Monday, February 14, 2011

Kejatuhan Mubarak ada Campurtangan Allah; Monday, February 14; 2011


Oleh TG Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Saya pernah belajar di Mesir. Empat tahun saya peruntukkan dari usia muda saya untuk menimba ilmu di bumi ambiya tersebut. Orang-orang Mesir saya lihat begitu ramah dan mesra terutama dengan tetamu asing. Alhamdulillah, banyak pengalaman yang saya timba di sana untuk dibawa pulang ke tanah air.

Hari ini, rejim Hosni Mubarak jatuh tersungkur. Pandangan saya, ia benar-benar merupakan kuasa Allah SWT. Nampak sangat berlakunya campur tangan Allah SWT di dalam menjatuhkan rejim ini. Siapa yang menyangka Dataran Tahrir boleh memuatkan tiga juta manusia untuk mendesak Hosni Mubarak berundur?

Jika di Padang Arafah, musim haji terakhir baru-baru ini mencatat kehadiran jemaah yang wukuf seramai 2.7 juta orang (angka rasmi), di Dataran Tahrir rupa-rupanya lebih ramai daripada itu. Siapakah yang mengerah mereka jika tidak naluri mereka sendiri yang digerakkan oleh Allah SWT?

Mereka berkampung selama 18 hari tanpa terjamin urusan makan minum dan pengurusan seharian semata-mata untuk memastikan matlamat mereka tercapai. Pastinya ia terhasil ekoran perasaan tidak puas hati yang telah sekian lama terpendam. Tanpa peluru dan tanpa senjata, mereka akhirnya berhasil menjatuhkan Mubarak.

Mesir menyaksikan sejarah penindasan kepada para ulama yang begitu lama. Jauh sebelum itu, musuh Allah SWT yang bernama Firaun sendiri pernah ditenggelamkan oleh Allah SWT. Firaun yang mengaku dirinya tuhan ditenggelamkan di laut setelah Allah SWT membenarkan Nabi Musa bersama pengikutnya melalui laut sama yang telah dibekukan sepanjang lebih kurang 40km.

Yakinlah, kuasa Allah SWT mengatasi segala-galanya. Allah SWT yang pernah membekukan lautan untuk Nabi Musa itulah juga yang telah menjadikan api menjadi sejuk untuk Nabi Ibrahim. Dialah juga yang telah menyelamatkan perjalanan Nabi Muhammad SAW ke Madinah dari dikesan oleh special branch Quraisy. Maka, pelikkah jika Allah SWT boleh menjatuhkan mana-mana kerajaan pada hari ini dengan kuasaNya?

Sayangnya, musuh Allah SWT tidak pernah belajar dari sejarah. Sekali lagi kesilapan Firaun diulangi oleh pemerintah Mesir dengan membunuh para ulama. Almarhum Syeikh Abdul Qadir Audah, Almarhum Syed Qutb dan ramai lagi para ulama terkorban di bumi Mesir hasil kezaliman pemerintah Mesir. Demikian juga ulama yang terpaksa keluar dari Mesir seperti Syeikh Yusuf al-Qaradawi ekoran keselamatan yang sentiasa terancam oleh polisi kerajaan Mesir.

Harapan saya, rakyat Mesir akan mendapat pemimpin yang benar-benar bekerja untuk rakyat serta beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT.

Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan.

Monday, February 7, 2011

Kak 'I dan 37 tahun Wilayah Persekutuan (memenangi hadiah bulanan ADILA, Klasik Nasional)

Namanya Arba’iyah. Di kalangan yang berumur bawah dari dia, memanggilnya Kak Ba’i.  Peringkat anak-anak panggil dia Makcik Ba’i. Yang sebaya, panggil Ba’i sahaja. Ada juga panggil Kak ’I.  Aku sendiri berbahasa dengannya Wan Kecik.  Kenapa Wan Kecik ?  Kerana dia adik perempuan allahyarham emak aku seemak sebapak yang paling kecil.  Orangnya manis mulut.  Tak sombong.  Orang Perak.  Identiti Peraknya masih dapat dikesan menerusi telor dan miring bahasanya; walaupun sudah melalui assimilasi dan kekotaan namun tetap terasa klasiknya.

Orang Parit.  Tinggal di situ; di Kampung Abdullah Hukum; sejak  tahun 60an; ketika Kuala Lumpur sebahagian daripada Selangor.  Dan itu antara kawasan setinggan di Ibu Kota; yang mercup tumbuh selepas Tragedi 13 Mei 1969 – bila DEB diperkenalkan oleh Tun Razak; PM Malaysia ke 2. Menteri Besar Selangor ketika itu; Dato' Haron Idris bagi semangat kepada orang Melayu agar datang merebut kek ekonomi kesan dari perkembangan bandar Kuala Lumpur. 

Turun dari Bas Seri Jaya yang menghala ke Pantai Dalam, Universiti Malaya atau PJ – depan Bangunan LLN (TNB); melintas jalan keretapi,  ditemui di situ bersesak-sesak rumah yang dihuni majoriti orang Perak, Melaka, Johor, Kedah atau Pulau Pinang. Mereka bekerja sebagai buruh,  pekerja separa profesional atau perkeranian di LLN, UM, UKM, Angkasapuri, KTM, The New Straits Times  atau Lever Brothers.  Ada juga yang berniaga di gerai-gerai Taman Ghazali Shafiee sebagai tukang gunting, tukang jahit, tukang kasut dan peniaga barangan runcit atayu makanan. Malah ada juga yang bekerja di kilang-kilang perusahan di PJ dan Airport Subang.

