Tahun
1964. Masa itu aku baharu 9 tahun; dalam darjah 3 Sekolah
Kebangsaan Teluk Sareh. Teluk Sareh atau Kampung Empai itu boleh dikenal
dalam satu entiti.
Orang kampung aku, aku dengar sedang sibuk
untuk memilih seorang ketua. Ketua apa aku pun tidak tahu. Tapi di
rumah aku ada beberapa helai gambar yang lebih kurang sama besarnya
dengan gambar Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu; Tunku Abdul Rahman
Putra al Haj, yang dibingkaikan cantik tergantung di atas jenang
tingkap di anjung rumahku.Sehelai ialah gambar berwarna biru tua dengan
lambang kapal layar dengan tanda pangkah di sebelah kanannya – kecil di
bawah gambar. Di bawah gambar tertulis nama Ahmad Saudi bin Ahmad
Zakaria – kata arwah emak aku dia itu orang Lambor; pangkat datuk kepada
aku. Sehelai gambar lagi dengan saiz yang sama dicetak berwarna hijau;
di bawah gambar tertulis nama Datuk Raja Abu Hanifah. Ada lambang kecil
Bulan Bintang serta tanda pangkah di sebelah kanannya.
Sekali
dua aku mendapati beberapa buah kereta meredah lopak dan lecah di jalan
tanah di depan rumah aku. Kereta berbentuk lonjong berwarna hitam. Aku
mengekorinya – mengamati bunyinya yang pelik dan menghidu bau asap yang
berkepul di belakang. Siapa di dalam kereta itu aku pun tak tahu.
Beberapa orang berjalan kaki dan berbasikal mengekori dari belakang
kereta yang bergerak perlahan dan sesekejap berhenti tatkala tayar
terbenam ke dalam lopak.
Mereka akhirnya tiba di surau di tepi Sungai Perak. Di depan surau kereta berhenti. Seorang yang
berperawakan kemas berbaju lengan panjang yang dikemaskan di dalam
celana keluar dari kereta sambil mengucap salam dan terseyum-senyum
mesra menghulur dan menyambut salam dari hadirin yang menunggu.
Mereka berkumpul di bawah surau. Tetamu yang diraikan berucap sambil
menggawang-gawang tangan ke atas. Entah apa yang diberitahukannya kepada
hadirin, aku tidak tahu. Tidak lama; lepas berucap mereka menikmati
hidangan. Aku hanya meninjau-ninjau dari luar tingkap mendengar
sepatah dua istilah dan seruan yang aku tak faham. Ah, majlis orang
tetua. Seorang rakan memanggil aku – kami ada janji untuk berenang di
parit yang sedang banyak kuntum teratai (yang sedang-eluk dan enak
dimakan) bercelahan kuntum-kuntum bunganya yang indah menyerlah. Parit
di tengah-tengah kawasan persawahan itu dikorek untuk membuat jalan raya
merentasi kampung aku ke kampung Pulau Tiga seterusnya ke Kampung
Gajah. Aku pun berlalu. Tak minat aku nak ambil tahu. Apa kesudahannya
dari peristiwa itu. Entah. Aku pun tak tahu.
Aku tahu
kemudiannya Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria jadi ADUN Kg Gajah tahun itu;
1964 (dalam Parlimen Parit). Persempadanan semula sempadan pilihanraya
tahun (?) kampung aku di masukkan ke dalam kawasan pilihanraya Parlimen
Pasir Salak, DUN masih di namakan DUN Kampung Gajah.
Tahun
1969. Aku sudah berumur 14 tahun. Aku sudah tahu makna pilihanraya.
Parti yang sedang bergocoh untuk berebut sokongan rakyat sekarang ialah
antara PAS dan Perikatan. Peringkat Parlimen wakil PAS ialah Cikgu
Hashim bin Gera berlawan dengan calon Perikatan Dato Hussein bin Nordin.
Khabarnya Hussein Nordin adalah Pengerusi Syarikat surat Khabar Utusan
Melayu; juga sebagai Setiausaha Agung UMNO.
