Sunday, February 3, 2013

Membaca Semula Bumi Bertuah

The Good Earth karya Master Peace Pearl S. Buck. Terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia bertajuk Bumi Bertuah dari buahtangan Dato’ Abdullah Hussain. Kisah keluarga Wang; petani China miskin yang bergantung hidup kepada pertanian – mencintai tanah melebihi dari keluarga dan dewa-dewanya. Wang Lung memperolehi kemewahan dan penghormatan.

Cerita bertolak dari hari pernikahan Wang Lung. Hari itu dia pergi ke rumah Hwang; seorang tuan tanah yang kaya, untuk menjemput seorang hamba perempuan bagi dijadikan isterinya. Perempuan itu O-Lan yang menjadi hamba sejak kecil di rumah agam tersebut. O-Lan tidaklah memiliki paras yang menarik – muka berbentuk empat persegi, berkulit hitam serta punyai saiz kaki yang besar kerana tidak pernah dibungkus; dipercayai masih dara kerana tidak menarik nafsu lelaki di rumah tersebut. Namun perempuan begitulah yang sesuai untuk dinikahi seorang petani miskin seperti Wang Lung.

O-Lan adalah isteri yang ta’at suami, pandai mengurus rumah-tangga, tidak banyak cakap tetapi rajin dan tekun bekerja, tidak pernah menuntut apa-apa dari suaminya. Hati Wang Lung senang, karena kemiskinannya dia tidak perlu membelikan barangan mewah seperti perhiasan, baju-baju atau sepatu cantik serta mahal buat isterinya. O-Lan sering membantu suaminya di sawah sesudah membereskan semua urusan rumah seperti memasak, membersihkan serta mengurus bapa Wang Lung yang sudah tua. O-Lan bersalinkan anaknya seorang diri dalam bilik, turun kembali ke sawah sebaik sihat dan beranak lagi selepas itu dan turun semula ke sawah; membantu Wang Lung membajak dan mencangkul – menanam padi, gandum dan sayuran.

Wang Lung dan O-Lan mengusaha tanahnya dengan tekun. Kala orang lain kebuluran akibat tanaman tidak menjadi kerana diserang petaka alam, tempat simpanan padi Wang Lung masih penuh berisi. Dia menyimpan wang dari hasil tuaian hingga mampu membeli tanah milik keluarga Hwang tempat O-Lan pernah jadi abdi dulu. Suatu ketika terjadi bencana kemarau melampau dan kelaparan; untuk mengelak dari mati kelaparan, Wang Lung bersama isteri, ayahnya yang sudah tua, serta tiga anaknya menyertai orang lain berpindah ke Daerah Selatan; meninggalkan tanah yang sudah tidak mendatangkan hasil itu. Di kota di Selatan mereka menjalani kehidupan jalanan yang sukar; seperti pengungsi kota yang lainnya – tidak punyai rumah dan makan sekadar pengalas perut pun tidak menentu. Wang bekerja tarik beca manakala anak, isteri dan bapanya yang sudah tuan bekerja minta sedekah.

Kehidupan di kota tidak menyeronokkan jauh daripada kesenangan. Apatah lagi lantaran pecah revolusi. Wang Lung hingga terfikir untuk menjual anak perempuannya untuk membeli makanan. Wang Lung sentiasa mengimpikan akan pulang ke kampung. Kesempatan yang baik dari suatu peristiwa kekalutan dan hiruk-pikuk manusia kota menyelamatkan diri, Wang Lung mendapat sedikit wang, untuk beliau membawa keluarganya pulang ke kampung – kembali mengusahakan pertanian.

Cerita kemudian berlanjutan hingga akhirnya Wang Lung mampu membeli lebih banyak tanah hasil dari kerja kerasnya serta bantuan isterinya O-Lan. Wang Lung sekarang sudah jadi tuan tanah yang mampu bermewah-mewah sebagai orang yang kaya, dan dihormati. Bagaimanapun menjadi kaya tidak sahaja memberikan keseronokan dan ketenangan.

Masalah datang silih berganti seperti serangan belalang yang menyerbu tanah pertaniannya, banjir besar, gangguan dari bapa saudara dan sanak saudara dan orang miskin lain yang datang mahu merompak hartanya. Dan dia sendiri malah tidak-mampu membendung hawa nafsu, hingga menjalin hubungan dengan perempuan lain. Di ujung usianya dan mula lupa-lupa, anak-anaknya yang yang sudah pandai mengira dan membaca mengkhianati keujudan dinastinya sendiri, apabila mahu menjual tanah dan hartanya.

