Wednesday, October 13, 2010

dulu kini dan selamanya - Untuk ADILA Klasik Nasional

Dia terkejut bila aku ambil tempat duduk di sebelahnya.  “Buat apa,” katanya seperti kurang selesa.  Aku kata; “Kalau ada si Mamat gila tu ganggu awak, ikut sampai kampung; macam mana.” Dia pandang aku selamba.  Aku mengulas merepek perihal seronok melempar beg galas menerusi tingkap dan melompat ke dalam gerabak sebaik keretapi masuk ke platform; menyusuri lorong dari koc ke koc mencari di bangku mana beg yang dilempar berada. Dia tersenyum.  “Macam tu jika mahu dapat duduk;” kataku.  Dia sendiri maklum. Iya, kalau tidak anda akan berdiri sampai ke Ipoh.  Nasib kalau ada orang dekat anda turun di Sungai Buluh ke, Rawang atau KKB ke.  Atau anda akan terus berdiri sambil meratip berdoa: “Adalah orang turun di Tjg Malim ni”, “adalah yang turun di Slim River, hendaknya”.  Dan akhirnya anda jadi tak kisah lagi sambil manahan kebas kaki ketika keretapi melintasi Sungkai dan Tapah. Orang ramai !  Warga kota mula balik kampung – lagi tiga hari nak Raya.  Keretapilah pilihan, sebab teket bas dah habis; tambang pula agak murah dan sesuai untuk kembara keluarga – kalau beranak kecil, boleh gantung buaian; susah-susah atas lantai boleh duduk, malah tidur. Atas penyambung gerabak, tepi pintu, tepi tandas, semua boleh.  Di kantin juga boleh, asalkan berbelanja lebih sedikit – sebungkus nasi lemak $2.50 (harga di luar baru 50 sen), secawan kopi O $3.00 (di luar 70 sen).  Tapi duduk tak boleh lama-lama; tak tahan, taukeh asyik kerling.  Penumpang Gerabak Kelas 3 – itulah cabaran. Lagu-lagu Raya P Ramlee dan Fazidah Joned berkumandang dari radio bimbit sebilang penumpang.

Puas hati.  Dia sandarkan kepala ke penyandar.  Kami diam buat beberapa ketika. Kuap-pengap mula terasa.  Penumpang semakin ramai berasak-asak. Diam tiba-tiba diterjah suara lunaknya :  “Buat apa hantar.  Saya minta tolong belikan teket, je.” katanya dengan pandangan melotot.  Aku terkesima.  Keretapi mula bergerak. 

Itu bukan yang pertama dia minta tolong.  Dah selalu.  Tiga empat kali tolong belikan tiket bas ekspres di Pudu Raya. Yang lain ialah temankan dia balik dari pejabat  ke rumah sewa. Ada seorang lelaki yang nampak kurang siuman hampir setiap hari mengekori dan menunggu di tangga naik ke domnya.  Di waktu lain tolong dia pindah rumah dan lain-lain dan lain-lain.  Kelakarnya dia juga minta pendapat aku tatkala seorang rakan serumahku ajaknya dating di AIA building.  Aku ketawa besar.  Rupa-rupanya, rakan serumahku  lebih mendahului aku.  “Tanya saya buat apa. Pergi, le;” kataku. 
 
Dia bekas penuntut ITM (sekarang UITM).  Berhenti sesuka hati. Kerja gila – gerakan pelajar mahu Pengarah disingkirkan.  Dia terlibat sama – kunci pintu pagar tak bagi Pengarah masuk.  Hal Ehwal Pelajar bertindak arahkan semua pelajar balik kampung dan datang semula selepas dua minggu.  Tapi dia degil tak mahu balik ke kampus. Minta kerja pramugari MAS – tak ikut sessi ujian fizikal sampai habis, sebab kena ujian berenang di kolam renang pakai bikini; “tak kuasa” katanya.  Jadi guru sementara.  Temuduga kerja di sebuah pusat pengajian tinggi – tempat aku.  Berjaya.  Dia pun jadi rakan sekerja aku.

