Tuesday, October 30, 2012

Tuan Sangatkah kita


Tuan sangatkah kita

semua masih lagi diuji
melayu,cina,india tetap meragui antara satu sama lain
BN sekian lama memainkan isu ini demi suvival politik mereka.
anwar hadi lim kit siang
wajib membuat peristiharan bersama
berkaitan perkara ini.
ada yg kata hapuskan saja Ketuanan Melayu
kenapa ada
ada pula yang menyanggah,
derhaka
khianat
mereka yangg mahu menghapuskan ketuanan Melayu
kenapa

tuan sangatkah kita;
jika tanah2 milik melayu habis dirembat didagangkan
tuan sangatkah kita;
jika persint, persel, klcc, lcct, pwtc, bajet  dll diagung2kan.
tuan sangatkah kita
jika kita bangga kawin dengan minah salleh, mat bangla, orang indon.
tuan sangatkah kita;
bila tulisan jawi lupus ditelah zaman
tuan sangatkah kita;
bila perkataan U M N O tu terang-terang bahasa penjajah.
tuan sangatkah kita;
bila anak dara kita,
anak bujang kita
bebas bertogel siang dan malam
tuan sangatkak kita;
bila anak melayu bebas berdangdut meneguk arak

percayalah mereka (melayu elit) ini tak pernah peduli; mereka cuma peduli tembolok mereka sahaja. 
Melayu kita ini cuma tempat dipijak, dihinjit
demi perut 
dan bawah perut mereka sahaja.

ayuh pakatan rakyat
bariskan kabinet rakyat

dicatat semula oleh;
dinbatubara

Saturday, October 27, 2012

Allah ganti Nabi Ismail dengan kibas

Kalaulah Allah tidak gantikan Nabi Ismail dengan kibas (dalam peristiwa penyembelihan korban Nabi Allah Ibrahim terhadap Ismail); dan syari'at itu menjadi syari'at juga (menyembelih anak) kepada Nabi Besar Muhammad s.a.w nescaya kita juga akan menyembelih seorang dari anak kita demi pengorbanan untuk Allah subhanahu wata'ala. Selawat dan salam kepada Rasul Junjungan Nabi Muhammad saw. Salam Hari Raya Idul Adhha - Salam Pengorbanan

dinbatubara
Nazar Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim terlupa, pernah suatu ketika dia menyebut : “Kalau aku dikurniakan anak lelaki sudah tentu dia juga akan kusembelih di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah.” Sesungguhnya baginda Nabi Ibrahim seorang yang terlalu banyak melakukan korban. Suatu ketika Baginda menyembelih korban sebanyak 1,000 kambing, 300 lembu dan100 unta.; hinggakan masyarakat sekeliling bahkan malaikat kagum dan hairan. Berkata Nabi Ibrahim: “Semuanya itu belum apa-apa lagi bagiku. Demi Allah, kalau aku dikurniakan anak lelaki, pasti dia juga akan kusembelih di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk-Nya.”

Demikian pada tanggal 8 Zulhijjah (hari tarwiyyah) Ibrahim bermimpi; Allah mintanya menyembelih anaknya. Dan diikuti pada hari ke 9 Zulhijjah (hari Arafah) Ibrahim betul-betul arif menerusi suaranya sendiri - diperdengarkan langsung oleh Allah ke telinga Ibrahim; menyebut nazarnya yang pernah diucapkan. Pada 10 Zulhijjah (hari Nahar) Nabi Ibrahim pun melaksanakan nazarnya.

Pilunya hati seorang bapa. Ismail yang pada ketika itu baru menganjak ke usia 8 tahun – baru pandai bermanja, cantik dan mengikut kata. Itulah satu-satunya anak yang dimiliki setelah menunggu sekian lama. Tiba-tiba Allah perintahkan sembelih: “Hai Ibrahim, tunaikan nazar kamu!” Sambil meletakkan pisau di leher Ismail, dengan pilunya Nabi Ibrahim mengucapkan takbir: “Allaah huakbar Allaah huakbar Allaah huakbar. Laa ilaaha-illahuAllaahuakbar. Allaahuakbar walillaahilhamd.”

dinbatubara

Saturday, October 13, 2012

Terkenang-kenang

Bulan Melayu sekarang, Sya’ban. Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan bulan-bulan lain dalam kalendar Islam itu, orang kampung aku sebut bulan Melayu. Ini kisah masa aku budak-budak dulu. Ini bulan orang sudah tidak turun ke sawah. Padi sudah habis dituai dan di simpan dikepuk; cukup untuk bekalan makan sekeluarga enam bulan mendatang. Tiga bulan lagi baru turun semula ke sawah. Yang tinggal di sawah ialah rumpun-rumpun jerami kering yang tegak merenta dan belukar kecil yang mula merata. Langit biru. Beberapa ekor kerbau sedang bermalas-malas di lopak-lopak kering di pinggir permatang.

