Thursday, May 30, 2013

Nak Jadi Penulis (2)

Anda sudah banyak kali mengikuti kursus penulisan. Anda mahu jadi penulis tapi masih gagal jadi oenulis. Nak jadi penulis apa. Nak tulis apa. Tulislah apa sahaja. Novel ? Besar sangat tuuhh !!. Tulis cerpen dulu. Belum mampu tulis cerpen, tulis surat (gaya bercerita) kepada rakan-kawan - tak usah guna bahasa bombastik nanti anda dikatakan merepek pula. Rasa agak malu kut dikatakan sasau kerana tulis surat panjang-panjang, tulis catatan-catatan peribadi. Atau tulis apa sahaja di wall anda - perjalanan seharian anda, kisah anda masa kecil-kecil dulu, ingatan kepada emak di kampung, tentang kucing betina jiran sebelah yang baru mula menjalang, pokok jambu di hadapan rumah anda sudah berbunga semula dan lain-lain. Dan lain-lain. Banyak; yang boleh jadi bahan untuk ditulis. Ini sebagai latihan/mengasah kebolehan bercerita anda. Menulis hari-hari anda akan jadi penulis yang baik; kata Pak Subky Latiff.

Dari semasa ke semasa baca semula tulisan anda; dan teruskan tulis entah apa-apa yang sedang/ mahu anda tulis. Tak usah hiraukan disiplin penulisan/sastera. Biarkan itu hak pengkritik sastera (tatkala anda sudah jadi penulis besar nanti). Jika awal-awal anda memikirkan istilah-istilah/disiplin penulisan anda akan takut untuk menulis dan tak mampu untuk menulis. Dalam pada itu, baca terus tulisan orang lain (calon penulis mesti banyak membaca). Rasai kenikmatan membaca/ perhati macam mana - cerpen/novel tulisan si polan sipolan itu sedap/ menyentuh rasa. Nantinya anda akan terasa anda juga akan mampu menulis seperti mereka atau mungkin lebih baik dari mereka. Dan, boleh cuba-cuba tulis ikut gaya mereka. Meniru stail tak salah - anda pun belum ada identiti penulisan lagi. Lagi pun meniru gaya bukannya ciplak.

NAK JADI PENULIS. TAK TAHU NAK TULIS. BAIKLAH MENULIS. Salam

dinbatubara

Wednesday, May 29, 2013

Potret Kuala Kubu

Dan malam pun kian cair di pagi dingin
menyahut tarhim dari menara masjid ar-Rahimah.
Mengimbau-sayup takbir bulansabit menyurut
bersahutan tahmid kabus menuruni Bukit Fraser bugar;
menyusup mengelus ini rinduku yang berhimpun
di Subuh Suci.

Salam sejahtera beburungpagi.
Ini aku musafirlelah
bermukim di pedalamanmu. Ini kubawa salam dari wargakota
yang resah di hutanbatu angkuh
yang kerinduan ini taman megahmu
yang tidak terjajah.

Anginbasah mendesdah dan singgah di belkoni
mesra tertip menyapa.
Tuhan, Kau buka pintu-Mu
mempersilakan lalu desis akliku
menemui tafsir di Sungai Kubu.
Di sini ada cerita segala
kisah empang pecah dan raja dan pembesar dan Melayu dan penjajah
semuanya
potret sejarah bangsaku
itulah.

Rawang 13hb. Feb.; 2010

Monday, May 27, 2013

Sekelumit Cerita PRU 1964 dan 1969 di Kampung Aku

Tahun 1964. Ketika itu aku berumur 9 tahun; dalam darjah 3 Sekolah Kebangsaan Teluk Sareh. Teluk Sareh atau Kampung Empai itu boleh dikenal dalam satu entiti.

Orang kampung aku, aku dengar sedang sibuk untuk memilih seorang ketua. Ketua apa aku pun tidak tahu. Tapi di rumah aku ada beberapa helai gambar yang lebih kurang sama besarnya dengan gambar Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu; Tunku Abdul Rahman Putra al Haj, yang dibingkaikan cantik tergantung di atas jenang tingkap di anjung rumahku.Sehelai ialah gambar berwarna biru tua dengan lambang kapal layar dengan tanda pangkah di sebelah kanannya – kecil di bawah gambar. Di bawah gambar tertulis nama Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria – kata arwah emak aku dia itu orang Lambor; pangkat datuk kepada aku. Sehelai gambar lagi dengan saiz yang sama dicetak berwarna hijau; di bawah gambar tertulis nama Datuk Raja Abu Hanifah. Ada lambang kecil Bulan Bintang serta tanda pangkah di sebelah kanannya.

