Friday, June 21, 2013

Mengingati Ustaz Fadzil Mohd Noor

Ahad; 23hb. Jun 2002 (jam 10pg); Ust. Fadzil meninggal dunia. Aku baru dapat berita – sebaik line Maxis dapat di ekses berhampiran pekan Kuala Kubu Bharu; jam 5.30ptg. Hari itu sehari suntuk bersama program motivasi pelajar SK Rawang, di sebuah Kem dalam Hutan Simpan KKB. Bertalu-talu pesanan panggilan dan massege masuk ke peti maklumat. Aku hubungi rakan-kawan; tidak ada seorang pun yang menjawab. KKB ke Rawang; serasa mahu terbang aku ke HUKM.

Dapat menghubungi YDP Tn HJ Wahid – aku diberitahu jenazah sudah diterbangkan ke Alor Star. Aku pakat Hj Wahid ke Kedah malam itu juga. Tapi Hj Wahid mendapat maklumat Jalan Alor Star ke Darul Ulum (Pokok Sena) tempat Ust Fadzil akan disemadikan jem teruk – boleh celus hanya yang bermotorsikal. High way Utara Selatan; Ipoh - Alor Star juga sedang sesak - pukul berapa nantinya akan sampai, kata Hj Wahid.

Tak jadi ke Alor Star. Lepas solat Maghrib Hj Wahid dan aku singgah di sebuah warung di Batangkali. Aku mengimbau pengalaman sekejap aku dengan Ust Fadzil. Sesekali aku tidak dapat menahan sebak. Hj Wahid membiarkan aku bercerita semahunya.

Tidak banyak pengalaman aku dengan Ustaz. Aku hanya seorang pemimpin kecil di Kawasan. Apalah yang hendak aku bualkan jika sesekali bertemu dengan seorang pemimpin besar, tatkala peluang sekejab selepas ceramah atau bersalaman sambil lalu tatkala ada program di Markaz Tarbiah Taman Melewar atau tika-tika di akhir Muktamar Tahunan.

Aku mula tahu ustaz Fadzil semasa beliau jadi pensyarah di UTM, Jln Semarak (ketika itu Jalan Gurney), KL. Aku bekerja di Fakulti Perubatan, UKM, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur. Kami mengandalikan program kelas pengajian agama pada waktu rehat tengahari. Ramailah pensyarah dari UTM yang kami undang menyampaikan kuliah. Jarak UTM di Jalan Gurney dan Fakulti Perubatan UKM di Jalan Raja Muda dalam dua batu sahaja. Antara tenaga akademik UTM yang biasa kami undang ialah; Ust Abd Ghani Abd Rahman, Ust Ahmad Junid, Ust Bakar Usman, Ust Wahab Zakaria, Ust Osman Sabran, Ust Alias Othman. Dalam kalangan itu jugalah Ust Fadzil. Ustaz Fadzil pakai songkok hitam jenis yang boleh dilipat. Kami ambil ustaz dari UTM dan menghantarnya kembali ke UTM selepas habis ceramah.
Ustaz jadi Presiden PAS menggantikan Tuan Hj Yusof Rawa; kami pun berhenti dari mempelawa ustaz, kerana pada tanggapan kami Ustaz sudah terlalu sibuk.

Lama Ustaz tidak datang; hinggalah suatu hari aku diberitahu Ustaz ada appointment di Klinik Fakulti Perubatan, UKM – pemeriksaan mata di Klinik Oftalmologi (dengan Dr Muhaya) atau kerana pemeriksaan kencing manis di Klinik Diabetis (Endokrine; Prof Dr Khalid Abdul Kadir).

Suatu hari Dr Hatta Ramli (ketika itu sebagai pensyarah di Fakulti Perubatan, UKM) minta aku tengok-tengokkan Ustaz yang sedang berada di Klinik Endokrine (diabetis). Itulah mulanya. Makmal aku dengan Klinik Ustaz hanya bersebelahan.

Selepas itu, hampir setiap kali hadir Ustaz ke Fakulti Perubatan, aku temui Ustaz. Atau Ustaz datang cari aku di makmal - ajak minum teh di kefetaria. Bila Ustaz datang jumpa aku, maklumlah aku - pastilah Ustaz sudah diambil darah untuk ujian tahap kencing-manisnya.

