Friday, June 28, 2013

Rahmat Allah Demikianlah rahmat Allah. Ia turun mengikut aturan dan ketetapan-Nya. Bahkan jumlah hujan yang turun di permukaan bumi juga telah ditetapkan Allah tanpa terkurang setitis dan tidak pula lebih setitis pun, melainkan kesemuanya berada di dalam hitungan ilmu Allah. . Firman Allah : . وَالَّذِي نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً بِقَدَرٍ فَأَنشَرْنَا بِهِ بَلْدَةً مَّيْتاًكَذَلِكَ تُخْرَجُونَ . Dan Dialah ( Allah ) Yang menurunkan hujan menurut sukatan yang tertentu, lalu Kami hidupkan Dengan hujan itu negeri yang kering tandus tanahnya. sedemikian itulah pula kamu akan dikeluarkan (hidup semula dari kubur). – Az-Zuhruf

Friday, June 21, 2013

Mengingati Ustaz Fadzil Mohd Noor

Ahad; 23hb. Jun 2002 (jam 10pg); Ust. Fadzil meninggal dunia. Aku baru dapat berita – sebaik line Maxis dapat di ekses berhampiran pekan Kuala Kubu Bharu; jam 5.30ptg. Hari itu sehari suntuk bersama program motivasi pelajar SK Rawang, di sebuah Kem dalam Hutan Simpan KKB. Bertalu-talu pesanan panggilan dan massege masuk ke peti maklumat. Aku hubungi rakan-kawan; tidak ada seorang pun yang menjawab. KKB ke Rawang; serasa mahu terbang aku ke HUKM.

Dapat menghubungi YDP Tn HJ Wahid – aku diberitahu jenazah sudah diterbangkan ke Alor Star. Aku pakat Hj Wahid ke Kedah malam itu juga. Tapi Hj Wahid mendapat maklumat Jalan Alor Star ke Darul Ulum (Pokok Sena) tempat Ust Fadzil akan disemadikan jem teruk – boleh celus hanya yang bermotorsikal. High way Utara Selatan; Ipoh - Alor Star juga sedang sesak - pukul berapa nantinya akan sampai, kata Hj Wahid.

Tak jadi ke Alor Star. Lepas solat Maghrib Hj Wahid dan aku singgah di sebuah warung di Batangkali. Aku mengimbau pengalaman sekejap aku dengan Ust Fadzil. Sesekali aku tidak dapat menahan sebak. Hj Wahid membiarkan aku bercerita semahunya.

Tidak banyak pengalaman aku dengan Ustaz. Aku hanya seorang pemimpin kecil di Kawasan. Apalah yang hendak aku bualkan jika sesekali bertemu dengan seorang pemimpin besar, tatkala peluang sekejab selepas ceramah atau bersalaman sambil lalu tatkala ada program di Markaz Tarbiah Taman Melewar atau tika-tika di akhir Muktamar Tahunan.

Aku mula tahu ustaz Fadzil semasa beliau jadi pensyarah di UTM, Jln Semarak (ketika itu Jalan Gurney), KL. Aku bekerja di Fakulti Perubatan, UKM, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur. Kami mengandalikan program kelas pengajian agama pada waktu rehat tengahari. Ramailah pensyarah dari UTM yang kami undang menyampaikan kuliah. Jarak UTM di Jalan Gurney dan Fakulti Perubatan UKM di Jalan Raja Muda dalam dua batu sahaja. Antara tenaga akademik UTM yang biasa kami undang ialah; Ust Abd Ghani Abd Rahman, Ust Ahmad Junid, Ust Bakar Usman, Ust Wahab Zakaria, Ust Osman Sabran, Ust Alias Othman. Dalam kalangan itu jugalah Ust Fadzil. Ustaz Fadzil pakai songkok hitam jenis yang boleh dilipat. Kami ambil ustaz dari UTM dan menghantarnya kembali ke UTM selepas habis ceramah.
Ustaz jadi Presiden PAS menggantikan Tuan Hj Yusof Rawa; kami pun berhenti dari mempelawa ustaz, kerana pada tanggapan kami Ustaz sudah terlalu sibuk.

Lama Ustaz tidak datang; hinggalah suatu hari aku diberitahu Ustaz ada appointment di Klinik Fakulti Perubatan, UKM – pemeriksaan mata di Klinik Oftalmologi (dengan Dr Muhaya) atau kerana pemeriksaan kencing manis di Klinik Diabetis (Endokrine; Prof Dr Khalid Abdul Kadir).

Suatu hari Dr Hatta Ramli (ketika itu sebagai pensyarah di Fakulti Perubatan, UKM) minta aku tengok-tengokkan Ustaz yang sedang berada di Klinik Endokrine (diabetis). Itulah mulanya. Makmal aku dengan Klinik Ustaz hanya bersebelahan.

Selepas itu, hampir setiap kali hadir Ustaz ke Fakulti Perubatan, aku temui Ustaz. Atau Ustaz datang cari aku di makmal - ajak minum teh di kefetaria. Bila Ustaz datang jumpa aku, maklumlah aku - pastilah Ustaz sudah diambil darah untuk ujian tahap kencing-manisnya.

Bersama-sama dengan Ustaz ialah Sdr Abd Latif; yang menjadi pemandunya. Kemudian, aku beritahu Latif - biar aku yang menghantar Ustaz balik ke pejabatnya (Pejabat Kecil PAS) di Jln Pahang Barat. Jln.Pahang Barat dengan FPUKM; Jln Raja Muda dekat benar. Kira-kira bersebelahan sahaja – dipisahkan oleh Jalan Pahang dan Bulatan Pekeliling (Bulatan Jalan Pahang).

Dapatlah aku selalu berjumpa Ustaz. Dapat duduk semeja dengan Ustaz sarapan pagi, duduk sebelah Ustaz dalam kereta tatkala menghantarnya balik.
Suatu pagi sambil sarapan aku beritahu Ustaz, tentang Almarhum Dato' Asri (bekas YDP Agong PAS) – yang meninggal dunia tidak lama sebelum itu. Dato' Asri menerima rawatan jantung, juga di Fakulti Perubatan, UKM. Aku sering hantar Dato' Asri balik ke rumahnya dekat Taman Tasik Titiwangsa selepas habis menerima rawatan. Aku bagitahukan komen Dato' Asri terhadap PAS; perihal PAS Kelantan tidak ada wang nak bayar gaji kakitangan perkhidmatan negeri – Dato’ Asri (Menteri Besar) pergi jumpa Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di pejabatnya di Bangunan Umno Lama dekat Pustaka Antara (sekarang sudah tidak ada). Sebaik Tunku medengar suara Daato’ Asri menanyakannya kepada Tan Siew Sin yang mejanya di tepi tangga pintu masuk di Tingkat Satu itu, Tunku usik Dato' Asri : "Di Parlimen PAS kata saya kappiak, tapi datang mai mintak pada saya. ... Sin (Tan Siew Sin - Menteri Kewangan) hang tanya pada Dato' , beghapa dia mahu ?" Ustaz begitu teruja mendengar fasal Dato' Asri : "Lagi, lagi, apa dia kata" tanya Ustaz Fadzil. Aku kata Dato' sayang kepada PAS. Sambil senyum bersahaja Ustaz menjawab : "Tapi masuk Umno." Aku ketawa kecil.

Aku beritahu Ustaz, seorang Ustaz muda yang sedang meningkat di KAGAT - orang Kedah yang aku panggil bagi ceramah di Fakulti Perubatan; kira-kira ini akan jadi pelapis PAS akan datang. "Siapa ?" tanya Ustaz. Aku maklumkan kepada Ustaz. "Oh, anak Pak Bahrom - rumah dia pernah jadi Markaz Besar PAS masa pilihanraya." Ustaz pun tak komen apa-apa tentang ustaz tersebut. Atau mungkin kerana aku tak panjangkan cerita fasal Ustaz muda ini.

