Thursday, November 18, 2010

Korban - ulasan dari interpritasi PM Najib

PM Dato’ Sri Najib mencadangkan supaya pengertian korban diperluas.  Saranan itu boleh dimaknakan supaya tidak sahaja korban pada pengertian ibadatnya menyembelih binatang ternak; tetapi meliputi makna-makna seperti berkorban tenaga, masa, idea/pemikiran, wang ringgit untuk menjana transformasi yang dicanangkannya. 

Tidak ada salahnya untuk memberikan apa sahaja interpritasi yang baik-baik; asal tidak melanggar tuntutan/ fitrah agama.  Seperti tidak salah menyediakan daging segar yang dibeli di pasar kemudian menghadiahkan/ mensedekahkan kepada yang bukan Islam, ketika mana orang Islam menerima daging korban (kerana daging korban adalah menifestasi suatu kerja ibadat, maka tidak boleh diberi kepada yang bukan Islam); seperti yang dicadang oleh Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz – Niatnya ialah untuk mengeratkan hubungan dengan jiran bukan Muslim.

Pengarah Jakim memberikan  interpritasi yang betul – supaya amalan ibadat itu tidak dilihat meninggalkan sama sekali urusan ummat Islam dengan yang bukan Islam.  Urusan menjaga maslahat agama agar dipandang mulia oleh bukan Islam, juga adalah ibadat.

Tapi kita mempersoalkan apakah cadangan supaya pengertian korban diperluas hingga kepada korban wang/ringgit, idea/pemikiran, tenaga dan masa seperti cadangan Dato’ PM kita itu setelah beliau memahami sebenarnya pengertian korban seperti yang dikehendaki oleh Islam.  Kefahaman itu yang seharusnya dimulai dari peristiwa-peristiwa sebelum daripada peristiwa Nabi Ibrahim menyembelih Ismail.

PM Najib mesti sebut dulu kentalnya takwa Nabi Ibrahim mematuhi perintah.  Allah kurniakannya anak, ketika itu Ibrahim sudah 86 tahun; dari perkahwinan dengan Siti Hajar (yang dimintakan oleh Sarah). Itu Ismail, satu-satunya anaknya.  Anak yang ditinggalkan sekian lama di padang pasir kontang – timbul kerinduan yang amat sangat kepada si anak sekali-gus si ibu (isterinya). Bertemu tatakala Ismail dalam lingkungan di bawah 10 tahun (kadar umur yang sudah boleh dikongsi kemampuan bekerja). Anak yang sudah boleh mengikut kata dan bergurau dan baru hendak bermanja-manja.  Baru sahaja berjumpa; tiba-tiba Allah perintahkan sembelih. Bagaimanakah kalau kita.  Kalau anak  itu sepuluh orang; mudah – pilih saja yang mana satu yang paling nakal.  Tapi ini anaknya cuma seorang. 

PM Najib kena sebut juga dulu peristiwa melontar Jumrah itu bukan sekadar peristiwa ritual ;tapi kena ambil pengajarannya. Ia dari peristiwa Siti Hajar melontar syaitan yang mengkhabarkan kononnya sang suami sudah gila kerana mahu menyembelih anaknya yang seorang (setelah siiblis tidak berjaya mempengaruhi si suami). Analoginya  ialah kita melempar  segala apa yang menghalang kepada kerja Islami – apa sahaja bentuk dan sistem seperti nasionalis/ komunis, sekular, khurafat, libralisme, kegiatan berbudaya/ sukan yang melampau hingga melalaikan/melekakan daripada mengerjakan perintah Allah, segala yang berupa fitnah kepada agama dan sebagainya.  Yang dilimpar itu juga ialah segala bentuk-rupa kepercayaan syirik keberhalaan yang ada dalam diri (termasuk syirik/keberhalaan bahawa Umno sahaja parti orang Melayu; yang boleh membawa kemakmuran kepada rakyat negara ini). Jamaah haji – pulang ke Malaysia dengan hati dan jiwa yang bersih menolak semua kepercayaan karut marut tersebut.

PM Najib juga kena sebut, salah satu rukun haji iaitu wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah.  Arafah; apa itu  ? Ialah Padang Pertemuan yang di tengah-tengahnya terdapat Jabbal Rahmah - gunung kasih-sayang; kasih sayang Allah  kerana mempertemukan semula Adam dan Hawa yang yang telah terpisah  200 tahun - di usir Allah ke dunia dari syurga kerana kesalahan yang cuma satu; iaitu makan buah telarang, tetapi kita, berapa banyak larangan Allah yang kita lakukan.  Pelangaran hukum oleh orang yang berkuasa malah lebih berat hukuman Allah akannya daripada rakyat bawahan. 

Sungguh peristiwa korban menunjukkan Nabi Ibrahim betul-betul perform akan arahan Allah.

Ibrahim yang mendapati tempat ditinggalkannya Ismail dahulu yang kering-kontang kini sudah jadi tempat tumpuan dagangan.  Kafilah dari Utara dan Selatan, Timur dan Barat bertemu di wadi (yang muncul dari hentakan tumit Ismail).  Kalau ikut fikiran kita, bagaimanakah  Tidakkah kita (kalau ikut agenda mentransformasi Satu Malaysia); apa salahnya memajukan ekonomi terlebih dahulu; bila ekonomi ummat Islam maju Islam akan ikut maju sama – kita pun ambil kesempatan daripada kemunculan negara-kota itu dengan menceburi urusan dagang – berjual air zam-zam, ke atau industri hiliran yang lahir darinya atau berniaga barangan keperluan musafir – tali kekang unta atau kuda ke, kain selimut, pelana kuda/ unta ke, kasut padang pasir ke dan lain-lain yang menguntungkan.