Sekali dua aku mendapati beberapa buah kereta meredah lopak dan lecah di jalan tanah di depan rumah aku. Kereta berbentuk lonjong berwarna hitam. Aku mengekorinya – mengamati bunyinya yang pelik dan menghidu bau asap yang berkepul di belakang. Siapa di dalam kereta itu aku pun tak tahu. Beberapa orang berjalan kaki dan berbasikal mengekori dari belakang kereta yang bergerak perlahan dan sesekejap berhenti tatkala tayar terbenam ke dalam lopak.

Mereka akhirnya tiba di surau kampung aku di tepi Sungai Perak. Di depan surau kereta berhenti. Seorang yang berperawakan kemas berbaju lengan panjang yang dikemaskan di dalam celana keluar dari kereta sambil mengucap salam dan terseyum-senyum mesra menghulur dan menyambut salam dari hadirin yang menunggu.

Mereka berkumpul di bawah surau. Tetamu yang diraikan berucap sambil menggawang-gawang tangan ke atas. Entah apa yang diberitahukannya kepada hadirin, aku tidak tahu. Tidak lama; lepas berucap mereka menikmati hidangan. Aku hanya meninjau-ninjau dari luar tingkap mendengar sepatah dua istilah dan seruan yang aku tak faham. Ah, majlis orang tetua. Seorang rakan memanggil aku – kami ada janji untuk berenang di parit yang sedang banyak kuntum teratai (yang sedang-eluk dan enak dimakan) bercelahan kuntum-kuntum bunganya yang indah menyerlah. Parit di tengah-tengah kawasan persawahan itu dikorek untuk membuat jalan raya merentasi kampung aku ke kampung Pulau Tiga seterusnya ke Kampung Gajah. Aku pun berlalu. Tak minat aku nak ambil tahu. Apa kesudahannya dari peristiwa itu. Entah. Aku pun tak tahu.

Aku tahu kemudiannya Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria jadi ADUN Kg Gajah tahun itu; 1964 (dalam Parlimen Parit). Persempadanan semula sempadan pilihanraya tahun (?) kampung aku di masukkan ke dalam kawasan pilihanraya Parlimen Pasir Salak, DUN masih di namakan DUN Kampung Gajah.

Tahun 1969. Aku sudah berumur 14 tahun. Aku sudah tahu makna pilihanraya. Parti yang sedang bergocoh untuk berebut sokongan rakyat sekarang ialah antara PAS dan Perikatan. Peringkat Parlimen wakil PAS ialah Cikgu Hashim bin Gera berlawan dengan calon Perikatan Dato Hussein bin Nordin. Khabarnya Hussein Nordin adalah Pengerusi Syarikat surat Khabar Utusan Melayu; juga sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Ketika itu pokok ketapang di depan kedai gunting itu batangnya baru sebesar paha. Kedai gunting itu milik abang Daud; dua pupu aku. Dia memberhentikan operasinya sepanjang kempen pilihanraya. Aku rasa panjang juga tempuh kempen tersebut. Kerusi tempat bergunting diketepikan. Ruang menjadi lebih lapang. Segenap penjuru dinding semilau hijau bertampal poster lambang Bulan Bintang – lambang Parti PAS. Di sebelah kedai gunting abang Daud ialah kedai kopi Pak Lui yang sudah dikosongkan juga. Ini bilik gerakan pilihanraya Parti Kapal Layar, Perikatan. Mereka juga sedang sibuk menampal dinding dengan kertas cap kapal layar; dan sekumpulan orang lagi sibuk mengelip poster untuk digantung merentangi jalan dan lorong.

Suatu petang Calon PAS datang berkempen di Bilik Pilihanraya PAS – kedai gunting Abang Daud. Aku sudah tahu namanya ialah Hashim Gera, khabarnya seorang bekas guru. Aku dicelah-celah ramainya orang kampung asyik, bersemangat dan ketawa berdekah-dekah, terkekeh-kekeh; dan ada yang senyum-senyum kambing mendengar pidato cikgu Hashim Gera. Cikgu Hashim sememangnya petah berceramah sambil menselang-selikannya dengan pantun. Di bawah pohon ketapang itulah.

Antara pantun cikgu Hashim yang masih aku ingat ialah :

Sampan layar berlayar malam
Nampaknya sudah berbalam-balam
Pemimpinnya rehat di atas tilam
Membawa Melayu mati tenggelam.

