Monday, May 27, 2013

Sekelumit Cerita PRU 1964 dan 1969 di Kampung Aku

Tahun 1964. Ketika itu aku berumur 9 tahun; dalam darjah 3 Sekolah Kebangsaan Teluk Sareh. Teluk Sareh atau Kampung Empai itu boleh dikenal dalam satu entiti.

Orang kampung aku, aku dengar sedang sibuk untuk memilih seorang ketua. Ketua apa aku pun tidak tahu. Tapi di rumah aku ada beberapa helai gambar yang lebih kurang sama besarnya dengan gambar Bapa Kemerdekaan Tanah Melayu; Tunku Abdul Rahman Putra al Haj, yang dibingkaikan cantik tergantung di atas jenang tingkap di anjung rumahku.Sehelai ialah gambar berwarna biru tua dengan lambang kapal layar dengan tanda pangkah di sebelah kanannya – kecil di bawah gambar. Di bawah gambar tertulis nama Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria – kata arwah emak aku dia itu orang Lambor; pangkat datuk kepada aku. Sehelai gambar lagi dengan saiz yang sama dicetak berwarna hijau; di bawah gambar tertulis nama Datuk Raja Abu Hanifah. Ada lambang kecil Bulan Bintang serta tanda pangkah di sebelah kanannya.

Sekali dua aku mendapati beberapa buah kereta meredah lopak dan lecah di jalan tanah di depan rumah aku. Kereta berbentuk lonjong berwarna hitam. Aku mengekorinya – mengamati bunyinya yang pelik dan menghidu bau asap yang berkepul di belakang. Siapa di dalam kereta itu aku pun tak tahu. Beberapa orang berjalan kaki dan berbasikal mengekori dari belakang kereta yang bergerak perlahan dan sesekejap berhenti tatkala tayar terbenam ke dalam lopak.

Mereka akhirnya tiba di surau kampung aku di tepi Sungai Perak. Di depan surau kereta berhenti. Seorang yang berperawakan kemas berbaju lengan panjang yang dikemaskan di dalam celana keluar dari kereta sambil mengucap salam dan terseyum-senyum mesra menghulur dan menyambut salam dari hadirin yang menunggu.

Mereka berkumpul di bawah surau. Tetamu yang diraikan berucap sambil menggawang-gawang tangan ke atas. Entah apa yang diberitahukannya kepada hadirin, aku tidak tahu. Tidak lama; lepas berucap mereka menikmati hidangan. Aku hanya meninjau-ninjau dari luar tingkap mendengar sepatah dua istilah dan seruan yang aku tak faham. Ah, majlis orang tetua. Seorang rakan memanggil aku – kami ada janji untuk berenang di parit yang sedang banyak kuntum teratai (yang sedang-eluk dan enak dimakan) bercelahan kuntum-kuntum bunganya yang indah menyerlah. Parit di tengah-tengah kawasan persawahan itu dikorek untuk membuat jalan raya merentasi kampung aku ke kampung Pulau Tiga seterusnya ke Kampung Gajah. Aku pun berlalu. Tak minat aku nak ambil tahu. Apa kesudahannya dari peristiwa itu. Entah. Aku pun tak tahu.

Aku tahu kemudiannya Ahmad Saudi bin Ahmad Zakaria jadi ADUN Kg Gajah tahun itu; 1964 (dalam Parlimen Parit). Persempadanan semula sempadan pilihanraya tahun (?) kampung aku di masukkan ke dalam kawasan pilihanraya Parlimen Pasir Salak, DUN masih di namakan DUN Kampung Gajah.

Tahun 1969. Aku sudah berumur 14 tahun. Aku sudah tahu makna pilihanraya. Parti yang sedang bergocoh untuk berebut sokongan rakyat sekarang ialah antara PAS dan Perikatan. Peringkat Parlimen wakil PAS ialah Cikgu Hashim bin Gera berlawan dengan calon Perikatan Dato Hussein bin Nordin. Khabarnya Hussein Nordin adalah Pengerusi Syarikat surat Khabar Utusan Melayu; juga sebagai Setiausaha Agung UMNO.

