Kira-kira tiga puluh lima tahun dahulu – Lepas SPM; aku mula bekerja di Kuala Lumpur. Pelepas rindu ke kampung adalah surat Setiap suratku dibalas ibu. Aku gunting-cermat sampul-surat ibu. Ibu bahasakan diri bonda-anakanda. Setelah mencoret doa agar aku sihat, dan menceritakan kesihatan ayah dan ibu sendiri, tentang abang dan adik-adik; ibu pun beritahu; bingkisanku telah selamat diterima. Wang ala kadar dapatlah ayah bayarkan hutang di kedai Wak Zari. Adik-adik pula suka benar dengan buku dan majalah terbaru yang kukirim. Ibu ucap terima kasih. Sebak rasa hati untuk terima kata terima kasih dari ibu.
Ibu tulis lagi; sudah dua minggu matahari tidak terbit. Hujan – kadang-kadang pagi; kadang-kadang petang. Ada kalanya sepanjang hari. Ayah dan abang tidak dapat menoreh – batang getah basah. Dalam warkah lain ibu cerita; air sungai melimpah. Padi yang baharu menguning, tenggelam-masam dek banjir.
Ibu tulis lagi; sudah dua minggu matahari tidak terbit. Hujan – kadang-kadang pagi; kadang-kadang petang. Ada kalanya sepanjang hari. Ayah dan abang tidak dapat menoreh – batang getah basah. Dalam warkah lain ibu cerita; air sungai melimpah. Padi yang baharu menguning, tenggelam-masam dek banjir.
Surat musim kemarau pula; ibu beritahu : Daun getah kuning dan luruh. Ayah tidak menoreh – susu tak ada. Atau, ibu akan tulis : Pokok getah sedang berpucuk-muda. Dalam dua minggu lagi baru ayah boleh menoreh. Insyaallah; susu akan bertambahlah sedikit; kata ibu. Kemarau menyebabkan air sungai surut dan cetek. Orang kampung tua-muda turun ke sungai, mengutip remis; boleh buat masak lemak. Ada sebesen kira-kira dua gantang yang dikutip abang semalam sedang direndam dalam 'periuk genting' di dapur (remis ditrendam semalaman supaya pasir-pasir yang tersimpan dalam cengkerangnya dimuntahkan). Ibu tulis itu, ikut gaya bahasa ibu.
Iya; hujan dan kemarau; petaka yang amat mencekik kehidupan kami; dan warga sekampung. Bila ia tiba; anak ayam yang baru belajar berkokok pun; atau telor, tidak sempat diramkan – semua dijual. Ah Chong bermotorsikal dari Tanjung Tualang datang keliling-keliling kampung beli apa saja – anak ayam yang baru sebesar genggaman tangan, angsa, telor, bapa itek; semua dia terima. Semua itu untuk secupak-dua beras, lapan tahil gula, empat tahil minyak kelapa dan sekeping-dua anak tamban masin.
Ibu tulis semua itu. Ibu ambil bahagian tengah buku latihan adik. Selalunya dua helai. Kadang-kala ibu tulis dalam tulisan jawi. Rindunya pada coretan ibu. Bagi aku, ibu bukan tulis surat. Tetapi bercerita - warkah ibu yang kadang-kala ada bau minyak tanah. Dan pernah ada kesan tumpuk tumpahan minyak tanah dan kesan corengan arang dari sumbu pelita, pada helaian warkah ibu – pastilah ibu menulis di waktu malam. Selalu juga tulisan ibu sukar dibaca kerana terlalu banyak kesan dipadam – adakalanya hingga terkoyak tempat yang dipadam, apabila ibu tulis dengan 'pen kaban' (pena mata bulat). Namun tulisan rumi, tulisan tangan ibu, bagiku amat cantik – bukti ibu pernah masuk sekolah sebelum perang Jepun. Dan aku yakin bakat bercerita ibu turun kepada adik perempuan ku; Am, yang telah banyak menghasilkan novel.
Suatu ketika aku menyimpan cermat semua surat ibu - surat bersampul surat cap kapal terbang berlakar biru merah sekeliling sampul. Sayang, surat itu hilang entah bila; mungkin tatkala isteri atau anak-anakku mengemas bilik bacaan di rumah kami. Namun ingatan kepada ibu tetap terpahat-kuat di hati; bagai baru semalam aku terima warkah ibu; meski sudah dua puluh tahun lima tahun lebih ibu pergi. Alfatihah.
23hb. Sept.; 2010/ 14 Syawal 1431H
dinbatubara
ya, mak satu2nya ibu tua di kampung yg pandai menulis rumi waktu itu juga yg rajin menulis surat & membaca akhbar. Tidak ada wanita sezamannya yg sanggup menunggu kereta alan pulau tiga(penjual akhbar) semata2 utk senaskah akhbar harian. dibeli senaskah, dibaca beberapa hari. setiap muka surat tidak ada yg dilepaspandang. dibaca siang malam. semua cerita itu blh dicerita semula pd abah. abah iyakan je, pecaya pd cerita mak.
ReplyDeleteitulah zainon, wanita yg sgt2 istimewa.