Friday, December 9, 2011

Apa Makna audit Negara - Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Generasi awal Islam meneriman pendidikan Ilahi daripada Rasulullah S.A.W sepanjang hayatnya dalam semua aspek ibadah, cara hidup bermasyarakat dan berpolitik. la adalah amalan manusia yang dimasukkan dalam perhitungan baik dan jahat, adil dan zalim, seterusnya dihisab di hadapan Allah pada hari kiamat. Apabila seorang yang ditugaskan ke suatu wilayah, pulang membawa hasil pungutan harta zakat dan cukai, lalu menyerahkannya kepada Rasulullah S.A.W dengan menyatakan, "Ini semua adalah tugas saya memungutnya dan ini pula diberi hadiah kepada saya", dengan murka Rasulullah S.A.W bersabda, "Adakah sekiranya kamu berada di rumah ibu dan bapa kamu tanpa menjalankan tugas ini, maka hadiah ini diberi juga kepada kamu?"

Kemudian Rasulullah S.A.W keluar ke masjid menyampaikan ucapan mengingatkan semua yang bertugas dalam urusan umat, supaya berwaspada menerima hadiah yang diberi kerana jawatan, kerana ada unsur rasuah yang menjadi harta dan rezeki haram, bukan kerana hadiah sebenar secara ikhlas.

Ketika Rasulullah S.A.W uzur sebelum wafatnya, dipapah ke masjid bagi menyampaikan amanat terakhir, antaranya Baginda menegaskan, "Sekiranya ada kalangan kamu yang aku jatuhkan maruahnya sila datang dan lakukan hukuman terhadapku, sekiranya ada yang aku ambil hartanya sila nyatakan supaya aku menggantinya".

Apabila Islam mendapat kemenangan pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al Khattab R.A, beliau berjaya menumbangkan dua kuasa besar yang kaya dan zalim iaitu Rom dan Parsi, maka banyaklah harta peninggalan dua kerajaan yang paling kaya itu menjadi milik negara. Lebihan daripada harta yang dibahagikan mengikut keperluan penduduk daerah yang wajib diberi dengan adil, dibawa ke Madinah, pusat kerajaan Islam pada masa itu, supaya dibahagikan kepada pihak yang lain pula antaranya kain untuk pakaian, yang dikira harta sangat bernilai padazaman itu. Kain yang banyak diagihkan kepada penduduk Madinah.

Setelah beberapa hari, Umar keluar ke masjid dengan pakaian baru lalu menyampaikan ucapan, "Dengar dan taatlah!". Baru sahaja beliau menyampaikan mukadimah, tiba-tiba seorang di kalangan yang hadir menyampuk, "Kami tidak mahu".

Khalifah Umar bertanya, "Mengapa?". Orang itu menjawab, "Daripada mana kain diambil untuk baju yang kamu pakai ini? Kerana mengikut setiap orang yang mendapat bahagian kain semalam, tidak cukup untuk baju yang besar seperti kamu?" (Umar berbadan besar dan tinggi).

Lalu Umar meminta anaknya Abdullah memberi penjelasan. Abdullah menjawab, "Saya berikan kain bahagian saya bagi mencukupkan baju yang ayah saya pakai".

Khalifah Umar diaudit oleh seorang rakyat biasa, bukan Ketua Audit Negara kerana sehelai baju yang dipakai dan diragukan mengambil secebis kain yang diambil secara tidak jujur dalam pembahagian harta, yang boleh dibahagi dan Khalifah juga berhak mendapat bahagiannya.

Apabila seorang raja menghadiahkan kalung perhiasan berharga kepada isteri Khalifah Umar al Khattab R.A (Ummu Kalthum binti Ali bin Abi Tolib), Umar terus meminta isterinya menyerahkannya kepada Baitu al Mal (Perbendaharaan Nagara). Begitu juga Khalifah Umar bin Abdul Aziz pada zaman kerajaan Amawiyah meminta isterinya (Fatimah binti Abdul Malik bin Marwan) supaya menyerahkan permata berharga yang dihadiahkan oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan (ayahandanya) ketika perkahwinannya, sebelum Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah. Hadiah itu dikembalikan kepada Baitul Mal kerana Umar bin Abdul Aziz menganggapnya ia boleh menyalah-gunakan harta negara

Inilah contoh generasi awal yang menjadikan kedudukan mereka dalam kepimpinan adalah amanah, bukan sahaja amanah daripada rakyat malah lebih besar daripada itu ialah amanah daripada Allah, yang diisytiharkan sejak mencipta manusia pertama Nabi Adam A.S, bapa kepada seluruh manusia, bahawa memerintah negara adalah amanah paling besar disenaraikan selepas beribadah kepada Allah.

Apa yang berlaku menunjukkan Islam mendahului demokrasi Barat; memberi hak kepada rakyat dan wakil rakyat (bahkan semua pihak) dalam negara melakukan muhasabah terhadap kerajaan dan pemimpin di semua peringkat. Dalam negara demokrasi moden diambil amalan ini, apabila dilantik Audit Negara, audit bebas, dalam dan luar dengan telus melakukan muhasabah, tidak cukup dengan Jabatan Audit Negara.

