Tuesday, June 21, 2011

abah - untuk ADILA, Klasik Nasional (tarikh siaran : 21hb. Jun; 2011; memenangi hadiah sempena Hari Bapa)

Abah jarang tinggalkan kampung. Ada beberapa kali sahaja. Sekali tu, abah ikut kursus imam di Masjid Negeri – dua hari abah tidur di Ipoh. Ketika ada arwah emak; dua kali sahaja abah ikut aku Kuala Lumpur. Itu pun; kerana sebab yang bagi abah patut – kenduri kahwin sepupu aku. Habis kenduri abah minta dihantar balik. Kalau saja-saja; payah abah hendak ikut kami. Lima orang anak abah; semua di Kuala Lumpur. Arwah emak mahu juga ikut kami – bila emak ke Kuala Lumpur; abah sendiri di kampung. Selepas emak meninggal, abah langsung tak mahu ikut kami.

Abah bukan ada ayam-itik, kambing-kerbau yang perlu dijaga. Tak ada. Tapi abah risau; bimbang; dengan ketiadaannya, jika berlaku kematian, orang kampung susah; terpaksa panggil imam kampung sebelah untuk uruskan orang mati.

Abah diminta datang ke hulu; di ajak turun ke hilir. Lepas Subuh, sebelum Asar abah sudah tiba; ziarah orang sedang nazak, ajarkan asy-hadu. Abah mandikan orang mati, sembahyangkan orang mati, Abah baca talkin. Abah diminta bacakan doa tahlil-arwah. Abah jadi ketua membaca dikir dan marhaban kala ada kenduri kahwin.

Dan paling abah bimbang ialah tak ada orang yang akan jadi imam di surau. Allah takdirkan; anak-anak murid abah – abang Jidi, Cu Amat, Pak Cik Cat, Abang Asin – mereka yang menggantikan abah kala keuzurannya; semuanya mati dahulu.

Iya, itu bukan pertama kali abah meninggalkan kampung. Tapi kepergian abah kali ini berlainan benar. Abah sakit. Abah memang ada gout. Tapi tak bangun abah dari katil, aku lihat bukan kerana goutnya. Sakit abah kali ini lain benar. Abah demam. Tapi aku rasa abah bukan demam biasa. Abah batuk. Sempitnya salur kerongkong abah memberikan lantunan bunyi dan dengus yang lain.

Aku pujuk abah . Aku beritahu emak (emak tiri kami; yang dikahwini ayah selepas sepuluh tahun emak meninggal) : ”Sudah puas dengan air penawar, golek telur atas perut, bahu dan belakang; baling bawang dan hirisan limau; biar aku bawa abah berubat di Kuala Lumpur.”

Petang itu, anak-buah abah; suku-sakat datang. Air mata bergenang di kelopak masing-masing, besalaman; mengucapkan selamat jalan kepada abah; tika abah dipimpin masuk ke kereta.

Abah disahkan kanser paru-paru. Nama medikalnya; adino kasinoma – cantik nama itu. Tapi itulah yang bakal merenggut hayat abah.

Suatu pagi yang cerah, tenang dan dingin; petugas wad baru selesai mengemas dan mencuci. Doktor mula memeriksa pesakit dari katil ke katil. Salur-tiub yang menyambung salur-darah di lengan abah ke botol tergantung, sudah ditanggal. Dengan sebak aku beritahukan jangka-hidup abah; seperti yang diberitahu doktor. Abah mendengar dan mengangguk tenang. Aku yakin abah sendiri sudah melihat sibuk kelibat malaikat-maut singgah bersimpuh datang pergi dan datang lagi di katil abah. Abah akan pergi bila-bila masa. Doktor beri abah cuti seminggu dan masuk wad semula selepas itu. Abah mengusulkan pulang ke kampung. Abah tidak mahu masuk wad kembali.

Ah, ingatanku; jauh, jauh mengimbau kepada abah. Tahun-tahun selepas aku berumahtangga, aku bawa anak-anak dan isteri pulang ke kampung, saban dua atau seminggu sekali. Biar sekejap. Dapat makan tengahari bersama abah – cuma makan tengahari, dan kembali ke KL selepas itu; aku merasa cukup puas; hingga aku tahu benar sakit-pening abah.

Bila abah diserang kanser; dan hayat abah cuma ada kira-kira tiga minggu seperti kata doktor; aku kenderai kereta setiap hari antara KL-Parit. Menjelang Isya aku sudah terpacul di kampung dan seawal tujuh pagi aku sudah bercokoh semula di KL untuk bekerja.

Aku mahu memberikan khidmat semahunya untuk abah kerana dialah satu-satunya; segala-galanya. Hayat abah habis di ribaanku. Abah pergi pada usia 83 tahun. Memang terasa amat kehilangannya. Namun aku puas meladeni abah; mencium tangannya – baik semasa sihat, sakit dan; saban berpisah, seraya memohon doanya akan keselamatan dan kesihatan aku dan anak- isteri. Semoga tidak ada tindak-laku aku dan isteri yang cela pada pandangan abah. Semoga aku sudah berbuat yang terbaik untuk abah. Dan surau kampung kami lepas itu menjadi sepi.

