Sunday, November 25, 2012


Baru Belajar Nak Jadi Pencuri

TEMPAT : Foyer Masjid al Ehsaniah, Kg Melayu Bt 16, Rawang.
TARIKH : 25hb. Nov.; 2012
MASA : 1.00pagi

Nazir - Kamu tinggal di mana ?
+ Taman T*n T**a
Nazir - Hai, seberang jalan sana. Kamu nyeberang ke mari. Kenapa kamu tak masuk
ke TESCO tu; ke May Bank tu ke. Atau ke rumah-rumah tokeh di taman tu.
Kamu sedang belajar nak jadi perompak !? Berapa umur kamu ? (kepada
budak pertama)
+ 14 tahun.
Nazir - ....Tingkat 2. Sekolah mana ?
+ Sekolah Menengah R****g
Nazir - (kepada budak nombor dua) Kamu ? ... Tingkat berapa.
+ Tingkat 1
Nazir - Sekolah ?
+ Sekolah Menengah T*n P***k
Nazir - Musim cuti sekolah begini … nak cari duit pergilah mintak kerja basuh
pinggan kedai mamak ke. Mintak kerja siram atau pangkas bunga di nurseri
ke. Ini pecah masuk ke masjid. Kamu tadi berempat bukan;
+ Tak ... bertiga.
Nazir - Mana yang seorang lagi (mengalih pandangan kepada budak-budak 'punk'yang
menangkap budak berdua tersebut...
+ Dapat terlepas ... tak berbaju lari ikut pintu sana (sambil menunjuk ke
sebelah kanan masjid)… Dia orang ni berempat, ni. Itu basikalnya ada empat
buah.
Nazir - Kamu (kepada budak pertama) ... bapak kamu kerja apa.
+ Sekuriti...
Nazir - Emak ?
+ Tak kerja
Nazir - Kamu (kepada budak nombor dua) .. ayah kerja di mana.
+ Pahang ... Jengka 18
(Perbualan beberapa kali terhenti kerana panggilan masuk ke telefon bimbit
dari polis minta penjelasan lokasi masjid)
Nazir - Peneroka ... tanam sawit. ... habis kamu tinggal dengan siapa.
+ Dengan emak.
Nazir - Emak, bekerja ..
+ Tak
Nazir - Macam mana belanja sekolah kamu.
+ Ayah hantar belanja

(Timbalan Nazir pun tiba membawakan tiub basikal lalu mengikat kaki kanan
dan kiri budak berdua itu sambil mengomel)

Timbalan Nazir - Kita gantung budak ini kepala ke bawah (sambil dia mendongak
kepala ke atas konon mencari kepala tiang tempat menggantung dan
mengeluarkan kamera membuat beberapa snap).
Nazir - Tahan ke getah tu
Siak Masjid - Kita ikat ke tiang astaka tu, ke. Dan cari kerengge. … Kamu tahu
kerengge itu apa.
Timbalan Nazir - Dah hubungi bapa dia ke ?
Nazir - Saya fikir tak perlu. Tok 4 saya telefon tiga empat kali. Tak berjawab.
Tengah tidur nyenyak agaknya tu. Saya sudah hubungi polis … dalam
perjalanan. (Mengalihkan pandangan kepada budak berdua) …Kesian mak
kamu. Masakkan makan bagi kamu makan, basuhkan seluar baju. Bagi busuk
nama dia … mencuri, pecah masuk … ke masjid pulak tu. … Dah berapa kali
kamu curi duit masjid ni.
+ Dua kali
Nazir - Dua kali. Bukan dah banyak kali. Kami ada tengok gambar kamu dalam sisi TV.
+ Dua kali. Sumpah. Demi Allah
Nazir - Jangan sebut nama Allah … menipu pun kau nak guna nama Allah. Pukul berapa
kamu biasa balik rumah .
+ (Budak satu) pukul 12 … pukul satu.
Nazir - Mak kamu sudah tidur. Kamu ada kunci pendua ?
+ (Budak satu) Tak ada.
Nazir - habis macam mana kamu masuk rumah.
+ (Budak nombor dua) Ketuk pintu.
Nazir - Kamu tak kesian pada mak kamu. Dia jadi babu, jadi jaga … bukakan pintu
untuk kamu.

Kereta peronda tiba. Keluar dua orang anggota polis berpakaian seragam.
Beberapa perbincangan. Kedua-dua budak di tolak masuk ke dalam radio car
dan di bawa ke balai. Nazir minta Timbalan Nazir dan dua orang budak
‘punk’ yang menangkap ke dua-dua itu yang sedang mengompel peti besi dalam
masjid keBalai Polis Rawang buat repot.

Geram. Tiga empat kali kejadian dari penghujung tahun lepas hingga akhir ini masjid kami menjadi sasaran jenayah kecilan – hilang basikal, hilang motosikal, peti wang derma dilarikan, rak tempat kasut/penutup longkang hilang.

Sayu melihat kedua-duanya di heret masuk ke dalam kereta peronda polis. Melihat anak orang; teringat anak kita. Petang tadi dapat tahu kesemua mereka ialah lima orang. Dan kesemua mereka malam tadi tidur (tak tidur ? –interegation hingga jam 5.00pagi) dan baharu dilepaskan jam 9.00 pagi tadi.

dinbatubara

Saturday, November 24, 2012

Pagi hari minggu yang cerah.

Pagi hari minggu yang cerah. Selepas makan ubat sambil mendemah lutut yang bengkak. Menghadap ke luar tingkap ...

Di depan rumah saya ialah sepohon jambu yang kerap berbuah. Di situ juga tumbuh pohon kari dan senduduk – pernah seorang rakan dari kampung yang singgah di rumah memberi komentar; buat apa dibiar pokok senduduk; pokok liar yang tidak berapa berguna (kecuali kepada cabangnya yang cantik dipangkas dan dibuat lastik oleh budak-budak nakal buat melastik segala kelawar yang melekap di bawah pelepah kelapa dan segala ciak dan merbah; atau sesekali pucuk mudanya dipetik dan diuli dengan kapur dan disapu ke dada kanak-kanak asma). Saya berdegil lalu membiarkannya terus mekar. Saya kerap ralit menatap kelopak bunganya yang ungunya; meski sesekali rimas tatkala dedaunnya menjadi tua dan menyerlahkan ranting-ranting berceracak. Di sebelah rusuk kanan rumah saya ialah pohon belimbing yang mulai renggeh namun ramah juga berbuah.

Pohon jambu, senduduk dan belimbing sering berpakat serentak berbunga. Warna merah-ungu pun merata ruang. Segala kecil-besar kumbang, lebah dan tabuan datang hinggap dari kelopak ke kelopak dari kuntum ke kuntum. Sang kelicap juga bercelahan hinggap menerukkan paruh tajam melengkung jauh ke dalam rahim bunga dan sesekali menerjah menusuk bebola keras buah kari. Masing-masing memperoleh rezeki kurniaan Ilahi.

Di kala buah mulai ranum berdatanganlah serindit, gembala kerbau dan balam. Berterbangan; meniti dahan ke dahan antara pohon belimbing dan jambu; mengungsi. Tiada pertarungan menikmati rezeki anugerah Tuhan. Semuanya keriangan.

Satu ketika seorang rakan membawa usul supaya dipangkas pohon jambu yang mulai meninggi; supaya pohon menjadi lebih rendang. Pohon jambu saya pangkas menjadi setinggi tujuh kaki. Beberapa musim beburung tidak lagi singgah. Tidak kelihatan lagi serindit berbulu cantik atau tiong bersuara nyaring. Hilang segala kicau gembala kerbau dan siulan balam. Hati saya menjadi gundah. Terus-terusankah semua beburung pindah.

Saya kembali membiarkan tunas baru pohon jambu menancap ke langit. Biarlah dia melonjak setinggi yang dia mahukan; dan sekarang sudah kembali melepasi bumbung rumah saya. Sekarang beburung sudah kembali singgah dan meriah.