Staff wanita yang biasa dengan aku beri komentar; perawakan Ustaz penuh kebapaan. Presiden PAS; nampak lemah-lembut, macam mana boleh jadi seorang pemimpin suatu organisasi besar. Yang mereka begitu hormati ialah seorang pemimpin besar seperti Ustaz sedia menunggu sehingga nombor giliran dipanggil serta berbaris mengambil ubat di farmasi(walaupun sebenarnya Ustaz tidak pernah pun menunggu lama).

Fakulti Perubatan UKM berkembang menjadi sebuah Hospital Pengajar sekaligus perkhidmatan dan reserch di Ceras. Aku generasi awal yang ikut berpindah. Pesakit yang selama ini melanggan dengan Fakulti Perubatan diberi pilihan sama ada mahu ikut ke Ceras atau mahu tinggal dengan Hospital Kuala Lumpur (peringkat awal memang staff HKL yang berkhidmat di Fakulti Perubatan dengan Fakulti Perubatan sendiri sebagai suatu entity – wadnya pun menumpang di HKL). Dan aku tidak tahu lagi perkembangan Ustaz Fadzil. Ada sesekali terjumpa Ustaz di Muktamar tahunan PAS. Ustaz bertanya khabar. Dan kali ini memang lama aku tak jumpa Ustaz. Muktamar di Terenganu – muktamar terakhir kehadiran Ustaz itu pun aku tidak ikut.

Itu antara racau aku malam itu sambil menyuap mee goreng yang susah nak dihabiskan.

Ustaz Fadzil masuk ke Hospital UKM, Ceras. Saban hari aku ziarahi Ustaz; tidak siang, malam. Suatu malam itu, aku kerja lebih masa. Kira-kira jam 10.30 mlm aku ziarahi Ustaz di wad CRW (Wad pemulihan Jantung). Sekumpulan empat orang dari Kedah datang ziarahi Ustaz. Ustaz tanya macam mana Kawasan. Aku tengok Ustaz serahkan cek, katanya orang amanahkan untuk … (aku lupa). Jumlahnya ribuan juga.

Petang Jumaat dua minggu sebelum Ustaz meninggal (Ustaz masih di Wad CRW) aku ziarahi Ustaz. Aku tuangkan jus manggo ke dalam gelas Ustaz. Sambil duduk bersandar di kepala katil, Ustaz minum seteguk dua. Ustaz minta hulurkan krim kreker. Ustaz kunyah sekeping krim kreker sambil meneguk jus manggo. Tak lama masuk Datin Wan Azizah bersama Nurul Izzah dan adiknya. Tak lama kemudian aku minta diri kepada Ustaz, untuk tetamu yang baru datang berziarah.

Hari Ahadnya aku dapat tahu Ustaz sudah dipindahkan ke ICU; seterusnya menjalani pembedahan pintasan jantung. Isnin; pada hari pembedahan Ustaz, ruang legar bilik bedah penuh ahli penyokong PAS dan keluarga Ustaz dari jauh dan dekat.

Dan aku sudah tidak dapat lagi berjumpa Ustaz. Aku pergi juga ke Wad ICU di tingkat 1; tetapi setakat di ruang legar sebagai menyaksikan atau bertemu beberapa pemimpin yang aku kenal dan memerhatikan kegelisahanan dan kesugulan mereka. Hanya orang tertentu yang dibenarkan masuk melawat Ustaz. Mulanya Dr Hatta menjadi ‘pegawai perhubungan’ kepada sesiapa yang mahu melawat. Dan kemudiannya diambil alih oleh Fawas anak lelaki Ustaz sendiri. Kebenaran untuk melawat Ustaz menjadi lebih ketat.

Makmal kami terus menerima sampel darah Ustaz. Tapi kenapa sampel darah yang kami terima selalunya lysed (heamolysed – sel darah merahnya sudah musnah). Aku beritahukan hal ini kepada Dr Hatta. Suatu pagi aku cukup tidak puas hati, sampel darah Ustaz terlalu lysed – sudah tidak ada lagi sel darah merahnya; tidak sesuai untuk dijalankan ujian – result akan bias. Aku tak puas hati lalu ikut pintu kecemasan di sebelah belakang Wad ICU berjumpa dengan staff nurse bertanyakan macam mana mereka ambil darah – tidak berhemat sehingga darah Ustaz menjadi lysed teruk.

Kesempatan ini aku ambil peluang meninjau Ustaz yang sedang terbaring di katilnya. Urat-urat wayar dan lembar tiub kecil silang-menyilang menyambung Ustaz ke alat-alat bantuan perubatan di sisi dan di bahagian kepala katil. Tahulah aku Ustaz sedang berjuang dengan hayatnya.

OT hari Khamis malam; siangnya (Jumaat) ambil cuti - sibuk dengan urusan parti; tak sempat mengikuti perkembangan Ustaz. Sabtu dan Ahad berurusan dengan program motivasi perlajar. Dalam kem ada teringat untuk tahu perkembangan Ustaz, tetapi talian telekomunikasi tidak boleh di ekses; sehinggalah aku mendengar khabar kepergian Ustaz petang itu. Bagaimanalah hati tidak pilu.

DinBatubara
22hb. Jun 2013

Saturday, June 8, 2013

Sajak

Mengapa Pembangkang Pilih Jalan Tolol Untuk Menang

Keadilan kalah dalam pilihan raya kecil Ijok baru-baru ini.
Analisa mendapati;
rasuah, tipu dan hantu berkeliaran
mengundi
Pun PKR mendakwa berjaya pertingkatkan sokongan
khususnya dalam kalangan orang-orang Cina.

Hakikatnya
PKR dan Barisan Rakyat gagal
gagal dan gagal lagi mengatasi
helah dan honar BN.
Gagal mencetus amarah umum terhadap pencemaran dan penodaan demokrasi.

Salah-guna kuasa
penipuan
ketidak-cekapan pengurusan pemerintah tidak dapat dihapus
selagi rakyat tidak peduli malah
sanggup menanggung rasa tidak apa-apa.

Pihak berkuasa akan terus memperalat suruhanjaya dan segala jabatan;
sentimen perkauman akan terus dibangkitkan, kebenaran akan terus digelapkan, dipesong
menerusi penggunaan media yang tidak adil dan tidak beretika,
Kekerasan digunakan untuk menakut para pengundi,
Ah, saratnya kejahatan
semua guna untuk menang pilihan raya.

Ini akan berterusan tahun demi tahun
Ini akan berterusan pilihanraya demi pilihanraya.

Suatu petang seorang teman datang bertandang ngajak bersembang, katanya
jalan yang dipilih pembangkang untuk membela rakyat adalah tidak tepat malahan tolol dan dungu.
Dalam suasana pemerintah yang tidak telus dan ammoral,
rakyat pula tidak punya kesedaran dan sangat sulit melihat kebenaran
– seringnya melihat kesalahan sebagai benar, membiarkan diri di manipulasi akrobator politik;
cara yang terbaik ialah
biarkan saja mereka menderita,
biarkan saja merreka terjerut dan
mampus.

Bila mereka sudah tidak tertahan lagi
umpamanya kerana terpaksa menangggung beban tol (lol) lebuh raya
mereka sendiri akan bangun.
Itu pun untuk yang ada tol (lol) di kawasan masing-masing.
Yang tak ada tol (lol) belum akan sedar dari di apa-apa.

Jadi, perlu apa kalian bermati-matian di Ijok;
meletihkan badan menghadapi kemungkinan dicaci-maki peribadi oleh BN,
dipukul dan dicederakan rakyat Ijok sendiri
yang sudah kena beli.

Khalid Ibrahim sepatutnya lebih aman buat wang berjuta-juta
dengan mengurus syarikat pengurusan asset dan dana, menjana keuntungan untuk selesa diri sendiri dan keluarga.
Kendati mengapa dia membenarkan diri difitnah Najib Razak dan dipukul oleh pekerja dan penduduk Estet Tuan Mee dalam Ladang Ghutree
yang dia sendiri antara yang membangun-membelinya dari konglomerat luar negara.

