Wednesday, May 4, 2011

Catatan Jakarta-Bandung Versi ADILA KLASIK NASIONAL

Hari Ke 2 (Bandung); Isnin 20 Dis.; 2010 : 8.30 pagi – Meninggalkan Hotel Santika. Distinasi pagi ini ialah ke Tanah Tinggi Puncak. Pemanduan ke Puncak mengambil masa dalam 3 jam; kalau tidak macet. Paling lama pun ialah 4 jam. Malam kami nanti ialah; di Bandung.

Bas meluncur tenang di lebuhraya Jagorawi (JAGORAWI : Jakarta – Bogor – Ciawi) – Highway sepanjang 60km yang dibina pada tahun 1973; dan dirasmikan pada tahun 1978. Itu prasarana awam bagi memudahkan/ mendekatkan transportasi Jakarta–Bogor. Jalan bertol yang pertama diperkenalkan di Indonesia.

Menariknya, tidak banyak tanda amaran had laju. Dan; pemanduan di sini pun; kelihatannya tenang-tenang sahaja. Tidak kerlihatan motor yang terburu-buru atau dikenderai macam pelesit seperti di Kuala Lumpur. ”Orang di Jakarta tidak tergesa-gesa memburu waktu, agakntya; seperti kita di Kuala Lumpur.” Aku menebak. Isteriku terus sibuk menayang-nayang kamera mencari shoot menarik, atau pelik-pelik barangkali.

Awal-awal lagi Pemandu Pelancong kami; Pak Ardy menanyai kondisi kami – letih /segar; tidur malam kami. ”Nyaman, Pak”. ”Enak sekali, Pak” sampuk rakan-rakan. Pak Ardy terus menerangkan macam-macam; sambil menunjuk sana-sini. Melewati provensi Cikeas dia menunjukkan kediaman Presiden Sosilo Bambang Yudoyono. ”Yang di Jakarta itu Istana Presiden.” kata Pak Ardy ...”Istana Presiden ada di 4 tempat; iaitu di Jakarta, Bogor, Bali dan Cipanas;” sambungnya. Penerangan Pak Ardy disela-sela alunan suara Rinto Harahap dan Charles Hutagalung dari Kumpulan Mercy’s menerusi CD yang diputarkan. Lepas satu satu lagu populer dari Kumpulan Mercy’s berkumandang. Mercy’s – band yang pernah jadi fenomena bersama-sama D’Lloyd di awal 70an

Dari semalam lagi, interaksi dengan Pak Ardy sentiasa mesra dan imformatif. Dan pertanyaan yang pelik-pelik mulai kami ajukan – kesemuanya, kira-kira pertama kali kami ketemui. Dan pagi ini selepas tidur yang nyaman, sarapan pagi yang enak pula sebelum meninggalkan hotel – badan pun sudah segar-bugar; datanglah fikiran yang bukan-bukan dan kelakar; umpamanya tentang nama-nama makanan yang ditera pada ‘bangsal sorong’ pedagang jalanan.

Dan Pak Ardy dengan senang-hati menyebutkan beberapa jenama makanan yang pelik dan menggelikan hati; seperti rawon setan, rawon iblis, soto ranjau, nasi kucing, nasi gila, nasi uduk, nasi jamblang, soto racun, soto oli, soto buntut, nasi rames. Ah; ah macam-macam. ”Semuanya itu nama makanan yang autentik dan antaranya sebagai jenama bagi menambah daya-tarik untuk orang mencobanya;” terang Pak Ardy. Soto ranjau : dalam soto cuma ada tulang untuk diisap-isap; nasi kucing : kuantiti nasi yang terlalu sedikit dengan perisa dan lauk/perca sayur yang sedikit-sedikit (dibeli dengan harga cuma 1000rp; kira-kira 35 sen duit Malaysia); nasi gila : nasi goreng di dalamnya ada hirisan daging kambing; nasi uduk : nasi lemak berbungkus daun pisang + ayam goring, sambal belacan, ulam-ulaman dan pecal – semacam nasi lemak kalau di Malaysia; nasi jamblang (”Jamblang. Bukan jembalang, ya Pak;” kami berlelucon) : makanan daerah Ceribon. Soto racun : iaitu soto yang kuahnya terlalu pedas, kira-kira pedasnya macam mahu kasi mati orang yang makannnya; soto oli : soto dengan kicap yang banyak (sebut soto oli; penjual akan faham kita mahukan isian kicap yang banyak); soto buntut : dalam soto adanya ekor sapi (kira-kira kalau di Malaysia sup ekorlah tu; cuma di tambah dengan soto di dalamnya). Dan aku segera memintas penerangan Pak Ardy dengan miring bahasa Indonesia yang tak berapa menjadi :

"Kalau di Malaysia; ada yang namanya sup torpedo, pak".
"Torpedo ?".
"Iyya, pak, mahal harganya; semangkuk mahunya sampei RM8 atau 10 ringgit, pak !!".
"Mahal sekali ?"
"Iyyaa. Karena itu cuma satu-satunya"
"Sup torpedo ? Apa itu ?"
"Dari anu .. ”
”Anunya lembu atau sapi, Pak.” Pantas dijawab oleh Hj Lokman. ”Itu makanya mahaal !! Kalau bapak ke Malaysia bisa saja mencobaknya, di Selayang Baru" Tambah Hj Lokman
"Iyya, makanya mahal, ya ?"
Seisi bas ketawa terburai.

Aku teringat senja semalam ternampak berbalam-balam di suatu pintu masuk gang (kalau di Malaysia dipanggil lorong); ada papan-tanda tertulis Pangkas Rambut. Terselindung di sebalik cermin dinding kedai seorang sedang bergunting rambut – fahamlah aku itu kedai gunting.

”Saya mahu pangkas rambut bila saja mampir di Bandung.” Aku memandang kepada Hj Lokman. Pasti dia akan segera memintas cakap aku. Ternyata betul. ”Pak Nahar bisa percaya sama itu hairdresser ?” Istilah orang terpelajar di Jakarta; tukang gunting di sebut hairdresser. Hj Lokman menerangkan. Beliau telah selalu ke Jakarta kerana urusan niaga.

”Kenapa.” Aku meningkah
”Pangkas; cara mengerjakan ... gunting rambut yang ekstrim, gitu !! Guntingnya mesti sebesar gunting untuk pokok bunga”
Kalau di Malaysia, pangkas ialah istilah untuk mencantas atau trim dahan pokok atau daun; aku menerangkan. Ahli rombongan ketawa geli-hati.

23hb. Disember; 2010; 10.00pagi Waktu Jakarta Pusat. Kukumpul seluruh ingatan sepanjang berada di Bumi para wali. Kunukil sejambak puisi buat Pak Ardy dan rakan baru di Pasar Baru dan Tanah Abang :

Ketika mahu aku tinggalkan Airport Soekarno-Hatta

Ketika mahu aku tinggalkan airport Soekarno-Hatta
manik-manik kecil cair di tubir mata.
Ketika akan aku tinggalkan airport Soekarno-Hatta,
cairan manik-kecil mulai membentuk aliran.
Ketika aku tinggalkan airport Soekarno-Hatta,
aliran itu kini berubah melimpahkan banjir.
Ah, ini bukan lagi Broga yang kirim banjir
di Jakarta.

Nahar Rashid;
23hb. Disember; 2010
International Airport Soekarno-Hatta,
Jakarta.

dinbatubara

1 comment: