RESENSI BUKU
Tajuk Buku : Sultan Muhammad Al FATEH
Penakluk Konstantinopel
Kategori : Novel Sejarah Islam
Penulis : Abdul Latip Talip
Penerbit : PTS LITERA UTAMA SDN. BHD.
Jumlah Halaman : 318 halaman
Harga : RM24.00
Pengulas : Nahar Rashid
Pengulas : Nahar Rashid
Ini adalah autobiografi perjuangan Sultan Muhammad Al Fateh; pemerintah Empayar Usmaniah (1451 - 1481) yang berjaya menawan Kota Konstantinopel. Abdul Latip Talib menukanginya dalam bentuk novel.
Sultan Muhamad al-Fateh dilahirkan pada 27 Rajab 835H bersamaan 29 Mac 1432M. Meninggal dunia pada 3 Mei 1481. Syeikh Syamsuddin Al Wali menberitahu kepada Sultan Murad (ayahanda Sultan Muhammad al-Fateh): “Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan Kota Konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu,” sambil menunjuk Muhammad al-Fateh yang masih di dalam buaian. Sejak itu Muhammad al-Fateh dilatih hidup sederhana oleh Sultan Murad; asuhan agamanya oleh Syeikh Bayram (ulama rujukan Sultan Murad), Syeikh al Karuni dan Syeikh Syamsudin al Wali. Tunjuk-ajar ilmu peperangan, menunggang kuda, sejarah bangsa dan tanah air serta musabab Kota Konstantinopel perlu ditakluk di bawah pengasuhan panglima Tharhan.
Kecerdikan dan bakat kepimpinan Sultan Muhammad mulai dikesan seawal usia remajanya. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan; ssosok badan yang tegap, kuat dan tinggi, pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.
Sultan Muhammad al Fateh memangku (untuk beberapa bulan) jawatan pemerintahan dari ayahandanya (yang bercuti) pada umur 16 tahun. Naik takhta (dengan wasiat ayahandanya Sultan Murad II ) pada usia 19 tahun; setelah Sultan Murad II meninggal dunia. Urusan pentadbiran baginda sentiasa dirujuk kepada Syeikh Syamsudin al Wali.
Semenjak mula, Kesultanan Usmaniah yang berpusat di Anatolia sentiasa dicemburui oleh Kerajaan Byzentine. Tetapi dari semasa ke semasa pula negara-negara kecil sekitar terus minta perlindungan dengan kerajaan Usmaniah dari kekejaman dan kezaliman rejim Byzentine. Mereka mendapati Kerajaan Usmaniah memerintah negerinya dengan adil. Pemerintah negeri tersebut ada yang memeluk agama Islam; dan ada yang hanya setuju menjadi sekutu kerajaan Islam serta membayar jiziah. Mereka tidak diperangi.
Sultan Muhammad al Fateh sentiasa ingat kepada hadis Rasulullah s.a.w yang menyebut : “Kota Konstantinopel akan hanya ditawan oleh pemerintah yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik” Ini telah memotivasi baginda untuk membina syahsiah ketenteraan dan rakyatnya hingga membolehkan penaklukan tersebut.
Sayugia, usaha penaklukan ke atas Kota Kontantinopel bermula dari zaman Saidina Umar al Khattab lagi; membawa kepada zaman Saidina Ali bin Abi Talib, ke zaman Umayyah (Muawiyyah bin Abu Sufian), Khalifah Harun al Rashid (Kerajaan Abbasiah) hingga ke Sultan Beyazid – semuanya tidak berjaya.
Kota Konstantinopel terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia ; diihubungkan oleh Selat Bosphorus. Kota ini juga pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi , Bulgaria dan Rusia tetapi tidak berjaya. Sampai ke zaman Sultan Muhammad al Fateh; ternyata tentera dan rakyatnya yang mengamalkan peribadi mulia seperti bercakap-berperibadi benar, tidak menipu, tidak minum arak, sangat berkasih-sayang sesama Muslim, bersembahyang malam; kota ini pun dapat ditawan.
Sultan Muhammad sentiasa memantau – bertanyakan kekuatan dan perilaku tentera menerusi panglima perangnya, Amir Pasya atau Sulaiman Oglo. Dalam peperangan baginda menegah dari berbuat zalim kepada tawanan, ibu-ibu tunggal dan kanak-kanak. Sultan Muhammad malah menyamar sebagai peminta sedekah untuk mengatahui tabiat kelakuan dan persepsi rakyat terhadap pemerintahannya.
Ancaman perang, provokasi dan peperangan dengan Maharaja Konstantine sendiri – strategi dan tektikal Baginda; sentiasa merujuk kepada peristiwa dan tektik yang pernah dibuat di zaman Rasulullah s.a.w. Dan Baginda terus mahu bermesyuarat/ berbincang dan menerima nasihat dari panglima perang dan penasihat agamanya; Syeikh Shamsudin al Wali. Ada satu dua insiden, Baginda membuat keputusannya sendiri (seperti penghantaran tentera yang dikirakan yang terbaik olehnya ke medan perang) – ada percanggahan pandangan yang kecil dengan panglimanya; namun hasil kemudiannya memihak kepada kebenaran maslahat dan ijtihadiah Baginda.
Dalam missi terakhir ketumbukan menawan Kota Konstantinopel – perang selama 53 hari, Sultan Muhamad al Fateh akhirnya berjaya menakluk Konstantinopel; pada 30 Mei 1453 bersamaan 20 jamadil awal 857 hijrah – lebih 800 tahun selepas pengucapan hadis Rasulullah s.a.w. Sultan Muhammad al Fateh pada ketika itu berusia 21 tahun.