Ketika itu pokok
ketapang di depan kedai gunting itu batangnya baru sebesar paha. Kedai
gunting itu milik abang Daud; dua pupu aku. Dia memberhentikan
operasinya sepanjang kempen pilihanraya. Aku rasa panjang juga tempuh
kempen tersebut. Kerusi tempat bergunting diketepikan. Ruang menjadi
lebih lapang. Segenap penjuru dinding semilau hijau bertampal poster
lambang Bulan Bintang – lambang Parti PAS. Di sebelah kedai gunting
abang Daud ialah kedai kopi Pak Lui yang sudah dikosongkan juga. Ini
bilik gerakan pilihanraya Parti Kapal Layar, Perikatan. Mereka juga
sedang sibuk menampal dinding dengan kertas cap kapal layar; dan
sekumpulan orang lagi sibuk mengelip poster untuk digantung merentangi
jalan dan lorong.
Suatu petang Calon PAS datang berkempen di
Bilik Pilihanraya PAS – kedai gunting Abang Daud. Aku sudah tahu namanya
ialah Hashim Gera, khabarnya seorang bekas guru. Aku dicelah-celah
ramainya orang kampung asyik, bersemangat dan ketawa berdekah-dekah,
terkekeh-kekeh mendengar pidato cikgu Hashim Gera. Cikgu Hashim
sememangnya petah berceramah sambil menselang-selikannya dengan pantun.
Di bawah pohon ketapang itulah.
Antara pantun cikgu Hashim yang masih aku ingat ialah :
Sampan layar berlayar malam
Nampaknya sudah berbalam-balam
Pemimpinnya rehat di atas tilam
Membawa Melayu mati tenggelam.
One two three,
Satu dua tiga
Orang Putih cabut lari
Negeri kongsi tiga.
One, two, three, four
Satu dua tiga empat
Husin Nordin kereta besor
Orang Parit apa dapat.
Antara orang kampung aku yang terlalu amat petahnya berpidato membantu
calon PAS Cikgu Hashim Gera ialah bapak saudara aku sebelah almarhum
ayah aku; Ayah aji Kole panggilannya. Nama sebenar beliau ialah Hj
Sa’aduddin bin Yahya. Dia ini semasa lagi budak-budak mengikut arwah
datuk aku ke Mekah dan terus 'menaun' di sana hingga remaja baru pulang
ke tanah air. Terlalu lamanya beliau di Mekah hinggakan berbahasa Melayu
loghat orang Parit/Perak beliau terikut slang Arab. Kenapa 'kole' –
sebabnya ialah tatkala dia membaca surah ‘Waddhuhaa’ … pada ayat: Maa
wad da’akarab buka wamaa qolaa; beliau menyebutnya : “Mee wad da’ekerab
buke wemee qolee’.
Di surau depan rumah datuk aku; almarhum Tn
Hj Yeop Majelis di Teluk Pedayung, Lambur Kanan (suatu petang aku
berkunjung ke rumah tok aku itu) aku hampiri majlis penerangan/ kempen
Perikatan. Yang datang ialah Dato' Hussein Nordin. Seorang penceramah
sedang berucap menyebut (tak payahlah aku sebut namanya) : "Wan, wan
... mun kalu kalah pati kapal layo kite ni; jalan ghaye di tengah
bendang tu digulong balik dek kerejaan ..." ... "Ate ndak ke wan-wan
opan-opan semue ni makan ubi balik macam kite jaman Jepon kemaghin !!.
Ha, pangkah le kapal layo kite; kalu tak endak balik macam itu..."