Dinbatubara

Sunday, November 25, 2012


Baru Belajar Nak Jadi Pencuri

TEMPAT : Foyer Masjid al Ehsaniah, Kg Melayu Bt 16, Rawang.
TARIKH : 25hb. Nov.; 2012
MASA : 1.00pagi

Nazir - Kamu tinggal di mana ?
+ Taman T*n T**a
Nazir - Hai, seberang jalan sana. Kamu nyeberang ke mari. Kenapa kamu tak masuk
ke TESCO tu; ke May Bank tu ke. Atau ke rumah-rumah tokeh di taman tu.
Kamu sedang belajar nak jadi perompak !? Berapa umur kamu ? (kepada
budak pertama)
+ 14 tahun.
Nazir - ....Tingkat 2. Sekolah mana ?
+ Sekolah Menengah R****g
Nazir - (kepada budak nombor dua) Kamu ? ... Tingkat berapa.
+ Tingkat 1
Nazir - Sekolah ?
+ Sekolah Menengah T*n P***k
Nazir - Musim cuti sekolah begini … nak cari duit pergilah mintak kerja basuh
pinggan kedai mamak ke. Mintak kerja siram atau pangkas bunga di nurseri
ke. Ini pecah masuk ke masjid. Kamu tadi berempat bukan;
+ Tak ... bertiga.
Nazir - Mana yang seorang lagi (mengalih pandangan kepada budak-budak 'punk'yang
menangkap budak berdua tersebut...
+ Dapat terlepas ... tak berbaju lari ikut pintu sana (sambil menunjuk ke
sebelah kanan masjid)… Dia orang ni berempat, ni. Itu basikalnya ada empat
buah.
Nazir - Kamu (kepada budak pertama) ... bapak kamu kerja apa.
+ Sekuriti...
Nazir - Emak ?
+ Tak kerja
Nazir - Kamu (kepada budak nombor dua) .. ayah kerja di mana.
+ Pahang ... Jengka 18
(Perbualan beberapa kali terhenti kerana panggilan masuk ke telefon bimbit
dari polis minta penjelasan lokasi masjid)
Nazir - Peneroka ... tanam sawit. ... habis kamu tinggal dengan siapa.
+ Dengan emak.
Nazir - Emak, bekerja ..
+ Tak
Nazir - Macam mana belanja sekolah kamu.
+ Ayah hantar belanja

(Timbalan Nazir pun tiba membawakan tiub basikal lalu mengikat kaki kanan
dan kiri budak berdua itu sambil mengomel)

Timbalan Nazir - Kita gantung budak ini kepala ke bawah (sambil dia mendongak
kepala ke atas konon mencari kepala tiang tempat menggantung dan
mengeluarkan kamera membuat beberapa snap).
Nazir - Tahan ke getah tu
Siak Masjid - Kita ikat ke tiang astaka tu, ke. Dan cari kerengge. … Kamu tahu
kerengge itu apa.
Timbalan Nazir - Dah hubungi bapa dia ke ?
Nazir - Saya fikir tak perlu. Tok 4 saya telefon tiga empat kali. Tak berjawab.
Tengah tidur nyenyak agaknya tu. Saya sudah hubungi polis … dalam
perjalanan. (Mengalihkan pandangan kepada budak berdua) …Kesian mak
kamu. Masakkan makan bagi kamu makan, basuhkan seluar baju. Bagi busuk
nama dia … mencuri, pecah masuk … ke masjid pulak tu. … Dah berapa kali
kamu curi duit masjid ni.
+ Dua kali
Nazir - Dua kali. Bukan dah banyak kali. Kami ada tengok gambar kamu dalam sisi TV.
+ Dua kali. Sumpah. Demi Allah
Nazir - Jangan sebut nama Allah … menipu pun kau nak guna nama Allah. Pukul berapa
kamu biasa balik rumah .
+ (Budak satu) pukul 12 … pukul satu.
Nazir - Mak kamu sudah tidur. Kamu ada kunci pendua ?
+ (Budak satu) Tak ada.
Nazir - habis macam mana kamu masuk rumah.
+ (Budak nombor dua) Ketuk pintu.
Nazir - Kamu tak kesian pada mak kamu. Dia jadi babu, jadi jaga … bukakan pintu
untuk kamu.

