Friday, December 9, 2011

Apa Makna audit Negara - Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Generasi awal Islam meneriman pendidikan Ilahi daripada Rasulullah S.A.W sepanjang hayatnya dalam semua aspek ibadah, cara hidup bermasyarakat dan berpolitik. la adalah amalan manusia yang dimasukkan dalam perhitungan baik dan jahat, adil dan zalim, seterusnya dihisab di hadapan Allah pada hari kiamat. Apabila seorang yang ditugaskan ke suatu wilayah, pulang membawa hasil pungutan harta zakat dan cukai, lalu menyerahkannya kepada Rasulullah S.A.W dengan menyatakan, "Ini semua adalah tugas saya memungutnya dan ini pula diberi hadiah kepada saya", dengan murka Rasulullah S.A.W bersabda, "Adakah sekiranya kamu berada di rumah ibu dan bapa kamu tanpa menjalankan tugas ini, maka hadiah ini diberi juga kepada kamu?"

Kemudian Rasulullah S.A.W keluar ke masjid menyampaikan ucapan mengingatkan semua yang bertugas dalam urusan umat, supaya berwaspada menerima hadiah yang diberi kerana jawatan, kerana ada unsur rasuah yang menjadi harta dan rezeki haram, bukan kerana hadiah sebenar secara ikhlas.

Ketika Rasulullah S.A.W uzur sebelum wafatnya, dipapah ke masjid bagi menyampaikan amanat terakhir, antaranya Baginda menegaskan, "Sekiranya ada kalangan kamu yang aku jatuhkan maruahnya sila datang dan lakukan hukuman terhadapku, sekiranya ada yang aku ambil hartanya sila nyatakan supaya aku menggantinya".

Apabila Islam mendapat kemenangan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al Khattab R.A, beliau berjaya menumbangkan dua kuasa besar yang kaya dan zalim iaitu Rom dan Parsi, maka banyaklah harta peninggalan dua kerajaan yang paling kaya itu menjadi milik negara. Lebihan daripada harta yang dibahagikan mengikut keperluan penduduk daerah yang wajib diberi dengan adil, dibawa ke Madinah, pusat kerajaan Islam pada masa itu, supaya dibahagikan kepada pihak yang lain pula antaranya kain untuk pakaian, yang dikira harta sangat bernilai padazaman itu. Kain yang banyak diagihkan kepada penduduk Madinah.

Setelah beberapa hari, Umar keluar ke masjid dengan pakaian baru lalu menyampaikan ucapan, "Dengar dan taatlah!". Baru sahaja beliau menyampaikan mukadimah, tiba-tiba seorang di kalangan yang hadir menyampuk, "Kami tidak mahu".

Khalifah Umar bertanya, "Mengapa?". Orang itu menjawab, "Daripada mana kain diambil untuk baju yang kamu pakai ini? Kerana mengikut setiap orang yang mendapat bahagian kain semalam, tidak cukup untuk baju yang besar seperti kamu?" (Umar berbadan besar dan tinggi).

Lalu Umar meminta anaknya Abdullah memberi penjelasan. Abdullah menjawab, "Saya berikan kain bahagian saya bagi mencukupkan baju yang ayah saya pakai".

Khalifah Umar diaudit oleh seorang rakyat biasa, bukan Ketua Audit Negara kerana sehelai baju yang dipakai dan diragukan mengambil secebis kain yang diambil secara tidak jujur dalam pembahagian harta, yang boleh dibahagi dan Khalifah juga berhak mendapat bahagiannya.

Apabila seorang raja menghadiahkan kalung perhiasan berharga kepada isteri Khalifah Umar al Khattab R.A (Ummu Kalthum binti Ali bin Abi Tolib), Umar terus meminta isterinya menyerahkannya kepada Baitu al Mal (Perbendaharaan Nagara). Begitu juga Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada zaman kerajaan Amawiyah meminta isterinya (Fatimah binti Abdul Malik bin Marwan) supaya menyerahkan permata berharga yang dihadiahkan oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan (ayahandanya) ketika perkahwinannya, sebelum Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah. Hadiah itu dikembalikan kepada Baitul Mal kerana Umar bin Abdul Aziz menganggapnya ia boleh menyalah-gunakan harta negara

Inilah contoh generasi awal yang menjadikan kedudukan mereka dalam kepimpinan adalah amanah, bukan sahaja amanah daripada rakyat malah lebih besar daripada itu ialah amanah daripada Allah, yang diisytiharkan sejak mencipta manusia pertama Nabi Adam A.S, bapa kepada seluruh manusia, bahawa memerintah negara adalah amanah paling besar disenaraikan selepas beribadah kepada Allah.