Bersama-sama dengan Ustaz ialah Sdr Abd Latif; yang menjadi pemandunya. Kemudian, aku beritahu Latif - biar aku yang menghantar Ustaz balik ke pejabatnya (Pejabat Kecil PAS) di Jln Pahang Barat. Jln.Pahang Barat dengan FPUKM; Jln Raja Muda dekat benar. Kira-kira bersebelahan sahaja – dipisahkan oleh Jalan Pahang dan Bulatan Pekeliling (Bulatan Jalan Pahang).

Dapatlah aku selalu berjumpa Ustaz. Dapat duduk semeja dengan Ustaz sarapan pagi, duduk sebelah Ustaz dalam kereta tatkala menghantarnya balik.
Suatu pagi sambil sarapan aku beritahu Ustaz, tentang Almarhum Dato' Asri (bekas YDP Agong PAS) – yang meninggal dunia tidak lama sebelum itu. Dato' Asri menerima rawatan jantung, juga di Fakulti Perubatan, UKM. Aku sering hantar Dato' Asri balik ke rumahnya dekat Taman Tasik Titiwangsa selepas habis menerima rawatan. Aku bagitahukan komen Dato' Asri terhadap PAS; perihal PAS Kelantan tidak ada wang nak bayar gaji kakitangan perkhidmatan negeri – Dato’ Asri (Menteri Besar) pergi jumpa Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di pejabatnya di Bangunan Umno Lama dekat Pustaka Antara (sekarang sudah tidak ada). Sebaik Tunku medengar suara Daato’ Asri menanyakannya kepada Tan Siew Sin yang mejanya di tepi tangga pintu masuk di Tingkat Satu itu, Tunku usik Dato' Asri : "Di Parlimen PAS kata saya kappiak, tapi datang mai mintak pada saya. ... Sin (Tan Siew Sin - Menteri Kewangan) hang tanya pada Dato' , beghapa dia mahu ?" Ustaz begitu teruja mendengar fasal Dato' Asri : "Lagi, lagi, apa dia kata" tanya Ustaz Fadzil. Aku kata Dato' sayang kepada PAS. Sambil senyum bersahaja Ustaz menjawab : "Tapi masuk Umno." Aku ketawa kecil.

Aku beritahu Ustaz, seorang Ustaz muda yang sedang meningkat di KAGAT - orang Kedah yang aku panggil bagi ceramah di Fakulti Perubatan; kira-kira ini akan jadi pelapis PAS akan datang. "Siapa ?" tanya Ustaz. Aku maklumkan kepada Ustaz. "Oh, anak Pak Bahrom - rumah dia pernah jadi Markaz Besar PAS masa pilihanraya." Ustaz pun tak komen apa-apa tentang ustaz tersebut. Atau mungkin kerana aku tak panjangkan cerita fasal Ustaz muda ini.

Staff wanita yang biasa dengan aku beri komentar; perawakan Ustaz penuh kebapaan. Presiden PAS; nampak lemah-lembut, macam mana boleh jadi seorang pemimpin suatu organisasi besar. Yang mereka begitu hormati ialah seorang pemimpin besar seperti Ustaz sedia menunggu sehingga nombor giliran dipanggil serta berbaris mengambil ubat di farmasi(walaupun sebenarnya Ustaz tidak pernah pun menunggu lama).

Fakulti Perubatan UKM berkembang menjadi sebuah Hospital Pengajar sekaligus perkhidmatan dan reserch di Ceras. Aku generasi awal yang ikut berpindah. Pesakit yang selama ini melanggan dengan Fakulti Perubatan diberi pilihan sama ada mahu ikut ke Ceras atau mahu tinggal dengan Hospital Kuala Lumpur (peringkat awal memang staff HKL yang berkhidmat di Fakulti Perubatan dengan Fakulti Perubatan sendiri sebagai suatu entity – wadnya pun menumpang di HKL). Dan aku tidak tahu lagi perkembangan Ustaz Fadzil. Ada sesekali terjumpa Ustaz di Muktamar tahunan PAS. Ustaz bertanya khabar. Dan kali ini memang lama aku tak jumpa Ustaz. Muktamar di Terenganu – muktamar terakhir kehadiran Ustaz itu pun aku tidak ikut.