Dinbatubara, Rawang, Selangor

Friday, June 10, 2011

Mengenal-pasti Dato' Maharaja Lela - Daeng Selili & Pandak Lam

Mungkinkah yang dimaksudkan Dato’ Maharaja Lela dalam kontek legasi Orang Besar-Besar Lambor pada zaman Kesultanan Melayu Perak/Lambor ini, nama batang-tubuhnya ialah Daeng Selili; iaitu seorang anak Raja Bugis dari Luwuk, Sulawasi. Daeng Selili dilantik menjadi Mufti oleh Sultan Muzaffar Shah III (Sultan Perak ke 13; 1728 – 1756) atas jasanya menawan perompak-perompak di Pulau Sembilan, pada tahun 1743, Atas jasanya itu beliau di anugerahkan Orang Besar bergelar Maharaja Lela Tan Ela Putera Pancong Tak Bertanya.

Justeru catatan sejarah menyebutkan Sultan Muzaffar Shah III (nama sebenar Beginda ialah Raja Inu) bersemayam di Brahman Putera (Bota Kanan). Pada tahun 1742 – 1743; telah berlaku rebutan kuasa dengan adindanya Raja Bisnu; iaitu Raja Muda yang bersemayam di Pulau Tiga. Raja Muda mendapat sokongan kuat dari Daeng Chelak, Yam Tuan Riau. Raja Muda diangkat menjadi Sultan bergelar Sultan Muhammad Shah dan bersemayam di Pulau Tiga. Sementara Sultan Muzaffar Shah III terpaksa berundur dan bersemayam di Sayong (dalam daerah Kuala Kangsar). Pada masa ini Negeri Perak diperintah oleh dua Sultan. Akhirnya Sultan Muzaffar Shah III telah balik semula ke takhtanya di Brahman Indera secara muafakat dan adindanya menjadi Raja Muda semula.

Manakala Dato’ Maharaja Lela dalam peristiwa Pembunuhan JWW Birch (1875) ialah Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam. Saya mencongak jarak antara Sultan Muzaffar Shah ke III (Sultan Perak ke 13; 1728-1756) itu dengan Raja Abdullah (Tragedi Birch, 1875) adalah 131 tahun. Mungkin – orang dulu-dulu mempunyai jangka hayat yang panjang hingga 100 tahun lebih. Tapi semasa kedatangan Daeng Selili (Maharaja Lela Tan Ela Putera Pancung Tak Bertanya) ke Perak/ Lambor (mengalahkan pemberontakan di Pulau Sembilan dan diangkat menjadi Mufti, agak-agak umur beliau adalah sekitar awal 20an. Katakan umur beliau 20 tahun (pada tahun 1743) > (1875)/ 1875 – 1743 = 132 thn + 20thn (umur ketika baru mula sampa ke Lambor); bermakna umur Maharaja Lela ketika peristiwa Pembunuhan Birch ialah 152 tahun.

Mungkinkah pada usia itu Dato Maharaja Lela yang satu itu begitu perkasa. Atau Maharaja Lela peristiwa Birch itu Maharaja Lela II; iaitu Pandak Lam yang sudah jadi orang Kampung Gajah. Perlu diingat Raja Abdullah (1874 - 1876; Sultan Perak ke 26) dalam Peristiwa Pembunuhan Birch, 1875 bersemayam di Bagan Datoh.

Bagaimana pun tetaplah, gelaran/anuegarah Datok Maharaja Lela itu telah dimulai dari kerabat Maharajalela dari Lambor. Walahuaklam.

dinbatubara

Sunday, June 5, 2011

Percakapan Dengan Seorang Teman

Sdr Ma'in; terime kasih ingatan meke, tu. Tapi awak nak ngabo juge pade meke; awak sebenonye selalu balik kampung. Balik aghi pun, awak balik juge. Kekighe kalau due bulan, tak balik tu; dah lame meno, tu. Ade, le heinye tu. Idak le balik-balik begitu je, kemdian melongo kedei Kulop Ayo di Cangkat Melentang tu atau di kedei Mee di Teluk Saghih, ke. Idak. Ade projek teman. Tapi dalam setahun terahkir ini awak jaghang sikit balik - sebok bebeno Yop. Bagaimane pun sampei bulan lime tahun ini, udah empat kali awak balik; mayo hasil tanah, kak sepupu mati dan sebelum itu nengok buah doyan arwah apak. Dan yang last itu le minggu lepeh (kebetulan cuti sakit dapat due aghi - Selasa dgn Ghabu; aghi ke 2, tueh awak balik kampung - mencaghi kubo lame di Bando/Bando Tue, kubo Tok Sago, makam Sultan Muzaffar Shah I, Muzaffar Shah Ke II dan Muzafar Shah Ke III.