One two three,
Satu dua tiga
Orang Putih cabut lari
Negeri kongsi tiga.

One, two, three, four
Satu dua tiga empat
Husin Nordin kereta besor
Orang Parit apa dapat.

Antara orang kampung aku yang terlalu amat petahnya berpidato membantu calon PAS Cikgu Hashim Gera ialah bapak saudara aku sebelah almarhum ayah aku; Ayah aji Kole panggilannya. Nama sebenar beliau ialah Hj Sa’aduddin bin Yahya. Dia ini semasa lagi budak-budak mengikut arwah datuk aku ke Mekah dan terus 'menaun' di sana hingga remaja baru pulang ke tanah air. Terlalu lamanya beliau di Mekah hinggakan berbahasa Melayu loghat orang Parit/Perak beliau terikut slang Arab. Kenapa 'kole' – sebabnya ialah tatkala dia membaca surah ‘Waddhuhaa’ … pada ayat: Maa wad da’akarab buka wamaa qolaa; beliau menyebutnya : “Mee wad da’ekerab buke wemee qolee’.

Di surau depan rumah datuk aku; almarhum Tn Hj Yeop Majelis di Teluk Pedayung, Lambur Kanan (suatu petang aku berkunjung ke rumah tok aku itu) aku hampiri majlis penerangan/ kempen Perikatan. Yang datang ialah Dato' Hussein Nordin. Seorang penceramah sedang berucap menyebut (tak payahlah aku sebut namanya) : "Wan, wan ... mun kalu kalah pati kapal layo kite ni; jalan ghaye di tengah bendang tu digulong balik dek kerejaan ..." ... "Ate ndak ke wan-wan opan-opan semue ni makan ubi balik macam kite jaman Jepon kemaghin !!. Ha, pangkah le kapal layo kite; kalu tak endak balik macam itu..."

Kampung aku hingga terkenal sebagai kawasan hitam kerana jumhur orangnya memangkah Parti PAS. Yang dikenali mangkah Kapal Layar beberapa orang sahaja. Namun tidak berlaku perbalahan – mereka di antara mereka bukan orang lain – adik-beradik, anak saudara-bapak saudara atau ibu saudara, opah atau datuk kepada yang lain. Mereka bersama-sama berjemaah di surau; menghidupkan amalan bergotong-royong di upacara mendirikan rumah, berderau menanam padi, penuh hilai ketawa tatkala menebas dusun durian atau di upacara menumbuk minyak ketiyor; beramai-ramai menangkap ikan ketika ada pesta menuba ikan di Sungai Perak, penuh hormat dan takzim menyantuni peristiwa perkahwinan - mendirikan balai dan selasar serta dikenduri naik buai (potong jambul/akikah) atau berkhatan anak-cucu.

Hashim Gera mengalahkan Dato Hussein Nordin (Tan Sri). Manakala Calun DUN Kg Gajah dimenangi oleh Cikgu Mahmud Zainal Abidin juga dari PAS.

Pada hari berlakunya Tragedi 13 Mei Negara diletakkan dalam perintah berkurung. Sekolah tutup. Aku, bersama-sama abang membuat rakit dari batang pisang bersaiz empat kali 2 kaki dan menghiasnya dengan poster Kapal Layar – entah dari siapa abang dapatkan kertas-kertas poster tersebut. Setelah siap kami usung rakit berhias tersebut dan menghanyutkannya ke Sungai Perak. Belum sempat melepasi jarak 20 kaki ‘Kapal Layar’ kami terlanggar kaparan keladi bunting; berpuing-puing berpusing timbul tenggelam dan akhirnya tenggelam di bawah kapar. Abang dan aku ketawa berdekah-dekah.

MP PAS YB Cikgu Hashim Gera itulah satu-satunya dari Perak di pecat oleh PAS kerana dalam suatu malam keramaian di Dewan Bankuet Parlimen beliau menari joget bersama ‘perempuan joget’. Di dalam percakapan bela dirinya dengan Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat yang terdiri daripada ulama' PAS itu cikgu Hasim beritahu: "Joget adalah tarian bersih. "Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget itu) lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari".

Bagaimanapun Pas menolak penjelasan YB Cikgu Hashim itu. Perbuatannya mencemar nama Parti Islam yang didokonginya. YB Cikgu Hashim pun dipecat pada tahun 1972. Dan YB Cikgu Hashim terus duduk di kerusi Bebas di Parlimen sehingga pilihanraya tahun 1974. Cikgu Hashim selepas itu menubuhkan parti KITA dan bertahan sehingga tahun 1978.

