Sunday, August 7, 2011

Tamam yang kukenal (meninggal dunia pada 6hb. Ogos; 2011/ 5 Ramadhan 1432H)

Allahyarham Tamam - kalau tak silap tua 2 tahun dari saya. Zaman kanak-kanaknya; Tamam adalah watak tipikal budak kampung - buat jebak dua pintu dan empat pintu untuk menjebak pipit (masa itu padi sekali setahun). Jebak dibuat dari batang mempiang berdinding jerejak lidi kelapa. Pipit uban, pipit tuntung masuk. Sesekali yang masuk ialah tempua dan pipit tuli. Dia kenal pipit yang boleh dibuat pemikat. Kawan-kawan yang gila menjebak - Tamam jual denak bersuara bagus dengan harga 20sen atau 30sen seekor kepada mereka.

Dia mengikut bapanya pergi menembak pelanduk, landak di hutan sebelah darat kampung. Dan ramai kami tahu Tamam cekap menembak.

Bulan puasa Tamam buat meriam buluh. Kami seronok memerhatikan Tamam yang cekap menggunakan golok dan belitongnya memangkas buluh aur - membuang sega, menerjah batang besi ke dalam buluh menebuk ruas, menarah muncung dan buntut buluh serta menebuk lubang tempat mencucuh api. Buluh sebesar paha kanak-kanak sepanjang tiga ruas segera siap menjadi meriam.

Tamam buat batang meriam dari batang paip air. Dia palam buntut batang paip dengan simen. Bunyi letupan meriam sedikit berbeza.

Tamam menyirat jala - membaiki bahagian jala yang koyak atau menyudahkan siratan jala bapanya; pasang batu ladung. Suatu ketika dia buat batu ladung sendiri - cairkan timah dan masuk ke dalam cetak. Entah macam mana sedikit percikan air menyebabkan timah cair meletup kecil dan bunga api melompat menyentuh bahagian kecil dahi beliau.

Bekerja di Petaling Jaya. Namun ada percubaan meneruskan hobi sebagai anak kampung; tetapi dalam bentuk moden dan bina-usahawan - dia pulang ke kampung; beli bot enjin sangkut, berulang alik ke sebuah pulau di tengah Sungai Perak - kira-kira 200 meter dari rumah allahyaarham. Di situ dia membina reban memelihara ayam/itek - untuk komersial. Banjir yang sudah lama tidak berlaku, entah bagaimana terjadi pula tahun itu. Reban bersama ayam itiknya di hanyutkan air.

Sebulan sebelum tiba puasa kali ini; saya balik ke kampung. Singgah makan tengahari di kedai milik adiknya; Latifah, di pekan Bota Kanan. Bertanya kepada anak saudaranya (anak Latifah) fasal Tamam - yang waktu itu sudah bekerja di Taiping. Saya diberitahu dia baharu pencen dan menetap sementara itu di sana.

Dan, kini Tamam sudah kembali ke rahmatullah. Alfatihah

dinbatubara

No comments:

Post a Comment