Dinbatubara

Wednesday, November 14, 2012

Catatan Tertunda - Coretan untuk ADILA

Bulan Melayu sekarang, Sya’ban. Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan bulan-bulan lain dalam kalendar Islam itu, orang kampung aku sebut bulan Melayu. Ini kisah masa aku budak-budak dulu. Ini bulan orang sudah tidak turun ke sawah. Padi sudah habis dituai dan di simpan dikepuk; cukup untuk bekalan makan sekeluarga enam bulan mendatang. Tiga bulan lagi baru turun semula ke sawah. Yang tinggal di sawah ialah rumpun-rumpun jerami kering yang tegak merenta dan belukar kecil yang mula merata. Langit biru. Beberapa ekor kerbau sedang bermalas-malas di lopak-lopak kering di pinggir permatang.

Bahang panas bulan Sya’ban sesuai benar – orang kampung menjemur padi di halaman rumah masing-masing. Padi yang sudah benar-benar kering akan di mesin atau ditumbuk dengan lesung endek bagi mengeluarkan berasnya.
Ikan di lopak dan tali air sudah habis dikutip; dan sekarang sedang bergantungan di depan rumah di bawah bakaran matahari untuk menjadi ikan kering. Emak juga buat pekasam.

Apa lagi aktiviti orang kampung aku. Mereka berpakat untuk kumpulkan kayu api pula. Ada beberapa batang durian yang tumbang di hujung kampung; dan beberapa pokok getah tua yang sudah punggor dimamah usia di sempadan tanah ayah alang.

Arwah abah pakat pak saudara dan emak saudara aku serta beberapa orang lain menebang. Mak cho bawa gergaji besar. Abang Ripin pikul kapak dan baji. Batang-batang durian dan getah saiz sepemeluk itu mereka potong beramai-ramai silih berganti. Penat menggergaji mereka berhenti sambil makan kudapan yang dibawa. Ketulan kayu berukuran sekaki setengah setiap satu itu mereka bahagi-bahagikan sama rata.

Tugas mereka seterusnya nanti ialah membelah bungkah kayu itu menggunakan kapak besar menjadi pilar-pilar sebesar lengan budak. Pilar-pilar kayu itu dibiarkan simpang perenang di depan rumah untuk dibaham cahaya matahari. Bau kayu durian dan getah yang dibakar matahari berassimilasi bau jemuran padi dan ikan yang sedang disalai di ampaian mengeluarkan bau khas desa petaniku. Aku dengan beberapa orang rakan seronok menyusun pilar-pilar kayu sambil menghalau ayam yang mencuri padi di jemuran. Pilar-pilar kayu disusun bersilang setinggi empat kaki berbentuk kotak atau seolah-olah rumah pangsa sekarang. Belum sempat terdiri setinggi ubun kami, rumah pangsa itu rebah. Kami menyusunnya semula. Adik perempuan aku ambil anak ayam lalu melepaskanya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam melompat keluar dan kami tangkapnya semula dan meletakkannya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam keluar lagi. Kami menangkapnya berkali-kali.

Seminggu pilar-pilar kayu sudah cukup kering. Kami anak-anak abah angkat pilar-pilar kayu dan susun di bawah rumah dapur. Orang kampung aku mana ada dapur minyak. Semua pakai dapur kayu. Kayu itu juga untuk memasak nasi dan menjerang air untuk more berbuka bulan puasa di surau.

Bulan Sya’ban, selalunya kami tidak bermain jongkang-jongkit di atas tunggul kelapa di tepi paya sambil menyanyikan lagu : “Cong cong codak, codak mayang labu; mana pergi budak, ambil air selabu. Buat apa air selabu, nak asah lading. Buat apa lading, nak tetak bemban. Buat apa bemban, nak jolok bulan. Buat apa bulan, nak buat agok adik.” Permainan kami bulan ini ialah duduk di hujung kayu terjongkit yang sedang digergaji oleh mak cho dan wah. Seronok duduk berjuntai kaki sambil terhinggut-hinggut ke kiri dan kanan; menunggu hingga kayu putus dan kami terguling di dalam semak. Kami pun ketawa terkekeh-kekeh. Atau pun main yang juga asyik iaitu mendirikan rumah pangsa; hingga tidak sedar ayam makan jemuran. Seronok teringat kisah lama; mungkinkah kerana aku sudah semakin tua.

Kiriman : Naharudin bin Abdul Rashid (DINBATUBARA)

Tuesday, November 13, 2012

seghapah apak kume

Dalam ujan ghenyei-ghenyei keme ngulum biji doyan.
Ini buah yang kume makan daghi bakti oghang tetue.
Pagi Jema'at yang ceghah apak kume beseghapah
tatkale anak benih mencecah ke tanah : "tumbuhlah kamu bebuah-lebatlah kamu
demi untuk anak cucu aku".
Kini dan seterusnye ghapatlah kume para kerabat dan persedaraan. -
Cangkat Ghambei 13/11/12

Friday, November 9, 2012

Sek. Men Dato' Maharajalela Kg Gajah - Bagaimana akan aku lupa


Aku dulu bersekolah di  Sek. Men. Dato’ Maharaja Lela Kg Gajah, Perak.  Tahun ‘68 hingga1972. Tersohorkah sekolah itu ?  Entah.  Ada dari sekolah itu lahir seorang menteri ?.  Tak terdengar pulak.   Mungkin ada; iaitu dari kalangan junior aku.  Usahawan ?.  Aku tahu ramai !.   Ada juga pelakon. Yang jadi datuk ?  Ramai !!.  Hari Raya Puasa yang lepas kami bikin re-union di sekolah.  Ada seorang rakan aku bergelar Dato’ datang.  Dan aku berpangkat datuklah juga.  Datuk kepada dua orang cucu aku.

Aku di Tingkatan 5 Sains.  Khabarnya,  sekolah aku itu adalah satu-satunya Sekolah Luar Bandar yang ada aliran Sains.  Elektrik tak ada.  Kipas angin bergantungan di siling; tak boleh berpusing.  Mentol-mentol lampu melekap di siling; tak menyala.  Pondok  bagi menempatkan jenerator  untuk makmal sains ada, tapi sampai ke sudah aku di situ, enjinnya tak ada.   Bila ada amali sains yang menggunakan  bahanapi, kami pakai ‘penunu bunsen’ yang rupanya lebih kurang pelita minyak tanah di rumah aku.

Kami  tumpang menjalankan peperiksaan amali  di Sek. Men. Sultan Yusof di Batu Gajah.  Julung-julung kalinya kami menggunakan ‘penunu bunsen’ yang gasnya disalur terus ke bekalan pusat.  Manalah kami tahu cara mengawal nyalaan api dan langkah-langkah keselamatan. Tergamam.  Kami diminta mengesan gula dalam larutan.  Tak reti nak kawal api !!  Apalagi, menyembur-nyemburlah cairan dari test-tube masing-masing; menembak ke dinding – warna kuning, hijau atau biru.  Di meja Tajuddin; api menyembar salur getah di kaki penunu bunsen.  Kelam kabut dia minta bantuan pengawas.

Cikgu sains kami ialah Pak Kusdinar Harnatmatnja dari suku Sunda dan Pak Adrianus dari suku Batak.  Pak Kus mengajar Biologi dan Kamisteri.  Pak Adrinus mengajar Fizik dan Hisab Moden.  Seronok mengajuk-ajuk slang Indonesia mereka  … “Wah !! coba-coba bawa ke muka …” Lembut suara Pak Adrianus mengusulkan; bila soalan yang diberi dijawab betul oleh rakan sekelas.  ‘Bawa ke muka’, bermaksud menuliskannya ke papan hijau di depan kelas.  Suatu hari itu, ramai kami yang tidak menyudahkan home-work yang diberi Pak Kus.  Pak Kus naik berang : 
…”KATANYA INGIN MAJU.  DIBERI QERJA TIDAK DIQERJAQAN.”   …. “DUUMM” – serentak itu kaki Pak Kus hinggap di papan hijau.

