Friday, August 26, 2011

resepi & cara-kerja membuat lemang (lemangsedap) stail dinRawang

(untuk segantang pulut).
Bahan-bahan :
beras pulut : 1 gantang (3kg. 600gm),
santan kelapa 5 biji (1.25kg)
daun pandan 5/6 helai
garam 5 sudu teh
gula 3 sudu teh
buluh lemang 9 btg x 2 kaki x 2 inci (garis pusat)
daun pisang (yang baik ialah daun pisang awak/pisang hutan)

Persiapan tempat pembakaran :

Keperluan biasa ialah :
1. Tumang dan lelo tempat nyandokan batang lemang (daghi batang paip pili);
2. Kayu api. Kayu yang baik ialah dari dahan rambutan, pelepah nyo, kelotok/ketih nyo atau kayu getah yang sudah dibelah-belah. Elakkan daghi ngunekan batang kayu sebeso pehe - batang yang beso tak 'ngidup api.'
3. Beberapa ketul batu bata (disusun di bawah lelo) - tempat meletakkan batang lemang semasa pembakaran

Caghe-caghe ngikat tumang kome udah belajo mase pengakap dulu, dak. Bahanapi yang disebutkan itu adalah bagi memastikan api yang cukup sepanjang koje membako. Ini kaedah buat lemang DinRawang - mako lemang tidak pakei baghe. DinRawang mako lemang pakei api beso, sebab itu awak muat lemang (kalu segantang; sejam setengah saje).

Batu-bate disusun di bawah sebagai tapak meletak batang-batang lemang untuk menjamin begheh di bahagian ponggong buluh same masak dengan bahagian ateh. Paneh batu-bate menulung bahagian bawah tu masak same. Kalu letakkan saje ateh tanah - santan yang membuak mase ngelegak akan jatuh melejeh ke tanah menyebabkan tanah jadi sejuk - tidak membantu pulut di bahagian bawah dalam buluh itu masak.

Keperluan khas buluh untuk nyenangkan mako : Ghueh buluh dikeghat ngunekan gegaji. Elakkan motong ghueh buluh tu dengan paghang. Kesan potong pakei gegaji akan memudahkan kite ngalih-alih buluh mase proses memasak berjalan. Mun kalu potong pakei pisau - ponggung buluh yang bebucu-bucu nyusahkan mengalih-alih buluh mase makonye – nak kene sendei-sendei pulak.

Persiapan beras :
1. Begheh pulut di tuang ke dalam talam - tengok kut kekalu ada batu ke pasyo ke, taik bubuk, taikm tikuih/lipeh, pocer tali guni atau ape-ape le.
2. Begheh pulut dibasuh cuci-cuci. Basuh sampei ayo basuhan jadi nin untuk nak buang semua habuk, bau hapak hingge yang tecium ialah bau wangi begheh pulut.
3. Ghendam begheh pulut selama 4 atau 5 jam
4. Toskan; yang baiknye ialah hingge begheh bedeghai bile di genggam (ini untuk memudahkan mengisi nye ke dalam buluh nanti).

Persiapan buluh :
1. Potong daun pisang agak-agak panjang satu inci melebihi dari kepanjangan buluh. Lebo daun hendak le jike digulung dalam buluh, akan becantum ke due-due ujungnye.
2. Buat penyepit - Potong pelepah pisang sepanjang 6 atau 8 inci melebihi kepanjangan buluh dan belah dengan tidak putus.
3. Daun di gulung-masukkan ke dalam ghuaeh buluh dengan ngunekan penyepit.

Cara-cara membuat lemang:
1. Caghik-caghikkan daun pandan; didihkan dan sejukkan. Gunekan air daun pandan ini sebagai pencairan untuk santan. Jadikan isipadu santan dengan ayo pandan kepada 1 gantang (menjadikan rasyo beras pulut dengan santan ialah 1 : 1 (istilah dalam makmalnya one in one). (Daun pandan akan mengnyah bau pulut – lemang akan berbau wangi dan nampak mengelit bile dipotong).

2. Campurkan gagham dan gule. Kucei sampei sebati. Kalo koghang masin bulih tambah gagham. Bau santan yang memangnye sudah wangi (berbau pandan) akan bertambah wangi dengan lemaknye bile dicampo gagham dan gule.