Kereta peronda tiba. Keluar dua orang anggota polis berpakaian seragam.
Beberapa perbincangan. Kedua-dua budak di tolak masuk ke dalam radio car
dan di bawa ke balai. Nazir minta Timbalan Nazir dan dua orang budak
‘punk’ yang menangkap ke dua-dua itu yang sedang mengompel peti besi dalam
masjid keBalai Polis Rawang buat repot.

Geram. Tiga empat kali kejadian dari penghujung tahun lepas hingga akhir ini masjid kami menjadi sasaran jenayah kecilan – hilang basikal, hilang motosikal, peti wang derma dilarikan, rak tempat kasut/penutup longkang hilang.

Sayu melihat kedua-duanya di heret masuk ke dalam kereta peronda polis. Melihat anak orang; teringat anak kita. Petang tadi dapat tahu kesemua mereka ialah lima orang. Dan kesemua mereka malam tadi tidur (tak tidur ? –interegation hingga jam 5.00pagi) dan baharu dilepaskan jam 9.00 pagi tadi.

dinbatubara

Saturday, November 24, 2012

Pagi hari minggu yang cerah.

Pagi hari minggu yang cerah. Selepas makan ubat sambil mendemah lutut yang bengkak. Menghadap ke luar tingkap ...

Di depan rumah saya ialah sepohon jambu yang kerap berbuah. Di situ juga tumbuh pohon kari dan senduduk – pernah seorang rakan dari kampung yang singgah di rumah memberi komentar; buat apa dibiar pokok senduduk; pokok liar yang tidak berapa berguna (kecuali kepada cabangnya yang cantik dipangkas dan dibuat lastik oleh budak-budak nakal buat melastik segala kelawar yang melekap di bawah pelepah kelapa dan segala ciak dan merbah; atau sesekali pucuk mudanya dipetik dan diuli dengan kapur dan disapu ke dada kanak-kanak asma). Saya berdegil lalu membiarkannya terus mekar. Saya kerap ralit menatap kelopak bunganya yang ungunya; meski sesekali rimas tatkala dedaunnya menjadi tua dan menyerlahkan ranting-ranting berceracak. Di sebelah rusuk kanan rumah saya ialah pohon belimbing yang mulai renggeh namun ramah juga berbuah.

Pohon jambu, senduduk dan belimbing sering berpakat serentak berbunga. Warna merah-ungu pun merata ruang. Segala kecil-besar kumbang, lebah dan tabuan datang hinggap dari kelopak ke kelopak dari kuntum ke kuntum. Sang kelicap juga bercelahan hinggap menerukkan paruh tajam melengkung jauh ke dalam rahim bunga dan sesekali menerjah menusuk bebola keras buah kari. Masing-masing memperoleh rezeki kurniaan Ilahi.

Di kala buah mulai ranum berdatanganlah serindit, gembala kerbau dan balam. Berterbangan; meniti dahan ke dahan antara pohon belimbing dan jambu; mengungsi. Tiada pertarungan menikmati rezeki anugerah Tuhan. Semuanya keriangan.

Satu ketika seorang rakan membawa usul supaya dipangkas pohon jambu yang mulai meninggi; supaya pohon menjadi lebih rendang. Pohon jambu saya pangkas menjadi setinggi tujuh kaki. Beberapa musim beburung tidak lagi singgah. Tidak kelihatan lagi serindit berbulu cantik atau tiong bersuara nyaring. Hilang segala kicau gembala kerbau dan siulan balam. Hati saya menjadi gundah. Terus-terusankah semua beburung pindah.

Saya kembali membiarkan tunas baru pohon jambu menancap ke langit. Biarlah dia melonjak setinggi yang dia mahukan; dan sekarang sudah kembali melepasi bumbung rumah saya. Sekarang beburung sudah kembali singgah dan meriah.

Dinbatubara

Wednesday, November 14, 2012

Catatan Tertunda - Coretan untuk ADILA

Bulan Melayu sekarang, Sya’ban. Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan bulan-bulan lain dalam kalendar Islam itu, orang kampung aku sebut bulan Melayu. Ini kisah masa aku budak-budak dulu. Ini bulan orang sudah tidak turun ke sawah. Padi sudah habis dituai dan di simpan dikepuk; cukup untuk bekalan makan sekeluarga enam bulan mendatang. Tiga bulan lagi baru turun semula ke sawah. Yang tinggal di sawah ialah rumpun-rumpun jerami kering yang tegak merenta dan belukar kecil yang mula merata. Langit biru. Beberapa ekor kerbau sedang bermalas-malas di lopak-lopak kering di pinggir permatang.