Tetapi tidak demikian Nabi Ibrahim khalilullah itu; lebih fokus dia kepada arahan Allah – mimpinya di Palaestina dibawanya bermusafir ratusan batu jauhnya ke Bakkah untuk diberitahunya  kepada sianak.  Tidak sedikit keyakinannya goyah.  Sungguh itu perintah Allah.

Kita wajar berasa bimbang; bahawa suatu kefahaman yang dikira boleh mengnutralisasikan makna sebenar sesuatu peristiwa agama oleh pemikiran yang tidak jitu kefahamannya akan membawa kepada penjauhan yang akhirnya penyelewengan daripada agama.       

dinbatubara

Wednesday, November 17, 2010

Tekenang-kenang.... belum sempat ziarah Pah Su

Di depan tangge ghomah dapo itu dulu ade jalan ke daghat lalu depan ghomah Tok Sidang Pak Mat Ghozali, teghuih depan ghomah opan Limah. Depan tangge itu, le - belah kanan jalan ialah pokok nangke; belah kighinye telage. Bawah pokok nangke itu le, keme belage peghut dengan pak Han lepeh makan tengahaghi. Opah Su pekik daghi muke pintu dapo tu : " Hei !! pecah peghut tu kaghang." Pak Han dengan keme ketawe tekek kekek. Wan kecik tu gaghang betui. Entah ape salahnye, tak tau keme; si Aman tu di pukuinye. Si Aman teghoyak. Aman tu kalau udah teghoyak; teghuk mujuknye. Pah Su jeghit; "jangan kome pukui cucu aku !!" Dan Pak Han laghikan Aman ke jalan hale kulu depan ghomah Layak. Keme tak ponah ghase Pah Su opah lain. Itulah opah keme. Doa untuk Pah Su.
... Belum sempat pergi ziarah Opah Su.  Badan tidfak sihat.  Lepas sembahyang Sunat Eidul Adhha makan ubat, tidur, bangun sembahyang zohor, tidur lagi sampai asar.  Malam ziarah Abang Yang di Selayang.


dinbatubara

Tuesday, November 16, 2010

Sesat di Kuala Lumpur – Untuk ADILA di Klasik Nasional

Bas akan bertolak.  Tapi ada empat orang murid perempuan belum sampai.  Sudah  pukul sepuluh lebih. Sudah lewat hampir empat puluh minit.  Ke mana mereka.  Dua  pelajar lelaki yang pergi menjejak mereka; juga belum pulang.  Dalam bas sudah mula kelam-kabut.  Bahang panas terasa amat; walaupun awal malam selepas hujan itu sepatutnya dingin – bas sekolah macam bas militeri itu tak ada aircond.  Ada yang lepas cakap marah-marah, menyumpah: “Macam ini, pukul berapa nak sampai Subang” – distinasi terakhir kami; nak tengok kapal terbang turun-naik !

Empat gadis pingitan itu kemudian muncul.  Mereka menjinjit kasut tumit tinggi masing-masing.  Woow ! dara pingitan Kg Gajah melaram di Ibu Kota – berkasut tumit tinggi. Tumit dah melecitlah tu. Peluh memercik di dahi.  Sambil termengah-mengah Si Maimun beritahu :  “Kami sesat, sampai ke Masjid Negara”  Katanya. Kawan-kawan terlopong mendengar cerita dia.

Itu peristiwa pada kira-kira  38 tahun lalu – sewaktu di sekolah menegah.  Sekolah kami buat rombongan ke Kuala Lumpur.  Setelah pusing-pusing KL – tengok Ekspo Pendidikan di Stadium Negara, ke Muzium & Tugu Negara – tinjau Bangunan Parlimen dari jauh dan Zoo Negara; kami singgah makan malam di Pasar Minggu Kampung Baru.  Kata orang; tak sah rombongan ke Kuala Lumpur kalau tidak singgah di Pasar Minggu Kampung Baru – medan niaga orang Melayu yang terkenal dan paling sibuk di Ibu Kota.  Di situ menjual beranika barangan; dari buah-buahan, pakaian dan permainan kanak-kanak, pakaian lelaki/wanita, aksesori saduran untuk wanita seperti cincin, gelang dan subang, barangan alat dapur, hingga ke parang dan golok, barangan antik dan ramuan ubatan tradisional Melayu.  Semuanya ada.

Menyusuri deretan gerai makanan pula ditemui beranika juadah kuih-muih, nasi padang, jagung rebus, tapai dan pecal.  Wap dari kuah laksa menerjah cahaya lampu apabila tudung tempayannya dibuka bercampur kepulan asap dari bakaran sateh dan aroma nasi ayam, mee goreng dan lain-lain – terbang menusuk ke hidung setiap pengunjung dan memecah liur. 