Apa yang berlaku menunjukkan Islam mendahului demokrasi Barat; memberi hak kepada rakyat dan wakil rakyat (bahkan semua pihak) dalam negara melakukan muhasabah terhadap kerajaan dan pemimpin di semua peringkat. Dalam negara demokrasi moden diambil amalan ini, apabila dilantik Audit Negara, audit bebas, dalam dan luar dengan telus melakukan muhasabah, tidak cukup dengan Jabatan Audit Negara.

Parlimen dan media boleh mendedahkan segala penyelewengan harta rakyat dan negara seluruhnya. Rakyat pula diberi hak yang sama dan menjadi hakim melalui pilihan raya yang adil, bebas dan bermoral sehingga rakyat boleh menghukum dengan menjatuhkan pemimpin itu melalui pilihan raya setelah mendengar hujah pemimpin dan rakyat, tanpa apa-apa tekanan, ugutan dan sogokan. Bahkan ada pemimpin yang berundur sebelum pilihan raya kerana menjaga maruah diri dan mendedahkan diri untuk disiasat walaupun yakin tidak bersalah.

Di negara Malaysia yang tercinta ini, setiap tahun kita membaca Laporan Audit Negara yang telah menjalankan tugas dengan terperinci dalam laporannya. Di samping tersurat, ada juga dikatakan tersirat dengan banyaknya, tersebarnya berita cincin berjuta harganya dan berbagai-bagai cerita habuan kemewahan dan pembelian kemewahan, menggunakan kedudukan dan pangkat. Semuanya tidak ada penjelasan seperti anak Khalifah Umar yang boleh dijawab dan didengar oleh rakyat, atau tindakan berani Khalifah sendiri terhadap diri dan keluarganya. Tidak juga seperti di negara yang benar-benar menghayati deraokrasi.

Keadaan ini berlaku kerana Laporan Audit Negara sekadar dibentang tanpa apa-apa tindakan selepasnya, laporan media kalau ada hanya sekadar bacaan cerita tanpa susulan atau menjadihikayat yang menarik dibaca untuk hiburan. Rakyat tidak mampu menjadi hakim yang adil kerana badan kehakiman rakyat melalui pilihan raya tidak mampu mengendalikan urusan pilihan raya yang adil, walaupun dibekalkan dengan teknologi maklumat yang dikatakan paling canggih daripada negara maju dan ekonominya tidak terjejas dengan ribut taufan yang melanda ekonomi dunia.

Seolah-olah Malaysia tidak berada di alam dunia yang bulat berpusing. Media di sini kaya dengan laporan maklumat sebelah pihak dan terlalu bakhil untuk melaporkan golongan yang mengkritik kerajaan BN yang memerintah, ada pula kesalahan yang dilindungi undang-undang kerahsiaan, walaupun menjadi penyakit yang membarah. Seterusnya Laporan Audit Negara hanya menjadi bacaan, adapun yang tersirat semuanya menjadi cerita yang tidak berkesudahan. Sehingga orang yang dahulu mati dan yang masih muda dimakan usia.

Setelah cerita yang terdahulu diletak dalam lipatan sejarah hitam negara tanpa pemutihannya, timbul pula cerita baru, bantuan tidak sampai kepada sasaran setelah stadium runtuh, jambatan rebah, kuda lumba harga terlalu mahal dan sebahagiannya tidak dapat berlumba, bilik komputer runtuh, komputer terlalu mahal, beli senjata hanya untuk tayangan hari kemerdekaan tetapi tidak mampu mempertahankan negara dan banyak lagi yang tidak tersenarai dan cerita kebocoran harta negara yang disimpan menjadi rahsia dan tidak muncul di alam nyata.

Semua perkara berlaku begitu rupa kerana memperkecilkan amanah dan tiada maruah diri. Pepatah menyebut, "Sekiranya tidak ada rasa malu, buatlah apa sahaja". Lebih malang bagi negara apabila kemungkaran berlaku, banyak orang menjadi syaitan bisu.

Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesiapa kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangan, sekiranya tidak mampu maka dengan lidah dan sekiranya tidak mampu hendaklah benci dalam hati, inilah selemah-lemah iman".

Laporan Ketua Audit Negara dan teguran terbuka adalah mencegah dengan lidah. Kebencian dalam hati adalah tidak menyokong lagi pemimpin yang dibejati mungkar. Kita menunggu tindakan undang-undang oleh mereka yang mencegah kemungkaran dengan tangan atau mereka juga tidak berkuasa kerana tangannya lesu, tiada pemisahan kuasa dalam sistem pemerintahan negara. Pentadbiran dan penguat-kuasaan bergerak mengikut kehendak tangan ghaib yang berada di belakang atau tangan terdedah digerakkan oleh jasad yang tidak ada rasa malu sedikit pun kerana tiada harga diri seorang manusia yang sebenar, tanpa maruah dan tanpa kepercayaan kepada adanya hari pembalasan, di kala mulut terkunci dan anggota yang tidak bermulut akan bercakap mendedahkan segala-galanya.

