Baru mengkhatam pembacaan novel Interlok; karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain. Di sekolah menengah dahulu saya di aliran sains – tidak sempat membaca novel ini. Bagaimana pun kecenderungan membaca karya-karya besar penulis tempatan; khususnya tulisan Sasterawan Negara, menyebabkan saya sentiasa memburu karya adicipta tempatan (sesetengahnya sudah tidak ada di pasaran). Kebetulan pertengahan tahun lepas saya menemui buku tersebut dari suatu ekspo mini buku (edisi pelajar); beli pada harga diskaun 50%; pun belum sempat untuk segera menghabiskan pembacaannya. Tak tahu pula novel ini dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) untuk Tingkatan Lima mulai 2011.
Abdullah Hussain membahagikan penulisan buku ini kepada empat Bab (disebut Buku) iaitu; Buku Satu – Keluarga Seman, Buku Dua – Keluarga Cing Huat, Buku Tiga – Keluarga Maniam dan Buku Empat – Interlok. Buku Satu, Buku Dua dan Buku Tiga pemerihalan kehidupan berkeluarga/sistem sosial dan berekonomi keluarga masing-masing. Keluarga Seman; aktiviti kehidupan sebagai bangsa peribumi dan budaya berhutang (dengan Taukeh Cing Huat untuk kehidupan nampak bergaya) yang menyebabkan tanah, rumah dan lembu tergadai. Kehidupan Keluarga Cing Huat – berniaga dan memberi hutang; dan Keluarga Maniam yang terlibat langsung dalam aktiviti perladangan getah. Bahawa pengenalan ekonomi moden dan kepentingan perlombongan bijih dan getah British bangsa Eropah itu telah membawa masuk buruh-buruh dari China dan India ini ke Malaya . Ini dilakar dengan jelas lewat novel ini.
Iya, kalau orang Melayu mahu marah pun sepatutnya boleh kerana Abdullah telah dengan sinikal mengaibkan orang Melayu – orang Melayu yang menipu dan tertipu pula selepas itu, anti pendidikan, tidak mengalami mobiliti sosial secara vertikal.
Iya, boleh sahaja jika Abdullah Hussain mahu meletakkan dirinya sebagai propagandis suatu kaum. Selepas sepuluh tahun merdeka (1967) yang jelas kaum peribumi (Melayu) terhimpit/ tertinggal oleh pengenalan kepentingan ekonomi British. Ketika bangsa lain sudah menikmati terang cahaya elektrik, air bersih, kemudahan kesihatan, kemudahan mempelajari bahasa Inggeris (anjakan sosio budaya beriringan kegiatan perkonomian British – perlombongan dan perladangan getah). Ramakrishnan (anak Maniam) sudah jadi inspektor polis, (Penduduk Kampung Baru yang lahir dari Rancangan Briggs – program isolasi mengelak pengaruh komunis terhadap komuniti China; mereka menerima kemudahan seperti pendidikan, perkhidmatan kesihatan, bekalan elektrik dan air paip; perkampungan Melayu masih bergelap-gelita, pandangan orang Melayu terhadap pelajaran masih nihil, pelajar-pelajar anak orang Melayu berlampukan pelita ayam – berkudis – tokak, manai – kekurangan zat makanan, setiap juzuk dalam darahnya terdapat kuman malaria dan kecacingan dalam perut. Iya, betul; ada seorang anak Melayu; Lazim yang menjadi guru lulusan SITC – secara perlambangan buat menghidupkan wacana politik, bangun menentang kemasukan semula British – ini sahajakah wahana perjuangan Melayu; kuatnya mereka dalam politik. Kenapa Abdullah Hussain menulis begini !). Kenapa kejamnya penulisan Abdullah Hussain terhadap bangsanya sendiri.
Sedangkan kaum India mengalami mobiliti vertical – dari boroh (kuli) ladang, jadi tandil (mando), mengurus ladang apabila British lari setelah kemasukan Jepun; dan ada yang jadi inspektor polis. Pun kehidupan di ladang-ladang getah milik orang Putih yang pastilah mereka juga berkecukupan prasarana seperti elektrik air bersih dan klinik. Abdullah Hussain menuliskan kecenderungan bangsa India membina/memajukan diri seperti usaha mendirikan sekolah (berbahasa Tamil) dan menjemput guru dari bandar mengajarkan bahasa Inggeris.
Pun kalau orang China mahu mereka juga boleh tidak puas hati; kerana pemaparan dengan jelas kecenderungan China yang pada mulanya taksub kepada Kuomintang kemudiannya jadi penentang Jepun (MPAJA ?) dan akhirnya jadi Komunis (orang hutan). British memperkenalkan Rancangan Briggs (pertengahan 1950an); program pemindahan kependudukan Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan ke kawasan penempatan semula (Kampung Baru) yang dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan untuk mengelak dari interaksi orang tempatan (Cina) dengan grilya komunis. (Teruknya orang China . Perkaumannya. Kecintaan kepada Negara asalnya.)
