Thursday, October 28, 2010

Kempen untuk menang. Semua boleh

Berita yang baru dipaparkan dalam Bulitin Utama TV3, Perkhidmatan Kesihatan Pergigian (Oleh Puteri Johor ?) di sebuah Sekolah Kebangsaan Cina di Bandar Gua Musang - sebilangan pengkidmat jelas memakai T-shirt berlogo Umno.  Tidakkah lama sebelum ini sudah keluar Pekeliling Perkhidmatan yang sebutkan kawasan sekolah adalah kawasan bebas fahaman politik; malahan sesuatu tanda yang melambangkan kecenderungan kepada parti politik tertentu adalah di larang.  Guru Besar sekolah Cina itu sepatutnya diperintah menjawab surat tunjuk sebab.  Ada berani, ke PPD Daerah Gua Musang, Pejabat Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan ke menghantar surat tunjuk sebab. Berani potong jari;. mereka tak akan berani buat. Rupa-rupanya kepada Umno/ BN apa pun boleh; hatta melanggar undang-undang yang mereka buat sendiri.

dinbatubara

Friday, October 22, 2010

Melayu Pengasas Umno manusia Progresif - reaksi tulisan dari blog A Kadir Jasin

Assalamuualaikum Dato'

Saya boleh bersetuju dengan penegasan Dato’ bahawa ahli pengasas Umno (baca Melayu) adalah progresif. Perlu diperjelaskan; mereka ini adalah orang Melayu, Dato’. Tak ada yang berdarah campuran.  Apa lagi darah celup.  Mereka ini dari kelompok Melayu Jawa, Melayu Mandailing, Melayu Talu, Melayu Minang, Melayu Banjar; Melayu Bugis, Melayu Rawa. Mereka ini dalam (baca ‘dalam’ bukan ‘dari’) wilayah yang disebut The Malay Archepilago (Gugusan Pulau-Pulau Melayu; iaitu Malaya, Indonesia (yang berpisah dengan ‘Kesultanan Melayu’ di Tanah Melayu kesan Perjanjian Inggeris Belanda 1824), Kepulauan Borneo, Kepulauan Maluku, Singapura, Irian Jaya, Filipina (sebelum berlaku proses pengkristianan orang Melayu di kepulauan tersebut) – dari Madagaskar di Timur Afrika hingga ke Merauki di Irian Jaya. 

Mereka membina kekuatan dan semangat menubuhkan persatuan untuk menentang penjajahan. Betul  dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4hb. Mac; 1946 di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru KL (untuk pernubuhan PEKEMBAR; Umno dan diumumkan penubuhannya pada 11hb. Mei; 1946 pada Kongres Melayu Tanah Melayu Ke 3 di Johor Bharu – ke arah sebuah Negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya; memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu. Ini sebagai garis pandu dan timbang-terima kepada pematrian Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948 di King House, Britain – Perjanjian yang ditanda-tangani oleh Raja-Raja Melayu, dan Sir Edward Gent sebagai wakil Kerajaan British.

Menelusuri sungai sejarah perjuangan ini (sehingga 1946) kenapa bagai mahu disorok nama-nama seperti Dr Burhanudin Helmi, Pak Sako, Ahmad Boestamam dan gerakan-gerakan ulama; dan nama seperti Shiek Abd Rahman Limbong itu Umno ke, Tok Kenali Tok Janggut.  Mana ada Umno ketika itu.  Pun lama sebelum itu.  Kenapa klaim Umno sahaja yang berjuang; dan sehingga sekarang diratipkan kalau tak ada Umno Melayu akan mati

Sayugia Umno yang diterima British itu ialah lantaran penentang-penentangnya (yang disebut golongan kiri) diburu/ dibunuh dan di sumbat ke penjara. Tunku tidak berada di garis depan menentang penjajah British.  Pun wajib diketahui oleh orang Melayu sekeliannya dan khususnya Umno; bahawa era itu adalah era di mana Negara-negara penjajah (dari keputusan Piagam Atlantik; perjanjian  antara Perdana Menteri Inggeris Wiston Churchill dengan Presiden Amerika Franklin D Roosevelt, 1941 lalu dibawa ke PBB setelah keterbentukan Badan itu pada 1945) mengarahkan supaya penjajah membebaskan anak-anak jajahan masing-masing.