Lama selepas itu aku sempat bersembang dengan Encik Mohd Hashim GG Edar yang menyebut mahu mempelawa Cikgu Hashim menyertai PAS di tempat beliau (Damansara ?); setelah dikatakan Cikgu Hashim memohon menjadi ahli PAS kembali di sebuah kawasan Ipoh tapi tidak diterima oleh ahli-ahli PAS di sana.

Aku menemui seorang menantu Cikgu Hashim, seorang doktor di Fakulti Perubatan, UKM. Deceritakan oleh beliau yang bapa mertuanya (Cikgu Hashim) selalu menceritakan parihal parti PAS dan perjuangan politiknya. Pun beliau yang sudah tua itu mahukan anak-menantunya mengisi borang menjadi ahli PAS.

Dan pokok ketapang tempat kami terhibur dengan seloka dan pantun Cikgu Hashim masih berdiri di situ; sekarang pangkalnya sudah sebesar dua pemeluk. Pilihanraya Umum Ke 13 ini akankah PAS Parit mengulangi kejayaan masa lalunya itu.

DinBatubara; 12hb. April 2013
Percakapan puisi dengan Mas Onn :

Ndak berpuisilah pula dengan Mas Onn (teringat mase-mude-mude kemaghin)
Siapa kata mu tidak nanar dikecewa.

dan rama-rama itu telah patah sayapnya
memapah ketis kaki di bawah redup sehelai daun yang sudi peduli
merawat luluh hati diramas kuntum pendosa.

Sang pendosa itu pun
terus juga dia terpana oleh canda musafir singgah
bertandang dan akan menghilang;
sedar amat dia.

Antara yang peduli dan pendosa
Ah, lelakiku
Siapa kata mu tidak nanar dikecewa.

dinbatubara
27hb. Mei; 2013

Wednesday, May 15, 2013

Gamitan Kenanganku:

Kesempatan balik kampung, singgah di sini di sekolah lamaku. Dari tahun 1968 hingga 1973 aku bersekolah di sini. Memangpun aku akan sering sekejap ke sini.

Di kafeteria ini – berteleku di meja kayu; kerusi-meja di sini masih banyak seperti yang dulu. Ingatan pun berkejaran datang, mekar dan membusar. Waktu itu; tak tahulah, apakah kerana aku ini jenis yang suka menyibuk atau tak boleh tercabar sedikit. Atau aku jenis yang tak tahu malu. Atau, tak faham isyarat provokasi rakan-kawan; aku jadi Ketua Persatuan Bahasa Melayu, AJK Persatuan Agama Islam dan AJK Persatuan Bulan Sabit Merah. Aku jadi Setiausaha Koperasi Murid-Murid. Aku jadi Bendahari Rumah Bendahara; iaitu rumah sukan di Sukan Tahunan sekolahku.

Mungkin juga kerana aku suka buat bising – bertengkar dengan cikgu, atau lebih nakalnya; maka untuk mendisiplinkan aku, cikgu lantiklah aku jadi Ketua Murid. Tugas aku ialah tegur bebudak yang tak masukkan baju ke dalam; tak pakai lencana sekolah atau tak pakai setoking; dan berdiri di belakang barisan murid-murid setiap assembly pagi Isnin. Kadang-kadang, mengenderai pesalah kutip sampah di tepi longkang, di belakang kantin atau di tepi pagar.

Kadangkala, tatkala mata-pelajaran pertama bermula aku masih jadi jaga di pintu pagar yang sudah ditutup – ambil nama murid yang datang lewat. Aku jadi pemantun bersama Nazri dan Azizah; berjual-beli pantun dengan Ketua Murid Sekolah Dato’Abdul Rahman Ya’acob Bota Kanan; tatkala sekolah tersebut membuat lawatan ke sekolah aku.

Suatu waktu ustaz Ismail Anang unjukkan teks syarahan untuk aku hafal – aku dipilih masuk pertandingan syarahan sempena Maulidur Rasul anjuran sekolah aku. Aku terkejut, tangan aku menggigil menyambut teks dari Ustaz. Dua minggu aku bercakap macam orang gila di depan cermin. Aku jadi johan – mengalahkan lima buah sekolah menengah lain dalam daerahku. Nama aku cikgu hantar ke pertandingan menulis assei anjuran sebuah sekolah menengah di Ipoh.