Kampung aku hingga terkenal sebagai kawasan hitam kerana jumhur
orangnya memangkah Parti PAS. Yang dikenali mangkah Kapal Layar beberapa
orang sahaja. Namun tidak berlaku perbalahan – mereka di antara mereka
bukan orang lain – adik-beradik, anak saudara-bapak saudara atau ibu
saudara, opah atau datuk kepada yang lain. Mereka bersama-sama
berjemaah di surau; menghidupkan amalan bergotong-royong di upacara
mendirikan rumah, berderau menanam padi, penuh hilai ketawa tatkala
menebas dusun durian atau di upacara menumbuk minyak ketiyor;
beramai-ramai menangkap ikan ketika ada pesta menuba ikan di Sungai
Perak, penuh hormat dan takzim menyantuni peristiwa perkahwinan -
mendirikan balai dan selasar serta dikenduri naik buai (potong
jambul/akikah) atau berkhatan anak-cucu.
Hashim Gera
mengalahkan Dato Hussein Nordin (Tan Sri). Manakala Calun DUN Kg Gajah
dimenangi oleh Cikgu Mahmud Zainal Abidin juga dari PAS.
Pada
hari berlakunya Tragedi 13 Mei Negara diletakkan dalam perintah
berkurung. Sekolah tutup. Aku,bersama-sama abang membuat rakit dari
batang pisang bersaiz empat kali 2 kaki dan menghiasnya dengan poster
Kapal Layar – entah dari siapa abang dapatkan kertas-kertas poster
tersebut. Setelah siap kami usung rakit berhias tersebut dan
menghanyutkannya ke Sungai Perak. Belum sempat melepasi jarak 20 kaki
‘Kapal Layar’ kami terlanggar kaparan keladi bunting; berpuing-puing
berpusing timbul tenggelam dan akhirnya tenggelam di bawah kapar. Abang
dan aku ketawa berdekah-dekah.
MP PAS YB Cikgu Hashim Gera
itulah satu-satunya dari Perak di pecat oleh PAS kerana dalam suatu
malam keramaian di Dewan Bankuet Parlimen beliau menari joget bersama
‘perempuan joget’. Di dalam percakapan bela dirinya dengan Jawatankuasa
Disiplin PAS Pusat yang terdiri daripada ulama' PAS itu cikgu Hasim
beritahu: "Joget adalah tarian bersih. "Bila dia (perempuan joget)
datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget itu) lari.
Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang
dia lari, dia datang saya lari".
Bagaimanapun Pas menolak
penjelasan YB Cikgu Hashim itu. Perbuatannya mencemar nama Parti Islam
yang didokonginya. YB Cikgu Hashim pun dipecat pada tahun 1972. Dan YB
Cikgu Hashim terus duduk di kerusi Bebas di Parlimen sehingga
pilihanraya tahun 1974. Cikgu Hashim selepas itu menubuhkan parti KITA
dan bertahan sehingga tahun 1978.
Lama selepas itu aku sempat
bersembang dengan Encik Mohd Hashim GG Edar yang menyebut mahu mempelawa
Cikgu Hashim menyertai PAS di tempat beliau (Damansara ?); setelah
dikatakan Cikgu Hashim memohon menjadi ahli PAS kembali di sebuah
kawasan Ipoh tapi tidak diterima oleh ahli-ahli PAS di sana.
Aku menemui seorang menantu Cikgu Hashim, seorang doktor di Fakulti
Perubatan, UKM. Deceritakan oleh beliau yang bapa mertuanya (Cikgu
Hashim) selalu menceritakan parihal parti PAS dan perjuangan politiknya.
Pun beliau yang sudah tua itu mahukan anak-menantunya mengisi borang
menjadi ahli PAS.
Dan pokok ketapang tempat kami terhibur
dengan seloka dan pantun Cikgu Hashim masih berdiri di situ; sekarang
pangkalnya sudah sebesar dua pemeluk. Pilihanraya Umum Ke 13 ini
akankah PAS Parit mengulangi kejayaan masa lalunya itu.
DinBatubara; 12hb. April 2013
Rase mike kenal benor dgn aruah malik tagor serta orang orang di tanjong kg saye pasir kubu apa merantau korje polis keme sekarang tgh menjejak waris yg berperang dgn omputih di sg perak dan adakah bugis sebenarya yg peranan besar dalam ekonomi perak masa itu
ReplyDeleteSaya cucu Haji Saaduddin b. Haji Yahya
ReplyDelete