Assalamuualaikum Dato'
Saya boleh bersetuju dengan penegasan Dato’ bahawa ahli pengasas Umno (baca Melayu) adalah progresif. Perlu diperjelaskan; mereka ini adalah orang Melayu, Dato’. Tak ada yang berdarah campuran. Apa lagi darah celup. Mereka ini dari kelompok Melayu Jawa, Melayu Mandailing, Melayu Talu, Melayu Minang, Melayu Banjar; Melayu Bugis, Melayu Rawa. Mereka ini dalam (baca ‘dalam’ bukan ‘dari’) wilayah yang disebut The Malay Archepilago (Gugusan Pulau-Pulau Melayu; iaitu Malaya, Indonesia (yang berpisah dengan ‘Kesultanan Melayu’ di Tanah Melayu kesan Perjanjian Inggeris Belanda 1824), Kepulauan Borneo, Kepulauan Maluku, Singapura, Irian Jaya, Filipina (sebelum berlaku proses pengkristianan orang Melayu di kepulauan tersebut) – dari Madagaskar di Timur Afrika hingga ke Merauki di Irian Jaya.
Mereka membina kekuatan dan semangat menubuhkan persatuan untuk menentang penjajahan. Betul dalam Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu pada 1 - 4hb. Mac; 1946 di Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru KL (untuk pernubuhan PEKEMBAR; Umno dan diumumkan penubuhannya pada 11hb. Mei; 1946 pada Kongres Melayu Tanah Melayu Ke 3 di Johor Bharu – ke arah sebuah Negara Malaya merdeka dan berdaulat, memajukan dan memelihara kepentingan orang Melayu dan rakyat Malaya; memelihara dan mempertahankan agama dan adat resam Melayu serta kedudukan Raja-Raja Melayu. Ini sebagai garis pandu dan timbang-terima kepada pematrian Perjanjian Persekutuan pada 21 Januari 1948 di King House, Britain – Perjanjian yang ditanda-tangani oleh Raja-Raja Melayu, dan Sir Edward Gent sebagai wakil Kerajaan British.
Menelusuri sungai sejarah perjuangan ini (sehingga 1946) kenapa bagai mahu disorok nama-nama seperti Dr Burhanudin Helmi, Pak Sako, Ahmad Boestamam dan gerakan-gerakan ulama; dan nama seperti Shiek Abd Rahman Limbong itu Umno ke, Tok Kenali Tok Janggut. Mana ada Umno ketika itu. Pun lama sebelum itu. Kenapa klaim Umno sahaja yang berjuang; dan sehingga sekarang diratipkan kalau tak ada Umno Melayu akan mati
Sayugia Umno yang diterima British itu ialah lantaran penentang-penentangnya (yang disebut golongan kiri) diburu/ dibunuh dan di sumbat ke penjara. Tunku tidak berada di garis depan menentang penjajah British. Pun wajib diketahui oleh orang Melayu sekeliannya dan khususnya Umno; bahawa era itu adalah era di mana Negara-negara penjajah (dari keputusan Piagam Atlantik; perjanjian antara Perdana Menteri Inggeris Wiston Churchill dengan Presiden Amerika Franklin D Roosevelt, 1941 lalu dibawa ke PBB setelah keterbentukan Badan itu pada 1945) mengarahkan supaya penjajah membebaskan anak-anak jajahan masing-masing.
Sebab itu sejarah perjuangan Umno yang sering diratip oleh kepimpinan Umno sekarang; jika ditelusuri ke belakang tertumpu setakat penubuhan Malayan Union sahaja – kerana tidak setuju dengan gagasan Malayan Union, lalu tubuhkan Umno. Lihatlah pada saban hari kemerdekaan yang diulang sebut ialah ‘perjuangan Umno – Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman kononnya membebaskan negara dari penjajahan. Hakikatnya mereka hanya menggariskan (seolah-olah mengisi borang) apa yang perlu dibuat, bagi maksud timbang-terima menerima kemerdekaan dari British.