Pak Kus dan Pak Adrianus datang ke sekolah kami semasa kami di Tingkatan 4;  Pak Adrianus memperkenalkan namanya; Adrianus Panjaitan.  Dan dia pun menceritakan, jumlah suku-kaum Indonesia; tidak kurang daripada 740 suku kaum.   Daripada nama seseorang dapat dikenali kaumnya.   Dan kami, seronok pula mereka-reka nama Indonesia kami dan menulisnya di kulit buku latihan masing-masing.  Nazri menjadi Nazri De la Renzo.  Konon nama Indonesialah tuuh !.  Sampai sahaja buku latihan itu ke tangan Pak Adrianus, Pak Adrianus  dengan kening berkerut, hairan menyebut lambat-lambat …”Aaapa ini … Najri de la .. la  Renjo”  Kami semua ketawa. Pak Adrianus tidak boleh menyebut huruf ‘zek’Zek akan disebutnya ‘jek’

Kami cuma dua puluh tujuh orang sahaja.   Hampir 40 tahun sekarang, aku masih boleh ingat kesemua mereka.   Hashim, Termizi, Nazri, Tajuddin, Derus, Azizah, Rosiah, Khadijah, Maimon, Lokman, Arshad .  Ah; semuanya aku masih boleh ingat.  Teringat mereka, mengembalikan semula ingatan kepada semua peristiwa.

dinbatubara

Tuesday, October 30, 2012

Catatan terlewat - Propaganda Umno (ditulis tatkala isu Mat Indera 'komunis' berkecamuk)


Tak dak aih, orang lain menyampah pada orang Melayu.  Mereka masing-masing sibuk memperkasa bangsa sendiri - mengintai peluang, mengaut laba/keuntungan dari : kelemahan/kelalaian/rakus/adu-domba sesama sendiri/kepandiran politik Melayu main-stream  dari mempertahan agenda dalam Perlembagaan Persekutuan (banyaknya hak Melayu telah tergadai kerana kebodohan itu)/kebodohan berpolitik orang Melayu (Cina ada banyak parti-parti politik : MCA, GERAKAN, DAP di Semenanjung) dan beberapa parti di Sabah dan Serawak - semua perselisihan antara mereka adalah demi agenda Cina.  Apa yang tak boleh disuarakan oleh MCA atau GERAKAN kerana persepakatan dalam BN dibisik kepada DAP.  Apa-apa yang ultra yang tak boleh disuarakan oleh DAP, dibisikkan kepada MCA, GERAKAN - gegarkan sedikit Parlimen dan DUN. Tapi Umno hanya hendak parti tunggal dia sahaja ... Parti Melayu (Islam) lain baik tak usah ada - pemecah belah.  Inilah kebodohan politik Melayu mainstream asuhan Umno yang menyebabkan jati-diri politik Melayu makin layu.

Orang lain seronok ? Mungkin ya; sebab kebodohan politik Melayu bawaan Umno memugkinkan politik mereka (Parti Cina) boleh terus hidup. Bagi MCA, GERAKAN mereka akan ikut malap jika Umno berdepan dengan zaman gelap dan ghuyup.

Sokongan Melayu, khususnya dari generasi  muda – yang celik politik, yang dapat/baca maklumat tidak saja menerusi Utusan dan TV;  kepada Umno memang sudah lama merosot. Untuk terus mendapat sokongan orang Melayu Umno kena main sentimen perkauman, mainkan isu kominis.  Isu kominis - sebab kominis terlalu dekat dengan kisah kehidupan orang Melayu (walaupun zaman pemerintahan Bintang Tiga dulu ramailah juga orang Melayu yang jadi tali barut kominis di samping ramai pula yang jadi barua British; seperti juga sebagaimana adanya orang Melayu yang jadi tali-barut Jepun semasa pendudukan Jepun).

Orang Melayu akan terlalu sensitif dengan kominis.  Macam dululah juga; di tahun-tahun hujung 1970an – dipertengahan perkembangan gerakan Islam di Malaysia, kalangan masyarakat yang mengaji, faham apa itu Hizbullah, Hizbusy Syayatiin – politik dan agama tidak boleh dipisahkan; tapi puak Umno yang dibodohkan oleh pemimpin tak mengaji, sanggah mengatakan mana ada parti Allah. Allah mana ada parti-parti, politik dan agama tak boleh dicampur-capur kalau dicampur agama dengan politik akan rosak politik.  Orang Islam yang masih ramai tak faham Islam dibangkitkan kemarahan mereka oleh Umno dengan mempropagandakan PAS menyebarkan ajaran sesat kerana menyebut PAS parti Allah (sebagai gantinama kepada PAS parti @ golongan yang memperjuangkan Islam; PAS mencampur-adukkan agama dengan politi)k. 

Saya dibetitahu oleh seorang orang kuat Sanusi Junid ketika itu (orang kuat KEMAS – KEMAS di bawah Sanusi Junid; “memang Umno tahu Hizbullah, Hizbusy Syayatiin; tapi Din tahu le, ini politik.  Kalau Umno cakap habis le Umno” kata dia. Umno, oh Umno.  Begitu perangai engkau) Dan allhamdulillah, sekarang ramai orang Umno sudah mengakui politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Umno mendabik dada mengatakan dia memperjuangkan syiar Islam.  Mahathir pun suatu ketika dulu mendakwa Umno adalah Parti Islam terbesar di dunia). 

Pilihanraya 1978 Umno mainkan sungguh-sungguh isu parti Allah ini untuk mengalahkan  PAS  pada pilihanraya tersebut. Sign-bord yang sudah hampir lusuh Perkataan PAS Parti Allahnya yang terpantak di Kg Kerinci diambil gambarnya di spin beritanya semaunya di media cetak dan elektronik setiap minit, jam dan hari.  PAS tak sempat nak jawab balik.  Nak jawab dengan apa ? Media ? Tak ada TV surat khabar yang mahu terima/beri bercakap.  Nak berceramah – urusan permit dengan polis (di bawah Kementerian Dalam Negeri) cukup payah.  PAS tidak ada media/peluang untukjawab balik.  Umno seolah-olah ikat  tangan PAS kebelakang dalam pada itu membelasah PAS setiap saat, minit, jam dan hari.  Dan pilihanraya Umum 1978 pun diadakan.

Pilihanraya Umum  1990 memperlihatkan sokongan Melayu kepada Umno mulai menurun, menurun dan terus menurun hingga sekarang.   Apa yang dapat menyelamatkan Umno ?.  Perkauman !  Dan perkauman !! Dan sekarang putar belit sejarah.  Apa hairan, kerja  perundangan di mahkamah pun Umno boleh balik-kuang putar-belitkan.  Juak-juak Umno bersumpah guna  nama Tuhan pun apa ada hal (sebab balasan Tuhan terhadap sumpah bohong bukan Allah balas di dunia. Balasan di akhirat apa ada hal. Peganut jahil agama dalam Umno selalu bercakap dengan beraninya; urusan di akhirat mana tentunya klagi.  Mahathir pernah cakap, siapa yang baru balik dari akhirat bercerita tentang azab dalam kubur.  Penganut Umno yang jahil agama selalu cakap kubur lain-lain.  Peliknya sijahil ini lah yang banyak diikut cakapnya oleh yang cerdik agama dalam Umno.  Pelik.  Pelik).