Sebab itu sejarah perjuangan Umno yang sering diratip oleh kepimpinan Umno sekarang; jika ditelusuri ke belakang tertumpu setakat penubuhan Malayan Union sahaja – kerana tidak setuju dengan gagasan Malayan Union, lalu tubuhkan Umno.  Lihatlah pada saban hari kemerdekaan yang diulang sebut ialah ‘perjuangan Umno – Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman kononnya membebaskan negara dari penjajahan. Hakikatnya mereka hanya menggariskan (seolah-olah mengisi borang) apa yang perlu dibuat, bagi maksud timbang-terima menerima kemerdekaan dari British.

Generasi Umno hari ini mana tahu sejarah ini, Dato’.  Pelajaran sejarah yang diajarkan di sekolah rendah dan menengah ialah sejarah tentang pelanduk berlaga di bawah pohon melaka lalu tercipta nama Melaka.  Yang dipelajari ialah setakat mengingati kepahlawan Hang Tuah; yang entah mana akar sejarahnya – tak ada pun waris atau keturunan Hang Tuah yang ditemui hari ini.  Maka timbullah ungkapan Tak ‘Kan Melayu Hilang di Dunia. Hakikatnya kubur Hang Tuah pun orang tak tahu entah di mana.  Yang dipelajari ialah kononnya Yap Ah Loi buka Kuala Lumpur.  Siapa bagi kuasa kepada Yap Ah Loi buka Kuala Lumpur.  Sedangkan waktu itu sudah ada Melayu yang berkerajaan di situ.  Yang dipelajari ialah Francis Light buka Pulau Pinang, sedangkan sudah ada kerajan Melayu di situ.  Yang disogokkan kepada budak-budak sekolah rendah/menengah ialah Stamford  Raffles buka Singapura,, ketika itu sudah ada kerajaan Melayu di Johor (yang merajai kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga; wakilnya Temenggung Abdul Rahnman di Singapura.. 

Dan sepatutnya kena bagi tahu kepada pelajar-pelajar di sekolah menengah lagi bahawa tak sampai pun 50 tahun Umno memerintah (baru 7 tahun dari 1963; pada tahun 1965) Singapura diserah kepada Lee Kwan Yew.  Tahun 1965 Parlimen sudah ada – mana ada suara bantahan dari orang Melayu (Umno) di Parlimen terhadap cadangan Tunku nak serah pulau milik Melayu itu kepada Lee Kwan Yew.  Islam perintah Sepanyol selama 500 tahun, baru  kemudiannya jatuh kepada bukan Islam pada tahun 1923.  Kerajaan Othmaniah Turki memerintah dari 1299 - 1923 (jatuhlah juga, disebabkan oleh kealpaan pemerintah Islam dek terlalu lama memerintah serta faktor kelemahan ekonomi).  Ini Umno tak sampai 10 tahun sudah kolepth.  

Barangkali perlu ada universiti yang pengkhususannya mengajarkan sejarah seperti universiti di Britain  yang mengajarkan ragam orang Timur – bagaimana nak jadi orientalis.  Berani Umno mencadangkan dalam perhimpunannya yang sedang berlangsung sekarang supaya ditubuhkan sebuah universiti yang khusus mengajarkan sejarah tamadun Melayu ini hingga kita mampu belajar pula akan ragam Barat hingga kita mampu dalam 100 tahun akan datang menjajah Barat.  Barulah menepati glokal yang dikehendaki oleh Najib seperti ucaputama – ucapan dasar beliau itu.

Melayu kena bagi tahu sejarah ini Dato’ supaya mereka tidak hilang agenda perjuangan.  Sejarah kena ulang-tayang semula, kena beritahu kepada generasinya.  Sejarah jangan di bagi mati.  Kalau sejarah mati, politik juga akan ikut mati.

