem sosial  dan berekonomi keluarga masing-masing. Keluarga Seman; aktiviti kehidupan sebagai bangsa peribumi dan budaya berhutang (dengan Taukeh Cing Huat untuk kehidupan nampak bergaya) yang menyebabkan tanah, rumah  dan lembu tergadai. Kehidupan Keluarga Cing Huat – berniaga dan memberi hutang; dan Keluarga Maniam yang terlibat langsung dalam aktiviti perladangan getah.  Bahawa pengenalan ekonomi moden dan kepentingan perlombongan bijih dan getah British bangsa Eropah itu telah membawa masuk buruh-buruh dari China dan India ini ke Malaya. Ini dilakar dengan jelas lewat novel ini.     
       Gaya penulisan yang simpel. Disebut sejarah awal bangsa berkenaan dari sebelum kedatangan ke Malaya; perjalanan hingga sampai ke Malaya, kehidupan/perekonomian setelah berada di Malaya. Dan Buku Empat – Interlok ialah peleraian pengunci terhadap keterbentukan suatu bangsa – bersama-sama menghadapi cabaran dann tantangan mempertahankan negara.
       Interlok Apa maksud Interlok. Kenapa Interlok. Interlok ialah dari perkataan Inggeris Interlock. Yang dimaksudkan oleh Abdullah Hussain ialah  sebagai pengunci kepada masyarakat yang terpisah-pisah supaya menjadi satu masyarakat yang bersatu padu.  Kepada Munsyi Dewan; Sdr Abd Ghalib Yunus, Interlok ialah memancakan (merapat; mempertaut sepuluh jemari). Bahasa Inggerisnya Interlock : He interlocked his finger – dia memancakan jarinya, yang bermaksud bertaut rapat. Maknanya dalam konteks novel ini ialah mempertaut (mengintegrasikan) tiga kaum
       Abdullah Hussain menjadi pencatat peristiwa.  Semuanya ditulis secara jujur dan objektif. Tidak nampak Abdullah Hussain seorang prejudis atau mahu jadi propagandis. Jika Abdullah Hussain mahu jadi propagandis, mestilah beliau akan memenangkan satu-satu kaum sahaja.  Tetapi Abdullah Hussain melagang cerita/peristiwanya seimbang.
       Diceritakan tentang orang Melayu tidak mahu menghantar anak ke sekolah :  “Dan Seman pun besar. Tidak pernah renggang dari ibu bapanya, sejak  kaki sebesar dua jari sampai dia besar menjadi pemuda yang tegap sasa.  Mereka berdua begitu cemburu kepada anaknya, sehingga  mereka tidak benar anaknya itu masuk sekolah. Waktu itu guru besar Sekolah Menengah Simpang Empat dengan beberapa orang guru lain sedang berkeliaran di dalam kampung mencari pemuda-pemuda untuk diajak belajar di sekolah.  Mak Limah dan Pak Musa menyorok Seman di dalam kelambu” – Interlok; ms 37) ).  Tentang kecenderungan bangsa Melayu menipu – disebutkan : “mengecek orang Cina itu untuk menangguhkan hutangnya” – Interlok; ms 38)
      Iya, kalau orang Melayu mahu marah pun sepatutnya boleh kerana Abdullah telah dengan sinikal mengaibkan orang Melayu – orang Melayu yang menipu dan tertipu pula selepas itu, anti pendidikan, tidak mengalami mobiliti sosial secara vertikal. 
      Iya, boleh sahaja jika Abdullah Hussain mahu meletakkan dirinya sebagai propagandis suatu kaum. Selepas sepuluh tahun merdeka (1967) yang jelas kaum peribumi (Melayu) terhimpit/ tertinggal oleh pengenalan kepentingan ekonomi British. Ketika bangsa lain sudah menikmati terang cahaya elektrik, air bersih, kemudahan kesihatan, kemudahan mempelajari bahasa Inggeris (anjakan sosio budaya beriringan kegiatan perkonomian British – perlombongan dan perladangan getah). Ramakrishnan (anak Maniam) sudah jadi inspektor polis, (Penduduk Kampung Baru yang lahir dari Rancangan Briggs – program isolasi mengelak pengaruh komunis terhadap komuniti China; mereka menerima kemudahan seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, bekalan elektrik dan air paip; perkampungan Melayu masih bergelap-gelita, pandangan orang Melayu terhadap pelajaran masih nihil, pelajar-pelajar anak orang Melayu berlampukan pelita ayam – berkudis – tokak, manai – kekurangan zat makanan, setiap juzuk dalam darahnya terdapat kuman malaria dan kecacingan dalam perut. Iya, betul; ada seorang anak Melayu; Lazim yang menjadi guru lulusan SITC – secara perlambangan buat menghidupkan wacana politik, bangun menentang kemasukan semula British – ini sahajakah wahana perjuangan Melayu; kuatnya mereka dalam politik. Kenapa Abdullah Hussain menulis begini !). Kenapa kejamnya penulisan Abdullah Hussain terhadap bangsanya sendiri.
       Sedangkan kaum India mengalami mobiliti vertical – dari boroh (kuli) ladang, jadi tandil (mando), mengurus ladang apabila British lari setelah kemasukan Jepun; dan ada yang jadi inspektor polis. Pun kehidupan di ladang-ladang getah milik orang Putih yang pastilah mereka juga berkecukupan prasarana seperti elektrik air bersih dan klinik. Abdullah Hussain menuliskan kecenderungan bangsa India membina/memajukan diri seperti usaha mendirikan sekolah (berbahasa Tamil) dan menjemput guru dari bandar mengajarkan bahasa Inggeris. 