Dan sekarang Umno sekali lagi mengajar/mengajak penganutnya dan Melayu seluruhnya jangan belajar sejarah yang betul, jangan mendengar pelajaran yang betul.  Umno suka penganutnya berada terus dalam kejahilan.  Di Selangor semasa Umno berkuasa; mesjid di tutup rapat dari pengajian; kecuali mengaji bab sembahyang – bab udhu’, darah wanita ( walaupun yang mengaji itu semuanya terdiri dari wanita yang sudah putus haid), perkara yang membatalkan udhu’/sembahyang, bab puasa.  Tapi tak boleh buka kitab yang menyebut perkara-perkara yang membatalkan akidah … ini politik … Ini Ustaz PAS – bawa politik dalam masjid (walaupun itu ada disebut dalam kitab Mustika Hadis; kitab hadis  terbitan Jab Perdana Menteri).  Tak boleh.  Arahan.

Bila Pakatan Rakyat ambil alih; masjid buka pintu pengajian seluas-luasnya – pentauliahan untuk  kebenaran mengajar ditambah.  Baru pakcik-pakcik tua yang taat ke mesjid sejak dari zaman Umno bagitahu : “Ooo !!! baru kami tahu; kenapa ustaz dulu tak cakap macam itu” bila ustaz sekarang bagi tahu/ajarkan pengertian doa iftitah dari sudut taabud uluhiah dan rububiah; perkara-perkara yang membatalkan syahadah; tanggungjawab memelilih ketua yang betul dll dll yang amat merugikan perjuangan jelek kepemimpinan jahil Umno..

Ya, benteng pertahanan Umno ialah perkauman –bangkitkan isu perkauman seolah-olah MCA itu bukan Cina. GERAKAN itu bukan Cina. Putar isu kominis.  Berita RTM pagi sebut Menteri Penerangan bagi amaran jangan ada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba sokong kominis baik dalam tulisan di blog atau fb.  Mana ada orang yang nak sokong kominis (yang dalam ceramah Mat Sabu itu dengar betul-betul dan ikuti juga penjelasan beliau bersama media selepas itu.  Tapi Rais cakap juga untuk orang pecaya bahawa memang ada orang yang cuba bawa/hidupkan kominis.  Pepatah Arab ada sebut: perkara yang tidak betul itu kalau sering-kali diulang-ulang iany akan dipercayai sebagai benar.  Ini yang Umno buat.

Tuan Sangatkah kita


Tuan sangatkah kita

semua masih lagi diuji
melayu,cina,india tetap meragui antara satu sama lain
BN sekian lama memainkan isu ini demi suvival politik mereka.
anwar hadi lim kit siang
wajib membuat peristiharan bersama
berkaitan perkara ini.
ada yg kata hapuskan saja Ketuanan Melayu
kenapa ada
ada pula yang menyanggah,
derhaka
khianat
mereka yangg mahu menghapuskan ketuanan Melayu
kenapa

tuan sangatkah kita;
jika tanah2 milik melayu habis dirembat didagangkan
tuan sangatkah kita;
jika persint, persel, klcc, lcct, pwtc, bajet  dll diagung2kan.
tuan sangatkah kita
jika kita bangga kawin dengan minah salleh, mat bangla, orang indon.
tuan sangatkah kita;
bila tulisan jawi lupus ditelah zaman
tuan sangatkah kita;
bila perkataan U M N O tu terang-terang bahasa penjajah.
tuan sangatkah kita;
bila anak dara kita,
anak bujang kita
bebas bertogel siang dan malam
tuan sangatkak kita;
bila anak melayu bebas berdangdut meneguk arak

percayalah mereka (melayu elit) ini tak pernah peduli; mereka cuma peduli tembolok mereka sahaja. 
Melayu kita ini cuma tempat dipijak, dihinjit
demi perut 
dan bawah perut mereka sahaja.

ayuh pakatan rakyat
bariskan kabinet rakyat

dicatat semula oleh;
dinbatubara

Saturday, October 27, 2012

Allah ganti Nabi Ismail dengan kibas

Kalaulah Allah tidak gantikan Nabi Ismail dengan kibas (dalam peristiwa penyembelihan korban Nabi Allah Ibrahim terhadap Ismail); dan syari'at itu menjadi syari'at juga (menyembelih anak) kepada Nabi Besar Muhammad s.a.w nescaya kita juga akan menyembelih seorang dari anak kita demi pengorbanan untuk Allah subhanahu wata'ala. Selawat dan salam kepada Rasul Junjungan Nabi Muhammad saw. Salam Hari Raya Idul Adhha - Salam Pengorbanan

dinbatubara
Nazar Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim terlupa, pernah suatu ketika dia menyebut : “Kalau aku dikurniakan anak lelaki sudah tentu dia juga akan kusembelih di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah.” Sesungguhnya baginda Nabi Ibrahim seorang yang terlalu banyak melakukan korban. Suatu ketika Baginda menyembelih korban sebanyak 1,000 kambing, 300 lembu dan100 unta.; hinggakan masyarakat sekeliling bahkan malaikat kagum dan hairan. Berkata Nabi Ibrahim: “Semuanya itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki, pasti dia juga akan kusembelih di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk-Nya.”

Demikian pada tanggal 8 Zulhijjah (hari tarwiyyah) Ibrahim bermimpi; Allah mintanya menyembelih anaknya. Dan diikuti pada hari ke 9 Zulhijjah (hari Arafah) Ibrahim betul-betul arif menerusi suaranya sendiri - diperdengarkan langsung oleh Allah ke telinga Ibrahim; menyebut nazarnya yang pernah diucapkan. Pada 10 Zulhijjah (hari Nahar) Nabi Ibrahim pun melaksanakan nazarnya.

Pilunya hati seorang bapa. Ismail yang pada ketika itu baru menganjak ke usia 8 tahun – baru pandai bermanja, cantik dan mengikut kata. Itulah satu-satunya anak yang dimiliki setelah menunggu sekian lama. Tiba-tiba Allah perintahkan sembelih: “Hai Ibrahim, tunaikan nazar kamu!” Sambil meletakkan pisau di leher Ismail, dengan pilunya Nabi Ibrahim mengucapkan takbir: “Allaah huakbar Allaah huakbar Allaah huakbar. Laa ilaaha-illahuAllaahuakbar. Allaahuakbar walillaahilhamd.”

dinbatubara

Saturday, October 13, 2012

Terkenang-kenang

Bulan Melayu sekarang, Sya’ban. Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan bulan-bulan lain dalam kalendar Islam itu, orang kampung aku sebut bulan Melayu. Ini kisah masa aku budak-budak dulu. Ini bulan orang sudah tidak turun ke sawah. Padi sudah habis dituai dan di simpan dikepuk; cukup untuk bekalan makan sekeluarga enam bulan mendatang. Tiga bulan lagi baru turun semula ke sawah. Yang tinggal di sawah ialah rumpun-rumpun jerami kering yang tegak merenta dan belukar kecil yang mula merata. Langit biru. Beberapa ekor kerbau sedang bermalas-malas di lopak-lopak kering di pinggir permatang.

Bahang panas bulan Sya’ban sesuai benar – orang kampung menjemur padi di halaman rumah masing-masing. Padi yang sudah benar-benar kering akan di mesin atau ditumbuk dengan lesung endek bagi mengeluarkan berasnya.

Ikan di lopak dan tali air sudah habis dikutip; dan sekarang sedang bergantungan di depan rumah di bawah bakaran matahari untuk menjadi ikan kering. Emak juga buat pekasam.

Apa lagi aktiviti orang kampung aku. Mereka berpakat untuk kumpulkan kayu api pula. Ada beberapa batang durian yang tumbang di hujung kampung; dan beberapa pokok getah tua yang sudah punggor dimamah usia di sempadan tanah ayah alang.