Pasar terang benderang dan hiruk pikuk oleh orang ramai yang bergeselan, bertali arus; Pekik-laung dan lambaian juru-jual memperaga/ mempromosi dagangan menjadikan suasana hingar dan gamat.   Ada suatu medan di tangah-tengah pasar menempatkan sebuah pentas proscenium; tempat persembahan kugiran dan teater (masa itu disebut drama). Drama bangsawan sedang dipentaskan.

Itu Pasar Minggu Kg Bharu.  Terkenalnya hingga dijadikan latar tempat, dalam novel Gelandangan tulisan Nora – cerita tentang kehidupan pengemis dan sekumpulan kecil pelacur di Ibu Kota.   Novel terbitan Utusan Melayu awal 80an.

Kira-kira 20 tahun selepas itu aku bawa anak-anak dan isteri makan di sebuah gerai di Pasar Minggu – medan niaga orang Melayu yang sudah tidak lagi semeriah dulu. Pendatang dari Seberang sudah mula ambil-tempat; beniaga di situ. Aku ceritakan peristiwa empat gadis pingitan tersesat dulu itu.  Tak munasabah tersesat sampai ke Masjid Negara; masjid yang kami lihat dari jauh ketika dalam perjalanan ke Stadium Negara. Tak kan lah sampai ke Masjid Negara.  Berapa lapis jalan yang perlu mereka tempuh dan seberangi antara Kampung Bahru ke Masjid Negara Banyaknya bangunan yang mereka kena selusuri.  “Yang mereka jumpa itu, mesti Masjid Kampung Bharu”  kataku.  Masjid yang besarnya lebih lima kali ganda masjid kampung aku; dengan gemerlapan cahaya neon merah-kuning-biru mengelilingi kubah, menara dan bangunan masjid.

Isteri aku menyampuk :  “Ayah kamu tu, memang orang kampung” Kami sama-sama ketawa geli hati.

Apa khabar Mun, Jamaiyah, Rusnah, Zah, Timah, Mizi, Shad, Megat.  Azizah dah pencen – dia opsyen awal; ceburi bidang katering bersama suami – aku jumpa di majlis kahwin anak lelakinya tahun lepas.  Aku tersesat hampir dua jam mencari rumah dia di Taman Medan, Jln Klang Lama. Pertemuan setelah hampir 30 tahun tak jumpa.  Pun tak dapat berbual lama, dia sibuk melayan tetamunya malam itu. 

Kalian yang lain tidak pernah lagi aku temui setelah lebih 38 tahun. Aku rasa ramai antara kita sudah jadi bahagian dari KL; bersama-sama membangunkan suatu rupa bangsa – yang jadi usahawan; macam Si Jamil (rakan kita yang pandai matematik dan kimia  dulu) masa KL ada bas mini dulu; dia jadi pengusaha bas mini.  Sekarang jadi usahawan besarlah, kut. Kayah jadi pembekal/ penender alat pendingin hawa ke jabatan-jabatan kerajaan – masa senggang berkongsi minat dengan suami main golf bersama rakan-niaga dan orang besar-besar.  Tapa, khabarnya jadi boss di JKR (Bahagian/ Jabatan mana aku pun tak tahu).  Latip Naman jadi boss di Pos Malaysia.  Saadiah di Pusat Perubatan Universiti Malaya; Noraini di HKL.  Apa khabar Saadiah, Noraini – dah pencen juga, agaknya ?  Pun masing-masing kita sudah beranak-pinak dan bercuculah, ya. ? Harap-harap anak-cucu kita  tidak tersesat di Kuala Lumpur.

Kiriman;
Naharudin Abdul Rashid (DinBatuBara, Rawang, Selangor)

dinbatubara

Monday, November 15, 2010

Sekolah Agama Rakyat Al Imaniah, Kg Melayu Bt. 16, Rawang, Selangor. Tahniah.

14hb. Nov., 2010.  Pagi hingga tengahari; hadir pada program Ihtifal Sekolah Agama Rakyat Al Imaniah, Kg. Malayu Bt 16, Rawang – penyampaian anugerah kecemerlangan, ucapan dan persembahan murid. Keputusan peperiksaan SPRA keluar hari Jumaat lepas. Sekolah Al Imaniah dapat tempat Ke 3 dalam Daerah Gombak; daripada 55 buah sekolah (bagi sekolah Kategori B – sekolah yang menghantar murid masuk periksa di bawah 100 orang) dan tempat Pertama bagi Zon Rawang (dari 11 buah sekolah).

Ini pencapaian terbaik yang pernah diperolehi.  Tak sangka.  Pentadbiran menjangkakan untuk mumtaz hanya dapat 5 orang; tapi; alhamdulillah dapat 11 orang, Jaidan Jaid 16 orang, Jaid 8 orang, Maqbul 3 orang. Gagal seorang.  Jumlah kendidat ialah 39 orang. Markah perolehan ialah 97.4%.  Peperiksaan UPKK Al Imaniah dapat tempat Pertama untuk seluruh Daerah Gombak.  Perasmian dilakukan oleh Tn Hj Mohammad Hj Abdul Rahman; Penyelia DUN Templer.

