Namanya Arba’iyah. Di kalangan yang berumur bawah dari dia, memanggilnya Kak Ba’i. Peringkat anak-anak panggil dia Makcik Ba’i. Yang sebaya, panggil Ba’i sahaja. Ada juga panggil Kak ’I. Aku sendiri berbahasa dengannya Wan Kecik. Kenapa Wan Kecik ? Kerana dia adik perempuan allahyarham emak aku seemak sebapak yang paling kecil. Orangnya manis mulut. Tak sombong. Orang Perak. Identiti Peraknya masih dapat dikesan menerusi telor dan miring bahasanya; walaupun sudah melalui assimilasi dan kekotaan namun tetap terasa klasiknya.
Orang Parit. Tinggal di situ; di Kampung Abdullah Hukum; sejak tahun 60an; ketika Kuala Lumpur sebahagian daripada Selangor. Dan itu antara kawasan setinggan di Ibu Kota; yang mercup tumbuh selepas Tragedi 13 Mei 1969 – bila DEB diperkenalkan oleh Tun Razak; PM Malaysia ke 2. Menteri Besar Selangor ketika itu; Dato' Haron Idris bagi semangat kepada orang Melayu agar datang merebut kek ekonomi kesan dari perkembangan bandar Kuala Lumpur.
Turun dari Bas Seri Jaya yang menghala ke Pantai Dalam, Universiti Malaya atau PJ – depan Bangunan LLN (TNB ); melintas jalan keretapi, ditemui di situ bersesak-sesak rumah yang dihuni majoriti orang Perak, Melaka, Johor, Kedah atau Pulau Pinang. Mereka bekerja sebagai buruh, pekerja separa profesional atau perkeranian di LLN, UM, UKM, Angkasapuri, KTM, The New Straits Times atau Lever Brothers. Ada juga yang berniaga di gerai-gerai Taman Ghazali Shafiee sebagai tukang gunting, tukang jahit, tukang kasut dan peniaga barangan runcit atayu makanan. Malah ada juga yang bekerja di kilang-kilang perusahan di PJ dan Airport Subang.
Kak ’I buat kuih dan menjualnya di Taman Ghazali Shafie. Pulang dari kerja aku suka tolong Kak ’I buat kuih (tahun 74 aku dapat kerja di KL dan menumpang di rumah Kak ’I). Dalam periuk sudah sedia keledek yang direbus. Kak ’I sudah kopek kelapa untuk disagat. Kak ’I akan rendam pulut dan anak udang; racik kentang dan lengkuas. Kelapa, lengkuas, anak udang dan kentang untuk buat inti. Tepung sudah sedia, gula merah sudah berayak, satu dua sisir pisang bersimpuh di tepi dinding. Semua akan diadun menjadi kuih.
Lepas Subuh, Pakcik Asyim – suami Kak ‘I; bawa kuih ke gerai di kedai sederet Taman Ghazali Shafie. Ada karipap, kuih keria, kuih lenga, pulut panggang, pau, nasi lemak bungkus, bihun, pisang goreng dan cekodok. Cekodok ? Aku ketawa sendirian – di KL namanya kodok !! Di kampung aku, namanya jejemput. Selepas tinggalkan kuih, Pakcik Asyim mengayuh basikalnya ke tempat kerja di Jalan Gurney (Jalan Semarak sekarang). Kak ‘I di rumah, mengurus pula anak-anak untuk ke sekolah.
Antara Maghrib ke Isya’ Kak ‘I mengajar mukadam dan al Quran. Jiran setempat hantar anak-anak mereka mengaji dengan Kak ‘I. Kak ‘I tak minta bayaran – “Itulah bekal saya di akhirat kelak;” kata Kak ‘I. Tapi ibu-bapa hulur juga Kak ‘I ala kadar. Kak ’I terima seikhlasnya.
