Tuesday, November 22, 2011

Pekasam Peghak

Bahan-bahan:
Ikan darat/ikan sungai seperti temakang/kepo, perit, tilapia, lome, kaloi
Asam limau/asam jawe
Gagham
Nasi dingin/sejuk
Balang kace/pasu

Caghe-caghe membuat Pekasam Peghak:
1. Siang ikan - buang kepalenye.
2. Bersihkan ikan.
3. Limaukan ikan ngunekan asam (limau nipis atau asam jawe) dan bilas.
4. Gaoi ikan dengan gagham halus (Lebihkan sikit gagham tak ape).
5. Susun ikan dalam balang kace selapih selapih. Litup setiap selapih dengan nasi dingin.
6. Tutup kedap balang (supaye udaghe daghi luo jangan bulih masuk & pastinye juge supaye semase
proses penapaian atau bile ikan udah jadi pekasam; baunye idak lepeh keluo ... he he he).

Catitan :
1. Secaghe tradisionalnye, oghang tetue idak ngunekan gagham haluih. Deme ngunekan gagham kaso.
Gagham kaso di tabo ateh nasi pade setiap leyer – selapih selapih.
2. Tak beghape elok ngunakan balang pelastik; dibimbangi tindak-balas kimia menghakis lapisan
plastik.
3. Selepeh 5 aghi, biasenya pekasam udah bulih dimasak. Bulih digoren begitu sehaje.
4. Pekasam yang disimpan lame dalam balang nyebabkan semue tulang ikan jadi lembut dan hanco –
jadi jus bile dimasak.Masak ghendang santan(sampei keghin)sedap bebeno dicolek dengan jeghin tanam.
5. Awok baghu nengo ceghite, Shakespeare mati sebab makan pekasam. Awok belum sempat mencaghi faktanye.

dinbatubara

Tuesday, November 15, 2011

Sajak - Mengapa Pembangkang Pilih Jalan Tolol Untuk Menang (sempena Pilihan raya Kecil DUN Ijok, Parlimen Kuala Selangor)

Keadilan kalah dalam pilihan raya kecil Ijok baru-baru ini.
Analisa mendapati;
rasuah, tipu dan hantu berkeliaran
mengundi
Pun PKR mendakwa berjaya pertingkatkan sokongan
khususnya dalam kalangan orang-orang Cina.

Hakikatnya
PKR dan Barisan Rakyat gagal
gagal dan gagal lagi mengatasi
helah dan honar BN.
Gagal mencetus amarah umum terhadap pencemaran dan penodaan demokrasi.

Salah-guna kuasa
penipuan
ketidak-cekapan pengurusan pemerintah tidak dapat dihapus
selagi rakyat tidak peduli malah
sanggup menanggung rasa tidak apa-apa.

Pihak berkuasa akan terus memperalat suruhanjaya dan segala jabatan;
sentimen perkauman akan terus dibangkitkan, kebenaran akan terus digelapkan, dipesong
menerusi penggunaan media yang tidak adil dan tidak beretika,
Kekerasan digunakan untuk menakut para pengundi,
Ah, saratnya kejahatan
semua guna untuk menang pilihan raya.

Ini akan berterusan tahun demi tahun
Ini akan berterusan pilihanraya demi pilihanraya.

Suatu petang seorang teman datang bertandang ngajak bersembang, katanya
jalan yang dipilih pembangkang untuk membela rakyat adalah tidak tepat malahan tolol dan dungu.
Dalam suasana pemerintah yang tidak telus dan ammoral,
rakyat pula tidak punya kesedaran dan sangat sulit melihat kebenaran
– seringnya melihat kesalahan sebagai benar, membiarkan diri di manipulasi akrobator politik;
cara yang terbaik ialah
biarkan saja mereka menderita,
biarkan saja merreka terjerut dan
mampus.

Bila mereka sudah tidak tertahan lagi
umpamanya kerana terpaksa menangggung beban tol (lol) lebuh raya
mereka sendiri akan bangun.
Itu pun untuk yang ada tol (lol) di kawasan masing-masing.
Yang tak ada tol (lol) belum akan sedar dari di apa-apa.