3. Intu api di tempat nak mako lemang. Biokan die idup maghak.

4. Tuangkan santan agak-agak satu pertiga ghueh buluh. Masukkan begheh pulut; dalam setengah ghueh dan jolok-jolokkan dengan ngunekan sebelah pelepah pisang (yang jadi penyepit tadi) – dalam 3 @ 4 kali jolok (sampei teghase kemeh sikit pulut dalam ghueh buluh. Jangan di entak buluh tu. Tengok ke dalam buluh. Tambahkan beghas hingge dalam 4 inci ghendah daghi muncong buluh. Tuangkan lagi santan sehingge tinggi santan daghi muke begheh dalam due ghueh jaghi (2 inci)- cicahkan jaghi antu ke dalam buluh; untuk meghase had mane muke begheh beghade.

5. Susun/sandokan buluh-buluh yang sudah beghisi begheh dan santan di lelo – bahagian yang ngadap api (untuk senang paham) saya gelokan dade. Yang bahagian belakang tu, kite sebut belakang. Kite namekan juge sebelah kighi dan kanan itu sebagai ghosok kighi dan ghosok kanan. Jaghak buluh dengan api ialah dalam sekaki setengah.

Sekaghang kite beghade di tempat mako lemang.

Peghengkat petame api akan melayukan batang buluh. Tandanye ialah apabile batang buluh yang bedepan dengan api mole betuko jadi warne keputihan dan sege buluh (moncong buluh)mole ngeluokan buih.

Tunggu lagi hingge negelegak. Bile udah nampak santan betui-betui ngelegak; alih (pusin) ghueh buluh – dade ke belakang; belakang pulak jadi dade (bahagian belakang pulak ke depan bagi kene api).

Tunggu sampei ngelegak; macam peghengkat awei tadi; tapi ngelegaknye udah koghang sikit sebab udah ade bahagiannye di dalam ghueh udah kembang.

Bau lemangnye udah mole keluo. Seteghusnya alih pulak bahagian ghosok kighi ke depan dan ghosok kanan kemudiannye. Maknenye tige kali alih sahaje. Pulut udah mole sampei ke moncung buluh. Masak.

Tande masak ialah bile begheh di moncong buluh sudah jadi pulut. Hentak dua tiga kali dan sandokan ke sebelah (jauh daghi api) dan tolakkan baghe ke bawah ponggong lemang – untuk masakkan saki baki beghas yang belum masak di bahagian itu. Alih-alihkan. Siap.

PERHATIAN :
Tunggu lemang hingge masak. Jangan biokan saje api bekoje mako lemang itu; kite kulu keyo muat bende lain. Jage api. Api beso tak ngape. Maksud beso tu idak le sampei beso macam oghang meghun bawah pokok nyo. Sebab itu dicadangkan pakai dahan dan pelepah nyo untuk sentiasa api itu hidup. Api sentiasa hidup kite bulih nengok tahap pembakaghan – buluh layu, ngelegak dan masak.

SOALAN KUIZ :
1. Ngapa bubuh gule ? Jawaban : Saya tetap berpendapat santan nyo yang tue amat perlu untuk ghase lemang yang lemak dan sedap. Tapi nyo tue memang sudah tak berasa manis lagi. Lalu gule di campokan sikit untuk mengembalikan ghase manihnye santan nyo tue tu.

2. Ape sebab intu api sebelum proses masuk beghas dalam buluh. Jawaban : Untuk ngelak daghi santan dalam buluh naik ngelapung kateh (santan lebih ghengan daghi ayo – dibiokan lame sikit dia akan susup-sasap naik kateh. Untuk ngelakkan ini cepat-cepat letak tepi api. Koje ngintu api pun bukan senang – ngambik mase baghu dia maghak; dalam pade itu santan akan naik kateh.

3. Ngape masukkan santan dulu kemdian bagu begheh ? Jawapannye ; Untuk ngelak daghi begheh jadi penapih yang menyebabkan yang sampei ke bawah ghueh buluh tidak 100% santan. Partikal-partikal santan akan tersangkut pada biji-biji begheh di bahagian ateh. Gabungan faktor 1 dan 2 akan menyebabkan lemang berkepale tebal.

4. Ngape tak bulih di hentak semase kemasukan begheh ke dalam buluh ? Jawabannye : Untuk menyediekan ghuang yang longgo bagi begheh kembang. Kalu dihentak; begheh akan padat. Lemang akani muntah (Lemang muntah bukan sebab dek buluhnye kene langkah).