Kak ’I  buat kuih dan menjualnya di Taman Ghazali Shafie.  Pulang dari kerja aku suka tolong Kak ’I buat kuih (tahun 74 aku dapat kerja di KL dan menumpang di rumah Kak ’I). Dalam periuk  sudah sedia keledek yang direbus. Kak ’I  sudah kopek kelapa untuk disagat.  Kak ’I  akan rendam pulut dan anak udang; racik kentang dan lengkuas. Kelapa, lengkuas, anak udang dan kentang untuk buat inti.  Tepung sudah sedia, gula merah sudah berayak, satu dua sisir pisang bersimpuh di tepi dinding. Semua akan diadun menjadi kuih.  

Lepas Subuh, Pakcik Asyim – suami Kak ‘I; bawa kuih ke gerai di kedai sederet Taman Ghazali Shafie. Ada karipap, kuih keria, kuih lenga, pulut panggang, pau, nasi lemak bungkus, bihun, pisang goreng dan cekodok. Cekodok ? Aku ketawa sendirian – di KL namanya  kodok !! Di kampung aku, namanya jejemput. Selepas tinggalkan kuih, Pakcik Asyim mengayuh basikalnya ke tempat kerja di Jalan Gurney (Jalan Semarak sekarang).  Kak ‘I di rumah, mengurus pula anak-anak untuk ke sekolah.

Antara Maghrib ke Isya’ Kak ‘I mengajar mukadam dan al Quran.  Jiran setempat hantar anak-anak mereka mengaji dengan Kak ‘I.  Kak ‘I tak minta bayaran – “Itulah bekal saya di akhirat kelak;”  kata Kak ‘I. Tapi ibu-bapa hulur juga Kak ‘I ala kadar. Kak ’I  terima seikhlasnya. 

Kak ’I beranak dan terus beranak; sampai 13 orang.  Semuanya mendapat pendidikan sempurna dan sudah bekerja yang baik-baik.  Ada juga yang cergas dalam politik. Dan sekarang, hampir tiga suku daripada anak Kak ’I sudah berkeluarga - yang perempuan ikut laki dan yang lelaki bawa anak-isteri; buat sarang masing-masing. Kak ’I pun sudah tidak buat kuih lagi. Anak-anak Kak ’I  menyara hidup Kak 'I bagi dan Pakcik Ashim. 

Kak ’I sudah tua.  Umur Kak ’I sudah menginjak hujung 60an.  Mata Kak ’I masih terang. Ingatan Kak ’I juga masih kuat.  Adalah, sedikit kencing manis; kata doktor.  Umumnya Kak ’I masih sihat.  Pakcik Ashim juga sudah tidak bekerja.  Hujung minggu, anak-anak cucu yang tinggal berhampiran akan datang ke rumah Kak ’I.  

Kak ’I sebahagian dari warga kota, hidup bersama degup dan denyut nadi kehidupan Kota Kosmopolitan Kuala Lumpur.  Pun, perumahan setinggan Kampung Abdullah Hukum sudah tiada. Kak ’I dan semua warga setinggan itu sudah pindah ke Appartmen Bandaraya tidak jauh dari situ. Tapak itu akan didirikan bangunan bertingkat yang bakal menyaingi Mid Velly di seberang Sungai Klang; di hadapan appartmen itu. Rumah kedai sederet di Taman Ghazali Shafie juga sudah lama lenyap – KTM dan sebuah syarikat konglomerat; LRT-Putra membina laluan Komuter dua lorong KL-Seremban; serta jejambat laluan transit ringan.

Tahun ini ulang tahun ke 37 Wilayah Persekutuan. Pun sudah hampir lima puluh tahun Kak ’I menetap di Kuala Lumpur.  Aku bayangkan; dari jendela kediaman Tingkat 3 itu, Kak ’I melepaskan pandangan dari atas bingkai cermin-matanya; menyusuri Jalan Bangsar yang terus sibuk. Lurus jauh ke depan ialah Kawasan komersial dan Perumahan Bangsar Park dan Bukit Bangsar - Jalan Raya kelas pertama telah menghubungkannya dengan Damansara;  menara Masjid Saidina Abu Bakar menancap megah ke udara di tengah-tengah kawasan komersial dan perumahan di situ. Di sebelah kiri - itu Bangunan Tenaga Nasional; dulunya disebut LLN (lama sebelum itu dikenali dengan panggilan KED).  Di sebelah kanan - tapak itu dulu adalah kilang  sabun dan ais-krim; Lever Brothers. Bersebelahan tapak peninggalan Lever Brothers itu, sudah berdiri bangunan lebih 20 tingkat milik taikun kewangan nasional; May Bank. Pernah dikhabarkan orang di situ dahulu adalah ladang getah milik Orang Putih.  Macam mana Orang Putih dapat milik tanah itu dan tanam getah. Ada juga yang kata ladang itu dulu milik dua bersaudara orang Perancis; Bung dan Grisar. Dari singkatan ke dua nama keluarga ini memberi nama kepada Bangsar. Kak 'I memendekkan leher dan menelan liur. Lantaklah, dia tak berminat menebak jawaban.

Ayun temayun lembayung senja di ufuk Barat; tiba-tiba sejalur Komuter melintas arah ke sebelah kiri dan LRT Putra, menyusuri jejambatnya melintas ke kanan; Kak ’I mengangkat bingkai cermin-matanya; dan teringat cucu-cucunya di Tingkat 6 akan tiba sebelum Maghrib ini; lepas Isya mereka akan ke majlis hari jadi cucu pertama dari anak ke 8-nya di McDonald, Kota Damansara. Tapi sampai sekarang mereka masih belum tiba-tiba. Mungkin menunggu bapanya yang belum pulang dari kerja kerana terperangkap dalam jem di Jalan Tuanku Abdul Rahman; getus hati Kak 'I.


dinbatubara