Ketika itu pokok ketapang di depan kedai gunting itu batangnya baru sebesar paha. Kedai gunting itu milik abang Daud; dua pupu aku. Dia memberhentikan operasinya sepanjang kempen pilihanraya. Aku rasa panjang juga tempuh kempen tersebut. Kerusi tempat bergunting diketepikan. Ruang menjadi lebih lapang. Segenap penjuru dinding semilau hijau bertampal poster lambang Bulan Bintang – lambang Parti PAS. Di sebelah kedai gunting abang Daud ialah kedai kopi Pak Lui yang sudah dikosongkan juga. Ini bilik gerakan pilihanraya Parti Kapal Layar, Perikatan. Mereka juga sedang sibuk menampal dinding dengan kertas cap kapal layar; dan sekumpulan orang lagi sibuk mengelip poster untuk digantung merentangi jalan dan lorong.

Suatu petang Calon PAS datang berkempen di Bilik Pilihanraya PAS – kedai gunting Abang Daud. Aku sudah tahu namanya ialah Hashim Gera, khabarnya seorang bekas guru. Aku dicelah-celah ramainya orang kampung asyik, bersemangat dan ketawa berdekah-dekah, terkekeh-kekeh; dan ada yang senyum-senyum kambing mendengar pidato cikgu Hashim Gera. Cikgu Hashim sememangnya petah berceramah sambil menselang-selikannya dengan pantun. Di bawah pohon ketapang itulah.

Antara pantun cikgu Hashim yang masih aku ingat ialah :

Sampan layar berlayar malam
Nampaknya sudah berbalam-balam
Pemimpinnya rehat di atas tilam
Membawa Melayu mati tenggelam.

One two three,
Satu dua tiga
Orang Putih cabut lari
Negeri kongsi tiga.

One, two, three, four
Satu dua tiga empat
Husin Nordin kereta besor
Orang Parit apa dapat.

Antara orang kampung aku yang terlalu amat petahnya berpidato membantu calon PAS Cikgu Hashim Gera ialah bapak saudara aku sebelah almarhum ayah aku; Ayah aji Kole panggilannya. Nama sebenar beliau ialah Hj Sa’aduddin bin Yahya. Dia ini semasa lagi budak-budak mengikut arwah datuk aku ke Mekah dan terus 'menaun' di sana hingga remaja baru pulang ke tanah air. Terlalu lamanya beliau di Mekah hinggakan berbahasa Melayu loghat orang Parit/Perak beliau terikut slang Arab. Kenapa 'kole' – sebabnya ialah tatkala dia membaca surah ‘Waddhuhaa’ … pada ayat: Maa wad da’akarab buka wamaa qolaa; beliau menyebutnya : “Mee wad da’ekerab buke wemee qolee’.

Di surau depan rumah datuk aku; almarhum Tn Hj Yeop Majelis di Teluk Pedayung, Lambur Kanan (suatu petang aku berkunjung ke rumah tok aku itu) aku hampiri majlis penerangan/ kempen Perikatan. Yang datang ialah Dato' Hussein Nordin. Seorang penceramah sedang berucap menyebut (tak payahlah aku sebut namanya) : "Wan, wan ... mun kalu kalah pati kapal layo kite ni; jalan ghaye di tengah bendang tu digulong balik dek kerejaan ..." ... "Ate ndak ke wan-wan opan-opan semue ni makan ubi balik macam kite jaman Jepon kemaghin !!. Ha, pangkah le kapal layo kite; kalu tak endak balik macam itu..."