Jadi, perlu apa kalian bermati-matian di Ijok;
meletihkan badan menghadapi kemungkinan dicaci-maki peribadi oleh BN,
dipukul dan dicederakan rakyat Ijok sendiri
yang sudah kena beli.

Khalid Ibrahim sepatutnya lebih aman buat wang berjuta-juta
dengan mengurus syarikat pengurusan asset dan dana, menjana keuntungan untuk selesa diri sendiri dan keluarga.
Kendati mengapa dia membenarkan diri difitnah Najib Razak dan dipukul oleh pekerja dan penduduk Estet Tuan Mee
dalam Ladang Ghutree
yang dia sendiri antara yang membangun-membelinya dari konglomerat luar negara.

Hei,
tunggu saja sampai rakyat jahanam dan lingkup di bawah kolong rejim Umno ini.
Tunggu saja mereka sendiri yang akan bangun meruntuh singgahsana pemerintah ini.
Lebih teruk penderitaan
maka akan lebih ganaslah mereka nanti.
Jadi biarkan saja mereka menderita dan mati.
Mereka sendiri yang akan menjatuhkan
sang penindas.
Nanti mereka tidak akan memukul lagi
Nanti mereka tidak akan menghalang-halang anda lagi masuk ke estet atau kampong.
Nanti mereka sendiri yang akan mencari saudara;
akan memohon petunjuk saudara,
akan memohon pimpinan saudara,

Saya tidak akan berkata benar jika saya katakan bahawa fikiran saya tidak terusik dan tidur malam saya tidak terganggu oleh kata-kata kesat dan terus-terang teman saya itu.


Nahar Rashid;
Mei, 2007;
Adaptasi dari tulisan Rustam Sani – Harakahdaily; 8hb. Mei, 2007

Friday, November 11, 2011

tablo - Kuala Kubu Bharu

Aku orang kota. Kali pertama sampai ke sini. Pekan ini kelihatan masih vergin – bagai tak terusik. Membelakangkan Banjaran Titiwangsa membiru. Jalan masuk yang sopan berliku. Pepohon tembesu di tubir Bukit Kerajaan antaranya ada yang sudah renggeh, pengenalan bahawa bangsa kolonial pernah sampai ke sini. Petang hari minggunya – jalannya yang lapang, pekannya lengang. Inilah Kuala Kubu.

Masuk sahaja ke pekan ini, aku dipesan; “Lupakan dulu tanda tarikh pada bumbung deretan kedai Hakka di Jalan Mat Kilau,Jalan Abdul Hamid atau Jalan Bowen. Di sini, di sana, di mana-mana kami tidak berasa pentingkan tanda itu. Tanda-tanda itu bukan kami. Namun kami tetap tahu; kamilah – kita yang terawal di sini.” katanya. Pesan itu lagi; seperti di Pulai Pinang, sejarah Orang Putih kata; Francis Light yang buka. Sedangkan sah-sah ketika itu Orang Melayu sudah berketurunan di situ. Sultan Kedah sudah berkerajaan di situ. Kami tahu. Kuala Lumpur sejarah Orang Putih sebut ianya dibuka Yap Ah Loy; ketika mana daerah itu sah-sah dibawah milik Sultan Puasa dan Raja Laut. Itu pun kami tahu.

Hakikatnya ini tanah leluhur nenek moyang; pesan itu mengumam. Lalu aku menyampuk; ah demi 1 Malaysia kata Pak Menteri Perdana; kawan-kawan, saudara-saudara, sepupu-sepapat, pakcik-makcik, abang-adik, datuk-nenek; lupakan saja soal tanah warisan nenek moyang. 1 Malaysia, rakyat didahulukan – Orang Melayu, Orang Cina, Orang India sudah jadi satu; pencapaian diutamakan. Dan orang Melayu memang tetap seperti dulu-dulu. Orang Melayu sudah capai apa ?

Kuala Kubu Lama – kira-kira 3 kilometer di sebelah sana; dipertemuan Sungai Kubu dan Sungai Rening di Lembah Sungai Selangor. Orang Melayu di sana dan di sini sudah hampir 200 tahun lamanya. Berbagai cerita dan peristiwa. Banyak. Orang Melayu melanda bijih. Orang Melayu jadi tokeh, orang Melayu jadi boroh; jadi tuan dan atau memilih tuan sendiri. Dari belum berkerajaan kepada berkerajaan dan atau berperang menuntut kerajaan.

