Ini cerita tentang kentut di rumah allahyarham datuk aku di Kg Lambor Kanan, Parit. Once upon the time : Tempat : Rumah tok Hj Yeop Majelis, Lambor Kanan, Parit.
Malam itu rumah Lambor tu penuh dengan anak-cucu tok. Anak-anak tok adakan mesyuarat penubuhan Syarikat Keluarga Majlis. Pakcik Ya sekeluarga turun dari Cameron Highland – Kamahelan; loghat orang kampong aku. Dari Tepen (Taipeng); Pakcik Yan sekeluarga. Pak E sekeluarga dari Teluk Intan (dulu dipanggil Teluk Anson) juga balik, Pak Yang Bakar juga; dari Teluk Anson. Pak Nyah Salleh. Askar; kebetulan bercuti, baru balik dari Sarawak. (Pak Nyah Salleh banyak bawak gambar anak-anak dara & emak dara Iban – lawa dak Yang; Yang panggilan manja Pak Nyah Salleh kepada kakaknya, emak aku tu. Arwah mak tak bagi kami tengok gambar itu.) Arwah abah dan kami sekeluarga dari Teluk Sarih. Ayah Cik pun ade. Dia baru kahwin; tinggal di Bota.
Selepas mesyuarat; semua sudah ngantuk. Lampu geslin sudah dipadamkan; di ganti dengan lampu cemeni tersangkut di tiang seri antara ruang tengah, rumah anjung dan serambi. Remang-remang cahayanya menebar malap ke segenap ruang. Yang lelaki ambil tempat di anjung. Masa tu rumah anjung tu belum selebar sekarang. Tok pebesar ruang anjung itu tatkala Ayah Cik kahwin. Susun papan dindin rumah anjung itu dulu potong serong dari papan berlidah. Abah tak tidur di Lambur – lepas mesyuarat abah balik berbasikal ke Teluk Sarih. Anak menantu tok yang perempuan; arwah emak aku ambil tempat dekat Opah Cik – isteri nombor dua tok. Makcik Sabariah, wan kecik Ba’i, makcik Sihah bersapa di ruang tengah.
Tengah malam dah lepas. Seisi rumah tu belum lagi tidur semuanya. Kalau yang dah tidur pun; belum lena betul. Kami; anak-cucu tok yang kecik-kecik sudah lena belaka di serambi. Ada yang kain selimut terselak hingga ke dada – terbogel punggungnya. Ada yang kainnya membungkus muka. Yang seorang menyelapak seorang yang lain – udah entah berapa kali beralih tidur. Entah ! Ade yang mengunyah-ngunyah gigi - mengerenyit-gerenyit bunyinya.
Pak Nyah Salleh sesekali menyampuk sayup-sayup bualan Pak Cik Asin dengan Pakcik Yan yang sesekali terkekek-kekek; ketawa tak lepas. Pak Cik Asin dengan birasnya, Pak Cik Yan tu memang sesuai benar. Dia orang tu menantu tok. Pak Cik Asin; isterinya Wan Kecik Ba’i. Pak Cik Yan; isteri dia Mak Cik Sabariah.
Suasana makin sepi. Senyap. Tenang dan sayu. Sesekali tedengar bunyi burung jampuk di pohon ciku tepi rumah berselanmg-seli sayup-sayup bunyi burung tukang dari kampung seberang; mengerutup, menukang rumah yang tak pernah siap. Dan bermulalah pesta itu.
... Tak tahulah, entah siapa yang mulakannya. "Ha; dah mula, dah... !" Getus Opah Cik. Rupa-rupanya Opah Cik belum tidur lagi; dia masih bercerita – ngok-ngek, ngok-ngek entah apa-apa dengan emak.
…"Laailahaillallaah !!" kata Opah Cik. Tak tahulah; mungkin gulai nangka muda ketika makan sebelum mesyuarat lepas Isya tadi sudah mula mengumpul angin dalam usus masing-masing.
"Tuuut !!"
"Tut !"
"Tit ?"
"Piiit !!!?"
“Pooot !!!
"BOOOT !!."
"Laailahaillallaah, kuatnyaa !!!" kata opahcik.
Entah siapalah yang punya tu. Kalau ikut bawaan kelakarnya, yang bunyi "Piiit !!!?" itu Pak Nyah Sallehlah, tu. Yang "Pooot !!!", tu ? Ha, itu Pak Cik Ya.
"BOOOT !!!” – macam bunyi serombong kapal pecah hingga terasa bergegar lantai papan rumah itu ? Pak E le, tu.
Yang lain-lain tu entah siapalah agaknya – antara Pak Cik Asin, Pak Yang Bakar atau Pak Cik Yan. Ayah Cik rasanya bukan.
Kesemua watak yang disebutkan itu; kecuali Wan Kecik Ba’i, Pak Cik Asin dan Pak Cik Ya sudah arwah belaka. Pak Cik Ya baru menyambut hari jadinya yang ke 76 baru-baru ini. Selamat hari jadi Pak Cik semoga kekal sihat dan dapat terus beramal ibadat. Amin.
dinbatubara
No comments:
Post a Comment