Hei,
tunggu saja sampai rakyat jahanam dan lingkup di bawah kolong rejim Umno ini.
Tunggu saja mereka sendiri yang akan bangun meruntuh singgahsana pemerintah ini.
Lebih teruk penderiataan
maka akan lebih ganaslah mereka nanti.
Jadi biarkan saja mereka menderita.
Mereka sendiri yang akan menjatuhkan
sang penindas.
Nanti mereka tidak akan memukul lagi
Nanti mereka tidak akan menghalang-halang anda lagi masuk ke estet atau kampong.
Nanti mereka sendiri yang akan mencari saudara;
akan memohon petunjuk saudara,
akan memohon pimpinan saudara,

Saya tidak akan berkata benar jika saya katakan bahawa fikiran saya tidak terusik dan tidur malam saya tidak terganggu oleh kata-kata kesat dan terus-terang teman saya itu.


Nahar Rashid;
Mei, 2007;
Adaptasi dari tulisan Rustam Sani – Harakahdaily; 8hb. Mei, 2007

Thursday, June 6, 2013

Berikan Hak kepada Yang Berhak

Almarhum Ust Fadzil Noor pada sebelum waktu hangatnya kempen pillihanraya Umum 1995 (yang tarikhnya belum diketahui) ada buat pertemuan dengan Peam Dr Mahathir dengan tanpa diketahui oleh ahli (penyokong-penyokong PAS). Pecah rahsia, ahli jadi sedikit kalang-kabut - apa sudah jadi ni. Apa sudah jadi…. Ust Fadzil dalam suatu ceramah di UKM (depan mahasiswa) menerangkan : "Dr Mahathir yang panggil ... Kita ingatkan panggil pasai apa. Rupa-rupanya dia nak bagi tahu, ajak kita ... nak pilihanraya ni kita jangan bagi begaduh. Kita pun bagitahulah Dr Mahathir; kita pun bukan nak gaduh. Kalau kita begaduh tak jadi pilihanghaya…. Kita pun tak jadi nak ghampeh keghajaan. Ini yang ahli-ahli PAS jadi kalut tak ketahuan ni pasai apa. Dok ada yang segham-segham sejuk. …Tak dak aih. …Kita tak gadaikan PAS....perjuangan kita. Usah bimbanglah.

Ramai yang tidak tahu kepergian Almarhum Ustaz Fadzil dari Alor Star ke rumah Anwar Ibrahim ketika panasnya reformasi (sebelum Anwar ditangkap pada tahun 1998). Orang di Pejabat Agung Taman Melewar juga tidak tahu. Tiba-tiba Ust Fadzil sudah berada di rumah Anwar Ibrahim.

Morale of the storynya ialah: Bagilah hak pemimpin kepada pemimpin. Tak usah nak minta pemimpin berfikir macam kita. Kita yang angkat dia jadi pemimpin. Kalau pemimpin sudah berfikir macam kita, baik dia tak usah jadi pemimpin. Tak semua apa yang dibuat/mahu dibuat oleh Pemimpin kena bagi tahu dulu kepada ahli/penyokong.

dinbatubara

Monday, June 3, 2013

Kampung 40 Rantai (Pantai Remis)

Penduduk di sini dari etnik Batubara. Ah, tak sangka pulak aku terjumpa kampung suku-sakat aku di sini.

Hari itu (Sabtu; 1hb Jun; 2013), balik dari memenuhi undangan kahwin seorang sahabat di Kg Padang Asam (Kuala Kangsar) aku terus ke Cangkat Jering dan benuh ikut jalan ke Lumut - riki Pantai Teluk Senangin; 29hb. Jun ni nanti nak konvoi dari Batangkali (ada 25 keluarga) dan ambil angin laut di situ.

Menyusuri jalan ke Lumut dari Pekan Pantai Remis - pelik aku ada sebuah kampung yang bernama Kg 40 Rantai. Mana tahu kut ada 40 utas Rantai kapal Portugis ke, rantai Bahtera Nakhoda Tenggang ke. Ate aku pun SMS pada Ghani Selamat (Rambo). Bagus juga untuk digali sejarahnya. ... Hubungan Teluk Batak (Batik) dengan peneroka Kampung 40 Rantai. Di Teluk Intan ada tempat yang dinamai Kg Batak Rabit. Teluk Batak ada asas sejarahnya. manakala Teluk Batik; tidak ada asas sejarah. Heran juga Suku Batik ialah sukuan Asli yang tedapat di Kuala Tahan. Kenapa pula ada nama Batik (jika ia mahu di sinonimkan dengan puak-puak tertentu dalam membentuk nama kampung) - Kampung Teluk Batik. Nampaknya Teluk Batak kena kembalikan namanya.

Saturday, June 1, 2013

Siapa yang belum gosok gigi

Mao Ze Dong – pencetus Revolusi China; Presiden Partai Kominis yang menggoncang dunia itu tidak pernah gosok gigi. Sepanjang hayatnya beliau hanya berkumur dengan teh hijau (sejuk) setiap pagi – yang kononnya merupakan kebiasaan petani China. Ini sebagai ganti menggosok gigi bagi Mao.

Tidak seorang pun yang tahu kebiasaan itu, hingga suatu ketika Mao mengeluh sakit gigi. Dr Li Zhi Sui (yang lebih dari dua dekad menjadi doktor peribadi Mao) memeriksa gigi Mao dan mendapati gusi sang pemimpin yang dipenuhi nanah.

Dr Li menyarankan gigi Mao dicabut. Mao setuju. Tapi, ketika Dr Li mengusulkan agar Mao menghentikan acara "berkumur teh" itu dan mulai menggosok gigi, Mao menolaknya dengan alasan; "Harimau tidak gosok gigi, tapi taringnya tetap kuat dan tajam,"

dinbatubara

Thursday, May 30, 2013

Nak Jadi Penulis (2)

Anda sudah banyak kali mengikuti kursus penulisan. Anda mahu jadi penulis tapi masih gagal jadi oenulis. Nak jadi penulis apa. Nak tulis apa. Tulislah apa sahaja. Novel ? Besar sangat tuuhh !!. Tulis cerpen dulu. Belum mampu tulis cerpen, tulis surat (gaya bercerita) kepada rakan-kawan - tak usah guna bahasa bombastik nanti anda dikatakan merepek pula. Rasa agak malu kut dikatakan sasau kerana tulis surat panjang-panjang, tulis catatan-catatan peribadi. Atau tulis apa sahaja di wall anda - perjalanan seharian anda, kisah anda masa kecil-kecil dulu, ingatan kepada emak di kampung, tentang kucing betina jiran sebelah yang baru mula menjalang, pokok jambu di hadapan rumah anda sudah berbunga semula dan lain-lain. Dan lain-lain. Banyak; yang boleh jadi bahan untuk ditulis. Ini sebagai latihan/mengasah kebolehan bercerita anda. Menulis hari-hari anda akan jadi penulis yang baik; kata Pak Subky Latiff.

Dari semasa ke semasa baca semula tulisan anda; dan teruskan tulis entah apa-apa yang sedang/ mahu anda tulis. Tak usah hiraukan disiplin penulisan/sastera. Biarkan itu hak pengkritik sastera (tatkala anda sudah jadi penulis besar nanti). Jika awal-awal anda memikirkan istilah-istilah/disiplin penulisan anda akan takut untuk menulis dan tak mampu untuk menulis. Dalam pada itu, baca terus tulisan orang lain (calon penulis mesti banyak membaca). Rasai kenikmatan membaca/ perhati macam mana - cerpen/novel tulisan si polan sipolan itu sedap/ menyentuh rasa. Nantinya anda akan terasa anda juga akan mampu menulis seperti mereka atau mungkin lebih baik dari mereka. Dan, boleh cuba-cuba tulis ikut gaya mereka. Meniru stail tak salah - anda pun belum ada identiti penulisan lagi. Lagi pun meniru gaya bukannya ciplak.

