Iftitah :
اَلله أَكََْبَر كَبِيْرًا وَالحَمْدُلِلَّهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ الله بُكْرَةً وَأَصِيْلاً . إِنِّي وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا أَنَا مِنَ المُشْرِكِيْن . إِنَّ صَلاَتِي وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ العَالَمِيْن لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَبِذَلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ المُسْلِمِيًن.
“Allah maha besar lagi sempurna kebesaran-Nya; segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Sesungguhnya aku hadapkan mukaku kepada zat yang menciptakan langit dan bumi dengan keadaan lurus dan berserah diri, dan bukannya aku termasuk dalam golongan musyrik. Sesungguhnya sembahyangku ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk-Nya, Pencipta semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, kerana itu aku rela diperintah dan adalah aku dari golongan orang Islam.”
Bukan tidak pernah ada. Pernah ada. Minta bantuan anak kreatkan blog sebelum ini; tapi tidak pernah tersisi. Konon sering tidak ada masa; meski keinginan nak tulis macam-macam itu sentiasa hidup. Ada masa terluang habis kerana baca blog orang lain - lepas satu, buka lagi satu, buka lagi satu. Kemudian letih (letih minda, bukan bosan), atau keperluan hal yang lain, tutup komputer. Besuk begitu lagi. Besuk dan selepas besuk begitu juga lagi.
Menulis catatan memang suatu yang rutin suatu ketika lama dahulu - waktu bujangan. Hairan, waktu tidak banyak urusan amat rajin tulis dairi. Kadang-kala yang ditulis bukan apa; perkara remeh-temeh - tentang beli kasut baru, tali kasut putus, beli jarum jahit butang baju sendiri, tiba ke pejabat awal, makan nasi lemak sambal basi, tengok tayangan larut malam film Hindustan (buat bising ramai-ramai dalam panggung) dan lain-lain dan lain lain. Entah apa apa; semua dicatat dalam dairi. Tapi entah bila kerja mencatat begitu berhenti.
Congak congak, mungkin kerana pada suatu ketika disibukkan oleh menulis rencana/ulasan politik di akhbar tabloid atau menulis puisi (tak sebanyak mana pun yang tersiar di akhbar dan majalah) dan atau menulis untuk ruangan cerpen dan bisikan kalbu di Radia 1 RTM. Kesemua itu telah merencatkan keseronokan menulis (entah apa-apa) di diari. Diari itu pun sudah hilang entah ke mana apabila pindah-pindah rumah. Mula-mula terasa juga dek kehilangan itu, tapi lama kelamaan tak rasa apa-apa. Biarkan saja. Dalam suatu cerpen aku tulis : Bakar semua diari lama kenapa terus terbelenggu oleh kenangan lalu.
Teruja dengan pertanyaan kawan-kawan - adakah aku punyai blog sendiri. Dan terasa malu juga apabila seorang rakan bertanya apa nama blog aku (aku beritahu ada menulis ulasan politik) dan aku beritahunya aku tumpang laman bloggers lain. Dan anak-anak pula kerap perli aku tidak gunakan kemudahan sesawang begini sebagai medium melantunkan idea dan atau suatu kaedah komunikasi. Ah, ketinggalan zamannya aku.
Atau sekurang-kurangnya (barangkali yang menjadi sesuatu yang penting) sebagai medium untuk aku
bercakap kepada diri sendiri apabila aku pencen dan atau bila tidak ada orang yang sudi hampir bila di datangi tua (minta-minta tiak sampai tua bangka) nanti.
Aku mahu kembali mencatat. Apa sahaja. Mungkin remeh pada pandangan orang; tapi penting pada aku. Mungkin lucu pada aku tapi iInnocence (tak ada ambiguiti) atau mungkin merepek pada pandangan orang.
Rakan-rakan yang mengikuti catatan entah apa-apa ini dipersilakan sertai aku - beri komen anda. Tentu lebih seronok jika kita dapat berbual meski tidak mengetahui/mengenali siapa yang singgah di jaring sana. Dan tentu akan lebih menyenangkan rasa lantaran dapat menghubungi kembali rakan-rakan lama yang telah lama tidak berjumpa.
12hb. Sept.; 2010/ 3 Syawal 1431H
dinbatubara
congrats 4 the 1st post..hehe..
ReplyDelete