Akhir sekali Dato’ saya teringat pantun arwah Cikgu Hashim Gera dalam kempen pilihanraya umum 1969 di bawah pokok ketapang di depan kedai sederet kampung saya di Teluk Sarih, Parit, Perak; kawasan yang dimenangi oleh beliau.  Ketika itu saya berumur 15 tahun  Pokok itu masih ada di situ, Dato’ – sudah dua pemeluk besarnya.
Kata arwah Cikgu Hashim; 
                                         Kapal layar belayar malam,
                                                Nampaknya sudah berbalam-balam
                                         Pemimpinnya rehat di atas tilam
                                                Membawa Melayu mati tenggelam.  


dinbatubara

Thursday, October 14, 2010

Yalal Chin di HUKM; semoga segera sembuh

Tengahari tadi waktu lunch ziarah Sdr Yalal Chin di Wad CCU, HUKM.  Dia dimasukkan ke hospital kerana serangan darah tinggi.  Ini serangan yang paling teruk yang menyebabkan dia mengalami pendarahan otak.  Ada tiga empat kali sebelum ini dia mengalami serangan serupa.  Dan pernah sekali serangan yang juga teruk; dia di masukkan ke hospital Seremban. 

Makmal kami menerima sampel CSFnya pagi tadi.

CSF – cerebrospinalis fluid (cairan cerebrospinalis) ialah cairan jernih yang menempati ventricles pada otak, cisterns di sekeliling luar otak dan subarachnoid di sekeliling otak dan spinal cord.  Ia berfungsi penting untuk :

1.         Memberikan physical support pada otak.
2.         Memberikan perlindungan terhadap perubahan mendadak yang berlaku pada tekanan darah venous (respiratory dan postural) dan arteri kesan daripada pressure (tekanan darah).
3.         Memberikan excretory waste function kerana otak tidak mempunyai system limfatif.
4.         Jalan transportasi bagi faktor-faktor yang dikeluarkan oleh hypothalamus.
5.         Menjaga central nervous system.

Yang mana satukah subjek dari tersenarai itu yang menyebabkan pentingnya cairan CSF itu diambil keluar sedikit oleh doktor untuk diperiksa kandungan protein dan gulanya serta dijalankan pemeriksaan micbrobiologi – bagi mengetahui perubahan kandungan kimia tersebut; akibat dari pressure atau kebarangkalian ada jangkitan kuman.

Yalal sudah dua minggu di wad.  Dia seorang yang kuat semangat.  Kata ibu mertuanya; pagi itu Yalal memandu sendiri keretanya ke hospital dari Nilai (dalam keadaan dia sedang sakit);  di masukan ke wad selepas menerima rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan.

Yalal Chin.  Saya mula mengenali beliau menerusi teater Awal dan Mira karya Utoi Ttatang Sontani yang dipentaskanan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (kalau tidak silap pertengahan tahun 70an). Teater dengan watak hanya dua orang itu dilakonkan bersama Azizah Nok (rakan sekolah saya semasa di SMDML, Kg Gajah).  Teater dianjur oleh Badan Budaya Universiti Malaya – Azizah dan Yalal bekerja di situ.

Yalal lahir dari teater.  Pemain teater sezaman beliau ialah seperti Omar Abdullah, Sidek Hussein, Abu Bakar Juah, Muhammad Abdullah, Yussof Akib,  Ibrahim Akil, Jamaludin Kadir, Othman Hafsham (yang lebih kepada menjadi juru tunjuk), Ahmad Yatim (yang baru pulang dari berkelana di Australia ketika itu), Mustaffa Noor,  Rahim Razali, Ahmad Tamimi Saregar, Meor Hashim Manaf, Suhaimi Baba, Norma Nordin, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi sebagai menyebut beberapa nama.  Rahim Razali, Othman Hafsham, Mustaffa Noor, Ahmad Yatim dianggap sifu..  Ketika itu teater sedang subur di Kuala Lumpur 

Di Kuala Lumpur ada Kumpulan Seni Budaya Kuala Lumpur, Kelab Teater Kuala Lumpur (KTKL), Kelab Teater Bandaraya, Group Teater Elit (GTE) di Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Dinsman, Ajikik dan Sutong Umar RS, Kelab Teater IBU di bawah Malina Manja – di situ ada antaranya Asmahani Hussein, Tawil, Basari Hassan; dan banyak lagi kumpulan-kumpulan serta kumpulan pelajar teater anjuran Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan di Tmn Budaya ; di bawah asuhan Matari Raman, Hassan Jali dan Mokhtar Moin. 