Parlimen dan media boleh mendedahkan segala penyelewengan harta rakyat dan negara seluruhnya. Rakyat pula diberi hak yang sama dan menjadi hakim melalui pilihan raya yang adil, bebas dan bermoral sehingga rakyat boleh menghukum dengan menjatuhkan pemimpin itu melalui pilihan raya setelah mendengar hujah pemimpin dan rakyat, tanpa apa-apa tekanan, ugutan dan sogokan. Bahkan ada pemimpin yang berundur sebelum pilihan raya kerana menjaga maruah diri dan mendedahkan diri untuk disiasat walaupun yakin tidak bersalah.

Di negara Malaysia yang tercinta ini, setiap tahun kita membaca Laporan Audit Negara yang telah menjalankan tugas dengan terperinci dalam laporannya. Di samping tersurat, ada juga dikatakan tersirat dengan banyaknya, tersebarnya berita cincin berjuta harganya dan berbagai-bagai cerita habuan kemewahan dan pembelian kemewahan, menggunakan kedudukan dan pangkat. Semuanya tidak ada penjelasan seperti anak Khalifah Umar yang boleh dijawab dan didengar oleh rakyat, atau tindakan berani Khalifah sendiri terhadap diri dan keluarganya. Tidak juga seperti di negara yang benar-benar menghayati deraokrasi.

Keadaan ini berlaku kerana Laporan Audit Negara sekadar dibentang tanpa apa-apa tindakan selepasnya, laporan media kalau ada hanya sekadar bacaan cerita tanpa susulan atau menjadihikayat yang menarik dibaca untuk hiburan. Rakyat tidak mampu menjadi hakim yang adil kerana badan kehakiman rakyat melalui pilihan raya tidak mampu mengendalikan urusan pilihan raya yang adil, walaupun dibekalkan dengan teknologi maklumat yang dikatakan paling canggih daripada negara maju dan ekonominya tidak terjejas dengan ribut taufan yang melanda ekonomi dunia.

Seolah-olah Malaysia tidak berada di alam dunia yang bulat berpusing. Media di sini kaya dengan laporan maklumat sebelah pihak dan terlalu bakhil untuk melaporkan golongan yang mengkritik kerajaan BN yang memerintah, ada pula kesalahan yang dilindungi undang-undang kerahsiaan, walaupun menjadi penyakit yang membarah. Seterusnya Laporan Audit Negara hanya menjadi bacaan, adapun yang tersirat semuanya menjadi cerita yang tidak berkesudahan. Sehingga orang yang dahulu mati dan yang masih muda dimakan usia.

Setelah cerita yang terdahulu diletak dalam lipatan sejarah hitam negara tanpa pemutihannya, timbul pula cerita baru, bantuan tidak sampai kepada sasaran setelah stadium runtuh, jambatan rebah, kuda lumba harga terlalu mahal dan sebahagiannya tidak dapat berlumba, bilik komputer runtuh, komputer terlalu mahal, beli senjata hanya untuk tayangan hari kemerdekaan tetapi tidak mampu mempertahankan negara dan banyak lagi yang tidak tersenarai dan cerita kebocoran harta negara yang disimpan menjadi rahsia dan tidak muncul di alam nyata.

Semua perkara berlaku begitu rupa kerana memperkecilkan amanah dan tiada maruah diri. Pepatah menyebut, "Sekiranya tidak ada rasa malu, buatlah apa sahaja". Lebih malang bagi negara apabila kemungkaran berlaku, banyak orang menjadi syaitan bisu.

Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesiapa kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangan, sekiranya tidak mampu maka dengan lidah dan sekiranya tidak mampu hendaklah benci dalam hati, inilah selemah-lemah iman".

Laporan Ketua Audit Negara dan teguran terbuka adalah mencegah dengan lidah. Kebencian dalam hati adalah tidak menyokong lagi pemimpin yang dibejati mungkar. Kita menunggu tindakan undang-undang oleh mereka yang mencegah kemungkaran dengan tangan atau mereka juga tidak berkuasa kerana tangannya lesu, tiada pemisahan kuasa dalam sistem pemerintahan negara. Pentadbiran dan penguat-kuasaan bergerak mengikut kehendak tangan ghaib yang berada di belakang atau tangan terdedah digerakkan oleh jasad yang tidak ada rasa malu sedikit pun kerana tiada harga diri seorang manusia yang sebenar, tanpa maruah dan tanpa kepercayaan kepada adanya hari pembalasan, di kala mulut terkunci dan anggota yang tidak bermulut akan bercakap mendedahkan segala-galanya.

Akhirnya Rasulullah S.A.W memberi amaran, "Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan kamu mencegah kemungkaran, atau kamu diam sahaja, maka Allah timpakan bala bencana orang-orang yang jahat memerintah kamu dan doa orang-orang yang baik tidak diperkenankan oleh Allah".

Atau sudah berlaku laksana cerita penglipur lara yang mengisahkan cara mengalahkan seekor beruk garang dengan memberinya tiga biji telur, dua biji supaya dipegang oleh kedua-dua belah tangan, sebiji bagi diletakkan ke dalam mulut, menyebabkan beruk itu kaku tidak dapat bertindak kerana sayang melepaskan telur yang digenggam dan mulut juga tidak dibuka kerana menjaga telur yang dikemam.

No comments:

Post a Comment