Ini Kuala Kubu. Kami warganya dari suku Mandailing dan Kerinci dan Rawo dan Minang dan Bangkulu dan Bugis. Kami pendatang. Iya; betul. Betul benar. Tapi pendatangnya kami dari suatu daerah sama – Kepulauan Melayu. Pernah dengar The Malay Archepilago. Di mana-mana ceruk-rantau kepulauan itu; kamilah di situ. Tak kisahlah. Cuma nak bagi tahu, sejarah mencatat begitu. Sejarah jangan dibagi mati. kalau sejarah mati, politik akan ikut mati.

Dan sekarang apa bangsa dan suku pun kita semua sudah jadi satu. Satu warga. Angkara siapa. Asal bahagia.

Ini Kuala Kubu Bharu. Ada kisah perang dan damai. Kisah kalah dan menang. Kisah Raja Mahadi; penguasa kawasan yang tidak puas hati kerana ayahanda tidak diangkat menjadi Sultan selepas kemangkatan Padukan Raja. Tunangnya, Raja Arfah dirampas kerana tidak bayar cukai kepada istana. Pecah perang antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin; anak Kedah yang datang menyemenda.

Pengikut Raja Mahadi dibantu Syed Masyhor membina kubu. Itu mulanya perkataan Kubu. Iya; ini Kuala Kubu – kisah anak raja dan pembesar Melayu. Kisah bersulam dendam, iri-hati, ketidak-adilan, adu-domba dan perebutan kawasan. Inilah cerita Melayu. Bangsaku dari dulu hingga sekarang.

Agaknya bangsa Melayu ini sememangnya dari baka yang senang bergaduh, berparang. Kata orang, memang Melayu punyai tendensi suka beramok. Dua ribu orang Melayu Hulu Selangor di bawah Raja Mahadi berarak menentang Engku Din dari Rawang. Engku Din dibantu pula oleh ribuan pengikut Tok Gajah dari Pahang menyerang hendap dari belakang. Dan datanglah pula ‘Orang Lain’ dari Ulu Yam dan Ulu Kerling menawar kongsi menyebelahi antara ke dua – Ghee Hin dan Haisan yang mahu berbuat jasa juga. Kerja siapakah ini. Kalau bukan angkara orang besar-besar atau anak-anak raja.

Berperang. Berperang. Dan perang. Akibatnya empangan yang merentangi Sungai Kubu – yang diperbuat daripada ceracakan kayu dengan pematang tanah dan pasir sepanjang 1.6km dan lebarnya 91.4 meter tidak terselia. Hujan musim tengkujuh pada 29.10.1883 yang amat lebat telah memokah empangan. Pecah. Bah pun melimpah.menenggelamkan kampung dengan selut setebal 30 meter. Bukan kerana amukan jembalang buaya putih yang amarah kerana ditembak. Di situlah Kampung Empang Pecah .

Ini Kuala Kubu Bharu. Si Inggeris bernama Cecil Ranking pernah jadi Pegawai Daerah; sekaligus Majestrit di sini. Beliau mengawal kepentingan koloni; mati dalam tragedi empang pecah. Sebelah tangannya sahaja yang ditemui dan ditanam di bawah pokok di tepi jalan di hadapan Masjid Ar Rahimah; dan telah dipindah di depan Rumah Rehat Kerajaan. Ada yang kata si Inggeris itu sendiri meletupkan empangan; guna menghalau orang Melayu tempatan ke hutan supaya mereka mengaut kekayaan. Bom buatan sendiri menghancur diri.

Ini Kuala Kubu Bharu. Ada kisah Si Inggeris Pesuruhjaya Tinggi di Tanah Melayu. Sir Hendry Gurney namanya. Beliau bekas Ketua Setiausaha Pentadbiran Inggeris di Palestina; mati di tembak bendit di pertengahan jalan ke Bukit Fraser pada 7.10.1951. Maaf, kerana kematiannya tidak perlu terlalu aku kenang kerana kekejamannya merampas Palestina untuk Yahudi – itu bumi saudara-Islamku.