Akhirnya Rasulullah S.A.W memberi amaran, "Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan kamu mencegah kemungkaran, atau kamu diam sahaja, maka Allah timpakan bala bencana orang-orang yang jahat memerintah kamu dan doa orang-orang yang baik tidak diperkenankan oleh Allah".

Atau sudah berlaku laksana cerita penglipur lara yang mengisahkan cara mengalahkan seekor beruk garang dengan memberinya tiga biji telur, dua biji supaya dipegang oleh kedua-dua belah tangan, sebiji bagi diletakkan ke dalam mulut, menyebabkan beruk itu kaku tidak dapat bertindak kerana sayang melepaskan telur yang digenggam dan mulut juga tidak dibuka kerana menjaga telur yang dikemam.

Saturday, December 3, 2011

kerjasama politik - at tahaluf assiasi

Politik adalah tingkah-laku bagi mendapatkan keputusan. Ia boleh juga bermaksud proses atau cara menyelesaikan pertikaian atau gangguan yang mengancam moral kumpulan (seperti kerajaan, ahli kumpulan korporat, akademik, agama, dan institusi lain).

Tegasnya ia merupakan cara bagaimana (technical know how) manusia menyelaraskan tindakan demi kebaikan bersama (kumpulan) atau individu. Dalam politik terdapat banyak persoalan berdebat. Kendati, kerana politik berhubung rapat dengan konflik, maka kerap terjadinya ketegangan atau kekerasan.

Klimeksnya, memenangi suatu konflik politik bermaksud merampas kuasa dari satu kumpulan atau entiti dan memberikan kuasa pula kepada kumpulan lain. Ramai pemain politik bersetuju, konflik politik menyebabkan tiada yang dipelajari atau diselesaikan; melain menentukan "siapa menang, siapa tewas"

Lenin berkata politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa (Who could do what to whom ). Manakala ahli sains politik, Harold Lasswell pula berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how).

PAS tidaklah pandir sangat tentang politik. Makanya pengkritik atau pengamat politik PAS harus faham pula sains politik amalan PAS. Sebagaimana orang PAS amat memahami politik Umno yang mengamalkan liku politik (seperti yang disebut di atas) dan asuhan pragmatism serta tujuan menghalalkan cara (yang menjadi baju atau vitamin menghidupkan partinya); makanya, orang Umno juga mesti memahami bebarapa istilah fiqh seperti maqosid syariah, siasah syar’iyah dan at tahaluf assiasi yang menggerakkan kelangsungan parti Islam tersebut.

Atau barangkali orang Umno sendiri pun tak faham pragmatism dan tujuan menghalalkan cara yang menunjangi parti mereka. Tahukah Sdr (?) Azian atau ASani akan kedudukan Islam dalam perlembagaan parti mereka. Selidiklah apa dapatan penggubal perlembagaan parti anda terhadap peranan Umno dalam memertabatkan Agama Islam.

Gaya politik PAS - Mengapa kita bekerjasama dengan orang kafir. Dengan DAP. Lama dahulu PAS marah Umno bekerjasama dengan MCA, MIC - kerjasama dengan orang kafir. Iya, pernah suatu ketika tok guru kita baca ayat Quran yang maksudnya “Tak harus orang beriman, mengambil orang kafir jadi aulia, barangsiapa yang buat begitu dia bukan dari Allah sedikit pun” Kita harus sedar bila nabi hendak perintah Madinah, Baginda mengadakan tahaluf dengan Yahudi.

Nampak semacam ada pertentangan arahan Allah itu dengan praktik Nabi yang bertahaluf dengan Yahudi. Sebenarnya tidak bercanggah. Tidak. Ayat Allah itu menyebut menjadikan aulia (wali – ikutan, tempat meminta pandangan, tempat disandarkan harapan dan kehendak, pemimpin yang satu-satunya membuat keputusan). Tidak boleh sehingga menjadikan mereka begitu. Adapun tahaluf ialah bekerjasama atas urusan kepentingan bersama selagi tidak menjejaskan, merendahkan, menghina, merenggut jati diri Islam. Jika keadaan begitu terjadi attahaluf akan terhenti. Demikian suatu terminologi dalam sains politik Islam (disebut juga fiqh politik).

Kalau boleh diertikan; fiqh ialah technical know how (tahu bagaimana cara). Ulama-ulama PAS buat muzakarah dengan ulama-ulama dalam naegara dan luar negara yang berjuang Islam, bukan dengan ulama yang tak berjuang Islam (Rashid Ghenoushi di Tunisia melakukan tahaluf assiassi dengan parti sekular – yang cenderung kepada kehendak politik Islam berdepan dengan ‘Umno’ Tunisia).