       Pun kalau orang China mahu mereka juga boleh tidak puas hati; kerana pemaparan dengan jelas kecenderungan China yang pada mulanya taksub kepada Kuomintang kemudiannya jadi penentang Jepun (MPAJA ?) dan akhirnya jadi Komunis (orang hutan). British memperkenalkan Rancangan Briggs (pertengahan 1950an); program pemindahan kependudukan Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan ke kawasan penempatan semula (Kampung Baru) yang dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan untuk mengelak dari interaksi orang tempatan (Cina) dengan grilya komunis. (Teruknya orang China.  Perkaumannya. Kecintaan kepada Negara asalnya.)
      Baru pada 2hb Disember 1989 Perjanjian Haadyai – Perjanjian Perletakan Senjata antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaya telah dibuat di Hotel Le Garden, Haadyai, Thailand ditandatangani; menamatkan sejarah panjang Kominis/Cina.  Amat senonim orang Cina dengan komunis. Apakah orang China berasa senang hati dengan gambaran begini. Dan kalau mereka tidak senang hati perlukah mereka melempiaskan kemarahan itu dengan merangsang semangat orang China dan seterusnya menganjurkan pembakaran novel ini.
      Rupa-rupanya begitu minda Abdullah Hussain. Kendati idea asal penulisannya ialah dari kemahuan Tun Abdul Razak PM Ke 2 yang mahukan sebuah karya sastera yang dapat menyatukan rakyat pelbagai kaum kea rah sebuah negara bangsa Tanah Melayu ketika itu dan Malaysia sekarang.
       Interlok mengisahkan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah; kemudian ditemukan pada bab akhir. Biarpun ada unsur sensitif (mungkin taboo) pada sesetengah kaum (itulah keberanian Abdullah, dan itulah kejujuran beliau) namun diakhirkan oleh beliau kepada kefahaman bahawa perpaduan kaum adalah penting dan inilah matlamat asal penganjuran peraduan mengarang novel tersebut.
       Pengakhiran novel yang mengambil latar masa 1957 ketika menyambut kemerdekaan negara memaparkan orang Melayu, Cina dan India, masing-masing sudah membina rupa bangsa Malaysia berdasarkan kepada kisah silam masing-masing dan kerana sudah saling mengenali serta berasakan keperluan saling bantu membantu.
       Argumentasi yang menyebutkan novel itu kononnya ada unsur menghina kaum tertentu tidak tepat. Tidak menentang kepenulisan novel berkenaan tetapi menentang kerana dijadikan buku teks sastera di sekolah – ini juga suatu alasan dangkal hingga membawa kepada pembakaran novel berkenaan.  Alasan bahawa mereka mahu menguburkan sejarah silam (dan usaha ini berlaku secara evolusi); tetapi Interlok telah mengungkit perkara ini dan luka lama akan berdarah kembali. Kami berpendapat bukankah lebih baik novel yang kontroversi (?) begitu dipelajari/dibincang secara akademik/di sekolah, daripada membiarkannya sebagai bacaan umum begitu sahaja; yang pada perkiraan kita akan membentuk spot ulcer dan akhirnya menjadi kanser yang akan memecahkan masyarakat.  Apa jaminan mendakwa dengan menjadikan buku bacaan umum sahaja, resah-gelisah terhadap perkara sensitif itu tidak akan terjadi (petaka yang tidak akan teerjadi asal sahaja tidak ada mana kumpulan yang mahu menjadikannya sebagai punca kepada perbalahan) 
       Kita berkeyakinan penuh Kementerian Pelajaran akan mempunyai ruang-lingkup yang luas (daripada membangkitkan ehwal mukasurat 215 – 220 Interlok) untuk dibincangkan di dalam kelas; hatta untuk dijadikan soalan peperiksaan. 
       Interlok berada di pasaran sejak awal tahun 1970an dengan tanpa sebarang krisis perkauman atau implikasi buruk. Interlok membentangkan sejarah awal pemodenan Tanah Melayu dengan kemasukan kaum Cina dan India atas sebab akibat (faktor penolak di negara asal mereka dan faktor penarik di Malaya). Ianya menjadi bahagian/fragmen penting sejarah negara ini dari zaman penjajahan Jepun, darurat, Malayan Union dan akhirnya kemerdekaan 1957; dengan kemudiannya setiap bangsa menyumbang kepada pembinaan negara dan terbabit dalam pembangunan ekonomi dan pembentukan bangsa Malaysia.
     Orang politik yang mahu mendapatkan 'political milage' dengan membangkitkan isu ini sepatutnya menggunakan pendekatan lain yang dapat memperlihatkan jiwa besar mereka selepas melalui suatu transformasi ekonomi yang sekaligus menganjak tipa budaya. Mengetahui akar budaya akan dapat membangunkan suatu rupa-bangsa (Bangsa Malaysia) yang kokoh daripada terus langsung melupakan akar bangsa yang nantinya akan terus mencetuskan konflik nilai.
        Mari kita membaca teks berkenaan keseluruhannya bagi mendapatkan mesej sebenar.
 





dinbatubara

Sunday, January 9, 2011

Pasar Baru dan Tanah Abang; Ketika mahu aku tinggalkan airport Soekarno-Hatta

Pasar Baru dan Tanah Abang

Pasar Tanah Abang mula tutup; jam 17 nol nol sore.
Jerit-pekik wisel bapak polisi;
bunyi hon, wisel, derum dan asap mobil, wap aspal selepas hujan.
Kalau ndak macet, ini bukan Jakarta.
Bukan apa-apa, pak  
hiburan.

Di siar-kaki dan lobi Gedung Grosil 12 tingkat;
ku ketemu
cucu-cicit Si Amilah beraksi akrobat mintanya seribu rupiah untuk nasi kucing, ah;
selepas Saaman roboh dada ditembak Belanda dan si Amilah jadi gila
mereka berpindah dari kolong Sungai Ciliwung yang tetap juga hitam likat
ke sini.
Mereka masih ingat pesan kak Aman :  di dunia ini tiada tempat untuk orang yang bodoh dan sakitan.  
Sungguh mereka masih menyimpan citra tonggaknya Saaman dari penjara.
Seorang pelancung menghulur seketul fried-chikken
di cicip lahap berlima kemudian meneruskan akrobatik dengan gembira.
Jeritan wisel, bunyi hon; bingar, derum dan asap mobil, wap aspal selepas hujan dan
bisik-rayu pedagang kaki-lima.
Ini Jakarta kita yang punya.

Semalam di tingkat 5 Pasar Baroe;
kutemu Sumaiyah yang sudah jadi pemilik gedung grosil fabrik.
Dua tahun sebelumnya, lima tahun dia kerja amah di sebuah rumah di Kajang, Malaysia.
Iya, kapan akan ku ketemu Supangat yang sudah jadi usahawan hardware dan buka pasentren di Jalan Kebundurian.
Lima tahun sebelum ini, lima tahun dia jadi petrol-boy di stesen Esso-BP Rawang, Selangor;
menumpang tidur di kongsi kebun sayur Cina; 
Warti rakannya masih pelayan kedai di warung Jln Raja Muda 
dan sudah kahwin dengan pemuda Malaysia..

Nahar Rashid
22hb. Disember; 2010
Hotel Triniti, Jakarta Pusat.




Ketika mahu aku tinggalkan  airport Soekarno-Hatta

Ketika mahu aku tinggalkan  airport Soekarno-Hatta
manik-manik kecil cair di tubir mata.
Ketika akan aku tinggalkan airport Soekarno-Hatta,
cairan manik-kecil mulai membentuk aliran.
Ketika aku tinggalkan airport Soekarno-Hatta,
aliran itu kini berubah melimpahkan banjir.
Ah, ini bukan lagi Broga yang kirim banjir
di Jakarta.


Nahar Rashid
23hb. Disember; 2010,
International Airport Soekarno-Hatta,
Jakarta.

dinbatubara

Wednesday, January 5, 2011

Biar Khusrin 'macam cacing kepanasan' : Mohd Rashidi Hasan Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakahdaily.net

KERAJAAN Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat, dengan jelas mengambil sikap menolak pelantikan Dato' Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru.