Ini Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Integrasi Al Imaniah; sudah berusia hampir 15 tahun.  Muridnya sekarang seramai 304 orang murid. Aku beri kata-kata aluan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah. Aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada ustaz/ustazah yang tidak pernah berasa lelah dan jemu dalam tugas mereka. Terima kasih kepada ibu-bapa kerana sama-sama membantu/memerhatikan anak mereka di rumah. Pastilah dengan kerjasama itu telah membantu kemajuan anak-anak.

Aku pun sedikit bernostalgia tentang sekolah itu.  Al Imaniah adalah hasil dari sessi percambahan fikiran dalam program usrah (Di situ ada Ustaz Usman Hamzah al Hafiz, Jamil Rafaie, Zakaria, Haron, Jinlapudin, Syaari, Cikgu Yusuf Abd Rahman, Yunus dan aku). Aku cetuskan idea penubuhan sekolah agama, sebagai sumbangan kepada masyarakat; sementelah sebagai kemudahan kepada anak-anak kami juga; tidaklah susah-susah menghantar mereka ke Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun (dekat Pekan Rawang) yang jauhnya dua batu dari rumah kami - untuk keselamatan dan dapat dielak dari anak-anak itu menyimpang ke lain lepas habis waktu sekolah.  Yang pasti ianya akan juga dapat menampung sedikit-sebanyak keperluan anak-anak ahli qariah kampung kami. Cikgu Usop pada usrah minggu depannya membentangkan sukatan pelajaran dan keperluan gurunya   Kebetulan Ustaz Usman Hamzah al Hafidz balik dari Mesir dan hadir dalam usrah tersebut; idea itu terus dimurnikan; ustaz Usman terus dipertanggung-jawabkan merangka kurikulum dan sukatan pelajaran.

Itu 15 tahun dahulu. Dahulunya di rumah aku – serambi (ruang letak kereta) yang berukuran 24kaki x 11kaki, kami jadikan bilik darjah. Zakaria, Jamil masing-masing bawa kayu beroti 2”x 3”, 2”x 4”, Harun, Syaari, Pudin; masing-masing bawa alat/serahan masing-masing – beri simen, beri duit beli playwood dan dawai mata punai.  Kami bertukang dua hari; kelas siap. Jamil uruskan beli kerusi plastik.Aku bertukang buat meja.

Kalau hujan, tempias akan masuk; basahlah kain/ kaki seluar murid perempuan/ lelaki kami.  Kelas itu dimulakan dengan kalau tak silap aku dalam sepuluh orang murid – anak-anak kami; anak aku 2 orang, anak Jamil 2 orang, anak Zakaria seorang, anak Harun seorang, anak Pudin dua orang, anak ustazah Khadijah seorang dan seorang berdua anak jiran dekat rumah.

Empat orang guru – Ustazah Khadijah; emak mertua Ustaz Usman yang baru bersara, Ustaz Usman sendiri, adik Ustaz Usman dan rakan sekampung adik ustaz Usman. Dua orang guru iaitu Ustaz Usman dan Ustzah Khadijah tidak ambil gaji sepanjang mengajar di Al Imaniah; rasa-rasanya hampir setahun.

Isteri aku seorang guru - mengajar di sekolah kebangsaan sebelah petang; sebelum pergi sekolah dia buat kuih dalam dua puluh atau tiga puluh biji untuk kudapan pelajar seramai sepuluh orang itu.  Kami ahli usrah pakat-pakat beli barang keperluan bersama seperti beras, tepung, kicap, gula, bawang, telur, meehun, minyak masak dan lain-lain keperluan dapur di Pasar Borong – beli pada harga borong dan jual kepada ahli pada harga pasaran.  Untung jual barang runcit + untung jual kuih + sumbangan ahli usrah atau orang perihatin dapat bayar gaji ustazah.

Lapan bulan sekolah itu di serambi rumah aku.  Pertambahan pelajar (serta kami membuka pula Sekolah Tahfiz al Quran tahun berikutnya.  Kelas Tahfiz dengan pelajar 30 orang bertahan hingga tiga tahun); sekolah pindah-menyewa di rumah Razak ingener APMC yang bermurah hati sewakan rumahnya. Kami ubah-suai; besarkan  rumah itu untuk tampung kelas.  Kami buatnya sama-sama.  Yang tidak pernah pegang tukul dan gergaji akhirnya pandai bertukang - bancuh simen, ikat batu-bata, plaster dinding dan melepa simen lantai. Encik Razak tidak pernah menaikkan sewa hingga hampir 8 tahun.  Kami pinta bantuan MAIS untuk buat bangunan baru. MAIS beri RM50,000 dan kami cari lagi RM50,000.  Itu bangunan yang ada di atas tapak sekarang, yang menampung 12 bilik darjah.  Kemasukan awal tahun dahulu sekolah terpaksa menolak hampir satu kelas, kerana tidak cukup bilik darjah untuk menampung.

Aku ceritakan juga perihal sekolah - di awal perjalanannya, perkembangan dan tohmah mehnah yang diterima. Tujuh tuduhan – aku sebut satu sahaja;  iaitu perihal sekolah kenakan yuran RM40; kenapa RM40 (lagi enam tuduhan aku pernah sebut pada ihtifal tahun-tahun lalu) dihantar orang kepada Menteri Besar Selangor; Dato’ Abu Hassan Omar dan Dato’ Mohd Khir Toyo selepas itu.  Menteri Besar arahkan Pegawainya berbincang dengan kami.  Alhamdulillah, kami berjaya melepasi ujian itu.