Panggung Bandaraya di Pusat Bandar (bersebelahan Balai Polis Jalan Bandar) dan Taman Budaya Jln. Tun Ismail (belakang Pejabat JKR, Jln Dato Onn berhampiran Studio Anak Alam), sekarang di kenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sentiasa ada kegiatan; sama ada latihan atau pementasan. 

Yalal berteater dengan kelabnya di UM (rasanya Johan Jaafar ketika itu masih student di UM – dia pentaskan teater ‘main-mainnya’ Kotaku oh Kotaku dalam pertandingan drama di Dewan Serbaguna Datuk Keramat.  Lepas itu Johan menghasilkan Angin Kering yang dikira sebagai masterpeace beliau).

Dan Yalal berlakon hingga hari ini sama ada di pentas teater, film dan di TV; menjadi pengarah dan perunding skrip.  Ada antara rakan-rakan sudah berhenti berlakon. Yalal memang pelakon watak yang baik.  Asas teaterlah yang membentuk lakonannya.  Kemampuannyalah makanya dipilih oleh Abdullah Zainol bagi memegang watak dalam drama TV Anjung Batu, karya Jaafar Khan; yang dilakonkan bersama Nancy Foo.  Abdullah Zainol yang terkenal pentingkan karekter dan perfectionist.  (Pelakon yang jadi ‘orang’ Abdullah Zainol ialah seperti Muhamad Abdullah, Omar Abdullah, Fauziah Nawi, Tamam Idris, Abu Bakar Juah – sekadar menyebut beberapa nama).  Yalal berlakon dalam Alang Rentak Seribu arahan Ahmad Yatim pada 2003 di Istana Budaya.  Beliau berlakon dalam teater Puteri Gunung Ledang 2006 dan drama-drama pentas yang lain di samping telemovie di RTM dan TV3.

Yalal tidak sukar untuk berlakon bersama-sama pelakon baru seperti muncul bersama Aqasya, Awal Asyaari, Fadhil Dani, Rita Rudaini dalam Noktah Erna, slot Samarinda TV3.  Dalam telemovie Tetamu Malam, skrip Nurhalim Ismail terbitan Eurofine, Yalal berlakon bersama Ady Putra, Shafiq Samuri, Norman Hakim dan Zaidi Omar. Zaidi kira orang lama jugalah.  Pelakon-pelakon muda tentunya beruntung dapat pengalaman, tunjuk-ajar dan pelajaran dari Yalal Chin.

Yalal sekarang sedang koma.  Ramai rakan taulan beliau.  Mari  kita bersama-sama membacakan yassin dan berdoa akan kesihatan beliau.  Semalam saya terjumpa Pak Aziz Sattar dan Sdr S Sahlan di kafeteria HUKM; baru turun dari Wad CCU, Tingkat 6, menziarahi beliau.    Semoga Yalal akan segera sembuh, Amin.  