Arwah abah pakat pak saudara dan emak saudara aku serta beberapa orang lain menebang. Mak cho bawa gergaji besar. Abang Ripin pikul kapak dan baji. Batang-batang durian dan getah saiz sepemeluk itu mereka potong beramai-ramai silih berganti. Penat menggergaji mereka berhenti sambil makan kudapan yang dibawa. Mak Cho dan Wah; mereka tak makan bersama kami. Arwah mak bagi tahu Mak Cho dan Wah puasa tiga bulan - Bulan Rejab, Sha'ban dan Ramadhan.

Ketulan kayu berukuran sekaki setengah setiap satu itu mereka bahagi-bahagikan sama rata.

Tugas mereka seterusnya nanti ialah membelah bungkah kayu itu menggunakan kapak besar menjadi pilar-pilar sebesar lengan budak. Pilar-pilar kayu itu dibiarkan simpang perenang di depan rumah untuk dibaham cahaya matahari. Bau kayu durian dan getah yang dibakar matahari berassimilasi bau jemuran padi dan ikan yang sedang disalai di ampaian mengeluarkan bau khas desa petaniku. Aku dengan beberapa orang rakan seronok menyusun pilar-pilar kayu sambil menghalau ayam yang mencuri padi di jemuran. Pilar-pilar kayu disusun bersilang setinggi empat kaki berbentuk kotak atau seolah-olah rumah pangsa sekarang. Belum sempat terdiri setinggi ubun kami, rumah pangsa itu rebah. Kami menyusunnya semula. Adik perempuan aku ambil anak ayam lalu melepaskanya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam melompat keluar dan kami tangkapnya semula dan meletakkannya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam keluar lagi. Kami menangkapnya berkali-kali.

Panas terik bulan Sya'ban; seminggu pilar-pilar kayu sudah cukup kering. Kami anak-anak abah angkat pilar-pilar kayu dan susun di bawah rumah dapur. Orang kampung aku mana ada dapur minyak. Semua pakai dapur kayu. Kayu itu juga untuk memasak nasi dan menjerang air untuk more berbuka bulan puasa di surau.

Bulan Sya’ban, selalunya kami tidak bermain jongkang-jongkit di atas tunggul kelapa di tepi paya sambil menyanyikan lagu : “Cong cong codak, codak mayang labu; mana pergi budak, ambil air selabu. Buat apa air selabu, nak asah lading. Buat apa lading, nak tetak bemban. Buat apa bemban, nak jolok bulan. Buat apa bulan, nak buat agok adik.” Permainan kami bulan ini ialah duduk di hujung kayu terjongkit yang sedang digergaji oleh mak cho dan wah.

Seronok duduk berjuntai kaki sambil terhinggut-hinggut ke kiri dan kanan; menunggu hingga kayu putus dan kami terguling di dalam semak. Kami pun ketawa terkekeh-kekeh. Atau pun main yang juga asyik, iaitu mendirikan rumah pangsa; hingga tidak sedar ayam makan jemuran. Seronok teringat kisah lama; mungkinkah kerana aku sudah semakin tua.


DINBATUBARA

Friday, October 12, 2012

Sultan Alang Iskandar menjaga Igama Maka berkehendak oleh Baginda akan seorang orang alim untuk menjalan akan hukum igama di negeri itu. Maka diberitahu orang, di Teluk Anson ada seorang orang yang terlalu alim dia akan hukum-hukum igama; yang berasal dia dari Tanah Minangkabau. Sheikh Muhammad Saleh namanya. Maka menitahkan Baginda akan Orang Besar delapan Yang Bderbahagia Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, menjemput akan dia orang alim itu datang mengadap. Maka apakala tiba sahaja Sheikh Muhammad Saleh itu di Balai Penghadapan; lalu dipersalin akan dia dengan pakaian kebesaran. Maka Sultan pun menganugerahi Baginda akan gelaran Shaikul-Islam bagi Negeri Perak. Menitah Baginda akan Shaikul-Islam Sheikh Muhammad Saleh untuk menjalankan hukum Igama Islam di negeri itu. Arakian diceritakan orang pula akan Shaikul-Islam Sheikh Muhammad Saleh itu terlalu amat menjaga dia lagi sangat patuhnya kepada pekerjaannya. Direncanakannya senarai nama anak-anak qariah yang sudah baligh lalu mencatat kehadirannya pada kedatangan sembahyang Jumaat di masjid. Yang tidak datang berurut-turut sebanyak tiga kali, maka akan dicorengkan mukanya dengan warna hitam dan diarak akan dia di keliling kampung dan kota. Jika terdapat mereka itu yang juga sudah sampai perintah hukum fiqah itu kepadanya dan makan dia di tempat ramai pada bulan Puasa, maka digantung akan dia di lehernya periuk, kuali, lekur dan belanga. Diberi malu akan dia kerana perbuatannya itu. Syahadan itulah yang diceritakan orang akan Sultan Alang Iskandar itu terlalu amat menjaga Baginda urusan igama anak negerinya. Bahawa Baginda sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai ajaran Igama Islam kepada rakyat Baginda di bandar-bandar dan di kampung-kampung. Aman makmurlah negeri Perak dalam pemerintahan Baginda lagi disayangi rakyat jelata selama 20 tahun itu. dinbatubara
Tok dengan telo ayam kampung dan kopi O Pagi-pagi (masa sarapan pagi) kume tengok tok pecah sebiji (dua ?) telur (ayam kampung) dibuangnye yang putihnya. Bahagian yang kuning tok masuk dalam cawan berisi kopi O pekat; di kacaunye hingga kopi O bewarna macam kopi susu. Tok minum dengan nikmat. Ini sebahagian dari amalan kesihatan tok, kut !! dinbatubara

Monday, April 30, 2012

Tok Man

Sebut sahaja Man Lombong, semua orang kenal.   Semasa mudanya dia pernah bekerja di lombong di Lembah Kinta.  Dari situlah dia mendapat gelaran.   Ramai Man di kampung aku.  Maka masing-masing ada nama pengenalannya sendiri untuk mudah dikenali.  Ada Man Bongkok, Man Tempelar, Man Tawil, Man Namo, Man Abang Ma’in dan dua tiga Man lagi.

Kata arwah emak, nama sebenar dia Osman.  Arwah abah dan mak berbahasa dengannya Pak Seman.  Kami adik beradik memanggilnya Tok Man.  Tak jelas sangat,  macam mana soreh-morehnya.   Yang pasti, pertalian keluarga dengan Tok Man itu memang ada.  Belum jauh sangat lagi; kata abah.

Rumah Tok Man besar;  di kelilingi pokok durian manggis dan bacang.  Rumah Melayu Perak – bertiang tinggi, atap bumbung lima;  anjungnya lebar, tiga bilik tidur, serambi dan dapur yang luas dan beranda yang split level dengan anjung rumah.  Tapi rumah itu tidak pernah siap.  Tingkapnya kemas berjeriji besi, tetapi tidak ada bilah kaca.  Jenang tingkap terkelohong begitu sahaja. Tangganya masih kayu bulat sebesar paha orang dewasa yang disandar di bendul.  Tok Man akan meninjat pada tangga bulat sambil berpaut kepada bendul lalu menghumban badannya lalu tercelapak di bendul beranda.  

Aku tak pernah jumpa isteri Tok Man.  Dia meninggal dunia sudah terlalu lama.    Seorang  anak tunggal Tok Man – lelaki, guru besar  sekolah rendah di daerah yang agak jauh dari kampung itu.  Dia kerap menziarahi Tok Man.  Sepengingat aku, dia tidak pernah tinggal bersama  Tok Man.  Rakan sejati tok Man ialah kambing-kambing peliharaannya yang tidur baring terlompat-kinja di bawah rumah Tok Man.  Setiap senja,  sambil memasang api bagi mengelakkan kambing kesejukan  dan menghalau nyamuk, Tok Man bercakap-cakap dengan kambingnya.  Dan kambing-kambing itu amat mesra dan macam memahami benar arahan Tok Man.