Ate, ape nak buat kalu muntah juge (mane le tahu kut tekemeh juge isi begheh dalam buluh) ? Caghenye; dengan ngunekan pisau golok ke beletong ke; tebak sikit bahagian bawah ghueh buluh – udaghe yang tepeghangkap akan keluo ngikut tempat yag ditebak. Hentak dan hentak. Yang tejulo nak muntah itu akan masuk balik.

5. Ngape begheh pulut kene ghendam empat atau lime jam ? Jawabannya : Begeh pulut mempunyai tekstur yang ghapat. Untuk melonggokan teksturnye; itu yang kene ghendam lame, tu. Kalu tak dighendam begitu menyebabkan juge lemang muntah (jumlah biji beghas dalam ghueh berlebihan). Dan tak sempat masak santan sudah keghin disedut oleh begheh. Lemang akan same ade mantah, kegheh bekeghak atau lemang jadi sedikit bedeghei.

Ini resepi lemang DinRawang. Penambah baikan daghi kaedah klasik kite – yang semate-mate begheh pulut, santan dan gagham). Kate oghang sekaghang ni kaizen ?; ape ke.

Harge pekej modul ini ialah RM450 tapi untuk grop Lambo awak bagi pecome. He he he. Belum ade hakcipta. Moh kite buat lemang macam ini bagi opah, ayahco, yong, angah kite makan lemang kite ni, ape kate deme

dinrawang @ dinbatubara

Wednesday, August 17, 2011

Surau kampung aku (versi asal); untuk ADILA di Medan, Klasik Nasional - tersiar pada 16 Ogos 2011

Tak tahulah, siapa yang bagi namanya al Ja’iziah. Bila didirikan ? Tidak pula ayah sempat bertanya kepada arwah tok kamu. Tapi rasanya, di zaman Sultan Perak, tahun-tahun awal 1900. Waktu itu; Cina sudah ramai; mereka jadi boroh lombong di Lembah Kinta dan Hilir Perak. Di antara mereka, ialah tukang yang mahir dari di Guan Xiao, Cina. Merekalah agaknya yang menukang surau itu. Kamu perhatikan kerawang pada jenang tingkapnya itu – ukiran berbentuk jometri. Itu bentuk ketukangan istana lama Maharaja Cina. Kamu tengok susunan papan dindingnya, yang dipasang menegak.

Dulu surau itu di baruh sana – tepi sungai. Sungai sebagai jalan perhubungan ke Teluk Intan – masa itu disebut Teluk Anson. Dan Bagi ayah, surau itu menjadi ikon kepada kampung di pedalaman, ni. Pedalamanlah, tuhh !! Tak ada jalan raya. Elektrik jauh sekali.

Depan surau itu, ada kawasan lapang yang mengunjur ke sungai. Hari minggu atau cuti sekolah; kanak-kanak dan belia bermain guli, gasing pangkah dan polis sentri di situ. Puas bermain mereka terjun ke dalam sungai. Dari jauh sebuah bot sedang mudik. Bot dari Teluk Anson bawa barang dan penumpang. Semakin dekat. Bot singgah sekejap, dan sambung perjalanan ke kampung hulu. Ada kalanya bot tidak singgah; hanya melintas di tengah sungai. Bot yang lalu akan menerbitkan ombak – tak sampai sekaki pun tingginya; namun budak-budak yang sedang mandi, bersorak-seronok berbalas-lambai dengan penumpang di dalam bot sambil menggayakan aksi tenggelam-timbul, seolah dipukul ombak besar. Malamnya mereka bersongkok pesuk kusam dan berkain pelekat – berlatih rebana dan berzanji di bawah surau.

Bulan Rejab; setiap malam Khamis; Ustaz Majid datang membaca kitab Israk dan Mi’raj; dari lepas solat Maghrib hingga pukul sembilan – cerita Nabi Muhammad s.a.w. diperjalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin, dan naik ke langit; berjumpa Tuhan di Sidratul Muntaha. Nabi naik Buraq. Nabi ditemani Malaikat Jibra’il. Nabi berjumpa Nabi Idris, jumpa Nabi Zakaria, Nabi Isa. Nabi melihat macam-macam iktibar di sepanjang perjalanan. Nabi turun dan membawa perintah Allah; suruh kita sembahyang lima waktu sehari semalam. Perjalanan lapan jam, Nabi tiba semula di Mekah sebelum Subuh. Selalunya, belum pun sampai separuh cerita, ayah sudah tertidur di kaki dinding. Tok tak marah. Minggu depan begitu juga. Tok kamu tak marah.