Itu antara racau aku malam itu sambil menyuap mee goreng yang susah nak dihabiskan.

Ustaz Fadzil masuk ke Hospital UKM, Ceras. Saban hari aku ziarahi Ustaz; tidak siang, malam. Suatu malam itu, aku kerja lebih masa. Kira-kira jam 10.30 mlm aku ziarahi Ustaz di wad CRW (Wad pemulihan Jantung). Sekumpulan empat orang dari Kedah datang ziarahi Ustaz. Ustaz tanya macam mana Kawasan. Aku tengok Ustaz serahkan cek, katanya orang amanahkan untuk … (aku lupa). Jumlahnya ribuan juga.

Petang Jumaat dua minggu sebelum Ustaz meninggal (Ustaz masih di Wad CRW) aku ziarahi Ustaz. Aku tuangkan jus manggo ke dalam gelas Ustaz. Sambil duduk bersandar di kepala katil, Ustaz minum seteguk dua. Ustaz minta hulurkan krim kreker. Ustaz kunyah sekeping krim kreker sambil meneguk jus manggo. Tak lama masuk Datin Wan Azizah bersama Nurul Izzah dan adiknya. Tak lama kemudian aku minta diri kepada Ustaz, untuk tetamu yang baru datang berziarah.

Hari Ahadnya aku dapat tahu Ustaz sudah dipindahkan ke ICU; seterusnya menjalani pembedahan pintasan jantung. Isnin; pada hari pembedahan Ustaz, ruang legar bilik bedah penuh ahli penyokong PAS dan keluarga Ustaz dari jauh dan dekat.

Dan aku sudah tidak dapat lagi berjumpa Ustaz. Aku pergi juga ke Wad ICU di tingkat 1; tetapi setakat di ruang legar sebagai menyaksikan atau bertemu beberapa pemimpin yang aku kenal dan memerhatikan kegelisahanan dan kesugulan mereka. Hanya orang tertentu yang dibenarkan masuk melawat Ustaz. Mulanya Dr Hatta menjadi ‘pegawai perhubungan’ kepada sesiapa yang mahu melawat. Dan kemudiannya diambil alih oleh Fawas anak lelaki Ustaz sendiri. Kebenaran untuk melawat Ustaz menjadi lebih ketat.

Makmal kami terus menerima sampel darah Ustaz. Tapi kenapa sampel darah yang kami terima selalunya lysed (heamolysed – sel darah merahnya sudah musnah). Aku beritahukan hal ini kepada Dr Hatta. Suatu pagi aku cukup tidak puas hati, sampel darah Ustaz terlalu lysed – sudah tidak ada lagi sel darah merahnya; tidak sesuai untuk dijalankan ujian – result akan bias. Aku tak puas hati lalu ikut pintu kecemasan di sebelah belakang Wad ICU berjumpa dengan staff nurse bertanyakan macam mana mereka ambil darah – tidak berhemat sehingga darah Ustaz menjadi lysed teruk.

Kesempatan ini aku ambil peluang meninjau Ustaz yang sedang terbaring di katilnya. Urat-urat wayar dan lembar tiub kecil silang-menyilang menyambung Ustaz ke alat-alat bantuan perubatan di sisi dan di bahagian kepala katil. Tahulah aku Ustaz sedang berjuang dengan hayatnya.

OT hari Khamis malam; siangnya (Jumaat) ambil cuti - sibuk dengan urusan parti; tak sempat mengikuti perkembangan Ustaz. Sabtu dan Ahad berurusan dengan program motivasi perlajar. Dalam kem ada teringat untuk tahu perkembangan Ustaz, tetapi talian telekomunikasi tidak boleh di ekses; sehinggalah aku mendengar khabar kepergian Ustaz petang itu. Bagaimanalah hati tidak pilu.

DinBatubara
22hb. Jun 2013

No comments:

Post a Comment