NAK JADI PENULIS. TAK TAHU NAK TULIS. BAIKLAH MENULIS. Salam

dinbatubara

Wednesday, May 29, 2013

Potret Kuala Kubu

Dan malam pun kian cair di pagi dingin
menyahut tarhim dari menara masjid ar-Rahimah.
Mengimbau-sayup takbir bulansabit menyurut
bersahutan tahmid kabus menuruni Bukit Fraser bugar;
menyusup mengelus ini rinduku yang berhimpun
di Subuh Suci.

Salam sejahtera beburungpagi.
Ini aku musafirlelah
bermukim di pedalamanmu. Ini kubawa salam dari wargakota
yang resah di hutanbatu angkuh
yang kerinduan ini taman megahmu
yang tidak terjajah.

Anginbasah mendesdah dan singgah di belkoni
mesra tertip menyapa.
Tuhan, Kau buka pintu-Mu
mempersilakan lalu desis akliku
menemui tafsir di Sungai Kubu.
Di sini ada cerita segala
kisah empang pecah dan raja dan pembesar dan Melayu dan penjajah
semuanya
potret sejarah bangsaku
itulah.

Rawang 13hb. Feb.; 2010

Monday, May 27, 2013

Sekelumit Cerita PRU 1964 dan 1969 di Kampung Aku

Tahun 1964. Ketika itu aku berumur 9 tahun; dalam darjah 3 Sekolah Kebangsaan Teluk Sareh. Teluk Sareh atau Kampung Empai itu boleh dikenal dalam satu entiti.

Orang kampung aku, aku dengar sedang sibuk untuk memilih seorang ketua. Ketua apa aku pun tidak tahu. Tapi di rumah aku ada beberapa helai gambar yang lebih kurang sama besarnya dengan gambar Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu; Tunku Abdul Rahman Putra al Haj, yang dibingkaikan cantik tergantung di atas jenang tingkap di anjung rumahku.Sehelai ialah gambar berwarna biru tua dengan lambang kapal layar dengan tanda pangkah di sebelah kanannya – kecil di bawah gambar. Di bawah gambar tertulis nama Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria – kata arwah emak aku dia itu orang Lambor; pangkat datuk kepada aku. Sehelai gambar lagi dengan saiz yang sama dicetak berwarna hijau; di bawah gambar tertulis nama Datuk Raja Abu Hanifah. Ada lambang kecil Bulan Bintang serta tanda pangkah di sebelah kanannya.

Sekali dua aku mendapati beberapa buah kereta meredah lopak dan lecah di jalan tanah di depan rumah aku. Kereta berbentuk lonjong berwarna hitam. Aku mengekorinya – mengamati bunyinya yang pelik dan menghidu bau asap yang berkepul di belakang. Siapa di dalam kereta itu aku pun tak tahu. Beberapa orang berjalan kaki dan berbasikal mengekori dari belakang kereta yang bergerak perlahan dan sesekejap berhenti tatkala tayar terbenam ke dalam lopak.

Mereka akhirnya tiba di surau kampung aku di tepi Sungai Perak. Di depan surau kereta berhenti. Seorang yang berperawakan kemas berbaju lengan panjang yang dikemaskan di dalam celana keluar dari kereta sambil mengucap salam dan terseyum-senyum mesra menghulur dan menyambut salam dari hadirin yang menunggu.

Mereka berkumpul di bawah surau. Tetamu yang diraikan berucap sambil menggawang-gawang tangan ke atas. Entah apa yang diberitahukannya kepada hadirin, aku tidak tahu. Tidak lama; lepas berucap mereka menikmati hidangan. Aku hanya meninjau-ninjau dari luar tingkap mendengar sepatah dua istilah dan seruan yang aku tak faham. Ah, majlis orang tetua. Seorang rakan memanggil aku – kami ada janji untuk berenang di parit yang sedang banyak kuntum teratai (yang sedang-eluk dan enak dimakan) bercelahan kuntum-kuntum bunganya yang indah menyerlah. Parit di tengah-tengah kawasan persawahan itu dikorek untuk membuat jalan raya merentasi kampung aku ke kampung Pulau Tiga seterusnya ke Kampung Gajah. Aku pun berlalu. Tak minat aku nak ambil tahu. Apa kesudahannya dari peristiwa itu. Entah. Aku pun tak tahu.

Aku tahu kemudiannya Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria jadi ADUN Kg Gajah tahun itu; 1964 (dalam Parlimen Parit). Persempadanan semula sempadan pilihanraya tahun (?) kampung aku di masukkan ke dalam kawasan pilihanraya Parlimen Pasir Salak, DUN masih di namakan DUN Kampung Gajah.

Tahun 1969. Aku sudah berumur 14 tahun. Aku sudah tahu makna pilihanraya. Parti yang sedang bergocoh untuk berebut sokongan rakyat sekarang ialah antara PAS dan Perikatan. Peringkat Parlimen wakil PAS ialah Cikgu Hashim bin Gera berlawan dengan calon Perikatan Dato Hussein bin Nordin. Khabarnya Hussein Nordin adalah Pengerusi Syarikat surat Khabar Utusan Melayu; juga sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Ketika itu pokok ketapang di depan kedai gunting itu batangnya baru sebesar paha. Kedai gunting itu milik abang Daud; dua pupu aku. Dia memberhentikan operasinya sepanjang kempen pilihanraya. Aku rasa panjang juga tempuh kempen tersebut. Kerusi tempat bergunting diketepikan. Ruang menjadi lebih lapang. Segenap penjuru dinding semilau hijau bertampal poster lambang Bulan Bintang – lambang Parti PAS. Di sebelah kedai gunting abang Daud ialah kedai kopi Pak Lui yang sudah dikosongkan juga. Ini bilik gerakan pilihanraya Parti Kapal Layar, Perikatan. Mereka juga sedang sibuk menampal dinding dengan kertas cap kapal layar; dan sekumpulan orang lagi sibuk mengelip poster untuk digantung merentangi jalan dan lorong.

Suatu petang Calon PAS datang berkempen di Bilik Pilihanraya PAS – kedai gunting Abang Daud. Aku sudah tahu namanya ialah Hashim Gera, khabarnya seorang bekas guru. Aku dicelah-celah ramainya orang kampung asyik, bersemangat dan ketawa berdekah-dekah, terkekeh-kekeh; dan ada yang senyum-senyum kambing mendengar pidato cikgu Hashim Gera. Cikgu Hashim sememangnya petah berceramah sambil menselang-selikannya dengan pantun. Di bawah pohon ketapang itulah.

Antara pantun cikgu Hashim yang masih aku ingat ialah :

Sampan layar berlayar malam
Nampaknya sudah berbalam-balam
Pemimpinnya rehat di atas tilam
Membawa Melayu mati tenggelam.

One two three,
Satu dua tiga
Orang Putih cabut lari
Negeri kongsi tiga.

One, two, three, four
Satu dua tiga empat
Husin Nordin kereta besor
Orang Parit apa dapat.

Antara orang kampung aku yang terlalu amat petahnya berpidato membantu calon PAS Cikgu Hashim Gera ialah bapak saudara aku sebelah almarhum ayah aku; Ayah aji Kole panggilannya. Nama sebenar beliau ialah Hj Sa’aduddin bin Yahya. Dia ini semasa lagi budak-budak mengikut arwah datuk aku ke Mekah dan terus 'menaun' di sana hingga remaja baru pulang ke tanah air. Terlalu lamanya beliau di Mekah hinggakan berbahasa Melayu loghat orang Parit/Perak beliau terikut slang Arab. Kenapa 'kole' – sebabnya ialah tatkala dia membaca surah ‘Waddhuhaa’ … pada ayat: Maa wad da’akarab buka wamaa qolaa; beliau menyebutnya : “Mee wad da’ekerab buke wemee qolee’.