Bahang panas bulan Sya’ban sesuai benar – orang kampung menjemur padi di halaman rumah masing-masing. Padi yang sudah benar-benar kering akan di mesin atau ditumbuk dengan lesung endek bagi mengeluarkan berasnya.

Ikan di lopak dan tali air sudah habis dikutip; dan sekarang sedang bergantungan di depan rumah di bawah bakaran matahari untuk menjadi ikan kering. Emak juga buat pekasam.

Apa lagi aktiviti orang kampung aku. Mereka berpakat untuk kumpulkan kayu api pula. Ada beberapa batang durian yang tumbang di hujung kampung; dan beberapa pokok getah tua yang sudah punggor dimamah usia di sempadan tanah ayah alang.

Arwah abah pakat pak saudara dan emak saudara aku serta beberapa orang lain menebang. Mak cho bawa gergaji besar. Abang Ripin pikul kapak dan baji. Batang-batang durian dan getah saiz sepemeluk itu mereka potong beramai-ramai silih berganti. Penat menggergaji mereka berhenti sambil makan kudapan yang dibawa. Mak Cho dan Wah; mereka tak makan bersama kami. Arwah mak bagi tahu Mak Cho dan Wah puasa tiga bulan - Bulan Rejab, Sha'ban dan Ramadhan.

Ketulan kayu berukuran sekaki setengah setiap satu itu mereka bahagi-bahagikan sama rata.

Tugas mereka seterusnya nanti ialah membelah bungkah kayu itu menggunakan kapak besar menjadi pilar-pilar sebesar lengan budak. Pilar-pilar kayu itu dibiarkan simpang perenang di depan rumah untuk dibaham cahaya matahari. Bau kayu durian dan getah yang dibakar matahari berassimilasi bau jemuran padi dan ikan yang sedang disalai di ampaian mengeluarkan bau khas desa petaniku. Aku dengan beberapa orang rakan seronok menyusun pilar-pilar kayu sambil menghalau ayam yang mencuri padi di jemuran. Pilar-pilar kayu disusun bersilang setinggi empat kaki berbentuk kotak atau seolah-olah rumah pangsa sekarang. Belum sempat terdiri setinggi ubun kami, rumah pangsa itu rebah. Kami menyusunnya semula. Adik perempuan aku ambil anak ayam lalu melepaskanya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam melompat keluar dan kami tangkapnya semula dan meletakkannya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam keluar lagi. Kami menangkapnya berkali-kali.

Panas terik bulan Sya'ban; seminggu pilar-pilar kayu sudah cukup kering. Kami anak-anak abah angkat pilar-pilar kayu dan susun di bawah rumah dapur. Orang kampung aku mana ada dapur minyak. Semua pakai dapur kayu. Kayu itu juga untuk memasak nasi dan menjerang air untuk more berbuka bulan puasa di surau.

Bulan Sya’ban, selalunya kami tidak bermain jongkang-jongkit di atas tunggul kelapa di tepi paya sambil menyanyikan lagu : “Cong cong codak, codak mayang labu; mana pergi budak, ambil air selabu. Buat apa air selabu, nak asah lading. Buat apa lading, nak tetak bemban. Buat apa bemban, nak jolok bulan. Buat apa bulan, nak buat agok adik.” Permainan kami bulan ini ialah duduk di hujung kayu terjongkit yang sedang digergaji oleh mak cho dan wah.

Seronok duduk berjuntai kaki sambil terhinggut-hinggut ke kiri dan kanan; menunggu hingga kayu putus dan kami terguling di dalam semak. Kami pun ketawa terkekeh-kekeh. Atau pun main yang juga asyik, iaitu mendirikan rumah pangsa; hingga tidak sedar ayam makan jemuran. Seronok teringat kisah lama; mungkinkah kerana aku sudah semakin tua.


