Eidul fitri di Teluk Sareh
1. Sampai kampung jam 8.15pg. – bertolak dari Rawang jam 5.30 pagi; terus ke Masjid Teluk Sarih. Exited nak sembahyang raya di masjid baru Teluk Sarih (sembahyang jam 9.00pg.). Bukan kerana masjid barunya itu tapi kerana sudah lapan tahun tidak sembahyang Hari Raya di kampung – bersama-sama program malam raya; takbir rumah ke rumah di Rawang; baru balik kampung, selepas sembahyang Hari Raya. Dua tahun lepas cuba tak ikut habis program masyarakat tersebut – bertolak balik kampung jam 3.30 pagi; kereta yang dipandu anak kemalangan di Tanjung Malim, jam 4.30 pagi. Balik ke Rawang. Balik kampung sebuah kereta sahaja; sebelah tengah hari.
2. Terigin sangat nak jumpa kawan-kawan lama : Lias, Latip, Derus, Man Peto, Tajudin, Manan, Wahab Tok Bolah, Dolah Maei Kerani, Ju’ie Yeop Jatin, Azmi Yeop Jatin, Azmi Mat Beso, Ani Mat Beso dan lain-lain. Dapat jumpa Ayob, Mat Seperin dan Je’i Mat Amin saja, serta dua tiga orang dulunya budak-budak sangat di bawah aku; seperti anak wak Zari, anak abang Deris dan entah anak siapa lagi; saudara mara akulah juga. Yang lain-lain tak jumpa. Lepas sembahyang lama juga aku berdiri depan masjid (bawah bangsal tempat juadah jamuan pagi Raya disediakan). Aku kerap balik kampung – paling lama tak balik ialah dua bulan; tapi balik kampung hari-hari biasa begitu amat payah dapat jumpa kawan-kawan yang jauh-jauh dan haluan masing-masing.
3. Terkilan, kerana tidak dapat ikut sama kenduri tahlil di surau. Sejak puluhan tahun lalu orang kampung adakan kenduri tahlil di surau selepas solat Subuh pada pagi Hari Raya – mereka bawa juadah seperti lemang & rendang, tapai pulut, dodol, wajik, baulu, kopi o, teh susu dan lain-lain kuih raya. Selapas solat Subuh kami akan bertakbir dan berselawat tiga empat ’penaik’, kemudian duduk ramai-ramai di depan juadah di anjung surau; tok imam akan baca tahlil dan doa untuk arwah mak-bapak tok-nenek.
Lepas itu makan dengan gembira. Ada usikan; pak saudara usik anak saudara yang baru balik dari Kuala Lumpur; minta rasa rokok Kuala Lumpur, kata mereka – rokok Gold Leaf, Tiga Lima, Dunhill. Macam-macam. Antara yang suka mengusik dan kena usik ialah Abang Main, (bekerja di Straits Times), Ya Abang Aki, Yu Harun, Pandak Usin, Abang Ta, Cu Amat, (yang melatah menyebut coca cola apabila dicucuk pinggangnya). Ada juga yang usikannya agak kasar – seperti stail Tamam; tapi tak ada yang ambil hati. Pagi Raya semua saling bermaafan.
Lama sebelum itu; ketika surau itu di tepi tebing (tepi Sungai Perak) orang kampung akan bergerak bertakbir berdoa tahlil rumah ke rumah; tetapi suatu ketika kerana pergerakan yang berlarut-larutan hingga ada jamaah tidak sempat pergi sembahyang Hari Raya; maka jumhur ulama kampung buat keputusan/arahan supaya bawa juadah kenduri ke surau sahaja. Kalau ada yang hendak minta ’datang ke rumah’ juga, buat selepas sembahyang Hari Raya. Itulah yang diikuti hingga sekarang.
Zaman aku di sekolah menengah dulu, antara yang ambil tugas pimpin tahlil ialah Yeop Jatin, Abang Jidi, Cu Amat dan sekali sekala abah suruh Pakcik Cat (bilal gantian surau paling junior – adik abah, pak sedara aku). Selalunya arwah abah akan serah tugas itu kepada mereka inilah; walaupun mereka semua amat menghormati abah (abah pernah mengaji pondok Mohd Salleh Masri, Tanah Liat, Bukit Mertajam sebelum perang), yang ketika itu sudah pun jadi imam masjid. Takdir Allah kesemua mereka meninggal dunia sebelum abah, lalu tugas pimpin tahlil dan doa diambil alih oleh abah. Takdir Allah juga, Pak Asyim orang Lenggong ('berilmu juga'); kahwin dengan seorang janda di kampug aku. Abah selalu bagi kesempatan pada Pak Asyim untuk tugas-tugas imam, pimpin tahlil dan doa. Tak lama selepas itu abah meninggal dunia, tugas diambil alih oleh Pak Asyim sampai sekarang sudah hampir 15 tahun. (Pesan abah yang masih aku ingat ialah kalau di tengah ramai, biar kita di tepi-tepi)
Selepas kenduri, Cu Amat akan agih-agihkan wang mengaji quran yang sedekah oleh pak cik makcik kampung kepada kami – upah baca (tadarus) quran sepanjang Ramadhan. Seronok dapat duit raya, pernah sampai 20 ringgit seorang. Rakan mengaji yang masih aku ingat ialah Mat Seperin, Azmi Yeop Jatin, Arwah Nik Abang Ta; di samping yang tua-tua seperti Cu Amat sendiri, arwah abah, arwah pakcik Cat dan Arwah abang Asin.