Di surau depan rumah datuk aku; almarhum Tn Hj Yeop Majelis di Teluk Pedayung, Lambur Kanan (suatu petang aku berkunjung ke rumah tok aku itu) aku hampiri majlis penerangan/ kempen Perikatan. Yang datang ialah Dato' Hussein Nordin. Seorang penceramah sedang berucap menyebut (tak payahlah aku sebut namanya) : "Wan, wan ... mun kalu kalah pati kapal layo kite ni; jalan ghaye di tengah bendang tu digulong balik dek kerejaan ..." ... "Ate ndak ke wan-wan opan-opan semue ni makan ubi balik macam kite jaman Jepon kemaghin !!. Ha, pangkah le kapal layo kite; kalu tak endak balik macam itu..."

Kampung aku hingga terkenal sebagai kawasan hitam kerana jumhur orangnya memangkah Parti PAS. Yang dikenali mangkah Kapal Layar beberapa orang sahaja. Namun tidak berlaku perbalahan – mereka di antara mereka bukan orang lain – adik-beradik, anak saudara-bapak saudara atau ibu saudara, opah atau datuk kepada yang lain. Mereka bersama-sama berjemaah di surau; menghidupkan amalan bergotong-royong di upacara mendirikan rumah, berderau menanam padi, penuh hilai ketawa tatkala menebas dusun durian atau di upacara menumbuk minyak ketiyor; beramai-ramai menangkap ikan ketika ada pesta menuba ikan di Sungai Perak, penuh hormat dan takzim menyantuni peristiwa perkahwinan - mendirikan balai dan selasar serta dikenduri naik buai (potong jambul/akikah) atau berkhatan anak-cucu.

Hashim Gera mengalahkan Dato Hussein Nordin (Tan Sri). Manakala Calun DUN Kg Gajah dimenangi oleh Cikgu Mahmud Zainal Abidin juga dari PAS.

Pada hari berlakunya Tragedi 13 Mei Negara diletakkan dalam perintah berkurung. Sekolah tutup. Aku, bersama-sama abang membuat rakit dari batang pisang bersaiz empat kali 2 kaki dan menghiasnya dengan poster Kapal Layar – entah dari siapa abang dapatkan kertas-kertas poster tersebut. Setelah siap kami usung rakit berhias tersebut dan menghanyutkannya ke Sungai Perak. Belum sempat melepasi jarak 20 kaki ‘Kapal Layar’ kami terlanggar kaparan keladi bunting; berpuing-puing berpusing timbul tenggelam dan akhirnya tenggelam di bawah kapar. Abang dan aku ketawa berdekah-dekah.

MP PAS YB Cikgu Hashim Gera itulah satu-satunya dari Perak di pecat oleh PAS kerana dalam suatu malam keramaian di Dewan Bankuet Parlimen beliau menari joget bersama ‘perempuan joget’. Di dalam percakapan bela dirinya dengan Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat yang terdiri daripada ulama' PAS itu cikgu Hasim beritahu: "Joget adalah tarian bersih. "Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget itu) lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari".

Bagaimanapun Pas menolak penjelasan YB Cikgu Hashim itu. Perbuatannya mencemar nama Parti Islam yang didokonginya. YB Cikgu Hashim pun dipecat pada tahun 1972. Dan YB Cikgu Hashim terus duduk di kerusi Bebas di Parlimen sehingga pilihanraya tahun 1974. Cikgu Hashim selepas itu menubuhkan parti KITA dan bertahan sehingga tahun 1978.

Lama selepas itu aku sempat bersembang dengan Encik Mohd Hashim GG Edar yang menyebut mahu mempelawa Cikgu Hashim menyertai PAS di tempat beliau (Damansara ?); setelah dikatakan Cikgu Hashim memohon menjadi ahli PAS kembali di sebuah kawasan Ipoh tapi tidak diterima oleh ahli-ahli PAS di sana.

Aku menemui seorang menantu Cikgu Hashim, seorang doktor di Fakulti Perubatan, UKM. Deceritakan oleh beliau yang bapa mertuanya (Cikgu Hashim) selalu menceritakan parihal parti PAS dan perjuangan politiknya. Pun beliau yang sudah tua itu mahukan anak-menantunya mengisi borang menjadi ahli PAS.

Dan pokok ketapang tempat kami terhibur dengan seloka dan pantun Cikgu Hashim masih berdiri di situ; sekarang pangkalnya sudah sebesar dua pemeluk. Pilihanraya Umum Ke 13 ini akankah PAS Parit mengulangi kejayaan masa lalunya itu.

DinBatubara; 12hb. April 2013
Percakapan puisi dengan Mas Onn :

Ndak berpuisilah pula dengan Mas Onn (teringat mase-mude-mude kemaghin)
Siapa kata mu tidak nanar dikecewa.

dan rama-rama itu telah patah sayapnya
memapah ketis kaki di bawah redup sehelai daun yang sudi peduli
merawat luluh hati diramas kuntum pendosa.

Sang pendosa itu pun
terus juga dia terpana oleh canda musafir singgah
bertandang dan akan menghilang;
sedar amat dia.

Antara yang peduli dan pendosa
Ah, lelakiku
Siapa kata mu tidak nanar dikecewa.

dinbatubara
27hb. Mei; 2013

Wednesday, May 15, 2013

Gamitan Kenanganku:

Kesempatan balik kampung, singgah di sini di sekolah lamaku. Dari tahun 1968 hingga 1973 aku bersekolah di sini. Memangpun aku akan sering sekejap ke sini.

Di kafeteria ini – berteleku di meja kayu; kerusi-meja di sini masih banyak seperti yang dulu. Ingatan pun berkejaran datang, mekar dan membusar. Waktu itu; tak tahulah, apakah kerana aku ini jenis yang suka menyibuk atau tak boleh tercabar sedikit. Atau aku jenis yang tak tahu malu. Atau, tak faham isyarat provokasi rakan-kawan; aku jadi Ketua Persatuan Bahasa Melayu, AJK Persatuan Agama Islam dan AJK Persatuan Bulan Sabit Merah. Aku jadi Setiausaha Koperasi Murid-Murid. Aku jadi Bendahari Rumah Bendahara; iaitu rumah sukan di Sukan Tahunan sekolahku.

Mungkin juga kerana aku suka buat bising – bertengkar dengan cikgu, atau lebih nakalnya; maka untuk mendisiplinkan aku, cikgu lantiklah aku jadi Ketua Murid. Tugas aku ialah tegur bebudak yang tak masukkan baju ke dalam; tak pakai lencana sekolah atau tak pakai setoking; dan berdiri di belakang barisan murid-murid setiap assembly pagi Isnin. Kadang-kadang, mengenderai pesalah kutip sampah di tepi longkang, di belakang kantin atau di tepi pagar.

Kadangkala, tatkala mata-pelajaran pertama bermula aku masih jadi jaga di pintu pagar yang sudah ditutup – ambil nama murid yang datang lewat. Aku jadi pemantun bersama Nazri dan Azizah; berjual-beli pantun dengan Ketua Murid Sekolah Dato’Abdul Rahman Ya’acob Bota Kanan; tatkala sekolah tersebut membuat lawatan ke sekolah aku.

Suatu waktu ustaz Ismail Anang unjukkan teks syarahan untuk aku hafal – aku dipilih masuk pertandingan syarahan sempena Maulidur Rasul anjuran sekolah aku. Aku terkejut, tangan aku menggigil menyambut teks dari Ustaz. Dua minggu aku bercakap macam orang gila di depan cermin. Aku jadi johan – mengalahkan lima buah sekolah menengah lain dalam daerahku. Nama aku cikgu hantar ke pertandingan menulis assei anjuran sebuah sekolah menengah di Ipoh.

Pada hari Sambutan Ulang tahun Kemerdekaan; aku bersama kumpulan tarian sekolah menarikan zapin dan joget di Padang Majlis Daerah. Naziruddin Hambali senior setahun dari aku, jadi kariografernya. "Apa khabar Cikgu Besar Nazir; hampir 40 tahun kita tak berjumpa. Sambung sampai 60 kah. Badan lagi sihat; teruskan cikgu !!."