Sekolah agama ini dibangunkan tidak berasaskan keuntungan. Dan sehingga ini kami Ahli Lembaga Pengelola tidak pernah mengambil sebarang alaun.  Aku beritahu; yuran dikenakan sebanyak RM30 - dulu RM40; di nasihatkan oleh JAIS diturunkan kepada RM30 kerana permintaan( aduan?) orang kampung untuk bayar api-air, atap bocor, tandas/pintu rosak, beli peralatan mengajar dan peralatan kelas serta gaji guru.  Kerana  sekolah ini Sekolah Agama Rakyat, bantuan kerajaan (JAIS) tidak sama seperti diterima oleh Sekolah Rendah Agama (SRA).  SAR, semua kena belanja sendiri - kena cari duit sendiri. Betul sekolah ada terima wang perkapita tiap tahun. Dari wang perkapita, 30% dibayar kepada guru (sebagai insentif; bonus ?) dan 70% lagi untuk prasarana sekolah. Dan tahun ini (Di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat), peruntukan untuk sekolah-sekolah agama - termasuk sekolah agama yang tidak pernah menerima bantuan di bawah 'kerajaan lama' dahulu menerima peruntukan;  Al Imaniah juga menerima RM5,000 dari peruntukan di bawah Exco Pendidikan Dr Halimah tersebut.

Guru ada 11 orang. Gaji guru di sekolah ini adalah yang termahal di Selangor (begitulah aku kira).  Setiap tahun kami beri bayaran tambahan (bonus) kepada tenaga pengajar sepertimana pembayaran Kerajaan Pusat terhadap kakitangan awam. Ketika sebelum dapat peruntukan dari JAIS dulu, kami bayar sendiri gaji guru RM400.  Bila JAIS mula bayar gaji kepada guru RM600; sekolah tambah-bayar juga RM400.  Sekarang JAIS bayar RM1000; sekolah tetap tambah-bayar lagi RM400.

Aku titipkan beberapa pesanan agar ibu-bapa dan guru terus bersama dan bersemangat mengenderai agenda pendidikan (agama khususnya).  Jangan ada ibu-bapa yang berasa ’cukuplah,, jadilah' – peruntukkan sejumlah masa yang kondusif (meski sedikit namun berharga) untuk memerhatikan kerja sekolah anak-anak.  Para guru juga agar terus membembani tugas dengan sempurna dan ikhlas – kerja mereka yang mulia; seperti tugas malaikat yang mengajar Nabi Muhammad.  Nabi yang fatonah masih perlukan ajaran (untuk menjadi hadith) inikan pula anak-anak kita manusia yang bukan yang bersifat fatonah.

Banyak hadiah/anugerah diberikan - hadiah kepimpinan pelajar, cemerlangan dalam mata pelajaran peringkat kelas, kerajinan datang sekolah, pelajar harapan, sumbangan kepada pelajar yang yatim dan hadiah pencapaian SPRA serta UPKK.

Untuk pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang(mumtaz), ibu-bapa pelajar diminta naik sama ke pentas.  Pelajar gembira dengan hadiah/ anugerah masing-masing. Pun ada air-mata kegembiraan tergenang ditubir mata penerima dan ibu-bapa.

Penyampaian anugerah diselang-seli dengan bacaan sajak, choral speeking (bahasa arab), persembahan nasyid dari pelajar dengan iringan gendang akustik dan tamborin dan marakas. Mereka menyanyikan lagu Mahir Zein; Barakallahhu lakum, Lagu Ingat Mati oleh Band Wali dan sebuah lagu perpisahan yang disampaikan secara beramai-ramai oleh semua pelajar darjah 6.  Mereka mampu menyampaikan lagu-lagu itu dengan berkesan.

Semoga Al Imaniah terus melakar kegemilangan.  Aku bisikkan kepada Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah  : ”Kita kena bagi ustaz-ustazah kita penghargaan; guru besar kenen-kenen kalau kita boleh bagi mereka makan malam atau apa-apa.  Kita buat annual dinner, apa macam”



Mesyuarat Agung Pertama PAS Cawangan Appartmen Kesumbar

14hb. Nov., 2010; Malam – Merasmikan Mesyuarat Agung Pertama PAS Cawangan Appartmen Kesumbar, Bukit Sentosa Fasa 3.  Cawangan ke 35 dalam Kawasan Hulu Selangor dan ke 8 dalam Zon Bukit Beruntung.   

dinbatubara

Sunday, November 14, 2010

Dari Minda Subky Latif - Kemerdekaan negara 1945 - 57: Bahagian 11


SELEPAS parti-parti politik diharamkan kecuali Umno, pemimpin-pemimpin dan aktivis pejuang kemerdekaan ditahan, suara menuntut kemerdekaan tidak kedengaran. Pemimpin Umno yang juga Menteri Besar Johor, Dato Oon Jaafar sudah menjadi pegawai anak negeri paling kanan dalam pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu bertaraf menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri.