Habis mengaji dan solat Isya, semua jamaah pulang. Mereka menyalakan suluh. Ada suluh dibuat daripada daun kelapa tua yang diikat sepanjang pelepah. Ada diperbuat daripada getah sekerap yang dililit di hujung kayu. Ada juga yang menjinjing pelita yang di letak dalam kotak zink. Bila suluh dibakar, terang-benderang jalan dari depan surau; semakin sayup dan sirna di hujung lorong atau selekoh.

Lampu gaselin di tengah surau dipadamkan. Arwah tok kamu kejutkan ayah yang terjelepuk di bucu dinding. Tok julang ayah di atas belakangnya. Ayah terkapuk lena semula di atas gendongan tok kamu.

Surau itu dipindahkan ke tapak sekarang ini pada tahun 1969. Orang kampung bermesyuarat – dah tak sesuai surau itu di sana; kata mereka. Rancangan Luar Bandar – enam tahun selepas merdeka; pada tahun 1963 jalan bertar dibina, menghubungkan kampung kita dengan pekan Parit, Kampung Gajah, terus ke Teluk Intan. Paip air sebesar batang durian yang ditanam di tepi sepanjang jalan itu menyalirkan air bersih, menggantikan paip sebesar lengan yang dipasang Orang Putih sebelum merdeka. Peranan sungai bagi kelengkapan hidup seharian sudah berkurangan.

Ayah menongkah remaja bersama usia dewasa surau itu. Tapi, sudah tidak ada anak muda bermain gasing pangkah dan guli. Tak ada lagi tingkah rebana di malam Jumaat. Mereka yang dulunya memenuhi dataran depan surau di tepi sungai, sudah menjejak ke usia muda atau berumah-tangga. Ekonomi pula meleset – harga getah dua puluh lima sen sekati, sedang harga gula enam puluh lima sen sekati. Kehidupan sukar. Seorang demi seorang mereka berpindah; jadi boroh Tanah Rancangan FELDA di Trolak, Sungkai dan Pahang. Mulai berkuranglah anak muda di kampung kita.

Pembukaan Estet Padi di Seberang Perak. Berhijrah pulalah keluarga muda beranak satu atau dua ke sana. Menyusut lagi isi kampung kita. Dan semakin pendek saf sembahyang di surau kita.

Tinggal ayah dan beberapa orang rakan; sementara menamatkan pengajian sekolah menengah; dan tinggalkan juga kampung kemudiannya. Sementara itu kami belajar fardhu ’ain, berzanji dan marhaban dari atok kamu. Ayah laungkan azan bila masuk waktu Maghrib dan Isya;’ dan sesekali Subuh. Ahli jamah tua surau gemar benar menyuruh ayah azan. Suara ayah sedap ? Entah. ”Apa pasal macam bunyi ayam baru belajar berkokok” kata opah kamu, mengusik. Gemuruh, menyebabkan nafas pendek dan tercekik. Lama kelamaan ayah sudah boleh kontrol nafas dan melagu. Tapi, tentulah tidak selunak suara Jamal Abdillah; atau kalau pada ketika itu, Ahmad Jais atau Ismail Haron.

Malam Ramadhan kami bertadarus al Quran. Kalau berbetulan bulan puasa itu dengan cuti penggal sekolah; kami tidur di surau. Kami pukul kerantung jam empat pagi; kejutkan warga kampung bangun sahur. Seorang pegang alu pukul di sebelah kanan. Seorang pukul sebelah kiri; menyelang. Seorang lagi menjolok, menikam-nikam batang penyapu di celah alor kerantung. Ini memberikan bunyi tengkah dan selang yang mengasyikkan.

Ada satu malam tu, kami ketuk kerantung pukul dua setengah pagi. Sedang asyik; kami ternampak kelibat allahyarham encik Din tergocoh-gocoh datang, sambil mengomel. Rumah dia dalam dua rantai sahaja dari surau. Encik Din terkenal dengan wajah garang dan mulut bengisnya. Sebaik dia menjejak kaki di lapik tangga, kami padamkan lampu gasolin; dan terjun-lari ikut tingkap di anjung surau, sambil terkekeh-kekeh menahan ketawa. Takut. Siang esoknya kami dimarahi ayah masing-masing. Tapi, malamnya kami baca quran lagi. Kami tidur tidur di surau lagi. Kami pukul kerantung sahur lagi jam empat pagi.

