Sunday, December 12, 2010

Pak Kaduk : Suatu retrospektif

“Mulai hari ini dan ke hadapan, aku tidak menyabung lagi, dan aku; anak isteri aku, cucu-cicit aku, piyat-piyut aku, empas-empas daun, entahkan ia entahkan bukan tidak boleh memakan, menganiaya atau mengkianati akan ikan tapah. Barang siapa melanggar sumpahku, akan mendapat sakit gatal, melecur dan bengkak-bengkak. Kiranya tahan badan, tidak selamat hidupnya.”


Pak Kaduk versi Hj Pandak Logam bin Pandak Demat (1873-1963); pewaris kepingan emas ‘penawar keracunan’ ikan tapah dari Pak Kaduk memberitahu; Pak Kaduk hidup sezaman dengan Sultan Perak Pertama; iaitu Sultan Muzaffar Shah ibn al Marhum Sultan Mansur Syah (memerintah dari tahun 1528 hingga tahun 1549). Penelitian terhadap  Kesultanan Perak; Sultan Muzaffar Syah ibn al Marhum Sultan Mansur Syah adalah Sultan Perak Ke13 (1728 – 1744).  Ia disebut juga sebagai Sultan Muzaffar Shah III. Sultan Perak Pertama adalah Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah Ibn Al Marhum Sultan Mahmud (yang berangkat ke Kampar setelah Portugis menyerang Melaka).  Demikian, sifatnya Sastera Rakyat @ Penglipurlara yang bukan mementingkan ketepatan fakta, kerana penyampaiannya/ diturunkan dari generasi ke generasi secara lisan.  Maka cenderunglah berlaku tokok tambah dan bersalahan fakta. Fungsi asal penglipurlara ialah untuk hiburan.

Dan usaha mengesan zaman peristiwa Pak Kaduk bersumpah dengan ‘sawab’ yang disebutkan; ialah untuk melihat relevan atau tidaknya sumpah itu sekarang setelah jurai Pak Kaduk melewati 10 keturunan.  Itu pun kepada mereka yang mahu mempercayai sumpah @ ‘sawab’ tersebut. Dengannya dapat dikesan juga ujud sebenarnya raja dengan kalau boleh disebut memiliki salah laku yang ‘membuli’ rakyat marhein seperti diceritakan.

Tidak mengambil kira pada era Sultan yang mana Pak Kaduk hidup – selain dari untuk melihat Pak Kaduk dari sudut sasteranya, kita mahu melihat kedudukan dan peranan Pak Kaduk dalam institusi Kesultanan Melayu Perak.  Pak Kaduk; dari strata bawahan (orang kebanyakan) yang berjaya melangkah melepasi bendul istana – menduduki bahagian daripada institusi; sebagaimana dari semasa ke semasa Kebawah Duli Sultan menganugerah pangkat seperti Orang Besar 16 atau Orang Besar 32 kepada rakyat biasa kerana peranan dan jasa.  Pak Kaduk adalah dari kelompok ini – sebagai penghibur kepada Sultan. Dikatakan Sultan Perak telah melantik Pak Kaduk menjadi Orang Besar Jajahan yang membawa gelaran Tok Tua Sakti yang mana tugasnya menasihati Datok Bendahara Garang mengenai seluk beluk tempat di Aceh dalam usaha membawa pulang Puteri Limau Purut dari Istana Aceh sebagaimana dalam kisah Megat Terawis

Dalam versi yang lain Pak Kaduk sememangnya rakyat bawahan yang innocent – bodoh-bodoh alang @ lurus bendul.  Dan Sultan yang turun mencemar duli bertemu rakyat terhibur dengan mengusik/ bermain-main dengan beliau seperti dalam episod berlaga ayam; di mana Sultan mengajak Pak Kaduk bertukar ayam laga dengan baginda.  Pak Kaduk dalam pertandingan itu memakai pakaian diperbuat dari kertas.