Antara tanggungjawabnya menahan dan menjaga tahanan politik serta memantau suasana komunis. Dato Onn mula rapat dengan Sir Cheng Lock, Tan, pemimpin MCA yang ditubuhkan selepas pembentukan Umno. Tan Cheng Lock atau Sir Cheng Lock, Tan sebelumnya pernah bermuafakat dengan Dr. Burhanuddin al-Hilmy mengenai status masyarakat Cina dalam kemerdekaan. Cheng Lock dengan gagasan Dr. Burhanuddin tentang satu rupa bangsa iaitu Melayu. Cina dan India akan menjadi bangsa Melayu keturunan Cina dan bangsa Melayu keturunan India.

Semuanya tidak menjadi kenyataan apabila parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan. Sebagai menteri kerajaan penjajah Dato Onn mempunyai hubungan yang rapat dengan Inggeris. Ketika dia sudah rapat dengan Cheng Lock, Dato Onn mengusulkan Umno membuka keahlian kepada bukan Melayu dan tentunya jika disetujui Umno akan dipinda dari United Malay National Organization kepada United Malayan Nasional Organzation.

Perhimpunan Agung Umno menolak usul itu. Dato Onn mengundur diri dan keluar dari Umno. Dia digantikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Tunku tidak ada pengalaman politik. Peranan dalam Umno tidak ketara semasa pimpinan Dato Onn kerana dia keciwa Dato Onn tidak mempertahankan nasib Natrah.

Tindakan pertama Tunku sebagai pemimpin Umno ialah menyambung perjuangan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang diharamkan. Dia menukar perjuangan HIDUP Melayu Umno kepada MERDEKA. Dia membuka pintu Umno kepada pemimpin dan ahli PKMM untuk bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan.

Beliau pergi ke London bertanya Setiausaha Tanah Jajahan British cara mana Malaya boleh mencapai kemerdekaan. Jawapan British ialah tiada cara Malaya boleh merdeka jika ia dituntut oleh orang Melayu saja. Ia mesti dituntut oleh semua kaum yang ada di Tanah Melayu.

Piagam Atlantik dan piagam PBB yang ikut ditanda tangani oleh British sudah menetapkan semua kuasa penjajah memerdekakan tanah jajahan masing-masing tetapi British memberi syarat demikian kepada Umno. Apa motifnya?

Lord Cromer, gabnor terakhir British di Mesir dalam bukunya menyebut, empayar British tidak akan bertolak ansur bagi melepaskan tanah jajahan barang seinci jua hinggalah wujud satu generasi yang berfikir seperti British.

Tanah Melayu boleh merdeka tetapi mesti mengikut acuan British. Kemerdekaan tidak diberi kepada Melayu yang seratus peratus Islam. 400 tahun Tanah Melayu dijajah orang Melayu tidak bertukar agama. Ia satu kegagalan bagi penjajahan Kristian Eropah apabila orang Melayu tidak berpecah dalam banyak agama.

Bekas pimpinan PKMM dan Hizbul Muslimin tidak yakin kemerdekaan yang Tunku dan Umno mulai gerakkan kerana pemimpin-pemimpin Umno ada peranan mengharamkan PKMM dan menahan mereka. Mereka tidak respons kepada pelawaan Tunku kerana masih ramai tahanan politik yang Umno restui merengok di khemah tahanan.

Tetapi pengikut mereka seperti Ghafar Baba dan Ibrahim Fikri tidak menunggu restu dari bekas pemimpin mereka lalu menyertai Umno yang mula mengaku memperjuangkan kemerdekaan.

Tunku membentuk satu jawatan bagi membebaskan tahanan politik dengan Aziz Ishak, seorang wartawan dan penyokong kuat Ibrahim Yaakub yang mengasaskan KMM sebagai Setiausaha. Tunku dikatakan mahu sangat Ahmad Boestamam dibebaskan supaya dapat memimpin Pemuda Umno.

Aziz Ishak bukan ahli Umno semasa menjadi setiausaha bagi membebaskan saki baki tahanan politik. Dia adalah orang Ibrahim Yaakub dan dekat dengan Dr. Burhanuddin. Tunku kemudian berjaya menariknya menjadi ahli Umno. Aziz menjadi ketua Umno Selangor ketika Majlis Perbandaran Kuala Lumpur hendak mengadakan pilihan raya awal tahun 1950an.

Aziz mengadakan muafakat dengan ketua MCA Selangor, Ong Yoke Lin mengadakan persefahaman Perikatan bagi menghadapi Dato Onn yang memimpin Parti Negara dalam pilihan raya itu.

Tiada tanya ia idea Tunku tetapi Tunku merestui tindakan Aziz. Muafakat itu berjaya memenangi pilihan raya itu dan bermulalah muafakat Perikatan untuk menuntut kemerdekaan.

Pembentukan Perikatan itu adalah bagi memenuhi syarat British untuk Malaya merdeka. Syarat British itu adalah helah bagi menjadikan masyarakat Malaya merdeka nanti menjadi masyarakat majmuk, berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Begitulah British bila ia memerdekakan tanah jajahannya, ia meninggalkan masalah perkauman yang sukar diselesaikan.

Bagi Tanah Melayu ia adalah helah bagi mengelakkan ia menjadi sebuah negara berperintahan Islam seperti yang perjuangan oleh Hizbul Muslimin. Dr. Burhanuddin dan Dato Onn menggesa supaya Umno jangan menerima syarat British itu kerana lambat laun Tanah Melayu akan merdeka juga kerana piagam PBB sudah memaktubkan hal itu. Tetapi kerana Tunku dan Umno mahu cepat-cepat merdeka maka ia menerima formula meninggalkan api perkauman itu.