Ini Kuala Kubu Bharu. Sosok yang paling lama aku kenal ialah Saudara Azizan Nordin. Dulu dia buka TASKI – Taman Asuhan Kanak-Kanak. Beliau menggaji guru, ajar anak-anak akhlak dan mukadam. Bawa bas sekolah angkut kanak-kanak. Kenal dengan ramai polis di sini. Rumah beliau pernah jadi markaz pilihanraya parti kami. Azizan anak Melayu KKB jati. Sekarang sudah jadi Tok Pati.

Aku kenal Fauzi – anak Kedah mengutip rezeki dilempar tuhan di sini. Sekarang taukeh ayam di Pasar KKB. Mula berhenti tentera jual cendol dan laksa di bawah pokok jati depan masjid ar-Rahimah. Mungkinkah 50 tahun lagi atau 100 tahun akan datang akan ada nama Fauzi di salah satu jalan atau lorong di sini.

Aku kenal Pak Aji Shaari – siak masjid ar-Rahimah; sudah lebih 20 tahun masih melerang apam balik di Pasar KKB.

Aku kenal Pak Aji Rostam – jual roti canai dan nasi lemak di Pasar KKB. Anak perempuannya yang cantik itu; yang sedari kecil membantu menghidang tetamu kini sudah bersuami.

Sebelum pamit, kutitip sejambak puisi untukmu Kuala Kubu Bharu.

dan malam pun kian cair di pagidingin menyahut tarhim dari menara masjid ar-Rahimah. Mengimbau-sayup takbir bulansabit menyurut bersahutan tahmid kabus menuruni Bukit Fraser bugar; menyusup mengelus rinduku yang berhimpun di Subuh Suci.

Salam sejahtera beburungpagi. Ini aku musafirlelah bermukim di pedalamanmu. Ini kubawa salam dari wargakota yang resah di hutanbatu angkuh yang kerinduan ini taman-megahmu yang tak terjajah.

Aninbasah mendesah dan singgah di belkoni mesra tertipmenyapa. Tuhan, Kau buka pintu-Mu berikan laluan desis akliku menemui tafsir di Sungai Kubu. Di sini ada cerita segala; tentang empang pecah dan raja dan pembesar dan Melayu dan penjajah semuanya membentuk sejarah.

naharrashid
Rawang 13hb. Feb.; 2010


dinbatubara

Thursday, November 10, 2011

Tribute - mengenang 32 tahun (10.11.1979 - 2011) kepergian almarhum Tok (Hj Yeop Majelis)

Daghi jauh arwah encik (emak keme) udah tau itu tok. Arwah encik cam beno bunyi honda tok. Entah macam mane, entah - caghe tok mawak honda (muleh minyak ?) dan stendet lajunye, nyebabkan bunyi khas - itu bunyi honda tok. Arwah encik memang kenei beno leh, itu tok.

Tak lama, ade oghang balik daghi kedei (Teluk Saghih) melinteh depan ghomah keme - dan ngabokan : "Tuan aji Yop Menjelih dah kulu; ngelebang je eko sobannye." katanye. "Ye.. ye .. terime kasih le !!" saut encik. Sebenonye encik pun udah nampak mase tok kulu tadi - mencuat aje eko sobannya menonyoh-nonyoh, mukoi muke opah cik yang tebonok di belakang tok. Ate ghomeh keme tu dengan jalan batu misahkannye, ban dengan due petak bendang je - dekat beno. Nampak keghete sape, moto ke, beh ke kulu keyo.

Lewat petang aghi tu sampei le Pak Hin ke, Pak Min atau Pak Hon bebasikei kelyo; magi tau : "Mak Acik ade dulu (di hulu)." katanye.

Mun kalu tak petang itu, pagi esoknye; encik akan kulu. Encik akan tido dengan opah cik di bilik (seghambi) belah kighi ghomah Lambo, tu. Lepeh Maghrib sambil nunggu Isya, Opah Cik dengan encik beceghite ngok-ngik, ngok-ngik anak beghanak.

dinbatubara

Wednesday, November 9, 2011

Bingkisan dari Sarawak (versi asal) untuk ADILA, Klasik Nasional (tersiar pada 9hb. Nov.; 2011)