Generasi Umno hari ini mana tahu sejarah ini, Dato’. Pelajaran sejarah yang diajarkan di sekolah rendah dan menengah ialah sejarah tentang pelanduk berlaga di bawah pohon melaka lalu tercipta nama Melaka. Yang dipelajari ialah setakat mengingati kepahlawan Hang Tuah; yang entah mana akar sejarahnya – tak ada pun waris atau keturunan Hang Tuah yang ditemui hari ini. Maka timbullah ungkapan Tak ‘Kan Melayu Hilang di Dunia. Hakikatnya kubur Hang Tuah pun orang tak tahu entah di mana. Yang dipelajari ialah kononnya Yap Ah Loi buka Kuala Lumpur . Siapa bagi kuasa kepada Yap Ah Loi buka Kuala Lumpur . Sedangkan waktu itu sudah ada Melayu yang berkerajaan di situ. Yang dipelajari ialah Francis Light buka Pulau Pinang , sedangkan sudah ada kerajan Melayu di situ. Yang disogokkan kepada budak-budak sekolah rendah/menengah ialah Stamford Raffles buka Singapura,, ketika itu sudah ada kerajaan Melayu di Johor (yang merajai kerajaan Melayu Johor-Riau-Lingga; wakilnya Temenggung Abdul Rahnman di Singapura..
Dan sepatutnya kena bagi tahu kepada pelajar-pelajar di sekolah menengah lagi bahawa tak sampai pun 50 tahun Umno memerintah (baru 7 tahun dari 1963; pada tahun 1965) Singapura diserah kepada Lee Kwan Yew. Tahun 1965 Parlimen sudah ada – mana ada suara bantahan dari orang Melayu (Umno) di Parlimen terhadap cadangan Tunku nak serah pulau milik Melayu itu kepada Lee Kwan Yew. Islam perintah Sepanyol selama 500 tahun, baru kemudiannya jatuh kepada bukan Islam pada tahun 1923. Kerajaan Othmaniah Turki memerintah dari 1299 - 1923 (jatuhlah juga, disebabkan oleh kealpaan pemerintah Islam dek terlalu lama memerintah serta faktor kelemahan ekonomi). Ini Umno tak sampai 10 tahun sudah kolepth.
Barangkali perlu ada universiti yang pengkhususannya mengajarkan sejarah seperti universiti di Britain yang mengajarkan ragam orang Timur – bagaimana nak jadi orientalis. Berani Umno mencadangkan dalam perhimpunannya yang sedang berlangsung sekarang supaya ditubuhkan sebuah universiti yang khusus mengajarkan sejarah tamadun Melayu ini hingga kita mampu belajar pula akan ragam Barat hingga kita mampu dalam 100 tahun akan datang menjajah Barat. Barulah menepati glokal yang dikehendaki oleh Najib seperti ucaputama – ucapan dasar beliau itu.
Melayu kena bagi tahu sejarah ini Dato’ supaya mereka tidak hilang agenda perjuangan. Sejarah kena ulang-tayang semula, kena beritahu kepada generasinya. Sejarah jangan di bagi mati. Kalau sejarah mati, politik juga akan ikut mati.
Akhir sekali Dato’ saya teringat pantun arwah Cikgu Hashim Gera dalam kempen pilihanraya umum 1969 di bawah pokok ketapang di depan kedai sederet kampung saya di Teluk Sarih, Parit, Perak; kawasan yang dimenangi oleh beliau. Ketika itu saya berumur 15 tahun Pokok itu masih ada di situ, Dato’ – sudah dua pemeluk besarnya.
Kata arwah Cikgu Hashim;
Kapal layar belayar malam,
Nampaknya sudah berbalam-balam
Pemimpinnya rehat di atas tilam
Membawa Melayu mati tenggelam.
dinbatubara
No comments:
Post a Comment