Wednesday, August 17, 2011

Surau kampung aku (versi asal); untuk ADILA di Medan, Klasik Nasional - tersiar pada 16 Ogos 2011

Tak tahulah, siapa yang bagi namanya al Ja’iziah. Bila didirikan ? Tidak pula ayah sempat bertanya kepada arwah tok kamu. Tapi rasanya, di zaman Sultan Perak, tahun-tahun awal 1900. Waktu itu; Cina sudah ramai; mereka jadi boroh lombong di Lembah Kinta dan Hilir Perak. Di antara mereka, ialah tukang yang mahir dari di Guan Xiao, Cina. Merekalah agaknya yang menukang surau itu. Kamu perhatikan kerawang pada jenang tingkapnya itu – ukiran berbentuk jometri. Itu bentuk ketukangan istana lama Maharaja Cina. Kamu tengok susunan papan dindingnya, yang dipasang menegak.

Dulu surau itu di baruh sana – tepi sungai. Sungai sebagai jalan perhubungan ke Teluk Intan – masa itu disebut Teluk Anson. Dan Bagi ayah, surau itu menjadi ikon kepada kampung di pedalaman, ni. Pedalamanlah, tuhh !! Tak ada jalan raya. Elektrik jauh sekali.

Depan surau itu, ada kawasan lapang yang mengunjur ke sungai. Hari minggu atau cuti sekolah; kanak-kanak dan belia bermain guli, gasing pangkah dan polis sentri di situ. Puas bermain mereka terjun ke dalam sungai. Dari jauh sebuah bot sedang mudik. Bot dari Teluk Anson bawa barang dan penumpang. Semakin dekat. Bot singgah sekejap, dan sambung perjalanan ke kampung hulu. Ada kalanya bot tidak singgah; hanya melintas di tengah sungai. Bot yang lalu akan menerbitkan ombak – tak sampai sekaki pun tingginya; namun budak-budak yang sedang mandi, bersorak-seronok berbalas-lambai dengan penumpang di dalam bot sambil menggayakan aksi tenggelam-timbul, seolah dipukul ombak besar. Malamnya mereka bersongkok pesuk kusam dan berkain pelekat – berlatih rebana dan berzanji di bawah surau.

Bulan Rejab; setiap malam Khamis; Ustaz Majid datang membaca kitab Israk dan Mi’raj; dari lepas solat Maghrib hingga pukul sembilan – cerita Nabi Muhammad s.a.w. diperjalankan dari Mekah ke Baitul Maqdis di Palestin, dan naik ke langit; berjumpa Tuhan di Sidratul Muntaha. Nabi naik Buraq. Nabi ditemani Malaikat Jibra’il. Nabi berjumpa Nabi Idris, jumpa Nabi Zakaria, Nabi Isa. Nabi melihat macam-macam iktibar di sepanjang perjalanan. Nabi turun dan membawa perintah Allah; suruh kita sembahyang lima waktu sehari semalam. Perjalanan lapan jam, Nabi tiba semula di Mekah sebelum Subuh. Selalunya, belum pun sampai separuh cerita, ayah sudah tertidur di kaki dinding. Tok tak marah. Minggu depan begitu juga. Tok kamu tak marah.

Habis mengaji dan solat Isya, semua jamaah pulang. Mereka menyalakan suluh. Ada suluh dibuat daripada daun kelapa tua yang diikat sepanjang pelepah. Ada diperbuat daripada getah sekerap yang dililit di hujung kayu. Ada juga yang menjinjing pelita yang di letak dalam kotak zink. Bila suluh dibakar, terang-benderang jalan dari depan surau; semakin sayup dan sirna di hujung lorong atau selekoh.

Lampu gaselin di tengah surau dipadamkan. Arwah tok kamu kejutkan ayah yang terjelepuk di bucu dinding. Tok julang ayah di atas belakangnya. Ayah terkapuk lena semula di atas gendongan tok kamu.

Surau itu dipindahkan ke tapak sekarang ini pada tahun 1969. Orang kampung bermesyuarat – dah tak sesuai surau itu di sana; kata mereka. Rancangan Luar Bandar – enam tahun selepas merdeka; pada tahun 1963 jalan bertar dibina, menghubungkan kampung kita dengan pekan Parit, Kampung Gajah, terus ke Teluk Intan. Paip air sebesar batang durian yang ditanam di tepi sepanjang jalan itu menyalirkan air bersih, menggantikan paip sebesar lengan yang dipasang Orang Putih sebelum merdeka. Peranan sungai bagi kelengkapan hidup seharian sudah berkurangan.