DINBATUBARA

Friday, October 12, 2012

Sultan Alang Iskandar menjaga Igama Maka berkehendak oleh Baginda akan seorang orang alim untuk menjalan akan hukum igama di negeri itu. Maka diberitahu orang, di Teluk Anson ada seorang orang yang terlalu alim dia akan hukum-hukum igama; yang berasal dia dari Tanah Minangkabau. Sheikh Muhammad Saleh namanya. Maka menitahkan Baginda akan Orang Besar delapan Yang Bderbahagia Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, menjemput akan dia orang alim itu datang mengadap. Maka apakala tiba sahaja Sheikh Muhammad Saleh itu di Balai Penghadapan; lalu dipersalin akan dia dengan pakaian kebesaran. Maka Sultan pun menganugerahi Baginda akan gelaran Shaikul-Islam bagi Negeri Perak. Menitah Baginda akan Shaikul-Islam Sheikh Muhammad Saleh untuk menjalankan hukum Igama Islam di negeri itu. Arakian diceritakan orang pula akan Shaikul-Islam Sheikh Muhammad Saleh itu terlalu amat menjaga dia lagi sangat patuhnya kepada pekerjaannya. Direncanakannya senarai nama anak-anak qariah yang sudah baligh lalu mencatat kehadirannya pada kedatangan sembahyang Jumaat di masjid. Yang tidak datang berurut-turut sebanyak tiga kali, maka akan dicorengkan mukanya dengan warna hitam dan diarak akan dia di keliling kampung dan kota. Jika terdapat mereka itu yang juga sudah sampai perintah hukum fiqah itu kepadanya dan makan dia di tempat ramai pada bulan Puasa, maka digantung akan dia di lehernya periuk, kuali, lekur dan belanga. Diberi malu akan dia kerana perbuatannya itu. Syahadan itulah yang diceritakan orang akan Sultan Alang Iskandar itu terlalu amat menjaga Baginda urusan igama anak negerinya. Bahawa Baginda sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai ajaran Igama Islam kepada rakyat Baginda di bandar-bandar dan di kampung-kampung. Aman makmurlah negeri Perak dalam pemerintahan Baginda lagi disayangi rakyat jelata selama 20 tahun itu. dinbatubara
Tok dengan telo ayam kampung dan kopi O Pagi-pagi (masa sarapan pagi) kume tengok tok pecah sebiji (dua ?) telur (ayam kampung) dibuangnye yang putihnya. Bahagian yang kuning tok masuk dalam cawan berisi kopi O pekat; di kacaunye hingga kopi O bewarna macam kopi susu. Tok minum dengan nikmat. Ini sebahagian dari amalan kesihatan tok, kut !! dinbatubara

Monday, April 30, 2012

Tok Man

Sebut sahaja Man Lombong, semua orang kenal.   Semasa mudanya dia pernah bekerja di lombong di Lembah Kinta.  Dari situlah dia mendapat gelaran.   Ramai Man di kampung aku.  Maka masing-masing ada nama pengenalannya sendiri untuk mudah dikenali.  Ada Man Bongkok, Man Tempelar, Man Tawil, Man Namo, Man Abang Ma’in dan dua tiga Man lagi.

Kata arwah emak, nama sebenar dia Osman.  Arwah abah dan mak berbahasa dengannya Pak Seman.  Kami adik beradik memanggilnya Tok Man.  Tak jelas sangat,  macam mana soreh-morehnya.   Yang pasti, pertalian keluarga dengan Tok Man itu memang ada.  Belum jauh sangat lagi; kata abah.

Rumah Tok Man besar;  di kelilingi pokok durian manggis dan bacang.  Rumah Melayu Perak – bertiang tinggi, atap bumbung lima;  anjungnya lebar, tiga bilik tidur, serambi dan dapur yang luas dan beranda yang split level dengan anjung rumah.  Tapi rumah itu tidak pernah siap.  Tingkapnya kemas berjeriji besi, tetapi tidak ada bilah kaca.  Jenang tingkap terkelohong begitu sahaja. Tangganya masih kayu bulat sebesar paha orang dewasa yang disandar di bendul.  Tok Man akan meninjat pada tangga bulat sambil berpaut kepada bendul lalu menghumban badannya lalu tercelapak di bendul beranda.  

Aku tak pernah jumpa isteri Tok Man.  Dia meninggal dunia sudah terlalu lama.    Seorang  anak tunggal Tok Man – lelaki, guru besar  sekolah rendah di daerah yang agak jauh dari kampung itu.  Dia kerap menziarahi Tok Man.  Sepengingat aku, dia tidak pernah tinggal bersama  Tok Man.  Rakan sejati tok Man ialah kambing-kambing peliharaannya yang tidur baring terlompat-kinja di bawah rumah Tok Man.  Setiap senja,  sambil memasang api bagi mengelakkan kambing kesejukan  dan menghalau nyamuk, Tok Man bercakap-cakap dengan kambingnya.  Dan kambing-kambing itu amat mesra dan macam memahami benar arahan Tok Man.

Tiap-tiap pagi sebelum Subuh Tok Man mengaji Quran dan berzanji atau berkhasidah. Di atas rehal yang terletak di kepala tidur Tok Man terjelepok sebuah mukadam, naskah al quran tua dan kitab berzanji. Tok Man azan.  Garau suara Tok Man menyelinap di celahan pohon durian bacang dan manggis menyapa fajar sadik di ufuk Timur; memecah bening Subuh.  Suara Tok Man sedap. 