Awak sampei ke Lambo pukui 12.30tgh. Ambik Zohor dulu di Mesjid Lambo. Betanye pade soghang jemaah; di mane kubo Tok Sago di Pasyo Sene, tu. Kate die : "Belah eyo, tu; le. Kebaghuh daghi jalan Pasyo Sena, tu." Anak lambo !! nyawab macam tak cam, je. Die dah lame ninggeikan Lambo; katanye.

Mungkin sebab tengahaghi,agaknye; due kali awak musin jalan Pasyo Sene keluo ikut Jln Tn Hj Yeop Menjelih tengah bendang, tu; idak le awak jumpe soghang pun yang bulih awak tanye. Ade dua oghang budak mude; tapi deme bukan anak tempat itu - bemotosikal bawak pancing. Awak tanye, deme pun tak tau.

Tejumpe le soghang Yop tu (oghang Bagan Seghei kawin dengan oghang tempatan) die le mawak awak ke kawasan kubo Tok Sago. "Kemaghin ade signbord tepantak di sini; tapi udah bongkeh; dikghojekan dek budak pit;" kate die. Kume pun mole mencaghi. Leto Yop; lenjan pokok malik-alam, kemahang, lalang; kume lendat; sampei Yop tu besawab : "Hai tulung, le Tok; anak cucu datang nak ziarah, ni." Kate dalam ati awak; ai keghamat agaknye To Sago, ni. Lenjon peluh.

Tengah kume berehat ateh jalan tu, lalu soghang bemotosikal (menaghik treler); die menunjukkan dengan tangannye ke aghah due pokok doyan yang tinggi di belah eyo; "di sane," kate dia "Senang masuk ikut belah eyo, bawah kelapa sawit, nun, Jalannye ceghah" sambungnye.

Tibe-tibe hujan pulak tughun lebat meno. Tak dapat le awak nyambung mencaghi kubo itu. Awak bagi tahu dengan Yop yang neman mencaghi itu; lain kali le awak datang. InsyaAllah jumpe, le; tu. Lepeh makan tengahaghi di Bote (hujan lebat daghi Lambo mawak ke Cangkat Melentang - awak ajak Yop itu teghuih ke Bote; mencaghi makan tengahaghi/petang - 3.30ptg.) Lepeh nganto Yop tu balik ke Pasyo Sena, awak pun tueh ke Bando/ Bando Tue mengesan kubo lame di sane pulak.

Tak pukei ghase ati; awak balik kulu - pukui 6ptg. ensoghang awak masuk semole mencaghi kubo Tok Sago. Kali ini daghi belah eyo pulak.. Ghodok-ghadak keghete awak melanggo lecah-lopak dan batu-batu lombong di bawah pokok sawit. Di sini le agaknye; bisik ati awak. Tak jauh; dalam due gantei begitu le agaknye daghi jalan beso. Awak pun beghentikan keghete. Keluo aje keghete awak ghase bulu ghume udah meghemang. Bismillahirrahmanirrahim. Memang di sini le agaknye, ni.

Di sini, le tempatnye, ni. Awak menyesor aghah kulu. Bulu ghume di lengan, tengkuk semakin meghemang. Bile tenampak saje tembok benaan; ah jumpe dah, bisik ati. Kulit muke tambah kembang-jebah ghasenye. Awak teghuih dekat kepade binaan konkerit dalam tiga kaki tinggi; beso agak 12 kaki x 16 kaki yang melengkongi kubo Tok Sago. Ade dua kubo nampaknye dalam kawasan tembok konkerit, tu.

Awak di kubo Tok Sago dalam 10 minit. Lepeh itu awak ke Teluk Bakong, menjejak makam Sultan Muzaffar Shah Pertama di Teluk bakong Ulu. (Sepanjang perjalanan, mengingatkan Tok Sago, bulu ghome awak tak beghenti-ghenti meghemang). Dan dengan Makam Sltn Muzaffar ini; sepatutnye tak le susah mencaghinye; pasei awak ponah bebasika sampei ke situ tahun 69 dulu -ade jumpe. Tapi konpius pulak sekaghang - sighnbord pun dah tak ade.

Mase pun dah petang meno; awak teghuih ke Sedingke - Pasei nak cepat; dalam ati awak kate; nak jumpe, jumpe le; tidak pun tak ape. Lain kali, datang lagi. Tak le penting sangat ghasenye waktu itu nak singgah betanye oghang. Sipatkan bejalan je le di Sedingke kali ni - kampung tempat arwah tok ghosok awak; Tok Mat Jeraih (Pertama kali sampei ke kampung itu, ghasenye masa umo dalam lime atau enam tahun). Masuk ikut signbord Sedingke keluo di Kubang Candung.

Daghi situ awak teghui ke Bote, lame singgah di Makam Sultan Muzaffar Shah ke III; mengambil catatan. Singgah di Tmn Indera barat sekejab; ghomah Pak Hon ambk Maghrib/Isya (jama'); kemdian, balik ke Kuala Lumpo - tak sempat singgah di Teluk Sagheh.

Jadi cik Ma'in, itu le catetan perjalanan, teman

dinbatubara