Terdapat contoh-contoh tertentu dalam cerita berhubung dengan raja-raja/ pemerintah; keujudan tokoh seperti Pak Kaduk berperanan menguatkan kedudukan dan fungsi institusi tersebut – bagi memperlihatkan Si Raja/ pemerintah  seorang yang baik hati, berjiwa rakyat serta sentiasa memperbaiki hubungan dengan rakyat.  Dan rakyat  itu pula, berperanan menggilap imej Sang Raja.

Dalam konteks budaya Melayu tradisional ada konsep daulat dan pantang derhaka. Perkara tersebut dapat sahaja ditelusuri menerusi cerita Pak Kaduk ini. Cuba kita tekuni.  Mungkin betul Pak Kaduk dari strata bawahan yang berpengaruh kerana kehebatan ayamnya. Jika benar sudah ada kegiatan perjudian menerusi laga ayam pada waktu itu; pastilah ada individu yang mahu ambil faedah dari kemenangan Pak Kaduk setiap ada pertandingan; atau menyuguh-nyuguh, melakukan provokasi (mengapi-api semangat Pak Kaduk) untuk mereka boleh bertaruh dan sama-sama beroleh keuntungan. Pak Kaduk akhirnya mempunyai pengikut @ pengaruh; mungkin satu kampung atau daerah penguasaan seseorang pembesar (lantikan istana).  Hal ini menyebabkan boleh sahaja timbul rasa tidak puas hati (kalau tidak pun kepada raja) kepada pembesar-pembesar daerah dan mungkin anak-anak raja atau wakil-wakil raja di daerah-daerah.  Dirancangkan konspirasi untuk memerangkap Pak Kaduk dan akhirnya Pak Kaduk tewas. Melawankah Pak Kaduk terhadap konspirasi tersebut.  Tidak. Pantang menderhaka !  Pak Kaduk membawa diri. Dan di sinilah akan terselitnya konsep daulat.  Bahawa Pak Kaduk diketemukan dengan unsur magis raja – kalah berlawan dengan raja, tapi memperoleh emas dalam perut ikan, hingga dapat ditebusnya hartanah yang tergadai dan akhirnya Pak Kaduk di anugerahi pangkat kebesaran oleh raja.  Moral ceritanya  ialah raja tetaplah tidak bersalah – daulatnya telah mengangkat martabat rakyat !

Memetik pensejarahan jurai keturunan Kesultanan Perak dalam Misa Melayu, yang dikatakan bermula dari Iskandar Zulkarnain (Iskandar The Great) hingga ke Sultan Alauddin Mansur Shah (1773-1786) – Sultan Perak ke 17.  Dipercayai Sultan Alauddin Mansur Shah (Sultan Perak Ke 17) menitahkan seorang pujangga istana bernama Raja Chulan ibn Al Marhum Raja Abdul Hamid; (1720 – 1786) menulis hikayat tersebut; “...supaya bolehlah akan zaman kita disebut orang  kemudian kelak.” Raja Chulan yang dikatakan telah berkhidmat dengan seramai 9 orang raja (meneliti raja sezaman dengan beliau; dari 1720 – 1786, jumlah raja seramai 6 orang sahaja – barangkali 9 orang itu termasuk dengan pembesar istana).  Diceritakan tentang istiadat melenggang perut permaisuri Raja, tentang perebutan kuasa, tentang Raja Iskandar Syah bersama Raja Chulan menyusuri Sungai Perak serta kisah perkahwinan anak-anak raja. 

Dalam perihalan dampingan raja dengan rakyat; Misa Melayu memberitahu Sultan Iskandar berpesta menuba ikan bersama rakyat di Sungai Budiman; sungai yang masuk ke aliran Sungai Kinta dan seterusnya masuk ke dalam aliran Sungai Perak dekat Pulau Cempaka Sari, dalam Mukim Bandar – kira-kira 10 batu ke hilir dari Kampung Gajah sekarang. Saya sendiri belum membaca ‘kitab’ Hikayat Misa Melayu – suatu ketika pernah memilikinya dari seorang sahabat; tetapi buku itu musnah oleh makanan anai-anai bila suatu ketika perpustakaan mini di rumah diserang anai-anai.  Tapi setakat ulasan-ulasan yang ditemui tentang Misa Melayu, tidak tersebut pun kegiatan raja-raja sezaman yang kegemarannya menyabung ayam.

