Friday, October 12, 2012

Sultan Alang Iskandar menjaga Igama Maka berkehendak oleh Baginda akan seorang orang alim untuk menjalan akan hukum igama di negeri itu. Maka diberitahu orang, di Teluk Anson ada seorang orang yang terlalu alim dia akan hukum-hukum igama; yang berasal dia dari Tanah Minangkabau. Sheikh Muhammad Saleh namanya. Maka menitahkan Baginda akan Orang Besar delapan Yang Bderbahagia Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, menjemput akan dia orang alim itu datang mengadap. Maka apakala tiba sahaja Sheikh Muhammad Saleh itu di Balai Penghadapan; lalu dipersalin akan dia dengan pakaian kebesaran. Maka Sultan pun menganugerahi Baginda akan gelaran Shaikul-Islam bagi Negeri Perak. Menitah Baginda akan Shaikul-Islam Sheikh Muhammad Saleh untuk menjalankan hukum Igama Islam di negeri itu. Arakian diceritakan orang pula akan Shaikul-Islam Sheikh Muhammad Saleh itu terlalu amat menjaga dia lagi sangat patuhnya kepada pekerjaannya. Direncanakannya senarai nama anak-anak qariah yang sudah baligh lalu mencatat kehadirannya pada kedatangan sembahyang Jumaat di masjid. Yang tidak datang berurut-turut sebanyak tiga kali, maka akan dicorengkan mukanya dengan warna hitam dan diarak akan dia di keliling kampung dan kota. Jika terdapat mereka itu yang juga sudah sampai perintah hukum fiqah itu kepadanya dan makan dia di tempat ramai pada bulan Puasa, maka digantung akan dia di lehernya periuk, kuali, lekur dan belanga. Diberi malu akan dia kerana perbuatannya itu. Syahadan itulah yang diceritakan orang akan Sultan Alang Iskandar itu terlalu amat menjaga Baginda urusan igama anak negerinya. Bahawa Baginda sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai ajaran Igama Islam kepada rakyat Baginda di bandar-bandar dan di kampung-kampung. Aman makmurlah negeri Perak dalam pemerintahan Baginda lagi disayangi rakyat jelata selama 20 tahun itu. dinbatubara

No comments:

Post a Comment