Kawasan lapang di sebelah kiri aku duduk ini; dulu ialah tempat kami menanam segala macam sayuran seperti sawi, bendir, kacang panjang, tembikai, timun dan petola. Tingkatan 3 waktu itu ada pelajaran Sains Pertanian. Di hujung sempadan sana ialah kuaters guru yang sudah ditinggalkan. Terdapat banyak tahi kelawar di atas silingnya. Kami panjat siling dan turunkan tahi kelawar; lalu, menaburnya di atas batas sebelum sayur ditanam.

Di sebelah kanan sana – blok tiga tingkat serta bangunan dewan yang tersergam itu; dulu ialah padang tempat kami bersenam. Selepas berlari dua pusingan, cikgu Zaini panggil kami main rugbi. Cikgu Zaini berdiri di tepi padang. Dan kami bermain – tidak ikut peraturan pun. Tiada tiupan wisel tanda foul. Kami sering protes; jika senaman pagi itu ialah melompat di atas meja jimnastik – berbaris kemudian melompat lepas seorang, seorang. Boring betul. Kadang-kadang Cikgu Zaini arahkan Arshad dan Derus angkut peralatan hoki, lengkap dengan topeng muka dan pelapik lutut. Derus yang bergaya mengenakan topeng berserta pelapik lututnya mesti jadi goli. "Apa khabar Derus. Khabarnya kau masuk polis. Ingat lagikah; lawatan Dato’ Idris Babji, Pengarah Pelajaran Perak ke sekolah kita. Dalam kelas; sambil berdiri, kita memperkenalkan nama masing-masing. Tiba di depan kau, dia kata nama kau salah. Nama engkau sepatutnya Idrus bin Idris; bukan Derus bin Deris" ...Ha ha ha ….

Di hujung susur gajah yang bersambung ke kantin ini ialah Makmal Sains. Masih seperti dulu. Di sebelahnya ialah Kelas Seni Perusahaan; di tingkat atasnya ialah Kelas Sains Rumah Tangga. Kadangkala harum bau kek – memang sah dari kelas itu; terbang meyusup masuk ke kelas aku; Tingkat 5 Sains yang letaknya bersetentangan dan dijarakkan dengan dua buah kelas sahaja. Meja aku di depan sekali di tepi pintu. Ah; tetiba pula teringatkan Ijan. Aku sering membuat isyarat bagi mencuri perhatian Ijan. Ijan yang sering membuang pandang keluar pintu; nakal, kadang-kadang menjelirkan lidah malu-malu membalas isyaratku. "Kau pastinya kerap hilang tumpuankan Jan; terhadap buah butir yang disampaikan oleh Cikgu Raja Rahmah; seperti aku sering terabaikan pengajaran guruku setiap kali ada kelas engkau di seberang sana."

Suatu hari aku terima surat Ijan melalui class-matenya. Ijan tulis di atas writing-pad berbau wangi. Tulisan dengan pena mata bulat. Tulisan yang kemas dan cantik. Dia minat kepada aku ? Ah !! Aku baca surat Ijan berkali-kali; memuji-muji itu dan ini. Ijan kata biarlah perkenalan ini kekal. Perkenalan ?. Beberapa hari, keliru apakah yang menyerbu di kalbuku. Takah indah, tanda aku sudah masuk alam remaja ? Hakikatnya aku bukan minat. Usikan jarak jauhku kepada Ijan ialah gangguan nakalku sahaja. Pun aku balas warkah Ijan; tapi jauh daripada bumbun bahasa yang meruntun jiwa. Berbaur kelakar adalah – menghargai perhatiannya serta ucapan terima kasihku. Itulah sekali. Aku selepas itu terus sibuk dengan aktivitiku dan persiapan SPM. Ijan, dengan SRPnya. Tahu-tahu musim persekolahan pun berakhir. Ingatan kepada Ijan pun terhenti entah bila dan di garis mana.

"Berapa orang cucu engkau sekarang Jan." Sekolahku; Sekolah Menengah Datuk Maharaja Lela, Kampung Gajah…., kau ibu-kandung penuh berbudi, penyimpan rahsia seribu kenangan.

ADILA KLASIK NASIONAL
Penerbit Fizawati Zainal
Disampaikan oleh Dato' Jalaluddin Hassan
24hb. April 2013

Tuesday, April 16, 2013

Bahang Panas Mentari Petang 16 April 2013 Dan Bahangnya Pilihanraya.

Ulu Bernam >Kerling >KKB >Batangkali >Serendah > Sg Choh >Rawang
Cuaca cerah.
Angin Barat Daya mendesah tidak jerih dan lelah
menongkah lurah perbukitan
dan malintas jalan.
Segala Sangsaka milik siapa jua berkibar
megah menjeling dan mengagah-agah satu sesamanya
dan berbisik dan berpesan; ini kita tipa demokrasi.
Pun ada juga yang menjeritkan; hei !!! ... kamu tidak usah jadi puaka mencela
Bahang Panas Mentari Petang 16 April 2013
Dan Bahangnya Pilihanraya.

DinBatubara
16 April 2013

Friday, April 12, 2013

Sikit Cerita Pilihanraya Masa Aku Kecik-kecik Dulu

Tahun 1964. Masa itu aku baharu 9 tahun; dalam darjah 3 Sekolah Kebangsaan Teluk Sareh. Teluk Sareh atau Kampung Empai itu boleh dikenal dalam satu entiti.

Orang kampung aku, aku dengar sedang sibuk untuk memilih seorang ketua. Ketua apa aku pun tidak tahu. Tapi di rumah aku ada beberapa helai gambar yang lebih kurang sama besarnya dengan gambar Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu; Tunku Abdul Rahman Putra al Haj, yang dibingkaikan cantik tergantung di atas jenang tingkap di anjung rumahku.Sehelai ialah gambar berwarna biru tua dengan lambang kapal layar dengan tanda pangkah di sebelah kanannya – kecil di bawah gambar. Di bawah gambar tertulis nama Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria – kata arwah emak aku dia itu orang Lambor; pangkat datuk kepada aku. Sehelai gambar lagi dengan saiz yang sama dicetak berwarna hijau; di bawah gambar tertulis nama Datuk Raja Abu Hanifah. Ada lambang kecil Bulan Bintang serta tanda pangkah di sebelah kanannya.

Sekali dua aku mendapati beberapa buah kereta meredah lopak dan lecah di jalan tanah di depan rumah aku. Kereta berbentuk lonjong berwarna hitam. Aku mengekorinya – mengamati bunyinya yang pelik dan menghidu bau asap yang berkepul di belakang. Siapa di dalam kereta itu aku pun tak tahu. Beberapa orang berjalan kaki dan berbasikal mengekori dari belakang kereta yang bergerak perlahan dan sesekejap berhenti tatkala tayar terbenam ke dalam lopak.

Mereka akhirnya tiba di surau di tepi Sungai Perak. Di depan surau kereta berhenti. Seorang yang berperawakan kemas berbaju lengan panjang yang dikemaskan di dalam celana keluar dari kereta sambil mengucap salam dan terseyum-senyum mesra menghulur dan menyambut salam dari hadirin yang menunggu.

Mereka berkumpul di bawah surau. Tetamu yang diraikan berucap sambil menggawang-gawang tangan ke atas. Entah apa yang diberitahukannya kepada hadirin, aku tidak tahu. Tidak lama; lepas berucap mereka menikmati hidangan. Aku hanya meninjau-ninjau dari luar tingkap mendengar sepatah dua istilah dan seruan yang aku tak faham. Ah, majlis orang tetua. Seorang rakan memanggil aku – kami ada janji untuk berenang di parit yang sedang banyak kuntum teratai (yang sedang-eluk dan enak dimakan) bercelahan kuntum-kuntum bunganya yang indah menyerlah. Parit di tengah-tengah kawasan persawahan itu dikorek untuk membuat jalan raya merentasi kampung aku ke kampung Pulau Tiga seterusnya ke Kampung Gajah. Aku pun berlalu. Tak minat aku nak ambil tahu. Apa kesudahannya dari peristiwa itu. Entah. Aku pun tak tahu.