Bahang panas bulan Sya’ban sesuai benar – orang kampung menjemur padi di halaman rumah masing-masing. Padi yang sudah benar-benar kering akan di mesin atau ditumbuk dengan lesung endek bagi mengeluarkan berasnya.
Ikan di lopak dan tali air sudah habis dikutip; dan sekarang sedang bergantungan di depan rumah di bawah bakaran matahari untuk menjadi ikan kering. Emak juga buat pekasam.

Apa lagi aktiviti orang kampung aku. Mereka berpakat untuk kumpulkan kayu api pula. Ada beberapa batang durian yang tumbang di hujung kampung; dan beberapa pokok getah tua yang sudah punggor dimamah usia di sempadan tanah ayah alang.

Arwah abah pakat pak saudara dan emak saudara aku serta beberapa orang lain menebang. Mak cho bawa gergaji besar. Abang Ripin pikul kapak dan baji. Batang-batang durian dan getah saiz sepemeluk itu mereka potong beramai-ramai silih berganti. Penat menggergaji mereka berhenti sambil makan kudapan yang dibawa. Ketulan kayu berukuran sekaki setengah setiap satu itu mereka bahagi-bahagikan sama rata.

Tugas mereka seterusnya nanti ialah membelah bungkah kayu itu menggunakan kapak besar menjadi pilar-pilar sebesar lengan budak. Pilar-pilar kayu itu dibiarkan simpang perenang di depan rumah untuk dibaham cahaya matahari. Bau kayu durian dan getah yang dibakar matahari berassimilasi bau jemuran padi dan ikan yang sedang disalai di ampaian mengeluarkan bau khas desa petaniku. Aku dengan beberapa orang rakan seronok menyusun pilar-pilar kayu sambil menghalau ayam yang mencuri padi di jemuran. Pilar-pilar kayu disusun bersilang setinggi empat kaki berbentuk kotak atau seolah-olah rumah pangsa sekarang. Belum sempat terdiri setinggi ubun kami, rumah pangsa itu rebah. Kami menyusunnya semula. Adik perempuan aku ambil anak ayam lalu melepaskanya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam melompat keluar dan kami tangkapnya semula dan meletakkannya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam keluar lagi. Kami menangkapnya berkali-kali.

Seminggu pilar-pilar kayu sudah cukup kering. Kami anak-anak abah angkat pilar-pilar kayu dan susun di bawah rumah dapur. Orang kampung aku mana ada dapur minyak. Semua pakai dapur kayu. Kayu itu juga untuk memasak nasi dan menjerang air untuk more berbuka bulan puasa di surau.

Bulan Sya’ban, selalunya kami tidak bermain jongkang-jongkit di atas tunggul kelapa di tepi paya sambil menyanyikan lagu : “Cong cong codak, codak mayang labu; mana pergi budak, ambil air selabu. Buat apa air selabu, nak asah lading. Buat apa lading, nak tetak bemban. Buat apa bemban, nak jolok bulan. Buat apa bulan, nak buat agok adik.” Permainan kami bulan ini ialah duduk di hujung kayu terjongkit yang sedang digergaji oleh mak cho dan wah. Seronok duduk berjuntai kaki sambil terhinggut-hinggut ke kiri dan kanan; menunggu hingga kayu putus dan kami terguling di dalam semak. Kami pun ketawa terkekeh-kekeh. Atau pun main yang juga asyik iaitu mendirikan rumah pangsa; hingga tidak sedar ayam makan jemuran. Seronok teringat kisah lama; mungkinkah kerana aku sudah semakin tua.