Tiap-tiap pagi sebelum Subuh Tok Man mengaji Quran dan berzanji atau berkhasidah. Di atas rehal yang terletak di kepala tidur Tok Man terjelepok sebuah mukadam, naskah al quran tua dan kitab berzanji. Tok Man azan.  Garau suara Tok Man menyelinap di celahan pohon durian bacang dan manggis menyapa fajar sadik di ufuk Timur; memecah bening Subuh.  Suara Tok Man sedap. 

Musim durian tiba; tatkala matahari mula meninggi,  Tok Man meranduk belukar kecil di bawah pepohonan durian  sambil memukul sekeping zing dengan ranting kayu sambil  menyebut  huuh … hah … huuh … hah. Ada irama khas yang mengasyikkan dari pukulan zing Tok Man. Tok Man mendongak ke atas menghalau kawanan tupai yang mencuri-makan buah durian yang mulai masak.  Kambing  Tok Man ikut Tok Man dari belakang.

Selesai kerja, Tok Man melompat naik ke atas beranda – bersila kemas atau berjuntai kaki sambil mengemam sirih.  Tok Man nyalakan api pada puntung curut di bibir.  Asap berkepul malas keluar dari hidung dan Tok Man menyelinap di celahan misai Tok Man yang tebal dan kekuningan.  Tok Man merenung jauh ke hadapan.  Sesekali Tok Man tersenyum  sambil  melurut dan menarik-narik misai.  Sesekali  Tok Man membetulkan ikat tali pinggang yang menjerut seluar hitam bak seluar pahlawan Kung Fu.   Perut Tok Man memboyak ke depan; kelihatan jelas oleh bajunya yang tidak pernah dibutangkan. Tok Man mengebas-ngebas perut buncitnya dengan kain lilit kepala yang kumal.  Tok Man memanggil kawanan kambingnya yang meredah denai ke tepi sawah.  Sesekali kedengaran suara Tok Man tinggi … berhuuh … hah …  bila terlihat dua tiga ekor tupai berkejaran berlompatan di dahan durian. Tok Man tersenyum sambil menenyeh puntung curut pada bendul.

Entah apa difikir oleh Tok Man; tiba-tiba Tok Man mencapai parang bersarungnya, mencapai dan menuntun basikal menuju ke jalan raya.  Tok Man sandarkan basikal pada pokok halban di tepi tali air.  Tok Man berdiri atas jalan raya.  Bas berhenti.  Tok Man melompat ke dalam bas.  Tak payah bayar tambang.  Derebar bas 
kenal Tok Man. Kalau bas menghala ke hulu; Tok Man akan singgah minum teh di pekan Lambor Kanan.  Kalau bas ke hilir Tok Man berhenti minum teh di pekan Pulau Tiga.  Mamak kedai kopi di pekan Lambor Kanan dan pekan Pulau Tiga sudah kenal benar Tok Man.

Ada ketikanya Tok Man bercakap tidak ketentuan-hala.  Kekadang, sepanjang hari.  Ketika itu dengan kambingnya pun, Tok Man tak banyak cakap.  Pun kambing Tok Man tetap mesra dengan Tok Man.  Adalah perkara yang Tok Man marahkan, tu !!  Tok Man ternampak orang mencuri duriannya; atau kaki  anak kambing Tok Man rengkat terkena kayu dibaling budak-budak nakal.

Orang kampung kata tok Man gila isim.  Ada juga yang kata Tok Man jadi begitu selapas dia kematian isteri.

Tapi dengan keluarga kami, Tok Man sentiasa mesra.  Jika kebetulan Tok Man sedang naik angin dan melintas di depan rumah kami, abah tegur Tok Man; tok Man akan berlalu macam tidak ada apa-apa yang berlaku.  Tok Man selalu panggil abang ke rumahnya, tolong urut belakangnya.  Tok Man panggil aku ke rumahnya; tolong ambilkan kunci rumah yang tertinggal di dalam.  Tok Man sudah sandarkan sebatang beroti  dua sama tiga menjulur ke tingkap yang terkelohong.  Aku pun panjat, ambil kunci Tok Man.  Tok Man ajak abang dan aku meramas tempoyak.  Ada empat biji tempayan bermuncung kecil penuh berisi durian masam yang mahu diasingkan bijinya. Tok Man ajak abang dan aku makan pulut durian. Tok Man sudah sediakan pulut, dia beli  di kedai mamak di pekan Lambor Kanan.  Tok Man sudah perahkan santan  untuk dicampur dengan durian.  Ada kalanya Tok Man bawa dua tiga biji durian hulur pada emak.  “Apa lah Pak Seman, ni.  Kami pun ada.” kata mak.  Tapi Tok Man beri juga.

Setiap kali tiba musim durian; ingatan aku terimbau kepada Tok Man.

Catatan :  Aku baru terjumpa semula tulisan ini; tersorok dalam suatu fail yang lain.  Ini versi asal dari yang dicincang lumat oleh penerbit ADILA (Klasik nasional).  Tidak pernah tulisan yang aku hantar sebelum ini diperlakukan sedemikan rupa - kalau pun untuk diedit, penerbit sebelum ini menghubungi aku. Tulisan yang tersiar itu berubah hampir 80% - cerita dan gaya bahasanya. Melalui facebook aku memberitahu tulisan yang tersiar itu bukan tulisasn aku

Wednesday, March 14, 2012

Zahari Hasib dan Aku

27hb. Feb. 2012

Zahari menghembuskan nafas terakhir kira-kira sejam setengah selepas bercakap dalam telefon dengan aku.  Aku menelefonnya petang semalam ketika aku ke rumah Pakcik Khalid (bapa saudara isteri aku) di Taman Padang Tembak, Teluk Intan,  Aku beritahu pakcik Khalid;  aku ada seorang rakan di Padang Tembak; Zahari Hasib namanya.  Selepas pencen dia pindah ke kampung.  Pakcik Khalid Nampak kehairanan – sungguh dia baru tersedar nama itu pernah ujud dalam untaian awal kehidupannya. Pakcik Khalid minta penjelasan. “Iya, Zahari Hasib yang menulis cerpen, puisi dan drama radio. Tetapi lebih menyerlah sebagai pemuisi.” aku menerangkan.

Zahari Hasib berasal dari Seleboh, Parit; rakan sekelas Pakcik Khalid semasa di Sekolah Menengah Izzudin Shah di Ipoh tahun-tahun 1963/64.  Sudah terlalu lama – 1963/64;  dan sekarang 2012.  Itulah lamanya.  Kini Zahari Hasib tinggal di Taman Intan Mas, taman bersebelahan dengan Taman Padang Tembak.  Kedua-dua taman itu dalam lingkungan Padang Tembaklah juga; namun mereka tidak pernah terjembung.

Aku telefon Zahari.  Seperti  biasa aku melaung namanya – “Zahari Hasib, penyair agung.”  Dia menanyai aku – macam biasa. Macam lama dahulu. Macam empat lima hari yang lalu.  Dia tidak sukar mengcam suara aku.  Tapi itulah cara Zahari – “Iya !! ini Saudara Nahar Rashid, ya.  Saudara Nahar Rashid.  Apa khabar.”

Aku kenal Zahari sudah lama – dalam 35 tahun begitu. Seawal mengenali Zahari ialah apabila aku pernah ternampak Zahari tatkala aku dalam perjalan balik dari berlatih teater di Taman Budaya – Aswara sekarang.  Dia kelihatan sering bersama  Tengku Alias Taib bersandar di tiang elektrik di tebing Sungai Gombak menonton Khalid Salleh berjual ubat secara main teater di pentas terbuka Benteng di Belakang Bangkok Bank,  Jalan Melaka.  Tengku Alias ketika itu sudah terlebih dahulu melakar nama dalam penulisan puisi.