Khusrin ditolak kerana, sejak menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, beliau memang sengaja mencari pasal untuk menyusahkan PAS, KeADILan dan DAP, dengan pelbagai alasan.

Alasan yang sering disebut-sebut beliau, khususnya dalam soal agama di Selangor, ialah inilah 'titah tuanku' (titah Sultan Selangor). Terlalu banyak larangan yang beliau nyatakan, sama ada secara kenyataan atau bertulis.

Sama ada betul atau tidak ianya titah Sultan, memang susah hendak disahkan. Sama ada ia rasional atau tidak, itu Khusrin tidak peduli asalkan 'hasrat beliau' tercapai.

Sebagai rekod untuk memudahkan pemahaman pembaca Khusrin sebelum ini adalah bekas Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar, Tan Sri Mohamad Mohd Taib.

Jika latar belakang sudah menjadi SU
Sulit MB dari Umno, dan berdasarkan banyak tindakannya dalam Jais menindas PAS khususnya, bermakna, Khusrin adalah spesies Umno tegar.

Sebab itu Khusrin tidak peduli soal Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menerimanya sebagai SUK, kerana tuannya adalah Kerajaan Pusat Umno-BN.

Justeru pelantikannya ke jawatan SUK, tidak dapat ditolak, ianya adalah bermotifkan, bertujuan politik untuk kepentingan Umno-BN.

Maka Pakatan Rakyat yang ditunjangi tiga parti PAS, KeADILan dan DAP, tidak ada pilihan lain. Mereka mesti bekerjasama sepenuhnya bagi menyekat balaci Umno ini dalam kerajaan.

Berdasarkan 'track record', Khusrin bukan sahaja menjadi alat, malah menjadi 'key player' Umno-BN untuk merosakkan imej Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat.

Soal beliau lompat jawatan dari gred Jusa C, terus naik ke Jusa A dengan mengetepikan penjawat gred Jusa B, biar pegawai kerajaan sendiri menilai ketidakadilan yang dilakukan.

Jelas, kenaikan pangkat secara mendadak Khusrin, dibuat semata-mata untuk kepentingan politik Umno-BN.

Amalan ini bukan baru, dalam soal institusi kehakiman misalnya, banyak hakim-hakim junior dinaiktaraf secara mendadak, akibat kedangkalan politik pemimpin Umno-BN.

Justeru, dalam soal Khusrin ini, biarpun beratus kali beliau menafikan menjadi alat Umno-BN, tetapi jelas pada tindakannya semasa menjadi Pengarah Jais, semuanya dibuat mengikut kehendak politik Umno.

Namun, beberapa persoalan besar sudah terungkai selepas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadap Sultan Selangor.

Di mana Sultan dilaporkan bertitah, bahawa baginda tidak ada kuasa menerima atau menolak pelantikan seseorang ke jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, kerana kuasa baginda sudah dicabut dalam pindaan Perlembagaan 1993.

Seolah-olahnya ia berbentuk keluhan Sultan, betapa di dalam negeri di bawah naungannya, kuasa baginda terbatas. Keterbatasan itu wujud, akibat kerakusan pemimpin Umno-BN juga.

Oleh itu kenyataan awal Dato' Munir Bani sebelum ini, bahawa Sultan sudah memperkenankan pelantikan Khusrin, ternyata tidak berasas sama sekali.

Ianya mengundang persepsi dan menguatkan hujah bahawa, wujudnya tangan-tangan ghaib dalang Umno-BN, yang membuat onar, semata-mata untuk mensabotaj Pakatan Rakyat.

Persoalan besar yang tercetus berikutan pertemuan MB dengan Sultan ialah, hari ini rakyat Selangor baru tahu, betapa rakusnya ketamakan kuasa Umno-BN, sehingga habis kuasa Sultan dicabut.

Sehingga dalam isu pelantikan SUK ini, berdasarkan pindaan Perlembagaan 1993, bermakna Sultan harus menerima siapa sahaja yang dilantik. Dalam ertikata lain, Sultan terpaksa akur dengan telunjuk Umno.

Hebatnya kuasa Umno sehingga mengatasi kuasa Sultan! Ini baru dalam satu perkara, entah berapa banyak lagi yang rakyat tidak ketahui, betapa besarnya kuasa Umno-BN.

Rakyat sebenarnya tidak sedar, dengan Pindaan Perlembagaan 1993, kuasa sebenar, ada kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Besar.