Kiriman : Naharudin bin Abdul Rashid (DINBATUBARA)

Tuesday, November 13, 2012

seghapah apak kume

Dalam ujan ghenyei-ghenyei keme ngulum biji doyan.
Ini buah yang kume makan daghi bakti oghang tetue.
Pagi Jema'at yang ceghah apak kume beseghapah
tatkale anak benih mencecah ke tanah : "tumbuhlah kamu bebuah-lebatlah kamu
demi untuk anak cucu aku".
Kini dan seterusnye ghapatlah kume para kerabat dan persedaraan. -
Cangkat Ghambei 13/11/12

Friday, November 9, 2012

Sek. Men Dato' Maharajalela Kg Gajah - Bagaimana akan aku lupa


Aku dulu bersekolah di  Sek. Men. Dato’ Maharaja Lela Kg Gajah, Perak.  Tahun ‘68 hingga1972. Tersohorkah sekolah itu ?  Entah.  Ada dari sekolah itu lahir seorang menteri ?.  Tak terdengar pulak.   Mungkin ada; iaitu dari kalangan junior aku.  Usahawan ?.  Aku tahu ramai !.   Ada juga pelakon. Yang jadi datuk ?  Ramai !!.  Hari Raya Puasa yang lepas kami bikin re-union di sekolah.  Ada seorang rakan aku bergelar Dato’ datang.  Dan aku berpangkat datuklah juga.  Datuk kepada dua orang cucu aku.

Aku di Tingkatan 5 Sains.  Khabarnya,  sekolah aku itu adalah satu-satunya Sekolah Luar Bandar yang ada aliran Sains.  Elektrik tak ada.  Kipas angin bergantungan di siling; tak boleh berpusing.  Mentol-mentol lampu melekap di siling; tak menyala.  Pondok  bagi menempatkan jenerator  untuk makmal sains ada, tapi sampai ke sudah aku di situ, enjinnya tak ada.   Bila ada amali sains yang menggunakan  bahanapi, kami pakai ‘penunu bunsen’ yang rupanya lebih kurang pelita minyak tanah di rumah aku.

Kami  tumpang menjalankan peperiksaan amali  di Sek. Men. Sultan Yusof di Batu Gajah.  Julung-julung kalinya kami menggunakan ‘penunu bunsen’ yang gasnya disalur terus ke bekalan pusat.  Manalah kami tahu cara mengawal nyalaan api dan langkah-langkah keselamatan. Tergamam.  Kami diminta mengesan gula dalam larutan.  Tak reti nak kawal api !!  Apalagi, menyembur-nyemburlah cairan dari test-tube masing-masing; menembak ke dinding – warna kuning, hijau atau biru.  Di meja Tajuddin; api menyembar salur getah di kaki penunu bunsen.  Kelam kabut dia minta bantuan pengawas.

Cikgu sains kami ialah Pak Kusdinar Harnatmatnja dari suku Sunda dan Pak Adrianus dari suku Batak.  Pak Kus mengajar Biologi dan Kamisteri.  Pak Adrinus mengajar Fizik dan Hisab Moden.  Seronok mengajuk-ajuk slang Indonesia mereka  … “Wah !! coba-coba bawa ke muka …” Lembut suara Pak Adrianus mengusulkan; bila soalan yang diberi dijawab betul oleh rakan sekelas.  ‘Bawa ke muka’, bermaksud menuliskannya ke papan hijau di depan kelas.  Suatu hari itu, ramai kami yang tidak menyudahkan home-work yang diberi Pak Kus.  Pak Kus naik berang : 
…”KATANYA INGIN MAJU.  DIBERI QERJA TIDAK DIQERJAQAN.”   …. “DUUMM” – serentak itu kaki Pak Kus hinggap di papan hijau.

Pak Kus dan Pak Adrianus datang ke sekolah kami semasa kami di Tingkatan 4;  Pak Adrianus memperkenalkan namanya; Adrianus Panjaitan.  Dan dia pun menceritakan, jumlah suku-kaum Indonesia; tidak kurang daripada 740 suku kaum.   Daripada nama seseorang dapat dikenali kaumnya.   Dan kami, seronok pula mereka-reka nama Indonesia kami dan menulisnya di kulit buku latihan masing-masing.  Nazri menjadi Nazri De la Renzo.  Konon nama Indonesialah tuuh !.  Sampai sahaja buku latihan itu ke tangan Pak Adrianus, Pak Adrianus  dengan kening berkerut, hairan menyebut lambat-lambat …”Aaapa ini … Najri de la .. la  Renjo”  Kami semua ketawa. Pak Adrianus tidak boleh menyebut huruf ‘zek’.  Zek akan disebutnya ‘jek’