Lau Pak Kuan pemimpin saudagar Cina Ipoh pergi ke England menuntut British tidak memberi kemerdekaan kerana dipercayai tidak menjamin masa depan Cina. Tetapi syarat British itu adalah peluang yang baik bagi penduduk Cina dan India yang ramai itu untuk diterima menjadi rakyat. Persetujuan Cina dan India menyokong tuntutan kemerdekaan yang menjadi syarat British itu ialah dijamin hak menjadi rakyat.

Perikatan dalam memonya kepada Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab menggubal perlembagaan Tanah Melayu merdeka bersetuju dengan formula jos suli iaitu memberi kerakyatan mudah kepada pendatang yang menetap di Malaya bagi tempoh tertentu.
Peluang itu bukan sekadar mereka yang telah lama bermastautin tetapi termasuk pelarian berikutan pembentukan negara komunis China tahun 1948.

Tunku menjadi orang pertama mencapai kemerdekaan melalui perundingan tahun 1957 tetapi formula itu sudah disarankan oleh piagam PBB. Tidak minta merdeka pun boleh merdeka seperti yang terjadi di Brunei Darussalam.
Sumber : Harakah Daily

Thursday, November 11, 2010

Tablo : Sultan Alang Iskandar; Sultan Perak Ke 30 - Ceritera 1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Amat Penyayang.
Maka berkehendak oleh Baginda akan seorang orang alim untuk menjalan akan hukum igama di negeri itu.  Maka diberitahu orang,  di Teluk Anson ada seorang orang yang terlalu alim dia akan hukum-hukum igama; yang berasal dia dari Tanah Minangkabau. Sheikh Muhammad Saleh namanya. Maka menitahkan Baginda akan Orang Besar Delapan Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya  Seri Agar Diraja, menjemput akan dia orang alim itu datang mengadap.  Maka apakala tiba sahaja Sheikh Muhammad Saleh itu  di Balai Penghadapan; lalu dipersalin akan  dia dengan pakaian kebesaran.  Maka menganugerah Baginda akan gelaran Shaikul-Islam akan Sheikh Muhammad Saleh bagi menjalankan hukum Igama Islam Negeri Perak. 

Arakian diceritakan orang pula akan Shaikul-Islam Sheikh Muhammad Saleh itu terlalulah amat menjaganya dia lagi taat patuhnya kepada perintah pekerjaannya.  Direncanakannya senarai nama anak-anak qariah yang sudah baligh lalu mencatat kehadirannya pada kedatangan sembahyang Jumaat di masjid.  Yang tidak datang berurut-turut sebanyak tiga kali, maka akan dicorengkan mukanya dengan warna hitam dan diarak akan dia di keliling kampung dan kota.  Jika terdapat  mereka itu yang juga sudah sampai perintah hukum fiqah itu maka pada bulan puasa makan dia di tempat ramai juga, maka digantung akan dia di lehernya periuk, kuali, lekur dan belanga lalu diarak dia sekeliling kampung dan kota juga.  Yang demikian itu akan malulah dia oleh perbuatannya itu.

Syahadan itulah yang diceritakan orang akan Sultan Alang Iskandar itu terlalu amat menjaga  Baginda urusan igama anak negerinya. Bahawa Baginda sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai ajaran Igama Islam kepada rakyat Baginda di bandar-bandar dan di kampung-kampung. Aman makmurlah negeri Perak dalam pemerintahan Baginda lagi disayangi rakyat jelata selama 20 tahun itu.

dinbatubara

Wednesday, November 10, 2010

Minda Subky Latif : Mengenang sejarah negara 1945-1957

PADA 26 Oktober lalu saya menjadi penal forum bertajuk Sejarah (Negara) Tahun 1945-1957 pada seminar mengenai tajuk yang sama di USM Pulau Pinang.

Tempoh tersebut adalah perkembangan paling penting dalam sejarah perjuangan mencapai kemerdekaan bagi Semenanjung Tanah Melayu dari penjajahan British.

Sekurang-kurangnya terdapat empat kejadian penting mempengaruhi penduduk bergerak menuntut kemerdekaan Tanah Melayu termasuk Singapura dalam tahun 1945. Sekalipun Singapura sebuah wilayah dibeli milik British tetapi rakyat mengira ia sebahagian dari Semenanjung Tanah Melayu.

Pertama tahun itulah pemerintahan Jepun meninggalkan Tanah Melayu. Kedua Indonesia mengisytiharkan kemerdekaannya pada 17 Ogos, 1945 yang amat menyentuh hati rakyat hingga setiap rumah orang Melayu menggantung gambar Presiden Sukarno.

Ketiga para pejuang kemerdekaan bertemu di Ipoh membentuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), parti politik pertama bagi wilayah itu  bagi memperjuangkan kemerdekaan seperti yang dicapai umat Indonesia. Dalam perjumpaan itu buat pertama kali seruan MERDEKA bergema dipekikkan oleh Ahmad Boestamam.