Terma yang digunakan dari sudut perundangan agak lunak. Iaitu, Yang di-Pertuan Agong atau Sultan hendaklah bertindak 'di atas nasihat' PM atau MB. Walhal, hakikat sebenarnya dari sudut Perlembagaan, sama ada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan berkenaan atau tidak, ianya tetap akan menjadi peraturan dan ketetapan.

Semua ini berlaku kerana kehendak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Presiden Umno ketika itu, melalui ketetapan Perhimpunan Agung Umno tahun 1993, seterusnya dibawa ke Parlimen.

Oleh kerana itu tiada sebab orang-orang Umno hendak 'memekik melolong' dengan pekikan 'Daulat Tuanku', sedangkan pemimpin mereka, parti mereka yang mereka sokong, mencabut habis kekebalan Raja-Raja Melayu.

Tiada sebab untuk media talibarut Umno-BN untuk menuduh pemimpin Pakatan Rakyat tidak menghormati Raja, sedangkan mereka juga yang 'menelanjangkan kehormatan' Raja-Raja Melayu.

Tidak ada sebab juga pada waktu ini, Umno dan media talibarut, memberikan sepenuh sokongan kepada Khusrin, kononnya mendapat perkenan Raja, kononnya begitu marah terhadap golongan yang tidak menghormati Raja.

Malah mereka sering memainkan agenda ketuanan Melayu, agenda kedaulatan Raja, juga mereka kononnya parti yang mendaulatkan agama Islam di Malaysia.

Umno-BN merosakkan ketuanan Melayu dengan pelbagai dasar rasuah, kronisme dan nepotisme selama lebih 50 tahun, sehingga bilangan kependudukan Melayu menyusut, membiarkan ramai Melayu miskin. Kini mahu mendakwa mereka juara mempertahan hak istimewa Melayu?

Mereka sebenarnya yang 'menelanjangkan' kuasa Raja-Raja Melayu, kini cuba bermain wayang bahawa merekalah 'hulubalang' yang mempertahankan Raja. 

Umno-BN sebenarnya yang menghalang perkembangan Islam dalam negara, menempelak dan menghina peraturan Islam di Kelantan dan Terengganu (semasa PAS memerintah), mempergunakan orang seperti Khusrin untuk menyekat pemimpin PAS menyampaikan kuliah di surau dan masjid. Kini mereka hendak mendakwa mereka mempertahankan kesucian Islam?

Si bodoh mana hendak percaya lawak semacam ini? Si bodoh mana yang hendak mempercayai kesucian dan keikhlasan pemimpin Umno dalam soal masa depan orang Melayu, soal kedaulatan Raja dan pemartaban agama Islam?

Ingat pesanan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, jika semua keikhlasan ini wujud dalam hati pemimpin Umno, sudah lama PAS dibubar, tidak perlu wujud PAS.

Berbalik kepada soal krisis di Selangor. Pakatan Rakyat mahu Umno-BN berkompromi dalam isu pelantikan SUK. Jangan lantik Khusrin, biar satu panel pemilihan dibuat secara bebas. Tetapi nampaknya Umno-BN berkeras.

Oleh kerana itu Pakatan Rakyat tiada pilihan lain selain meminda Perlembagaan Negeri. Usaha Pakatan Rakyat untuk memanggil sidang khas untuk mengembalikan kuasa pelantikan SUK kepada Sultan dan MB harus disokong semua rakyat.

Pindaan tersebut sudah tentunya akan memerlukan sokongan dua pertiga dari anggota Dewan Undangan Negeri Selangor.

Oleh kerana Pakatan Rakyat tidak mempunyai dua pertiga daripada 56 kerusi Dun Selangor, maka usaha pindaan ini harus mendapat sokongan Adun Umno-BN jika hendak diluluskan.

Maka sekarang ini, rakyat Selangor ternanti-nanti, apakah Adun Umno-BN akan menyokong usaha mengembalikan kuasa Sultan Selangor.

Dalam hal ini Umno-BN Selangor sendiri yang akan tersepit, jika mereka menentang pindaan, bermakna mereka menghina Sultan, jika mereka menyokong, ia bertentangan dengan kehendak Umno-BN Pusat.

Jelas, keengganan Umno-BN menghormati kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim, mempertahankan Khusrin dan keengganan mereka berkompromi, merupakan suatu 'back-fire' kepada mereka.

Jangan sesiapa pedulikan Khusrin di pejabat SUK, dia memang jenis 'muka tebal'. Biar dia macam 'cacing kepanasan', biar dia macam 'kupang tembaga', biarpun dia terus tersengih macam 'kerang busuk', Khusrin tidak harus ada tempat dalam kerajaan negeri.

sumber : Harakah Daily; 5hb Jan. 2011