Gereja Aya Sophia jatuh ke tangan kerajaan Islam Usmaniah. Sultan Muhammad al Fateh menukarnya menjadikan masjid – Masjid Aya Sophia dan Baginda menjadi imam solat pertama di masjid tersebut.
Sultan Muhammad al Fateh amat dikasihi rakyat dan dihormati oleh musuh kerana kebaikan dan keadilannya. Baginda tidak tingal di istana mewah peninggalan Maharaja Konstantin, sebaliknya minta dibuatkan reka-bentuk istana yang boleh mendekatkan dirinya dengan Tuhan – itulah Istana Topkapi.
Baginda berusaha mengesan letak kubur sahabat Nabi yang gugur syahid dalam missi di zaman Saidina Ali bin Abi Talib; Abu Ayub al Ansori (dipindahkan jauh ke dalam kota oleh Raja Byzentium); yang mulanya dikebumikan di pinggir kota – Abu Ayub yang di saat akan kematiannya minta di kebumikan di tepi kota Konstantinopel; untuk mendengar derap tapak kaki tentera Islam yang berjaya menawan kota itu kemudian; katanya.
Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Islambul (Islam semuanya) dan menjadikan ibu kotanya pentadbiran (ditukar kepada Istanbul oleh Mustaffa Kamal Attartuk kemudiannya). Kemudian beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Seterusnya Sultan Muhamad al Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman.
Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negara. Dia membuat persiapan lagi untuk menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa
Abdul Latip memulakan tulisan dengan memperkenalkan sejarah bangsa Turki dan kaitannya dengan Daulah Usmaniah. Bangsa Turki mendiami Dataran Tinggi Mongolia dan Cina Utara. Kemudian berhijrah mencari penempatan selamat ke Asia Tengah pada Abad ke-6 Masihi; kerana ancaman bangsa Mongol. Dicatatkan tentang raja Turki bernama Syahr Baraz telah memeluk agama Islam dan membantu tentera Islam menawan Armenia di zaman Pemerintahan Khalifah Umar al Khatab.
Di zaman pemerintahan Muawiyah bin Abu Sufian bangsa Turki membantu tentera Islam menawan Bukhara dan Samarkand . Mereka kemudian secara langsung menduduki jawatan penting dalam tentera dan politik/pentadbiran di zaman Kerajaan Abbasiah di Baghdad.
Perselisihan antara Khalifah Abbasiah dengan Khalifah Fatimiyah di Mesir menyebabkan terbentuk kerajaan Saljuk yang meliputi wilayah Khurasan, Turkistan , Iran , Iraq , Sham dan Asia Tengah. Kerajaan Saljuk kemudiannya dikalahkan oleh tentera Mongol pimpinan Jengis Khan.
Sejarah kerajaan Usmaniah bermula pada abad ke 13 apabila Ertoghul memimpin satu kabilah Turki; melarikan diri daripada tentera Mongol dan sampai di Anatolia. Ketika itu terdapat dua buah kerajaaan bermusuhan; iaitu kerajaan Rom di Byzantium dan Dinasti Saljuk di Iconium (Pemerintahan Sultan Alaudin). Ertoghul menyebelahi Sultan Saljuk mengalahkan tentera Rom. Sultan Alauddin menghadiahkan sebuah wilayah di sebelah Barat Anatolia yang bersempadan dengan Rom untuk diperintah oleh Ertoghul. Ertoghul berjaya pula menakluki kawasan sekitar dengan mandat Sultan Alaudin.
Tahun 1288, Ertoghul mangkat lalu diganti oleh puteranya bernama Usman. Serangan tentera Mongol menyebabkan tumbang dinasti Saljuk. Dan kemangkatan Sultan Alaudin, peranan menyatukan semula negeri-negeri kecil akibat pemecahan oleh Mongol diambil-peranan oleh Usman disamping melebarkan kawasan takluknya Dari nama inilah wujudnya Daulah Usmaniah/ Kerajaan Usmaniah.
Seterusnya Abdul Latif membina plot-plot episodik dengan tajuk-tajuk kecil menyangkuti peristiwa-peristiwa tertentu yang membina novel ini – wasiat Sultan Murad II, sessi perbincangan antara Sultan dengan panglima atau ulama rujukan, tawar-menawar mendepani dengan Maharaja Konstantinopel, konspirasi kuasa-kuasa kufar Eropah bersama Maharaja Konstantinopel mendepani Sultan Muhammad al Fateh, pertempuran di garisan depan, strategi perang, Sultan Muhammad ‘mencemar duli’ bersama askar membina kubu pertahanan, Sultan Muhammad menyamar jadi rakyat jelata dan peminta sedekah dan lain-lain. Semuanya ada 45 tajuk kecil yang hampir keseluruhannya disusun mengikut kronologi.
Diperhatikan Sdr Abdul Latip tidak meletakkan dirinya sebagai pengarang cereka seperti layaknya si penggubah jambangan bunga.di atas meja untuk novel ini; tetapi sebagai penulis yang mahu mempermudah peristiwa sejarah agung supaya senang difahami pembaca; namun dengan sedikit corak kreatif.
Sdr Abdul Latip juga mencatatkan bahan-bahan rujukan beliau dalam penghasilan novel ini – pastilah supaya ceritanya berfakta, ada pertangung-jawaban dan tidak kesasar. Disenaraikan juga beberapa istilah dengan maknanya untuk kemudahan pembaca.
Dicadangkan ahli gerakan Islam membaca buku ini sebagai motivasi. Anda sebagai pemimpin, kader parti atau pejuang di mana garisan sekali pun akan memperoleh manafaat dari novel ini.
dinbatubara
mari undi di sini
ReplyDeletehttp://mari-mengundi.blogspot.com