4. Teringat fasal mengaji Quran aku nak sebut ada suatu jenis ratip yang sering diadakan setiapkali mengiringi bacaan takhtim dalam majlis khatam al Quran pada malam 27 Ramadhan ditahun-tahun 60an. Ia disebut Ratip Saman. Dipimpin oleh pak khalifahnya; Tok Mat Kawah (pangkat datuk aku sebelah emak). Tak tahu aku nama sebenarnya beliau. Mula-mula zikir biasa saja; duduk sambil meratipkan lailahaillallah, lailahaillallah. Makin lama semakin laju dan bening hingga yang kedengaran ialah illallah, illallah dan ill ill sahaja (mungkin sebutan Allahnya sudah tidak keluar di rengkungan). Tok khalifah bangun berdiri. Para jamaah ikut berdiri. Kanak-kanak termasuk aku di arah oleh entah sesiapa membentuk sebuah bulatan besar di tengah-tengah jamaah. Kami berpegang tangan sambil mengikut sebutan Tok Mat Kawah; Allahu ah, Allahu ah (jika dibaca terus – wasal, akan berbunyi Allahuah, Allahuah). Perilaku Tok Mat Kawah berpeluk tubuh dan menghayun badan lembut ke depan dan ke belakang atau ke kiri dan ke kanan, diikuti bersama oleh para jemaah.
Lantunan zikir menjadi semakin pantas berirama sambil menghentak-hentak kaki. Ada yang menghentak tumit. Tok Khalifah masih di situ berpeluk tubuh, mata di pejam. Kami terus berpegang tangan dan membuat pergerakan berkeliling/ berpusing sambil menyebut Allahuah, Allahuah. Rak rak rum, rak rak rum bunyi dentuman tapak kaki dan tumit mengikut rentak zikir Allahu ah, Allahu ah, Allahu ah, Allahhu ah. Pusingan ada kalanya menjadi laju – ada yang tertanggal kain, lalu membetulkan gulungan ikatan kain di pinggang sambil berpegang tangan, berkeliling, terjatuh dan ikut jatuh oleh rakan-rakan yang lain. Gelagat hiruk-pikuk dan kami ketawa keseronokan, bangun dan berkeliling lagi hingga zikir Tok Mat Kawah jadi perlahan. Tok Mat Kawah akhirnya duduk dan meneruskan baki zikir, dan diakhiri dengan doa.
Mungkinkah ratip Saman adalah suatu amalan dari tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol – tarikat yang dikenal di Jawa Barat dan Aceh, dipelopori oleh Syaikh Muhammad Saman dari Madinah, Arab Saudi, meninggal dunia pada tahun 1702 M. Zikir Saman ini yang kemudian berkembang menjadi zikir yang ekstrim. Ada juga aku terjumpa kaedah berzikir begitu oleh pengamal tarikat di Turki- berzikir sambil menari (pada peringkat zuq). Itukah barangkali mula asalnya ratip Saman. Mungkin Tok Mat Kawah pengikut tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol ? Entah. Yang pasti selepas kematian Tok Mat Kawah ratip begitu turut terhenti. Ada dicuba bawakan oleh anaknya; tapi tidak menjadi. Dan ratip itu hilang khalayak sementelah tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol itu telah diisytihar sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1990an dahulu.
5. Lepas sembahyang ziarah Kak Som, Kak Endan, Makcik Rosnah dan terus ke Bota Ziarah Mak Teh (sudah dua kali raya tak pergi rumah Mak Teh; khususnya selepas Ayah Cek meninggal). Ada pergi ke rumah dia tapi lepas sehari Raya Mak Teh tidak ada di rumah – entah di Ipoh atau di mana. Ada juga pergi ke rumahnya di Ipoh; juga tak ada di rumah.
dinbatubara
jenuh teman mikionya ceritera mike/kalau buat cerpen memang gemo orang membacanya. Tahniah terkenang zaman remaja. sekarang dah remaja purba turunkan kalau boleh ilmu zikirtu tp tanya ustaz kat tv 9 dekat di hati.
ReplyDelete