Tuesday, February 28, 2012

Zahari Hasib Meninggal Dunia

27hb. Feb. 2012
Terlewat membuka PC hari ini. Petang baru sempat membukanya. Malam tadi langsung tak buka PC – hujan lebat dari Tanjung Malim ke Rawang – menyiksa pemanduan. Singgah makan malam dengan isteri dan anak di Six Point Nusantara, Batang Kali. Sesampai di rumah terus tidur. Petang ini baru sempat buka PC. Terpana seketika - paparan fb Karyawan Pk mencatatkan Rekwim buat Zahari Hasib oleh Zabidi Hj Ismail.

Zahari,
ucap terima kasih engkau telah terhenti di sini!
Kematian telah bersarang di dada malam
pergilah sahabat
dingin malam ini
menyelimut engkau ke akhirat
Aku di sini memendam duka
sendu tidak dapat menatap bening wajahmu
sebelum berangkat ke liang lahat.

Rekwim ? Zahari Hasib. Meninggal ? Saya hubungi rumah Zahari (nada dering ada; tapi akhirnya terhenti. Dr Talib pernah beritahu saya Sdr Zahari tidak miliki hand-set. “Kalau nak hubungi dia ialah dengan telefon rumah;” kata Dr Talib). Saya menghubungi sahabat Karyawan Pk - Sdr Itamta Haron beberapa kali. Gagal. Cuba menghubugi Onn Abdullah. Menghubungi lagi hand-set Cikgu Itamta mendail pula ke rumahnya; diberitahu oleh isterinya Cikgu Itam di sekolah Menghubunginya lagi Cikgu Itam. Gagal. Hubungi pakcik Khalid. Tak berjawab. Siapa lagi yang dapat saya hubungi. Baru teringat Dr Talib Samad. Dail nombor Dr Talib beberapa kali – baru dapat bercakap. Dr Talib baru sampai ke rumah dari Teluk Intan – pengkebumian jenazah saudaraku Zahari Hasib. Sah; Zahari meninggal dunia. Aku sembunyikan sendu.

Zahari
Petang semalam aku menelefonmu
percakapan kita yang terhenti dan aku mendail lagi
meneruskan percakapan ringkas yang terputus-putus; ah,
line tak clear di Taman Padang Tembak.
Taman Padang Tembak dengan Taman Intan Mas bersebelahan
tidak sempat singgah ke rumahmu
rupa-rupanya tak berapa minit selepas perbualan kita engkau pun pergi.
Rupa-rupanya salam antara dengar dengan tidak di akhir petang itu
adalah salam kita yang terakhir.
Semoga sejahtera perjalananmu
Saudaraku.

Dinbatubara