Kami cuma dua puluh tujuh orang sahaja.   Hampir 40 tahun sekarang, aku masih boleh ingat kesemua mereka.   Hashim, Termizi, Nazri, Tajuddin, Derus, Azizah, Rosiah, Khadijah, Maimon, Lokman, Arshad .  Ah; semuanya aku masih boleh ingat.  Teringat mereka, mengembalikan semula ingatan kepada semua peristiwa.

dinbatubara

Tuesday, October 30, 2012

Catatan terlewat - Propaganda Umno (ditulis tatkala isu Mat Indera 'komunis' berkecamuk)


Tak dak aih, orang lain menyampah pada orang Melayu.  Mereka masing-masing sibuk memperkasa bangsa sendiri - mengintai peluang, mengaut laba/keuntungan dari : kelemahan/kelalaian/rakus/adu-domba sesama sendiri/kepandiran politik Melayu main-stream  dari mempertahan agenda dalam Perlembagaan Persekutuan (banyaknya hak Melayu telah tergadai kerana kebodohan itu)/kebodohan berpolitik orang Melayu (Cina ada banyak parti-parti politik : MCA, GERAKAN, DAP di Semenanjung) dan beberapa parti di Sabah dan Serawak - semua perselisihan antara mereka adalah demi agenda Cina.  Apa yang tak boleh disuarakan oleh MCA atau GERAKAN kerana persepakatan dalam BN dibisik kepada DAP.  Apa-apa yang ultra yang tak boleh disuarakan oleh DAP, dibisikkan kepada MCA, GERAKAN - gegarkan sedikit Parlimen dan DUN. Tapi Umno hanya hendak parti tunggal dia sahaja ... Parti Melayu (Islam) lain baik tak usah ada - pemecah belah.  Inilah kebodohan politik Melayu mainstream asuhan Umno yang menyebabkan jati-diri politik Melayu makin layu.

Orang lain seronok ? Mungkin ya; sebab kebodohan politik Melayu bawaan Umno memugkinkan politik mereka (Parti Cina) boleh terus hidup. Bagi MCA, GERAKAN mereka akan ikut malap jika Umno berdepan dengan zaman gelap dan ghuyup.

Sokongan Melayu, khususnya dari generasi  muda – yang celik politik, yang dapat/baca maklumat tidak saja menerusi Utusan dan TV;  kepada Umno memang sudah lama merosot. Untuk terus mendapat sokongan orang Melayu Umno kena main sentimen perkauman, mainkan isu kominis.  Isu kominis - sebab kominis terlalu dekat dengan kisah kehidupan orang Melayu (walaupun zaman pemerintahan Bintang Tiga dulu ramailah juga orang Melayu yang jadi tali barut kominis di samping ramai pula yang jadi barua British; seperti juga sebagaimana adanya orang Melayu yang jadi tali-barut Jepun semasa pendudukan Jepun).

Orang Melayu akan terlalu sensitif dengan kominis.  Macam dululah juga; di tahun-tahun hujung 1970an – dipertengahan perkembangan gerakan Islam di Malaysia, kalangan masyarakat yang mengaji, faham apa itu Hizbullah, Hizbusy Syayatiin – politik dan agama tidak boleh dipisahkan; tapi puak Umno yang dibodohkan oleh pemimpin tak mengaji, sanggah mengatakan mana ada parti Allah. Allah mana ada parti-parti, politik dan agama tak boleh dicampur-capur kalau dicampur agama dengan politik akan rosak politik.  Orang Islam yang masih ramai tak faham Islam dibangkitkan kemarahan mereka oleh Umno dengan mempropagandakan PAS menyebarkan ajaran sesat kerana menyebut PAS parti Allah (sebagai gantinama kepada PAS parti @ golongan yang memperjuangkan Islam; PAS mencampur-adukkan agama dengan politi)k. 

Saya dibetitahu oleh seorang orang kuat Sanusi Junid ketika itu (orang kuat KEMAS – KEMAS di bawah Sanusi Junid; “memang Umno tahu Hizbullah, Hizbusy Syayatiin; tapi Din tahu le, ini politik.  Kalau Umno cakap habis le Umno” kata dia. Umno, oh Umno.  Begitu perangai engkau) Dan allhamdulillah, sekarang ramai orang Umno sudah mengakui politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Umno mendabik dada mengatakan dia memperjuangkan syiar Islam.  Mahathir pun suatu ketika dulu mendakwa Umno adalah Parti Islam terbesar di dunia). 