PKMM dipimpin oleh Dr. Burhanuddin al-Hilmy bersama Ishak Haji Mohamad, Ahmad Boestamam dan lain-lain adalah melanjutkan perjuangan yang sudah dirintis oleh Kesatuan Melayu Muda pimpinan Ibrahim Yaakub yang pada saat kemerdekaan Indonesia dimasyhurkan berlepas ke Jakarta dengan pandangan yang terbuka jika dirasakan wajar Tanah Melayu boleh menjadi sebahagian dari wilayah Indonesia atau ia merdeka sendiri.

Keempat pada tahun itu piagam Atlantik menyarankan agar semua kuasa penjajah memerdekakan setiap tanah jajahan dan saranan itu menjadi piagam pula bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terbentuk sekitar masa itu juga.

Ia menjadi momentum bagi rakyat memperjuangkan kemerdekaan hingga ia tercapai pada 31 Ogos 1957.

Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tidak ada di mana-mana di dunia adanya kemerdekaan melalui perundingan. Kemerdekaan yang diketahui hanya melalui peperangan dan menumpahkan darah. Itulah pilihan yang ada bagi Tanah Melayu pada pejuang dan penyokong PKMM.

Kedatangan semula British membaharui penjajahannya di Tanah Melayu setelah Jepun berundur, memperkenal konsep Malayan Union atau Kesatuan Malaya untuk Tanah Melayu.

Malayan Union menggagaskan Malaya untuk semua penduduknya termasuk bukan Melayu yang ada pada masa itu, penyatuan semua negeri ke dalam satu pentadbiran, dan kedudukan raja-raja dihapuskan.

PKMM tertarik pada konsepnya yang memberi peluang penyatuan nasional bagi watan setiap negeri di bawah satu identiti, bersikap terbuka kepada penduduk bukan Melayu yang ada sebelum kedatangan Jepun tetapi tiada sikap jelas tentang kedudukan raja-raja.

Tetapi Dr. Burhanuddin memberitahu rakan-rakan terdekatnya semasa memimpin PAS bahawa kewujudan raja-raja itu bukti Semenanjung menjadi negeri orang Melayu.

Dato Onn bin Jaafar bersama golongan bangsawan Melayu menggembeling semangat orang Melayu menentang Malayan Union kerana ia mahu
menghapuskan raja-raja. Tindakan Dato Onn itu mendapat sokongan orang Melayu.

Kerana orang Melayu mahukan rajanya, maka British membatalkan apa yang dipanggil Malayan Union. Ia memberi semula raja-raja kepada orang Melayu
kerana itu saja caranya bagi mendiamkan orang Melayu tetapi tidak melucutkan lain-lain isu dalam Malayan Union itu.

Atas keruntuhan Malayan Union itu Dato Onn dan bangsawan Melayu menubuhkan UMNO sebagai sebuah pertubuhan politik yang baru bagi
mempertahankan bangsa Melayu dan raja-rajanya dengan cogan hidup Melayu dalam tahun 1946.

Dato Onn dan UMNOnya tidak pernah bercakap tentang kemerdekaan, malah menyindir dan mempengaruhi beberapa raja-raja dengan nada bagaimana Melayu hendak merdeka kerana membuat jarum pun tak tahu.
Bahkan ada sindiran kononnya orang Melayu lapar kalau tidak ada Inggeris.

Sekalipun slogan UMNO itu menyuarakan Hidup Melayu tetapi ia tidak membawa maksud memerdekakan bangsa dan mendaulat negara. Ternyata selama 400 tahun Melayu dijajah ia tetap hidup dan kekal sebagai orang Islam tetapi ia menjadi bangsa yang tidak berdaulat dan tidak dapat menentukan nasib sendiri.

Sekalipun UMNO menjadi saingan PKMM tetapi ia tidak mampu menyaingi pengaruh PKMM yang mahukan kemerdekaan. Walaupun British terikat dengan piagam Bangsa-Bangsa Bersatu mesti melepaskan tanah jajahannya, tetapi membenarkan yang dituntut oleh PKMM bererti melepaskan semua kepentingan barat dan melenyapkan baki idea tersembunyi Malayan Union.

Berikutan keengganan British menghalalkan Parti Komunis Malaya dan komunis melancarkan gerakan bersenjata, British menggantikan Malayan Union
dengan pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu tanpa Singapura dan diikuti pengiytiharan darurat, parti-parti politik diharamkan kecuali UMNO.

Pemimpin dan aktivis PKMM dan sayap Islamnya iaitu Hizbul Muslimin ditahan dan diburu kecuali Dr. Burhanuddin yang menetap di Singapura. Perjuangan kemerdekaan lumpuh dan yang dibenarkan bergerak ialah UMNO, apa lagi Dato Onn menerima perlantikan British untuk menjadi pegawai anak negeri paling kanan selepas British dalam kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Dato Onn menjadi Menteri Dalam Negara dan berperanan menahan aktivis pejuang kemerdekaan. PKMM mati bukan kerana ia tidak mendapat sokongan rakyat tetapi justeru ia diharamkan penjajah dan pemimpinnya ditahan.

UMNO terlepas dari tindakan bukan kerana pengaruhnya kuat di kalangan rakyat tetapi ia tidak diharamkan dan pemimpinnya seperti Dato Onn menjadi orang kanan kerajaan Inggeris di peringkat persekutuan dan yang lain-lain menjadi menteri besar di setiap negeri.

.....
Bersambung
Sumber :  Harakah Daily