14hb. Okt.; 2010 

dinbatubara

Wednesday, October 13, 2010

dulu kini dan selamanya - Untuk ADILA Klasik Nasional

Dia terkejut bila aku ambil tempat duduk di sebelahnya.  “Buat apa,” katanya seperti kurang selesa.  Aku kata; “Kalau ada si Mamat gila tu ganggu awak, ikut sampai kampung; macam mana.” Dia pandang aku selamba.  Aku mengulas merepek perihal seronok melempar beg galas menerusi tingkap dan melompat ke dalam gerabak sebaik keretapi masuk ke platform; menyusuri lorong dari koc ke koc mencari di bangku mana beg yang dilempar berada. Dia tersenyum.  “Macam tu jika mahu dapat duduk;” kataku.  Dia sendiri maklum. Iya, kalau tidak anda akan berdiri sampai ke Ipoh.  Nasib kalau ada orang dekat anda turun di Sungai Buluh ke, Rawang atau KKB ke.  Atau anda akan terus berdiri sambil meratip berdoa: “Adalah orang turun di Tjg Malim ni”, “adalah yang turun di Slim River, hendaknya”.  Dan akhirnya anda jadi tak kisah lagi sambil manahan kebas kaki ketika keretapi melintasi Sungkai dan Tapah. Orang ramai !  Warga kota mula balik kampung – lagi tiga hari nak Raya.  Keretapilah pilihan, sebab teket bas dah habis; tambang pula agak murah dan sesuai untuk kembara keluarga – kalau beranak kecil, boleh gantung buaian; susah-susah atas lantai boleh duduk, malah tidur. Atas penyambung gerabak, tepi pintu, tepi tandas, semua boleh.  Di kantin juga boleh, asalkan berbelanja lebih sedikit – sebungkus nasi lemak $2.50 (harga di luar baru 50 sen), secawan kopi O $3.00 (di luar 70 sen).  Tapi duduk tak boleh lama-lama; tak tahan, taukeh asyik kerling.  Penumpang Gerabak Kelas 3 – itulah cabaran. Lagu-lagu Raya P Ramlee dan Fazidah Joned berkumandang dari radio bimbit sebilang penumpang.

Puas hati.  Dia sandarkan kepala ke penyandar.  Kami diam buat beberapa ketika. Kuap-pengap mula terasa.  Penumpang semakin ramai berasak-asak. Diam tiba-tiba diterjah suara lunaknya :  “Buat apa hantar.  Saya minta tolong belikan teket, je.” katanya dengan pandangan melotot.  Aku terkesima.  Keretapi mula bergerak. 

Itu bukan yang pertama dia minta tolong.  Dah selalu.  Tiga empat kali tolong belikan tiket bas ekspres di Pudu Raya. Yang lain ialah temankan dia balik dari pejabat  ke rumah sewa. Ada seorang lelaki yang nampak kurang siuman hampir setiap hari mengekori dan menunggu di tangga naik ke domnya.  Di waktu lain tolong dia pindah rumah dan lain-lain dan lain-lain.  Kelakarnya dia juga minta pendapat aku tatkala seorang rakan serumahku ajaknya dating di AIA building.  Aku ketawa besar.  Rupa-rupanya, rakan serumahku  lebih mendahului aku.  “Tanya saya buat apa. Pergi, le;” kataku. 
 
Dia bekas penuntut ITM (sekarang UITM).  Berhenti sesuka hati. Kerja gila – gerakan pelajar mahu Pengarah disingkirkan.  Dia terlibat sama – kunci pintu pagar tak bagi Pengarah masuk.  Hal Ehwal Pelajar bertindak arahkan semua pelajar balik kampung dan datang semula selepas dua minggu.  Tapi dia degil tak mahu balik ke kampus. Minta kerja pramugari MAS – tak ikut sessi ujian fizikal sampai habis, sebab kena ujian berenang di kolam renang pakai bikini; “tak kuasa” katanya.  Jadi guru sementara.  Temuduga kerja di sebuah pusat pengajian tinggi – tempat aku.  Berjaya.  Dia pun jadi rakan sekerja aku.

Sebagai teman sekerja; biasa-biasa sahaja – tidak rasa pun dia istimewa. Ada aku dengar satu dua cerita tentang dia dari kakak-kakak sekerja.  Pernah ku lihat matanya bengkak-sembab, merah; trauma kesan menangis dan moody sepanjang hari – bergaduh dengan boy-friendlah, tu.  Aku tak ambil pusing. Aku pula bukan suka sangat dengan perempuan.  Ada yang kata aku ini anti perempuan. Memang, perempuan ini menyusahkan.  Duniaku; lepas kerja, kelas malam – ambil HSC; dua kali seminggu ke Taman Budaya Jln Tun Ismail – berlatih teater. Hari Sabtu – kerja separuh hari;  sebelum balik  ke rumah, singgah di kedai buku Jln TAR; aku jelajah kedai itu dari tingkat bawah hingga tingkat 4.  Kalau tak beli pun tumpang-tumpang baca. Hujung minggu; sama ada terperap di rumah - basuh kain, sterika baju, kiwi kasut, memasak, dan atau merajut puisi (hantar ke akhbar mingguan atau untuk baca dan syok sendiri) atau ke Jln Belanda tengok pameran lukisan Raja Azhar, Siti Zainon Ismail, menikmati deklamasi puisi sambil melukis oleh Ju Rahimaya, dan melihat demonstrasi buat lukisan batik Tan Rahim Zahici.    Sesekali ada Babu Pakistan buat persembahan main ular dan silap-mata potong kepala orang.  Menghiburkan.  Sesekali, kalau ada cerita bagus nonton tayangan pagi di Colesium.  Seorang aku.  Itulah dunia aku.