Aku tahu kemudiannya Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria jadi ADUN Kg Gajah tahun itu; 1964 (dalam Parlimen Parit). Persempadanan semula sempadan pilihanraya tahun (?) kampung aku di masukkan ke dalam kawasan pilihanraya Parlimen Pasir Salak, DUN masih di namakan DUN Kampung Gajah.

Tahun 1969. Aku sudah berumur 14 tahun. Aku sudah tahu makna pilihanraya. Parti yang sedang bergocoh untuk berebut sokongan rakyat sekarang ialah antara PAS dan Perikatan. Peringkat Parlimen wakil PAS ialah Cikgu Hashim bin Gera berlawan dengan calon Perikatan Dato Hussein bin Nordin. Khabarnya Hussein Nordin adalah Pengerusi Syarikat surat Khabar Utusan Melayu; juga sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Ketika itu pokok ketapang di depan kedai gunting itu batangnya baru sebesar paha. Kedai gunting itu milik abang Daud; dua pupu aku. Dia memberhentikan operasinya sepanjang kempen pilihanraya. Aku rasa panjang juga tempuh kempen tersebut. Kerusi tempat bergunting diketepikan. Ruang menjadi lebih lapang. Segenap penjuru dinding semilau hijau bertampal poster lambang Bulan Bintang – lambang Parti PAS. Di sebelah kedai gunting abang Daud ialah kedai kopi Pak Lui yang sudah dikosongkan juga. Ini bilik gerakan pilihanraya Parti Kapal Layar, Perikatan. Mereka juga sedang sibuk menampal dinding dengan kertas cap kapal layar; dan sekumpulan orang lagi sibuk mengelip poster untuk digantung merentangi jalan dan lorong.

Suatu petang Calon PAS datang berkempen di Bilik Pilihanraya PAS – kedai gunting Abang Daud. Aku sudah tahu namanya ialah Hashim Gera, khabarnya seorang bekas guru. Aku dicelah-celah ramainya orang kampung asyik, bersemangat dan ketawa berdekah-dekah, terkekeh-kekeh mendengar pidato cikgu Hashim Gera. Cikgu Hashim sememangnya petah berceramah sambil menselang-selikannya dengan pantun. Di bawah pohon ketapang itulah.

Antara pantun cikgu Hashim yang masih aku ingat ialah :

Sampan layar berlayar malam
Nampaknya sudah berbalam-balam
Pemimpinnya rehat di atas tilam
Membawa Melayu mati tenggelam.

One two three,
Satu dua tiga
Orang Putih cabut lari
Negeri kongsi tiga.

One, two, three, four
Satu dua tiga empat
Husin Nordin kereta besor
Orang Parit apa dapat.

Antara orang kampung aku yang terlalu amat petahnya berpidato membantu calon PAS Cikgu Hashim Gera ialah bapak saudara aku sebelah almarhum ayah aku; Ayah aji Kole panggilannya. Nama sebenar beliau ialah Hj Sa’aduddin bin Yahya. Dia ini semasa lagi budak-budak mengikut arwah datuk aku ke Mekah dan terus 'menaun' di sana hingga remaja baru pulang ke tanah air. Terlalu lamanya beliau di Mekah hinggakan berbahasa Melayu loghat orang Parit/Perak beliau terikut slang Arab. Kenapa 'kole' – sebabnya ialah tatkala dia membaca surah ‘Waddhuhaa’ … pada ayat: Maa wad da’akarab buka wamaa qolaa; beliau menyebutnya : “Mee wad da’ekerab buke wemee qolee’.

Di surau depan rumah datuk aku; almarhum Tn Hj Yeop Majelis di Teluk Pedayung, Lambur Kanan (suatu petang aku berkunjung ke rumah tok aku itu) aku hampiri majlis penerangan/ kempen Perikatan. Yang datang ialah Dato' Hussein Nordin. Seorang penceramah sedang berucap menyebut (tak payahlah aku sebut namanya) : "Wan, wan ... mun kalu kalah pati kapal layo kite ni; jalan ghaye di tengah bendang tu digulong balik dek kerejaan ..." ... "Ate ndak ke wan-wan opan-opan semue ni makan ubi balik macam kite jaman Jepon kemaghin !!. Ha, pangkah le kapal layo kite; kalu tak endak balik macam itu..."

Kampung aku hingga terkenal sebagai kawasan hitam kerana jumhur orangnya memangkah Parti PAS. Yang dikenali mangkah Kapal Layar beberapa orang sahaja. Namun tidak berlaku perbalahan – mereka di antara mereka bukan orang lain – adik-beradik, anak saudara-bapak saudara atau ibu saudara, opah atau datuk kepada yang lain. Mereka bersama-sama berjemaah di surau; menghidupkan amalan bergotong-royong di upacara mendirikan rumah, berderau menanam padi, penuh hilai ketawa tatkala menebas dusun durian atau di upacara menumbuk minyak ketiyor; beramai-ramai menangkap ikan ketika ada pesta menuba ikan di Sungai Perak, penuh hormat dan takzim menyantuni peristiwa perkahwinan - mendirikan balai dan selasar serta dikenduri naik buai (potong jambul/akikah) atau berkhatan anak-cucu.

Hashim Gera mengalahkan Dato Hussein Nordin (Tan Sri). Manakala Calun DUN Kg Gajah dimenangi oleh Cikgu Mahmud Zainal Abidin juga dari PAS.

Pada hari berlakunya Tragedi 13 Mei Negara diletakkan dalam perintah berkurung. Sekolah tutup. Aku,bersama-sama abang membuat rakit dari batang pisang bersaiz empat kali 2 kaki dan menghiasnya dengan poster Kapal Layar – entah dari siapa abang dapatkan kertas-kertas poster tersebut. Setelah siap kami usung rakit berhias tersebut dan menghanyutkannya ke Sungai Perak. Belum sempat melepasi jarak 20 kaki ‘Kapal Layar’ kami terlanggar kaparan keladi bunting; berpuing-puing berpusing timbul tenggelam dan akhirnya tenggelam di bawah kapar. Abang dan aku ketawa berdekah-dekah.

MP PAS YB Cikgu Hashim Gera itulah satu-satunya dari Perak di pecat oleh PAS kerana dalam suatu malam keramaian di Dewan Bankuet Parlimen beliau menari joget bersama ‘perempuan joget’. Di dalam percakapan bela dirinya dengan Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat yang terdiri daripada ulama' PAS itu cikgu Hasim beritahu: "Joget adalah tarian bersih. "Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget itu) lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari".

Bagaimanapun Pas menolak penjelasan YB Cikgu Hashim itu. Perbuatannya mencemar nama Parti Islam yang didokonginya. YB Cikgu Hashim pun dipecat pada tahun 1972. Dan YB Cikgu Hashim terus duduk di kerusi Bebas di Parlimen sehingga pilihanraya tahun 1974. Cikgu Hashim selepas itu menubuhkan parti KITA dan bertahan sehingga tahun 1978.

Lama selepas itu aku sempat bersembang dengan Encik Mohd Hashim GG Edar yang menyebut mahu mempelawa Cikgu Hashim menyertai PAS di tempat beliau (Damansara ?); setelah dikatakan Cikgu Hashim memohon menjadi ahli PAS kembali di sebuah kawasan Ipoh tapi tidak diterima oleh ahli-ahli PAS di sana.

Aku menemui seorang menantu Cikgu Hashim, seorang doktor di Fakulti Perubatan, UKM. Deceritakan oleh beliau yang bapa mertuanya (Cikgu Hashim) selalu menceritakan parihal parti PAS dan perjuangan politiknya. Pun beliau yang sudah tua itu mahukan anak-menantunya mengisi borang menjadi ahli PAS.

Dan pokok ketapang tempat kami terhibur dengan seloka dan pantun Cikgu Hashim masih berdiri di situ; sekarang pangkalnya sudah sebesar dua pemeluk. Pilihanraya Umum Ke 13 ini akankah PAS Parit mengulangi kejayaan masa lalunya itu.