Penyair agung – macam mana mulanya aku menggelar Zahari. Ini gelaran cuma aku seorang sahaja. 1978. Kebetulan aku menziarahi seorang rakan karib aku warded di wad psikiatrik Hospital Besar Kuala Lumpur (sekarang HKL).  Rakan karib aku itu allahyarham Kamalsyah Kamaluddin – pengarang ruangan Jeritan Batin akhbar Mingguan Malaysia tahun-tahun 1970an. Tekanan kejiwaan menyebabkan dia masuk wad. Di ruang legar wad, Kamalsyah terserempak Zahari Hasib yang menghuni bilik bersebelahan.  Zahari dengan rambut ikal yang tak terurus, berjalan terdorong-dorong ke depan dengan memangku topi beretta sambil menggosok-gosok dua biji bola pingpong di dalam lopak topi.  Demi terserempak Zahari, Kamalsyah melaungkan :  Hallo !! Zahari; penyair agung.  Dan Zahari menghampiri kami dengan pandangan kosong.  Lakaran watak Zahari itu aku lukiskan dalam cerpen aku yang belum siap-siap lagi – sudah lebih sepuluh tahun.

Kemudian daripada itu sering selepas habis kerja jam 4 petang aku ketemui Zahari di Chow Kit Road. Kami minum teh tarik di gerai mamak berdepan dengan Keramat Super Market.  Zahari yang tidak banyak bercakap tapi sering melempar senyum. Habis minum teh Zahari naik bas Serijaya nombor 213 menuju ke Datok Keramat dan aku, menyusuri Raja Muda ke Kampung Bharu. Khabarnya Zahari bekerja di Bank Negara.

Kami bertambah dekat tatkala dua tiga kali hadir bersama program santai baca-baca puisi di Taman Tasik Perdana atau Taman Tasik Titiwangsa. Ada beberapa kali puisi aku tersiar bersama puisi Zahari, Puzi Hadi, Yasin Salleh, Khalid Salleh, Kasajiza AS. Aziz Deraman.di akhbar Berita Minggu.  Aku sebenarnya berasa terlalu kerdil diganding dengan ungkapan puisi Zahari dan penyair tersohor lain itu. 

Lama aku tidak ketemu  Zahari.  Aku akhirnya mendapat tahu Zahari sudah pindah ke Teluk Intan selepas pencen.  Aku mencari di mana Zahari.  Seorang rakan memberitahu; untuk ke rumah Zahari tanyakan sahaja pada derebar teksi di pengkalan Teksi Teluk Intan.  Namun aku belum mencubanya.

Suatu ketika Radio Klasik FM (sekarang Klasik Nasional) dalam program interaktifnya di sebelah petang menerima permintaan lagu klasik.  Zahari ada adua tiga kali menujukan lagu kepada beberapa orang sahabatnya  - yang kerap ialah kepada Dr Talib Samat. Suatu ketika DJ bertugas tersalah sebut nama Zahari Hasib (seolah mereka baharu pertama kali itu menddengar nama Zahari Hasib - aku membetulkan nama sebenar Zahari Hasib - seorang penyair rakyat tersohor; kataku.

Klasik FM bertukar menjadi Klasik Nasional. Ada slot ADILA - penceritaan pengalaman sendiri dan diadun dengan lagu yang sesuai. Aku hantar coretan dan aku tujukan lagu untuk Zahari Hasib.

Dan baru dalam dua minggu ini memperoleh nombor telefon Zahari dari Dr Talib Samat. Dr Talib bagi tahu Zahari tidak ada telefon bimbit.  Jika mahu menelefon, gunakan talian telefon di rumahnya.  Aku mahu mempelawanya hadir ke pelancaran pertandingan mengarang cerpen dan puisi Islam  anjuran Pusat Khidmat masyarakat DUN Hulu Bernam dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 25hb. Feb. – aku jadi Setiausaha  Urusetia pertandingan.  Zahari Cuma menyebutkan bagus, bagus, bagus; tidak putus-putus.

Semalam aku bertandang ke rumah bapa saudara isteri aku di Taman Padang Tembak, Teluk Intan.  Aku telefon Zahari;  beritahunya aku berada di Taman Padang Tambak. Rumah saya di Taman Intan Mas - sebelah ni sahaja – kata Zahari.  Zahari mempelawa aku ke rumahnya. Tapi aku beritahunya hari sudah terlalu petang.  Percakapan kami terputus-putus dua tiga kali.  Line cellcom di Padang Tembak tidak begitu elok ?  Aku perkenalkan rakan lama beliau;  Pakcik Khalid. Aku hulurkan telefon bimbitku kepada pakcik Khalid dan mereka berbual sekejap di antara putus-putus line dan mendail semula.

Jam 6.30 petang 26hb. Feb.; 2012; aku beredar dari rumah Pakcik Khalid ke Kuala Lumpur. Aku beritahu pada isteri lain kali sajalah ke rumah Zahari.  Aku ambil Maghrib  di masjid Kg Kelan, Slim River. Waktu mahu berudhu’ aku terasa kesejukan yang sedikit luar biasa.  Baru kini aku sahkan itulah ketikanya Zahari menghembuskan nafas terakhirnya.

dinbatubara

Tuesday, February 28, 2012

Zahari Hasib Meninggal Dunia

27hb. Feb. 2012
Terlewat membuka PC hari ini. Petang baru sempat membukanya. Malam tadi langsung tak buka PC – hujan lebat dari Tanjung Malim ke Rawang – menyiksa pemanduan. Singgah makan malam dengan isteri dan anak di Six Point Nusantara, Batang Kali. Sesampai di rumah terus tidur. Petang ini baru sempat buka PC. Terpana seketika - paparan fb Karyawan Pk mencatatkan Rekwim buat Zahari Hasib oleh Zabidi Hj Ismail.

Zahari,
ucap terima kasih engkau telah terhenti di sini!
Kematian telah bersarang di dada malam
pergilah sahabat
dingin malam ini
menyelimut engkau ke akhirat
Aku di sini memendam duka
sendu tidak dapat menatap bening wajahmu
sebelum berangkat ke liang lahat.

Rekwim ? Zahari Hasib. Meninggal ? Saya hubungi rumah Zahari (nada dering ada; tapi akhirnya terhenti. Dr Talib pernah beritahu saya Sdr Zahari tidak miliki hand-set. “Kalau nak hubungi dia ialah dengan telefon rumah;” kata Dr Talib). Saya menghubungi sahabat Karyawan Pk - Sdr Itamta Haron beberapa kali. Gagal. Cuba menghubugi Onn Abdullah. Menghubungi lagi hand-set Cikgu Itamta mendail pula ke rumahnya; diberitahu oleh isterinya Cikgu Itam di sekolah Menghubunginya lagi Cikgu Itam. Gagal. Hubungi pakcik Khalid. Tak berjawab. Siapa lagi yang dapat saya hubungi. Baru teringat Dr Talib Samad. Dail nombor Dr Talib beberapa kali – baru dapat bercakap. Dr Talib baru sampai ke rumah dari Teluk Intan – pengkebumian jenazah saudaraku Zahari Hasib. Sah; Zahari meninggal dunia. Aku sembunyikan sendu.

Zahari
Petang semalam aku menelefonmu
percakapan kita yang terhenti dan aku mendail lagi
meneruskan percakapan ringkas yang terputus-putus; ah,
line tak clear di Taman Padang Tembak.
Taman Padang Tembak dengan Taman Intan Mas bersebelahan
tidak sempat singgah ke rumahmu
rupa-rupanya tak berapa minit selepas perbualan kita engkau pun pergi.
Rupa-rupanya salam antara dengar dengan tidak di akhir petang itu
adalah salam kita yang terakhir.
Semoga sejahtera perjalananmu
Saudaraku.