Kita muzakarah; mengikut fiqh politik. Di sana ada beza antara wala’ dengan tahaluf. Oleh kerana kita hanhya mengaji fiqh sembahyang, fiqh puasa, fiqh zakat; dan kita tak mengaji fiqh politik. Dalam Islam ada fiqh politik. Ada fiqh jual beli. Kita berunding dengan rakan bukan Islam dimana masing-masing mempunyai kepercayaan agama masing-masing. Apa yag dibenarkan oleh agama bukan Islam kita tak boleh ganggu. Itu hak mereka – kebebasan beribadat kebebasan amalan harian yang di benarkan oleh agama mereka yang diharamkan oleh Islam kita tak boleh ganggu. Itu adalah hak mereka yang di jamin oleh hukum Islam.

Kerjasama wala’ ialah kita menjual dasar kita, tolak-ansur dalam prinsip kita, tolak-ansur dalam halal dan haram, merugikan orang Islam, merugikan kedudukan orang Islam. Ini diharamkan oleh Islam. Ini yang dibuat oleh Umno. Serahkan Singapura, lumpuh Melayu di Pulau Pinang (semasa dia berkuasa di Pulau Pinang), akhlak ummat hanyut, arak-judi bebas (pengeluaran lessen, pengilangan, keterlibatan orang Islam dalam proses pengedaran dll; dan ada kalanya kerana hendak raikan orang bukan Islam, orang Islam pun hingga boleh minum sama). Ini kerjasama yang menjahanamkan orang Islam.

Allah melarang kita berwala’ dengan makna memberi kesetiaan sehingga kita menjual harga diri Islam dan maruah kepada bukan Islam. Haram hukumnya. Bahawa kerjasama antara PAS dengan DAP (bukan Islam dan sebagainya) adalah kerjasama tahaluf. Manakala kerjasama Umno dengan MCA, MIC adalah kerjasama wala’ – wala’ dengan makna kita mengadakan hubungan dengan orang bukan Islam sehingga kira menjual maruah dan harga diri Islam kita.

Yang kedua kerjasama – bertahaluf . Alllah berfirman yang maksudnya : “Allah swt tidak melarang kamu mengadakan hubungan dengan orang bukan Islam yang tidak memerangi kamu dan tidak menghalau kamu dari tanah air kamu. Kamu berbuat baik kepada mereka. Berlaku adilah kepada mereka.” Kita wajib berdakwah kepada orang yang bukan Islam. Di antara metodologi dakwah ialah kita bertemu dengan mereka. Jika tidak bertemu dengan mereka, macam mana hendak berdakwah kepada mereka – untuk mengajak mereka masuk Islam. Jika mereka tak mahu masuk Islam, kita bagi tahu mereka duduk dengan masyarakat Islam. Tunjuk kepada mereka adab dan akhlak Islam.

Bukan baharu kali ini PAS bertahaluf dengan badan politik yang berbeda pandangan dengannya. PAS pernah bertahaluf dengan Umno hingga membentuk Kerajaan Campuran selepas Peristiwa 13 Mei. PAS bertahaluf lagi kemudiannya dengan CCC dan Semangat 46 (hingga memenangkan PAS di Kelantan, 1990). PAS bertahaluf kemudiannya dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat (memungkinkan dapat bersama menguasai Kedah, Selangor, Perak - sekejap dan dapat kekal di Kedlantan).

dinbatubara

Friday, December 2, 2011

Tuan sangatkah kita

Semua masih lagi diuji
Melayu Cina India masih meragui sesamanya.
BN sekian lama memain isu ini demi survival politik mereka.
Anwar Haji Hadi Lim Kit Siang wajib buat perisytiharan bersama.

Ada yang kata kita hapus saja Ketuanan Melayu. Kenapa ada ?
Ada pula yang menyanggah.
Derhaka !!
Derhaka ?
Khianat
Mereka mahu menghapus Ketuanan Melayu.

Tuan sangatkah kita
jika tanah-tanah milik Melayu habis dirembat diperdagang.
Tuan sangatkah kita
jika persint, persel, KLCC, ICCT, bajet dan lain-lain dan lain-lain sebagai ganti
nama Melayu yang dimasyhor.
Tuan sangatkah kita
jika bangga kahwin dengan minah saleh, mat bangle dan mat Indon.
Tuan sangatkah kita
bila tulisan jawi lupus oleh seorang menteri dari bangsa Melayuku .
Tuan sangatkah kita
bila anak bujang kita - anak dara kita
bebas bertogel siang malam.
Tuan sangatkah kita
bila anak Melayu bebas berdangdut meneguk arak.

Percayalah
mereka sang elit Melayuku ini tak pernah peduli.
Mereka cuma peduli tembolok mereka sahaja.
Yang kita ini cuma tempat dipijak
dihincit
lantaran menghalang tujuan
perut dan bawah perut.

dicatat semula oleh:
dinbatubara