Pada hari Sambutan Ulang tahun Kemerdekaan; aku bersama kumpulan tarian sekolah menarikan zapin dan joget di Padang Majlis Daerah. Naziruddin Hambali senior setahun dari aku, jadi kariografernya. "Apa khabar Cikgu Besar Nazir; hampir 40 tahun kita tak berjumpa. Sambung sampai 60 kah. Badan lagi sihat; teruskan cikgu !!."

Kawasan lapang di sebelah kiri aku duduk ini; dulu ialah tempat kami menanam segala macam sayuran seperti sawi, bendir, kacang panjang, tembikai, timun dan petola. Tingkatan 3 waktu itu ada pelajaran Sains Pertanian. Di hujung sempadan sana ialah kuaters guru yang sudah ditinggalkan. Terdapat banyak tahi kelawar di atas silingnya. Kami panjat siling dan turunkan tahi kelawar; lalu, menaburnya di atas batas sebelum sayur ditanam.

Di sebelah kanan sana – blok tiga tingkat serta bangunan dewan yang tersergam itu; dulu ialah padang tempat kami bersenam. Selepas berlari dua pusingan, cikgu Zaini panggil kami main rugbi. Cikgu Zaini berdiri di tepi padang. Dan kami bermain – tidak ikut peraturan pun. Tiada tiupan wisel tanda foul. Kami sering protes; jika senaman pagi itu ialah melompat di atas meja jimnastik – berbaris kemudian melompat lepas seorang, seorang. Boring betul. Kadang-kadang Cikgu Zaini arahkan Arshad dan Derus angkut peralatan hoki, lengkap dengan topeng muka dan pelapik lutut. Derus yang bergaya mengenakan topeng berserta pelapik lututnya mesti jadi goli. "Apa khabar Derus. Khabarnya kau masuk polis. Ingat lagikah; lawatan Dato’ Idris Babji, Pengarah Pelajaran Perak ke sekolah kita. Dalam kelas; sambil berdiri, kita memperkenalkan nama masing-masing. Tiba di depan kau, dia kata nama kau salah. Nama engkau sepatutnya Idrus bin Idris; bukan Derus bin Deris" ...Ha ha ha ….

Di hujung susur gajah yang bersambung ke kantin ini ialah Makmal Sains. Masih seperti dulu. Di sebelahnya ialah Kelas Seni Perusahaan; di tingkat atasnya ialah Kelas Sains Rumah Tangga. Kadangkala harum bau kek – memang sah dari kelas itu; terbang meyusup masuk ke kelas aku; Tingkat 5 Sains yang letaknya bersetentangan dan dijarakkan dengan dua buah kelas sahaja. Meja aku di depan sekali di tepi pintu. Ah; tetiba pula teringatkan Ijan. Aku sering membuat isyarat bagi mencuri perhatian Ijan. Ijan yang sering membuang pandang keluar pintu; nakal, kadang-kadang menjelirkan lidah malu-malu membalas isyaratku. "Kau pastinya kerap hilang tumpuankan Jan; terhadap buah butir yang disampaikan oleh Cikgu Raja Rahmah; seperti aku sering terabaikan pengajaran guruku setiap kali ada kelas engkau di seberang sana."

Suatu hari aku terima surat Ijan melalui class-matenya. Ijan tulis di atas writing-pad berbau wangi. Tulisan dengan pena mata bulat. Tulisan yang kemas dan cantik. Dia minat kepada aku ? Ah !! Aku baca surat Ijan berkali-kali; memuji-muji itu dan ini. Ijan kata biarlah perkenalan ini kekal. Perkenalan ?. Beberapa hari, keliru apakah yang menyerbu di kalbuku. Takah indah, tanda aku sudah masuk alam remaja ? Hakikatnya aku bukan minat. Usikan jarak jauhku kepada Ijan ialah gangguan nakalku sahaja. Pun aku balas warkah Ijan; tapi jauh daripada bumbun bahasa yang meruntun jiwa. Berbaur kelakar adalah – menghargai perhatiannya serta ucapan terima kasihku. Itulah sekali. Aku selepas itu terus sibuk dengan aktivitiku dan persiapan SPM. Ijan, dengan SRPnya. Tahu-tahu musim persekolahan pun berakhir. Ingatan kepada Ijan pun terhenti entah bila dan di garis mana.

"Berapa orang cucu engkau sekarang Jan." Sekolahku; Sekolah Menengah Datuk Maharaja Lela, Kampung Gajah…., kau ibu-kandung penuh berbudi, penyimpan rahsia seribu kenangan.

ADILA KLASIK NASIONAL
Penerbit Fizawati Zainal
Disampaikan oleh Dato' Jalaluddin Hassan
24hb. April 2013