Dinbatubara

Sunday, January 8, 2012

8hb. Feb.; 2012 (Ahad); Dato Hassan Ali dipecat dari PAS

Dapat berita Dato Hassan Ali mantan Pesuruhjaya PAS Selangor dipecat dari PAS, berkuat-kuasa serta merta. Ini berikutan kecaman keras beliau terhadap Kepimpinan PAS dan hala tuju PAS yang didakwa beliau sudah menyimpang dari matlamat Asal PAS.

Kita tidak bias terhadap pemecatan Dato Hassan. Pastilah disebabkan Dato' Hassan tidak mengindahkan teguran pemimpin supaya menggunakan saluran yang betul menegur kepimpinan/PAS. Dan lebih malang disebabkan Dato' Hassan yang satu ketika pernah jadi Naib Presiden PAS dan masih jadi AJK PAS pusat tapi kelihatan gagal memahami aspirasi dan lenggok politik PAS mutaakhirin - yang berubah ialah cara bertindak dalam arus politik kini berdasarkan fiqh siasah dan Maqosid Syariah; namun dasar PAS tetap sama seperti yang dilembagakan.

Di era Kepimpinan Ulama'ini; seingat saya penama popular yang pernah menerima tindakan pecat dari PAS sebelum ini ialah Ust.(Dr ?) Latip Hamad (AJK PAS Kawasan Selayang) - kerana tindakan beliau tidak mengindahkan amaran Kepimpinan kerana kecamannya terhadap PAS di samping tidak hadir pendengaran dengan Jawatankuasa Disiplin.Ust (Dr?) Latip khabarnya masuk Umno lepas itu. Seorang lagi ialah seorang ahli Jawatankuasa PAS Pasir Salak Ust Abdul Wahab bin Dawam. Dia tidak masuk Umno namun kembali jadi ahli PAS tidak lama selepas itu.

Seingat saya; sebelum PAS di bawah Kepimpinan Ulama' - bawah kepimpinan Dato' Asri, Ust Abu Bakar Hamzah telah digantung keanggotaan PASnya. Dia yang mengundurkan diri dari kepimpinan selepas gagal merebut salah satu jawatan Naib Yang DiPertua PAS telah digantung keahlian kerana kecamannya yang keras terhadap Kepimpinan di samping tidak bersetuju penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional. Tapi sampai ke sudah Ust Abu Bakar Hamzah tidak pernah masuk Umno. Dan saya tidak ingat apakah Ust Abu Bakar Hamzah masuk PAS semula selepas itu.

Cikgu Hashim Gera; YB Parlimen Parit (1969) dipecat keanggotaannya kerana masalah moral (menari di Parlimen ?). ERa-era reformasi, Cikgu Hashim khabarnya pernah isi borang PAS untuk jadi ahli PAS disebuah kawasan di Ipoh; tapi tak diterima. Ada tawaran dari Mohd Hashim GG Edar untuk sebuah kawasan di Wilayah Persekutuan. Tak dapat dipastikan apakah dia sudah menjadi ahli di kawasan tersebut. Namun yang menariknya ialah sebelum beliau meninggal dunia' beliau menyeru semua anak-anak cucu dan menantunya masuk PAS.

Seorang lagi yang mengundurkan diri dari PAS ialah Ust Amaludin Darus (yang bertanggung-jawab membawa/memperkenalkan dan mengembangkan PAS di Kelantan; 1952). Beliau banyak mengkritik (walaupun tidak secara terbuka) kepimpinan Dato' Asri; hujung-hujung tahun 1960an hingga 1974 (PAS yang mulai diserapi fahaman maddiah)- antara yang mempersoalkan usaha Dato' Asri nak bawa PAS ke dalam Baisan Nasional. Ust Amaludin Darus tidak pernah masuk Umno selepas itu. Adalah dipercayai Ust Amaludin Darus kembali bersama PAS selepas Kepimpinan PAS bertukar kepada Almarhum Tn Hj Yusof Rawa.

Dan sekarang Dato' Hasan Mohd Ali. Asasnya ialah menegur/mengkritik kepimpinan (hingga terbuka dan menggunakan media Umno). Semoga Dato Hassan akan mengambil manafaatkan dalam masa yang kondusif selepas dipecat ini untuk melihjat di mana kesilapan. Saya tidak percaya jika Dato' Hassan akan menyertai Umno.

Teringat apa yang pernah disebut oleh Prof Zulkifly Mohammad (Yang Dipertua Agong PAS Ke 2): PAS perlukan orang yang sedikit bodoh dari terlalu ramai yang pandai.

Monday, January 2, 2012

Selengko kesah - tribute untuk Opah Su

Kalu ade arwah encik (emak) keme dulu umo dia 83 tahun le juge; sebaye dengan opah Su (mase opah Su meninggal). Arwah emak keme dengan arwah opah Su sederjah - ngaji sebelum masuk Jepun sampai pendudukan Jepun. Arwah encik jadi ketue derjah. Encik beceghite; opah Su tu selalu di sekehnye (ini kighe keh buli le ni !) waktu belajo membace.

Lepeh Jepun, encik sepatutnye nyambung belajo ke Teluk Bakong tapi tak dibagi dek opahnye (mak mentue almarhum Hj Yeop Menjelih); takut dilaghikan dek Keminih ke daghat. Tak lame 'duduk-duduk di ghomah', soghang sedaghe tok, namenye Hj Abdul Majid (lahir di Mekah - daghi Teluk Saghih) datang ke ghomah. Die bebahase dengan tok abang Yeop. Besame dengan Abdul Majid ialah Abdul Rashid (abah keme lepeh itu) yang baghu balik daghi Bukit Mertajam (Pondok Masriah, Tanah Liat). Abah balik ke Teluk Saghih bile pecah peghang (Peghang Jepun) dan tak nyambung balk ngajinye. Tok bekenan beno dengan santun anak muda bersongkok tinggi menyengit (dan anak oghang kaye Teluk Sagheh itu !!) lalu pujuk Hj Abdul Majid untuk ambik die (abah keme) jadi menantu.

Encik (anak tok yang sulung) kawin dengan abah lalu ikut abah ke Teluk Saghih.

Opah Mi (isteri tok - emak encik kume) meninggal dunie, meninggekan adik-adik encik (Pak E, Pakcik Ya, Makcik Abe, Ayah Cik Hambe Wan Kecik dan Ayah Cu (yang tengah nyusu). Tak lame lepeh itu, tok kawin dengan opah Su. Tok Sidang Tain (apak opah Su) habonye kesian dengan Tok dengan anak yang ghame (kehilangban isteri). Tok Sidang Tain menawokan anaknye untuk jadi isteri tok (tok yang udah jadi oghang alim mase tu. Die membahasekan tok, Tuan). Sebelum itu tok udah ade isterinye opah Cik di Teluk Anson.

Tok kawin lagi. Tetibe oghang yang 'dibulinye' sekaghang udah jadi emak die. Mase itu Wan Kecik dalam umo lime atau nam tahun (kighe-kighe udah laghat nukung adiknye; ayah Cu (Mohd Ali) yang masih bayi.

Encik tak pueh hati sebab tok kawin lagi. Anak-anak tok yang lain juge mendam ghase. Mungkin peghengkat awe, opah Su belum mampu mengurus anak yang ghame. Iye le..., anak daghe tetibe kawin dan dapat anak ghame (7 oghang tolak due; encik yang udah bersuami di Teluk Saghih dan Pak E - yang kawin lepeh itu dengan anak Tuan Lambo). Ade saje le yang tak kene pade pandangan anak-anak.

Encik beghontak lalu melaghikan adik-adiknye; Wan Kecik dengan Ayah Cu ke Teluk Saghih. Ayah Cik yang mase itu ngaji derjah enam di Pulo Tige (bebesika) tiap-tiap aghi dalam pejalanan balik ke Lambo akan singgah sekejap bemesghe dengan kakak dan adik-adiknya (wan Kecik dan ayah Cu) di Teluk Saghih.

dinbatubara