Pilihanraya 1978 Umno mainkan sungguh-sungguh isu parti Allah ini untuk mengalahkan  PAS  pada pilihanraya tersebut. Sign-bord yang sudah hampir lusuh Perkataan PAS Parti Allahnya yang terpantak di Kg Kerinci diambil gambarnya di spin beritanya semaunya di media cetak dan elektronik setiap minit, jam dan hari.  PAS tak sempat nak jawab balik.  Nak jawab dengan apa ? Media ? Tak ada TV surat khabar yang mahu terima/beri bercakap.  Nak berceramah – urusan permit dengan polis (di bawah Kementerian Dalam Negeri) cukup payah.  PAS tidak ada media/peluang untukjawab balik.  Umno seolah-olah ikat  tangan PAS kebelakang dalam pada itu membelasah PAS setiap saat, minit, jam dan hari.  Dan pilihanraya Umum 1978 pun diadakan.

Pilihanraya Umum  1990 memperlihatkan sokongan Melayu kepada Umno mulai menurun, menurun dan terus menurun hingga sekarang.   Apa yang dapat menyelamatkan Umno ?.  Perkauman !  Dan perkauman !! Dan sekarang putar belit sejarah.  Apa hairan, kerja  perundangan di mahkamah pun Umno boleh balik-kuang putar-belitkan.  Juak-juak Umno bersumpah guna  nama Tuhan pun apa ada hal (sebab balasan Tuhan terhadap sumpah bohong bukan Allah balas di dunia. Balasan di akhirat apa ada hal. Peganut jahil agama dalam Umno selalu bercakap dengan beraninya; urusan di akhirat mana tentunya klagi.  Mahathir pernah cakap, siapa yang baru balik dari akhirat bercerita tentang azab dalam kubur.  Penganut Umno yang jahil agama selalu cakap kubur lain-lain.  Peliknya sijahil ini lah yang banyak diikut cakapnya oleh yang cerdik agama dalam Umno.  Pelik.  Pelik).

Dan sekarang Umno sekali lagi mengajar/mengajak penganutnya dan Melayu seluruhnya jangan belajar sejarah yang betul, jangan mendengar pelajaran yang betul.  Umno suka penganutnya berada terus dalam kejahilan.  Di Selangor semasa Umno berkuasa; mesjid di tutup rapat dari pengajian; kecuali mengaji bab sembahyang – bab udhu’, darah wanita ( walaupun yang mengaji itu semuanya terdiri dari wanita yang sudah putus haid), perkara yang membatalkan udhu’/sembahyang, bab puasa.  Tapi tak boleh buka kitab yang menyebut perkara-perkara yang membatalkan akidah … ini politik … Ini Ustaz PAS – bawa politik dalam masjid (walaupun itu ada disebut dalam kitab Mustika Hadis; kitab hadis  terbitan Jab Perdana Menteri).  Tak boleh.  Arahan.

Bila Pakatan Rakyat ambil alih; masjid buka pintu pengajian seluas-luasnya – pentauliahan untuk  kebenaran mengajar ditambah.  Baru pakcik-pakcik tua yang taat ke mesjid sejak dari zaman Umno bagitahu : “Ooo !!! baru kami tahu; kenapa ustaz dulu tak cakap macam itu” bila ustaz sekarang bagi tahu/ajarkan pengertian doa iftitah dari sudut taabud uluhiah dan rububiah; perkara-perkara yang membatalkan syahadah; tanggungjawab memelilih ketua yang betul dll dll yang amat merugikan perjuangan jelek kepemimpinan jahil Umno..

Ya, benteng pertahanan Umno ialah perkauman –bangkitkan isu perkauman seolah-olah MCA itu bukan Cina. GERAKAN itu bukan Cina. Putar isu kominis.  Berita RTM pagi sebut Menteri Penerangan bagi amaran jangan ada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba sokong kominis baik dalam tulisan di blog atau fb.  Mana ada orang yang nak sokong kominis (yang dalam ceramah Mat Sabu itu dengar betul-betul dan ikuti juga penjelasan beliau bersama media selepas itu.  Tapi Rais cakap juga untuk orang pecaya bahawa memang ada orang yang cuba bawa/hidupkan kominis.  Pepatah Arab ada sebut: perkara yang tidak betul itu kalau sering-kali diulang-ulang iany akan dipercayai sebagai benar.  Ini yang Umno buat.