Baru pada 2hb Disember 1989 Perjanjian Haadyai – Perjanjian Perletakan Senjata antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaya telah dibuat di Hotel Le Garden, Haadyai, Thailand ditandatangani; menamatkan sejarah panjang Kominis/Cina. Amat senonim orang Cina dengan komunis. Apakah orang China berasa senang hati dengan gambaran begini. Dan kalau mereka tidak senang hati perlukah mereka melempiaskan kemarahan itu dengan merangsang semangat orang China dan seterusnya menganjurkan pembakaran novel ini.
Rupa-rupanya begitu minda Abdullah Hussain. Kendati idea asal penulisannya ialah dari kemahuan Tun Abdul Razak PM Ke 2 yang mahukan sebuah karya sastera yang dapat menyatukan rakyat pelbagai kaum kea rah sebuah negara bangsa Tanah Melayu ketika itu dan Malaysia sekarang.
Interlok mengisahkan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah; kemudian ditemukan pada bab akhir. Biarpun ada unsur sensitif (mungkin taboo) pada sesetengah kaum (itulah keberanian Abdullah, dan itulah kejujuran beliau) namun diakhirkan oleh beliau kepada kefahaman bahawa perpaduan kaum adalah penting dan inilah matlamat asal penganjuran peraduan mengarang novel tersebut.
Pengakhiran novel yang mengambil latar masa 1957 ketika menyambut kemerdekaan negara memaparkan orang Melayu, Cina dan India, masing-masing sudah membina rupa bangsa Malaysia berdasarkan kepada kisah silam masing-masing dan kerana sudah saling mengenali serta berasakan keperluan saling bantu membantu.
Argumentasi yang menyebutkan novel itu kononnya ada unsur menghina kaum tertentu tidak tepat. Tidak menentang kepenulisan novel berkenaan tetapi menentang kerana dijadikan buku teks sastera di sekolah – ini juga suatu alasan dangkal hingga membawa kepada pembakaran novel berkenaan. Alasan bahawa mereka mahu menguburkan sejarah silam (dan usaha ini berlaku secara evolusi); tetapi Interlok telah mengungkit perkara ini dan luka lama akan berdarah kembali. Kami berpendapat bukankah lebih baik novel yang kontroversi (?) begitu dipelajari/dibincang secara akademik/di sekolah, daripada membiarkannya sebagai bacaan umum begitu sahaja; yang pada perkiraan kita akan membentuk spot ulcer dan akhirnya menjadi kanser yang akan memecahkan masyarakat. Apa jaminan mendakwa dengan menjadikan buku bacaan umum sahaja, resah-gelisah terhadap perkara sensitif itu tidak akan terjadi (petaka yang tidak akan teerjadi asal sahaja tidak ada mana kumpulan yang mahu menjadikannya sebagai punca kepada perbalahan)
Kita berkeyakinan penuh Kementerian Pelajaran akan mempunyai ruang-lingkup yang luas (daripada membangkitkan ehwal mukasurat 215 – 220 Interlok) untuk dibincangkan di dalam kelas; hatta untuk dijadikan soalan peperiksaan.
Interlok berada di pasaran sejak awal tahun 1970an dengan tanpa sebarang krisis perkauman atau implikasi buruk. Interlok membentangkan sejarah awal pemodenan Tanah Melayu dengan kemasukan kaum Cina dan India atas sebab akibat (faktor penolak di negara asal mereka dan faktor penarik di Malaya ). Ianya menjadi bahagian/fragmen penting sejarah negara ini dari zaman penjajahan Jepun, darurat, Malayan Union dan akhirnya kemerdekaan 1957; dengan kemudiannya setiap bangsa menyumbang kepada pembinaan negara dan terbabit dalam pembangunan ekonomi dan pembentukan bangsa Malaysia.
Orang politik yang mahu mendapatkan 'political milage' dengan membangkitkan isu ini sepatutnya menggunakan pendekatan lain yang dapat memperlihatkan jiwa besar mereka selepas melalui suatu transformasi ekonomi yang sekaligus menganjak tipa budaya. Mengetahui akar budaya akan dapat membangunkan suatu rupa-bangsa (Bangsa Malaysia ) yang kokoh daripada terus langsung melupakan akar bangsa yang nantinya akan terus mencetuskan konflik nilai.
Mari kita membaca teks berkenaan keseluruhannya bagi mendapatkan mesej sebenar.
dinbatubara
Tuan Naha.
ReplyDeleteDipohon perenggan dibuat ada space. Pening hamba hendak membaca.....:)