Ayah menongkah remaja bersama usia dewasa surau itu. Tapi, sudah tidak ada anak muda bermain gasing pangkah dan guli. Tak ada lagi tingkah rebana di malam Jumaat. Mereka yang dulunya memenuhi dataran depan surau di tepi sungai, sudah menjejak ke usia muda atau berumah-tangga. Ekonomi pula meleset – harga getah dua puluh lima sen sekati, sedang harga gula enam puluh lima sen sekati. Kehidupan sukar. Seorang demi seorang mereka berpindah; jadi boroh Tanah Rancangan FELDA di Trolak, Sungkai dan Pahang. Mulai berkuranglah anak muda di kampung kita.

Pembukaan Estet Padi di Seberang Perak. Berhijrah pulalah keluarga muda beranak satu atau dua ke sana. Menyusut lagi isi kampung kita. Dan semakin pendek saf sembahyang di surau kita.

Tinggal ayah dan beberapa orang rakan; sementara menamatkan pengajian sekolah menengah; dan tinggalkan juga kampung kemudiannya. Sementara itu kami belajar fardhu ’ain, berzanji dan marhaban dari atok kamu. Ayah laungkan azan bila masuk waktu Maghrib dan Isya;’ dan sesekali Subuh. Ahli jamah tua surau gemar benar menyuruh ayah azan. Suara ayah sedap ? Entah. ”Apa pasal macam bunyi ayam baru belajar berkokok” kata opah kamu, mengusik. Gemuruh, menyebabkan nafas pendek dan tercekik. Lama kelamaan ayah sudah boleh kontrol nafas dan melagu. Tapi, tentulah tidak selunak suara Jamal Abdillah; atau kalau pada ketika itu, Ahmad Jais atau Ismail Haron.

Malam Ramadhan kami bertadarus al Quran. Kalau berbetulan bulan puasa itu dengan cuti penggal sekolah; kami tidur di surau. Kami pukul kerantung jam empat pagi; kejutkan warga kampung bangun sahur. Seorang pegang alu pukul di sebelah kanan. Seorang pukul sebelah kiri; menyelang. Seorang lagi menjolok, menikam-nikam batang penyapu di celah alor kerantung. Ini memberikan bunyi tengkah dan selang yang mengasyikkan.

Ada satu malam tu, kami ketuk kerantung pukul dua setengah pagi. Sedang asyik; kami ternampak kelibat allahyarham encik Din tergocoh-gocoh datang, sambil mengomel. Rumah dia dalam dua rantai sahaja dari surau. Encik Din terkenal dengan wajah garang dan mulut bengisnya. Sebaik dia menjejak kaki di lapik tangga, kami padamkan lampu gasolin; dan terjun-lari ikut tingkap di anjung surau, sambil terkekeh-kekeh menahan ketawa. Takut. Siang esoknya kami dimarahi ayah masing-masing. Tapi, malamnya kami baca quran lagi. Kami tidur tidur di surau lagi. Kami pukul kerantung sahur lagi jam empat pagi.

Pak Yop Jatin mati, Tok ki Jidi,Tokcu Amat mati. Tokcik Cat kamu, juga mati. Mereka semua antara yang memimpin tahlil arwah, solat dan tarawih; menggantikan arwah tok kamu, bila sesekali tok uzur. Mereka menimba ilmu dari arwah tok kamu. Tok kamu pernah mengaji di Pondok Tuan Hj Mohd Salleh Masri, Tanah Liat, Bukit Mertajam sebelum Perang Jepun. Allah takdirkan mereka semua mati sebelum arwah tok kamu. Bila tok kamu pula meninggal dunia selepas itu; habis. Surau kita menjadi sepi.

Adakah sesiapa anak-anak ayah yang boleh menyambung semula legasi tok kamu dengan surau kampung kita ?

dinbatubara
(Memenangi hadiah pelancungan ke Sarawak tajaan Honey Vacation Travel & Tours Sdn Bhd)

No comments:

Post a Comment