Kampung aku hingga terkenal sebagai kawasan hitam kerana jumhur orangnya memangkah Parti PAS. Yang dikenali mangkah Kapal Layar beberapa orang sahaja. Namun tidak berlaku perbalahan – mereka di antara mereka bukan orang lain – adik-beradik, anak saudara-bapak saudara atau ibu saudara, opah atau datuk kepada yang lain. Mereka bersama-sama berjemaah di surau; menghidupkan amalan bergotong-royong di upacara mendirikan rumah, berderau menanam padi, penuh hilai ketawa tatkala menebas dusun durian atau di upacara menumbuk minyak ketiyor; beramai-ramai menangkap ikan ketika ada pesta menuba ikan di Sungai Perak, penuh hormat dan takzim menyantuni peristiwa perkahwinan - mendirikan balai dan selasar serta dikenduri naik buai (potong jambul/akikah) atau berkhatan anak-cucu.

Hashim Gera mengalahkan Dato Hussein Nordin (Tan Sri). Manakala Calun DUN Kg Gajah dimenangi oleh Cikgu Mahmud Zainal Abidin juga dari PAS.

Pada hari berlakunya Tragedi 13 Mei Negara diletakkan dalam perintah berkurung. Sekolah tutup. Aku, bersama-sama abang membuat rakit dari batang pisang bersaiz empat kali 2 kaki dan menghiasnya dengan poster Kapal Layar – entah dari siapa abang dapatkan kertas-kertas poster tersebut. Setelah siap kami usung rakit berhias tersebut dan menghanyutkannya ke Sungai Perak. Belum sempat melepasi jarak 20 kaki ‘Kapal Layar’ kami terlanggar kaparan keladi bunting; berpuing-puing berpusing timbul tenggelam dan akhirnya tenggelam di bawah kapar. Abang dan aku ketawa berdekah-dekah.

MP PAS YB Cikgu Hashim Gera itulah satu-satunya dari Perak di pecat oleh PAS kerana dalam suatu malam keramaian di Dewan Bankuet Parlimen beliau menari joget bersama ‘perempuan joget’. Di dalam percakapan bela dirinya dengan Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat yang terdiri daripada ulama' PAS itu cikgu Hasim beritahu: "Joget adalah tarian bersih. "Bila dia (perempuan joget) datang, saya lari. Bila saya datang, dia (perempuan joget itu) lari. Tidak berlaku sentuhan antara perempuan dan lelaki kerana saya datang dia lari, dia datang saya lari".

Bagaimanapun Pas menolak penjelasan YB Cikgu Hashim itu. Perbuatannya mencemar nama Parti Islam yang didokonginya. YB Cikgu Hashim pun dipecat pada tahun 1972. Dan YB Cikgu Hashim terus duduk di kerusi Bebas di Parlimen sehingga pilihanraya tahun 1974. Cikgu Hashim selepas itu menubuhkan parti KITA dan bertahan sehingga tahun 1978.

Lama selepas itu aku sempat bersembang dengan Encik Mohd Hashim GG Edar yang menyebut mahu mempelawa Cikgu Hashim menyertai PAS di tempat beliau (Damansara ?); setelah dikatakan Cikgu Hashim memohon menjadi ahli PAS kembali di sebuah kawasan Ipoh tapi tidak diterima oleh ahli-ahli PAS di sana.

Aku menemui seorang menantu Cikgu Hashim, seorang doktor di Fakulti Perubatan, UKM. Deceritakan oleh beliau yang bapa mertuanya (Cikgu Hashim) selalu menceritakan parihal parti PAS dan perjuangan politiknya. Pun beliau yang sudah tua itu mahukan anak-menantunya mengisi borang menjadi ahli PAS.

Dan pokok ketapang tempat kami terhibur dengan seloka dan pantun Cikgu Hashim masih berdiri di situ; sekarang pangkalnya sudah sebesar dua pemeluk. Pilihanraya Umum Ke 13 ini akankah PAS Parit mengulangi kejayaan masa lalunya itu.

DinBatubara; 12hb. April 2013

No comments:

Post a Comment