Pak Yop Jatin mati, Tok ki Jidi,Tokcu Amat mati. Tokcik Cat kamu, juga mati. Mereka semua antara yang memimpin tahlil arwah, solat dan tarawih; menggantikan arwah tok kamu, bila sesekali tok uzur. Mereka menimba ilmu dari arwah tok kamu. Tok kamu pernah mengaji di Pondok Tuan Hj Mohd Salleh Masri, Tanah Liat, Bukit Mertajam sebelum Perang Jepun. Allah takdirkan mereka semua mati sebelum arwah tok kamu. Bila tok kamu pula meninggal dunia selepas itu; habis. Surau kita menjadi sepi.

Adakah sesiapa anak-anak ayah yang boleh menyambung semula legasi tok kamu dengan surau kampung kita ?

dinbatubara
(Memenangi hadiah pelancungan ke Sarawak tajaan Honey Vacation Travel & Tours Sdn Bhd)

Sunday, August 7, 2011

Tamam yang kukenal (meninggal dunia pada 6hb. Ogos; 2011/ 5 Ramadhan 1432H)

Allahyarham Tamam - kalau tak silap tua 2 tahun dari saya. Zaman kanak-kanaknya; Tamam adalah watak tipikal budak kampung - buat jebak dua pintu dan empat pintu untuk menjebak pipit (masa itu padi sekali setahun). Jebak dibuat dari batang mempiang berdinding jerejak lidi kelapa. Pipit uban, pipit tuntung masuk. Sesekali yang masuk ialah tempua dan pipit tuli. Dia kenal pipit yang boleh dibuat pemikat. Kawan-kawan yang gila menjebak - Tamam jual denak bersuara bagus dengan harga 20sen atau 30sen seekor kepada mereka.

Dia mengikut bapanya pergi menembak pelanduk, landak di hutan sebelah darat kampung. Dan ramai kami tahu Tamam cekap menembak.

Bulan puasa Tamam buat meriam buluh. Kami seronok memerhatikan Tamam yang cekap menggunakan golok dan belitongnya memangkas buluh aur - membuang sega, menerjah batang besi ke dalam buluh menebuk ruas, menarah muncung dan buntut buluh serta menebuk lubang tempat mencucuh api. Buluh sebesar paha kanak-kanak sepanjang tiga ruas segera siap menjadi meriam.

Tamam buat batang meriam dari batang paip air. Dia palam buntut batang paip dengan simen. Bunyi letupan meriam sedikit berbeza.

Tamam menyirat jala - membaiki bahagian jala yang koyak atau menyudahkan siratan jala bapanya; pasang batu ladung. Suatu ketika dia buat batu ladung sendiri - cairkan timah dan masuk ke dalam cetak. Entah macam mana sedikit percikan air menyebabkan timah cair meletup kecil dan bunga api melompat menyentuh bahagian kecil dahi beliau.

Bekerja di Petaling Jaya. Namun ada percubaan meneruskan hobi sebagai anak kampung; tetapi dalam bentuk moden dan bina-usahawan - dia pulang ke kampung; beli bot enjin sangkut, berulang alik ke sebuah pulau di tengah Sungai Perak - kira-kira 200 meter dari rumah allahyaarham. Di situ dia membina reban memelihara ayam/itek - untuk komersial. Banjir yang sudah lama tidak berlaku, entah bagaimana terjadi pula tahun itu. Reban bersama ayam itiknya di hanyutkan air.

Sebulan sebelum tiba puasa kali ini; saya balik ke kampung. Singgah makan tengahari di kedai milik adiknya; Latifah, di pekan Bota Kanan. Bertanya kepada anak saudaranya (anak Latifah) fasal Tamam - yang waktu itu sudah bekerja di Taiping. Saya diberitahu dia baharu pencen dan menetap sementara itu di sana.

Dan, kini Tamam sudah kembali ke rahmatullah. Alfatihah

dinbatubara

tribute untuk Kak Tak (meninggal pada 6hb. Ogos; 2011)

Allahyarham Kak Tak hantar anak-anaknya ke rumah kami- mintak emak kami (allahyarham Zainon Hj Yeop Majelis) ajarkan al quran. Nik (yang meninggal lama sebelum ini) Yus dan Yah;. Tak ingat pula Zam ngaji dengan mak kami ke tidak. Hari pertama Kak Tak serah mengaji anaknye, die pegang kepala Yah dan cakap : "Tulong le wan Non ajokan anak keme. Pukuikan kalau deme degei." Budak-budak itu mengaji dengan arwah mak kami sampai khatam. Alfatihah untuk Kak Tak.

dinbatubara