Sebagai teman sekerja; biasa-biasa sahaja – tidak rasa pun dia istimewa. Ada aku dengar satu dua cerita tentang dia dari kakak-kakak sekerja.  Pernah ku lihat matanya bengkak-sembab, merah; trauma kesan menangis dan moody sepanjang hari – bergaduh dengan boy-friendlah, tu.  Aku tak ambil pusing. Aku pula bukan suka sangat dengan perempuan.  Ada yang kata aku ini anti perempuan. Memang, perempuan ini menyusahkan.  Duniaku; lepas kerja, kelas malam – ambil HSC; dua kali seminggu ke Taman Budaya Jln Tun Ismail – berlatih teater. Hari Sabtu – kerja separuh hari;  sebelum balik  ke rumah, singgah di kedai buku Jln TAR; aku jelajah kedai itu dari tingkat bawah hingga tingkat 4.  Kalau tak beli pun tumpang-tumpang baca. Hujung minggu; sama ada terperap di rumah - basuh kain, sterika baju, kiwi kasut, memasak, dan atau merajut puisi (hantar ke akhbar mingguan atau untuk baca dan syok sendiri) atau ke Jln Belanda tengok pameran lukisan Raja Azhar, Siti Zainon Ismail, menikmati deklamasi puisi sambil melukis oleh Ju Rahimaya, dan melihat demonstrasi buat lukisan batik Tan Rahim Zahici.    Sesekali ada Babu Pakistan buat persembahan main ular dan silap-mata potong kepala orang.  Menghiburkan.  Sesekali, kalau ada cerita bagus nonton tayangan pagi di Colesium.  Seorang aku.  Itulah dunia aku.

Memang ada usikan dan cabar-mencabar antara aku dengan seorang rakan sekerja. “Kita cellengge siapa dapat dia;” kataku.  Sebenarnya kami tidak buat apa pun.  Beraninya had itu sahaja.  Tapi sosek-sosek yang kudengar menyebut: rapatnya aku dengan dia melebihi rakan-rakan lain. Kelakarnya, pemikiran dan pendapat kami selalu berbeza – bertengkar. Kira-kira bahasa orang sekarang: tak ada chemistry langsung.  Pernah dia menangis kerana sikap ku. Kami pun tidak bertegur dua tiga hari. Lepas itu, entah macam mana baik semula.  Aku ni keras hati dan ego kata dia.

Gemertap roda keretapi meniti landasan bingit.  Sesekali denyit-ngilu menusuk ke telinga, menerjah pangkal pipi. Sesekali bunyi bergemuruh; gerabak menyusuri jambatan melintasi anak sungai. Bahang panas keras jam 11.00 pagi merempuh jendela terbuka dan menampar muka. Sesekali bau asap dari lalang terbakar di tepi landasan berbaur asap disel minyak keretapi menusuk ke hidung. Bahu kami saling betolakan dan terhinjut-hinjut oleh gerabak yang bergoyang kuat – pengalaman mendebarkan emosi hujung remajaku; pun rasa bangga dapat duduk di sebelah gadis cantik dan bijak.  Seronok mendengar cerita dia. Macam-macam dia beritahu – tentang pengajiannya di ITM, fasal kampung dia, persekolahan di Anglo Chinese School; malah tentang hubungan dengan abang angkat yang tak jadi meminangnya. Aku ? Orang lelaki mana ada cerita menarik. 

Aku kata; perempuan ni macam melihat panorama dari jauh – banjaran gunung, hutan membiru, keluk-ketak awan dijelajah sekawan burung tinggi di angkasa. Memang cantik.  Tapi bila sampai ke situ baru tahu yang sebenarnya.  Ada harimau; lurah dan jurang – duka dan pilu seorang wanita.  Wanita adalah gedung rahsia yang tersembunyi.

Giliran bual aku pula.  Aku buat pertanyaan gila; pendek sahaja.  “Kalau saya hantar emak saya pinang awak, macam mana”.  Terdiam.  Mungkin dia tidak mendengar.  “Boleh tak, saya hantar emak saya pinang awak”. Dia nampak terkejut dan terus mendiam.  Aku tidak terus mendesak.  “Tak apalah, saya bukan hendak awak jawab sekarang.”  “Kenapa terus jump to conclusion;” katanya.  Ah, style budak ITM zaman itu; 1980an.  Ada ek sikit pada bahasa dan intonasi. “Iyalah, saya hendak ambil awak jadi isteri saya.” 

Kami tiba di stesen keretapi K.  Kami berjalan kaki ke stesen bas. Dia naik bas ke kampungnya.  Sambil menghulur beg pakaiannya tatkala dia naik tangga bas, aku pesan lagi; “Jangan lupa, beri tahu mak.”  Kami berpisah.  Aku naik bas kembali ke KL. 

Kami kahwin selang setahun selepas hari raya tahun itu. Kami dikurniakan enam orang anak; empat daripadanya sedang menginjak dewasa.  Aku dan isteriku pun rupa-rupanya sudah mula tua. “Isteriku, anak-anak kita sudah tidur.  Lepaskan lelahmu, dengarkan khasidahku yang singgah di peraduanmu.   Ku kucup keningmu, kubelai rambutmu.  Di kejauhan begini, isteriku, kaulah.” 

14hb.Okt.; 2010/ 7 Zulqaidah 1431H

dinbatubara

No comments:

Post a Comment