Musim durian tiba; tatkala matahari mula meninggi,  Tok Man meranduk belukar kecil di bawah pepohonan durian  sambil memukul sekeping zing dengan ranting kayu sambil  menyebut  huuh … hah … huuh … hah. Ada irama khas yang mengasyikkan dari pukulan zing Tok Man. Tok Man mendongak ke atas menghalau kawanan tupai yang mencuri-makan buah durian yang mulai masak.  Kambing  Tok Man ikut Tok Man dari belakang.

Selesai kerja, Tok Man melompat naik ke atas beranda – bersila kemas atau berjuntai kaki sambil mengemam sirih.  Tok Man nyalakan api pada puntung curut di bibir.  Asap berkepul malas keluar dari hidung dan Tok Man menyelinap di celahan misai Tok Man yang tebal dan kekuningan.  Tok Man merenung jauh ke hadapan.  Sesekali Tok Man tersenyum  sambil  melurut dan menarik-narik misai.  Sesekali  Tok Man membetulkan ikat tali pinggang yang menjerut seluar hitam bak seluar pahlawan Kung Fu.   Perut Tok Man memboyak ke depan; kelihatan jelas oleh bajunya yang tidak pernah dibutangkan. Tok Man mengebas-ngebas perut buncitnya dengan kain lilit kepala yang kumal.  Tok Man memanggil kawanan kambingnya yang meredah denai ke tepi sawah.  Sesekali kedengaran suara Tok Man tinggi … berhuuh … hah …  bila terlihat dua tiga ekor tupai berkejaran berlompatan di dahan durian. Tok Man tersenyum sambil menenyeh puntung curut pada bendul.

Entah apa difikir oleh Tok Man; tiba-tiba Tok Man mencapai parang bersarungnya, mencapai dan menuntun basikal menuju ke jalan raya.  Tok Man sandarkan basikal pada pokok halban di tepi tali air.  Tok Man berdiri atas jalan raya.  Bas berhenti.  Tok Man melompat ke dalam bas.  Tak payah bayar tambang.  Derebar bas 
kenal Tok Man. Kalau bas menghala ke hulu; Tok Man akan singgah minum teh di pekan Lambor Kanan.  Kalau bas ke hilir Tok Man berhenti minum teh di pekan Pulau Tiga.  Mamak kedai kopi di pekan Lambor Kanan dan pekan Pulau Tiga sudah kenal benar Tok Man.

Ada ketikanya Tok Man bercakap tidak ketentuan-hala.  Kekadang, sepanjang hari.  Ketika itu dengan kambingnya pun, Tok Man tak banyak cakap.  Pun kambing Tok Man tetap mesra dengan Tok Man.  Adalah perkara yang Tok Man marahkan, tu !!  Tok Man ternampak orang mencuri duriannya; atau kaki  anak kambing Tok Man rengkat terkena kayu dibaling budak-budak nakal.

Orang kampung kata tok Man gila isim.  Ada juga yang kata Tok Man jadi begitu selapas dia kematian isteri.

Tapi dengan keluarga kami, Tok Man sentiasa mesra.  Jika kebetulan Tok Man sedang naik angin dan melintas di depan rumah kami, abah tegur Tok Man; tok Man akan berlalu macam tidak ada apa-apa yang berlaku.  Tok Man selalu panggil abang ke rumahnya, tolong urut belakangnya.  Tok Man panggil aku ke rumahnya; tolong ambilkan kunci rumah yang tertinggal di dalam.  Tok Man sudah sandarkan sebatang beroti  dua sama tiga menjulur ke tingkap yang terkelohong.  Aku pun panjat, ambil kunci Tok Man.  Tok Man ajak abang dan aku meramas tempoyak.  Ada empat biji tempayan bermuncung kecil penuh berisi durian masam yang mahu diasingkan bijinya. Tok Man ajak abang dan aku makan pulut durian. Tok Man sudah sediakan pulut, dia beli  di kedai mamak di pekan Lambor Kanan.  Tok Man sudah perahkan santan  untuk dicampur dengan durian.  Ada kalanya Tok Man bawa dua tiga biji durian hulur pada emak.  “Apa lah Pak Seman, ni.  Kami pun ada.” kata mak.  Tapi Tok Man beri juga.

Setiap kali tiba musim durian; ingatan aku terimbau kepada Tok Man.

Catatan :  Aku baru terjumpa semula tulisan ini; tersorok dalam suatu fail yang lain.  Ini versi asal dari yang dicincang lumat oleh penerbit ADILA (Klasik nasional).  Tidak pernah tulisan yang aku hantar sebelum ini diperlakukan sedemikan rupa - kalau pun untuk diedit, penerbit sebelum ini menghubungi aku. Tulisan yang tersiar itu berubah hampir 80% - cerita dan gaya bahasanya. Melalui facebook aku memberitahu tulisan yang tersiar itu bukan tulisasn aku