Kalau kita boleh beranggapan Misa Melayu merupakan ceritera ‘atasan’ (istana) – tentang susur-galur dan kehidupan raja; maka perihal kegemaran Sultan menyabung ayam dalam cerita Pak Kaduk adalah cerita yang lahir ‘dari bawah’; menifestasi nurani rakyat kepada rajanya – memperlihatkan kemungkinan hubungan akrab/ serasi antara rakyat dengan istana dan juga sebaliknya istana dengan rakyat – konsep pantang derhaka dan kritik sosial terhadap institusi raja.

Perihal Pak Kaduk bersabung ayam, sebagai suatu bahan kritik sosial; bagi memperlihat sikap buruk raja kepada rakyat – ambil kesempatan daripada rakyat yang lemah; kita perlu mendapatkan maklumat tentang perilaku raja-raja tertentu; seperti kita mengenali keberadaan Abu Nawas pada zaman Khalifah Harun Al Rashid (cerita rakyat orang Arab) – zaman kegemilangan pemerintahan Abbasiah di Baghdad; merujuk kepada kebangunan teradisi ilmu dan persuratan. 

Sungguhkah ada sultan yang memiliki salah laku @ zalim begitu.  Kita dibekalkan sumber yang terlalu sedikit; seperti cerita Sultan Muzaffar Shah ibn Al Marhum Sultan Mahmud (Sultan Perak Pertama) yang menyuruh bunuh akan Tun Saban kepada Megat Terawis  atas sebab Tun Saban tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Sultan.  Tentulah ada sebab-musabab (kecacatan pada perilaku Sultan ?) yang menyebabkan Tun Saban (anak kepada Tun Perak, Bendahara Melaka) yang menguasai Hulu Perak ketika itu menderhaka @ tidak mahu tunduk kepada pemerintahan Sultan.  Tun Saban yang pernah menjadi juru runding yang dihantar oleh orang Perak bagi mengadap Sultan Mahmud (yang melarikan diri ke Kampar apabila Melaka diserang Portugis) bagi mendapatkan seorang dari anak baginda untuk di rajakan di Perak.  Dan anak raja itu ialah Sultan Muzaffar Shah itulah.  Tun Saban yang menghimpunkan rakyat hina-dina dengan 30 ekor gajah menyambut ketibaan baginda dari Kampar.  Dan tentulah kelihatan cela dan cacat lantaran terhadap orang yang banyak berbuat jasa begitu; kepadanya dimintakan anaknya  Tun Merah untuk dijadikan gundik oleh Raja.

Demikian diperihalkan sedikit tentang watak/peribadi Sultan Iskandar (1757 – 1770); Sultan Perak ke 15  serta maklumat dari dari mulut ke mulut  yang menyebut Sultan Iskandar Shah (1918-1938); Sultan Perak Ke 30 adalah Sultan yang amat akrab dengan rakyat dan menyintai orang-orang alim.  

Demikian ‘Cerita Pak Kaduk, ayam menang kampung tergadai’ adalah bahagian daripada  cerita rakyat (folklore stories) negeri Perak; khususnya orang Lambor Kanan, Parit; sebagai mengabsahkan, suatu waktu daerah tersebut pernah ujud sebagai negara kota dan tertegak sebuah Kesultanan Melayu. Faktor ikan tapah adalah bagi menguatkan lagenda Pak Kaduk yang mempertautkan konsep pantang derhaka dan konsep daulat dalam kebudayaan Melayu. Wallahuaklam


dinbatubara

No comments:

Post a Comment