Sarawak Bumi Kenyalang. Kenyalang ialah spesis burung yang hanya terdapat di Kepulauan Borneo; khususnya di Sarawak. Burung Kenyalang adalah lambang ketuhanan yang menjadi wakil Dewa Perang; dewa yang paling berkuasa dalam kehidupan masyarakat Dayak. Hari ini lambang burung kenyalang ialah topografik hutan hujan tropika dengan sungai, jurang dan jeram; khazanah hutan tersimpan; gua dan pantai – semuanya manjadi satu, membentuk budaya warisan anak watan dan sumber ekonomi negeri Sarawak

Sarawak juga dikenali sebagai Bumi Yang Memiliki Banyak Sungai. Memang, sebaik diumumkan pesawat akan mendarat; sudah mulai kelihatan alur-alur sungai yang membelah-bahagi bumi Sarawak – hilang dan muncul kembali di celah-celah hutan tebal dan lereng perbukitan.

Lama sebelum itu, Sarawak dikenali sebagai The Land of The Head Hunter (Bumi Pemburu Kepala) – identifikasi daripada keberanian, kemenangan dan ritual kaum Dayak. Tanda kemenangan dalam sesuatu pertarungan ialah yang kalah, kepalanya dipotong dan otaknya menjadi habuan makanan ketua kumpulan yang menang.

Dan sekarang Bumi Kenyalanglah pengenalan - menceritakan Sarawak yang sudah mengalami transformasi. Sudah tidak ada peristiwa penggal kepala.

Luas Sarawak ialah 124,450km.persegi; hampir sebesar Tanah Semenanjung. Terbahagi kepada 11 Bahagian Pentadbiran Daerah. Jumlah penduduknya 2.4juta orang; dengan taburan kira-kira 30 kumpulan etnik. Iban merupakan suku terbesar; diikuti kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan etnik yang lain. Berbilang kaum memperlihatkan pula kepelbagaian adat resam.

Lawatan 3 hari 2 malam tidak cukup untuk melihat dan menyelami cara-hidup dan adat resam sekian sukuan. Bagaimanapun di Kucing; kita boleh menyingkap album geo-budaya bumi Sarawak seluruhnya. Di sini Pusat Pentadbiran Negeri, pusat komersial dan pusat himpunan budaya. Bangunan lama sejak zaman British masih banyak yang dikekalkan, bercelahan bangunan baru yang tinggi-tinggi; yang mengremajakan kembali Bandaraya Kucing – pintu masuk ke Sarawak.

Di sini letaknya Muzium Sarawak yang menempatkan fosil, artifak dari laut dan perut bumi serta hutan Sarawak. Di tingkat atas, dalam sebuah rumah Iban anda dapat melihat tengkorak manusia bergantungan menjadi hiasan dinding atau seolah-olah gantungan lampu cendeliar di bawah bumbung.

Kampung Budaya Sarawak terletak di kaki Gunung Santubung – 32km dari Pusat Bandar. Melintas sahaja Sungai Sarawak; sudah kellihatan Gunung Santubung; yang menjadi metos dalam cerita rakyat Sarawak yang popular itu. Di sini terdapat binaan sebenar rumah suku kaum terbesar. Anda dapat melihat dan berintraksi - bertanyakan aktiviti harian mereka. Di pentas teaterit; dihidangkan tarian kebudayaan, gambaran kehidupan rakyat peribumi.

Menyusuri jalan-rayanya yang bersih di Riverfront anda boleh membeli-belah pelbagai cenderamata kraf-Sarawak seperti anyaman manik, tenunan, hasil seni-pahat dan poselin. Atau anda menyeberangi Sungai Sarawak dengan bot-tambang 50sen, membeli kek batik Sarawak dan terubuk masin di Kampung Gersik.

Pun, setibanya anda di Perkampungan Melayu ini, pada kira-kira 100 meter di sebelah kiri; di situ Fort Margherita – istana di tebing Sungai Sarawak yang didirikan oleh Rajah Brooks pada tahun 1878 sebagai hadiah perkahwinan kepada isteri tercinta; Margheret Alice Lili de Windt. Ini, istana dengan kubu dan menara tinjau, yang menjadi benteng pertahanan Brooks menantang kemaraan lanun dari muara. Ini monumen menjadi tanda Orang Putih pernah jadi tuan tanah di sini.

dinbatubara