Memang ada usikan dan cabar-mencabar antara aku dengan seorang rakan sekerja. “Kita cellengge siapa dapat dia;” kataku.  Sebenarnya kami tidak buat apa pun.  Beraninya had itu sahaja.  Tapi sosek-sosek yang kudengar menyebut: rapatnya aku dengan dia melebihi rakan-rakan lain. Kelakarnya, pemikiran dan pendapat kami selalu berbeza – bertengkar. Kira-kira bahasa orang sekarang: tak ada chemistry langsung.  Pernah dia menangis kerana sikap ku. Kami pun tidak bertegur dua tiga hari. Lepas itu, entah macam mana baik semula.  Aku ni keras hati dan ego kata dia.

Gemertap roda keretapi meniti landasan bingit.  Sesekali denyit-ngilu menusuk ke telinga, menerjah pangkal pipi. Sesekali bunyi bergemuruh; gerabak menyusuri jambatan melintasi anak sungai. Bahang panas keras jam 11.00 pagi merempuh jendela terbuka dan menampar muka. Sesekali bau asap dari lalang terbakar di tepi landasan berbaur asap disel minyak keretapi menusuk ke hidung. Bahu kami saling betolakan dan terhinjut-hinjut oleh gerabak yang bergoyang kuat – pengalaman mendebarkan emosi hujung remajaku; pun rasa bangga dapat duduk di sebelah gadis cantik dan bijak.  Seronok mendengar cerita dia. Macam-macam dia beritahu – tentang pengajiannya di ITM, fasal kampung dia, persekolahan di Anglo Chinese School; malah tentang hubungan dengan abang angkat yang tak jadi meminangnya. Aku ? Orang lelaki mana ada cerita menarik. 

Aku kata; perempuan ni macam melihat panorama dari jauh – banjaran gunung, hutan membiru, keluk-ketak awan dijelajah sekawan burung tinggi di angkasa. Memang cantik.  Tapi bila sampai ke situ baru tahu yang sebenarnya.  Ada harimau; lurah dan jurang – duka dan pilu seorang wanita.  Wanita adalah gedung rahsia yang tersembunyi.

Giliran bual aku pula.  Aku buat pertanyaan gila; pendek sahaja.  “Kalau saya hantar emak saya pinang awak, macam mana”.  Terdiam.  Mungkin dia tidak mendengar.  “Boleh tak, saya hantar emak saya pinang awak”. Dia nampak terkejut dan terus mendiam.  Aku tidak terus mendesak.  “Tak apalah, saya bukan hendak awak jawab sekarang.”  “Kenapa terus jump to conclusion;” katanya.  Ah, style budak ITM zaman itu; 1980an.  Ada ek sikit pada bahasa dan intonasi. “Iyalah, saya hendak ambil awak jadi isteri saya.” 

Kami tiba di stesen keretapi K.  Kami berjalan kaki ke stesen bas. Dia naik bas ke kampungnya.  Sambil menghulur beg pakaiannya tatkala dia naik tangga bas, aku pesan lagi; “Jangan lupa, beri tahu mak.”  Kami berpisah.  Aku naik bas kembali ke KL. 

Kami kahwin selang setahun selepas hari raya tahun itu. Kami dikurniakan enam orang anak; empat daripadanya sedang menginjak dewasa.  Aku dan isteriku pun rupa-rupanya sudah mula tua. “Isteriku, anak-anak kita sudah tidur.  Lepaskan lelahmu, dengarkan khasidahku yang singgah di peraduanmu.   Ku kucup keningmu, kubelai rambutmu.  Di kejauhan begini, isteriku, kaulah.” 

14hb.Okt.; 2010/ 7 Zulqaidah 1431H

dinbatubara