DinBatubara; 12hb. April 2013

Sunday, February 3, 2013

Membaca Semula Bumi Bertuah (III)

Saya punyai alasan untuk segera membaca semula Bumi Bertuah setelah sekian lama ditinggalkan berdebu di almari. Kali pertama saya membacanya ialah kira-kira empat puluh tahun lalu; ketika saya masih di bangku sekolah menengah. Saya memperolehinya semula tahun 1984; edisi baru cetakan Pustaka Antara (sudah belangsungkawa). Ketika isu Interlok menerjah hingga ke kancah politik negara kira-kira tiga tahun lalu, saya kembali teringat Bumi Bertuah. Ketika wisata ke Jakarta Bandung dua tahun lalu saya membeli beberapa buah buku di toko Gramedia, Bandung.

Antara buku yang terlalu menarik perhatian saya ialah Message from an Unknown Mother (KISAH KISAH SEJATI IBU YANG KEHILANGAN BUAH HATI) tulisan Xinran, seorang journalist dan penyiar radio di China – saya percaya buku itu tidak ada dijual di Malaysia. Buku yang mengisahkan ibu-ibu China yang terpaksa menghilangkan bayi-bayi perempuan mereka sama ada dengan membiarkannya meninggal kerana diabaikan, melakukan pengguguran malah membunuh semasa kelahirannya atau paling beruntung bayi atau kanak-kanak tersebut diambil orang untuk dijadikan anak angkat atau dijual.

Di dalam Bumi Bertuah dan Interlok subjek menjual bayi malah membunuhnya ini ada diselitkan. Ianya menyebabkan saya bagai ditarik-tarik untuk membaca kembali Bumi Bertuah ini.

Dinbatubara
Membaca Semula Bumi Bertuah (II)

Kira-kira novel ini hampir lengkap menggambarkan lanskap kehidupan masyarakat China pada awal abad ke-20. Kita memperoleh maklumat beberapa tradisi dan adat-istiadat China; seperti kelahiran bayi lelaki lebih ditunggu-tunggu, dan anak perempuan yang harus dibungkus kakinya untuk kelihatan cantik dan mudah mendapatkan suami. Anak perempuan yang dianggap tak terlalu penting, bahkan menyusahkan; keluarga-keluarga miskin lebih suka menjual anak perempuannya pada keluarga kaya untuk dijadikan pelayan, gundik atau hamba. Lebih ekstrim lagi bayi perempuan itu malah boleh dibunuh.

Watak bundar dalam buku ini adalah O-Lan - sang isteri; wanita ini sangat tegar dan kuat; tidak banyak cakap, namun terlalu rajin bekerja. Dikisahkan perempuan itu mengurus sendiri kelahiran anak-anaknya tanpa dibantu oleh sesiapa pun. Sesudah melahirkan, ia langsung turun lagi ke sawah untuk membantu sang suami mengolah tanah. Tak hanya kekuatan fisik begitu; dia sepatutnya boleh berbangga saat suaminya sudah menjadi orang kaya, namun dia tetap merendah diri, tak pernah meminta apa-apa daripada suami, dan masih melakukan pekerjaannya sehingga dia menjadi lemah kerana sakit dalam perut. Dalam hal yang lain nampaknya watak O-Lan terlalu innocent – tidak nampak calar pada jiwanya lantaran Wang Lung kahwin lain dan dirinya diabaikan ke tahap wanita yang dungu. Pada masa-masa kesulitan, O-Lanlah yang selalu paling tegar bersemangat dibanding suaminya sendiri.

Dinbatubara
Membaca Semula Bumi Bertuah

The Good Earth karya Master Peace Pearl S. Buck. Terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia bertajuk Bumi Bertuah dari buahtangan Dato’ Abdullah Hussain. Kisah keluarga Wang; petani China miskin yang bergantung hidup kepada pertanian – mencintai tanah melebihi dari keluarga dan dewa-dewanya. Wang Lung memperolehi kemewahan dan penghormatan.

Cerita bertolak dari hari pernikahan Wang Lung. Hari itu dia pergi ke rumah Hwang; seorang tuan tanah yang kaya, untuk menjemput seorang hamba perempuan bagi dijadikan isterinya. Perempuan itu O-Lan yang menjadi hamba sejak kecil di rumah agam tersebut. O-Lan tidaklah memiliki paras yang menarik – muka berbentuk empat persegi, berkulit hitam serta punyai saiz kaki yang besar kerana tidak pernah dibungkus; dipercayai masih dara kerana tidak menarik nafsu lelaki di rumah tersebut. Namun perempuan begitulah yang sesuai untuk dinikahi seorang petani miskin seperti Wang Lung.

O-Lan adalah isteri yang ta’at suami, pandai mengurus rumah-tangga, tidak banyak cakap tetapi rajin dan tekun bekerja, tidak pernah menuntut apa-apa dari suaminya. Hati Wang Lung senang, karena kemiskinannya dia tidak perlu membelikan barangan mewah seperti perhiasan, baju-baju atau sepatu cantik serta mahal buat isterinya. O-Lan sering membantu suaminya di sawah sesudah membereskan semua urusan rumah seperti memasak, membersihkan serta mengurus bapa Wang Lung yang sudah tua. O-Lan bersalinkan anaknya seorang diri dalam bilik, turun kembali ke sawah sebaik sihat dan beranak lagi selepas itu dan turun semula ke sawah; membantu Wang Lung membajak dan mencangkul – menanam padi, gandum dan sayuran.

Wang Lung dan O-Lan mengusaha tanahnya dengan tekun. Kala orang lain kebuluran akibat tanaman tidak menjadi kerana diserang petaka alam, tempat simpanan padi Wang Lung masih penuh berisi. Dia menyimpan wang dari hasil tuaian hingga mampu membeli tanah milik keluarga Hwang tempat O-Lan pernah jadi abdi dulu. Suatu ketika terjadi bencana kemarau melampau dan kelaparan; untuk mengelak dari mati kelaparan, Wang Lung bersama isteri, ayahnya yang sudah tua, serta tiga anaknya menyertai orang lain berpindah ke Daerah Selatan; meninggalkan tanah yang sudah tidak mendatangkan hasil itu. Di kota di Selatan mereka menjalani kehidupan jalanan yang sukar; seperti pengungsi kota yang lainnya – tidak punyai rumah dan makan sekadar pengalas perut pun tidak menentu. Wang bekerja tarik beca manakala anak, isteri dan bapanya yang sudah tuan bekerja minta sedekah.

Kehidupan di kota tidak menyeronokkan jauh daripada kesenangan. Apatah lagi lantaran pecah revolusi. Wang Lung hingga terfikir untuk menjual anak perempuannya untuk membeli makanan. Wang Lung sentiasa mengimpikan akan pulang ke kampung. Kesempatan yang baik dari suatu peristiwa kekalutan dan hiruk-pikuk manusia kota menyelamatkan diri, Wang Lung mendapat sedikit wang, untuk beliau membawa keluarganya pulang ke kampung – kembali mengusahakan pertanian.

Cerita kemudian berlanjutan hingga akhirnya Wang Lung mampu membeli lebih banyak tanah hasil dari kerja kerasnya serta bantuan isterinya O-Lan. Wang Lung sekarang sudah jadi tuan tanah yang mampu bermewah-mewah sebagai orang yang kaya, dan dihormati. Bagaimanapun menjadi kaya tidak sahaja memberikan keseronokan dan ketenangan.

Masalah datang silih berganti seperti serangan belalang yang menyerbu tanah pertaniannya, banjir besar, gangguan dari bapa saudara dan sanak saudara dan orang miskin lain yang datang mahu merompak hartanya. Dan dia sendiri malah tidak-mampu membendung hawa nafsu, hingga menjalin hubungan dengan perempuan lain. Di ujung usianya dan mula lupa-lupa, anak-anaknya yang yang sudah pandai mengira dan membaca mengkhianati keujudan dinastinya sendiri, apabila mahu menjual tanah dan hartanya.

Dinbatubara