Kak ’I beranak dan terus beranak; sampai 13 orang. Semuanya mendapat pendidikan sempurna dan sudah bekerja yang baik-baik. Ada juga yang cergas dalam politik. Dan sekarang, hampir tiga suku daripada anak Kak ’I sudah berkeluarga - yang perempuan ikut laki dan yang lelaki bawa anak-isteri; buat sarang masing-masing. Kak ’I pun sudah tidak buat kuih lagi. Anak-anak Kak ’I menyara hidup Kak 'I bagi dan Pakcik Ashim.
Kak ’I sudah tua. Umur Kak ’I sudah menginjak hujung 60an. Mata Kak ’I masih terang. Ingatan Kak ’I juga masih kuat. Adalah, sedikit kencing manis; kata doktor. Umumnya Kak ’I masih sihat. Pakcik Ashim juga sudah tidak bekerja. Hujung minggu, anak-anak cucu yang tinggal berhampiran akan datang ke rumah Kak ’I.
Kak ’I sebahagian dari warga kota, hidup bersama degup dan denyut nadi kehidupan Kota Kosmopolitan Kuala Lumpur. Pun, perumahan setinggan Kampung Abdullah Hukum sudah tiada. Kak ’I dan semua warga setinggan itu sudah pindah ke Appartmen Bandaraya tidak jauh dari situ. Tapak itu akan didirikan bangunan bertingkat yang bakal menyaingi Mid Velly di seberang Sungai Klang; di hadapan appartmen itu. Rumah kedai sederet di Taman Ghazali Shafie juga sudah lama lenyap – KTM dan sebuah syarikat konglomerat; LRT -Putra membina laluan Komuter dua lorong KL-Seremban; serta jejambat laluan transit ringan.
Tahun ini ulang tahun ke 37 Wilayah Persekutuan. Pun sudah hampir lima puluh tahun Kak ’I menetap di Kuala Lumpur. Aku bayangkan; dari jendela kediaman Tingkat 3 itu, Kak ’I melepaskan pandangan dari atas bingkai cermin-matanya; menyusuri Jalan Bangsar yang terus sibuk. Lurus jauh ke depan ialah Kawasan komersial dan Perumahan Bangsar Park dan Bukit Bangsar - Jalan Raya kelas pertama telah menghubungkannya dengan Damansara; menara Masjid Saidina Abu Bakar menancap megah ke udara di tengah-tengah kawasan komersial dan perumahan di situ. Di sebelah kiri - itu Bangunan Tenaga Nasional; dulunya disebut LLN (lama sebelum itu dikenali dengan panggilan KED). Di sebelah kanan - tapak itu dulu adalah kilang sabun dan ais-krim; Lever Brothers. Bersebelahan tapak peninggalan Lever Brothers itu, sudah berdiri bangunan lebih 20 tingkat milik taikun kewangan nasional; May Bank. Pernah dikhabarkan orang di situ dahulu adalah ladang getah milik Orang Putih. Macam mana Orang Putih dapat milik tanah itu dan tanam getah. Ada juga yang kata ladang itu dulu milik dua bersaudara orang Perancis; Bung dan Grisar. Dari singkatan ke dua nama keluarga ini memberi nama kepada Bangsar. Kak 'I memendekkan leher dan menelan liur. Lantaklah, dia tak berminat menebak jawaban.
Ayun temayun lembayung senja di ufuk Barat; tiba-tiba sejalur Komuter melintas arah ke sebelah kiri dan LRT Putra, menyusuri jejambatnya melintas ke kanan; Kak ’I mengangkat bingkai cermin-matanya; dan teringat cucu-cucunya di Tingkat 6 akan tiba sebelum Maghrib ini; lepas Isya mereka akan ke majlis hari jadi cucu pertama dari anak ke 8-nya di McDonald, Kota Damansara. Tapi sampai sekarang mereka masih belum tiba-tiba. Mungkin menunggu bapanya yang belum pulang dari kerja kerana terperangkap dalam jem di Jalan Tuanku Abdul Rahman; getus hati Kak 'I.
dinbatubara
No comments:
Post a Comment