Thursday, October 14, 2010

Yalal Chin di HUKM; semoga segera sembuh

Tengahari tadi waktu lunch ziarah Sdr Yalal Chin di Wad CCU, HUKM.  Dia dimasukkan ke hospital kerana serangan darah tinggi.  Ini serangan yang paling teruk yang menyebabkan dia mengalami pendarahan otak.  Ada tiga empat kali sebelum ini dia mengalami serangan serupa.  Dan pernah sekali serangan yang juga teruk; dia di masukkan ke hospital Seremban. 

Makmal kami menerima sampel CSFnya pagi tadi.

CSF – cerebrospinalis fluid (cairan cerebrospinalis) ialah cairan jernih yang menempati ventricles pada otak, cisterns di sekeliling luar otak dan subarachnoid di sekeliling otak dan spinal cord.  Ia berfungsi penting untuk :

1.         Memberikan physical support pada otak.
2.         Memberikan perlindungan terhadap perubahan mendadak yang berlaku pada tekanan darah venous (respiratory dan postural) dan arteri kesan daripada pressure (tekanan darah).
3.         Memberikan excretory waste function kerana otak tidak mempunyai system limfatif.
4.         Jalan transportasi bagi faktor-faktor yang dikeluarkan oleh hypothalamus.
5.         Menjaga central nervous system.

Yang mana satukah subjek dari tersenarai itu yang menyebabkan pentingnya cairan CSF itu diambil keluar sedikit oleh doktor untuk diperiksa kandungan protein dan gulanya serta dijalankan pemeriksaan micbrobiologi – bagi mengetahui perubahan kandungan kimia tersebut; akibat dari pressure atau kebarangkalian ada jangkitan kuman.

Yalal sudah dua minggu di wad.  Dia seorang yang kuat semangat.  Kata ibu mertuanya; pagi itu Yalal memandu sendiri keretanya ke hospital dari Nilai (dalam keadaan dia sedang sakit);  di masukan ke wad selepas menerima rawatan kecemasan di Jabatan Kecemasan.

Yalal Chin.  Saya mula mengenali beliau menerusi teater Awal dan Mira karya Utoi Ttatang Sontani yang dipentaskanan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya (kalau tidak silap pertengahan tahun 70an). Teater dengan watak hanya dua orang itu dilakonkan bersama Azizah Nok (rakan sekolah saya semasa di SMDML, Kg Gajah).  Teater dianjur oleh Badan Budaya Universiti Malaya – Azizah dan Yalal bekerja di situ.

Yalal lahir dari teater.  Pemain teater sezaman beliau ialah seperti Omar Abdullah, Sidek Hussein, Abu Bakar Juah, Muhammad Abdullah, Yussof Akib,  Ibrahim Akil, Jamaludin Kadir, Othman Hafsham (yang lebih kepada menjadi juru tunjuk), Ahmad Yatim (yang baru pulang dari berkelana di Australia ketika itu), Mustaffa Noor,  Rahim Razali, Ahmad Tamimi Saregar, Meor Hashim Manaf, Suhaimi Baba, Norma Nordin, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi sebagai menyebut beberapa nama.  Rahim Razali, Othman Hafsham, Mustaffa Noor, Ahmad Yatim dianggap sifu..  Ketika itu teater sedang subur di Kuala Lumpur 

Di Kuala Lumpur ada Kumpulan Seni Budaya Kuala Lumpur, Kelab Teater Kuala Lumpur (KTKL), Kelab Teater Bandaraya, Group Teater Elit (GTE) di Dewan Bahasa dan Pustaka bersama Dinsman, Ajikik dan Sutong Umar RS, Kelab Teater IBU di bawah Malina Manja – di situ ada antaranya Asmahani Hussein, Tawil, Basari Hassan; dan banyak lagi kumpulan-kumpulan serta kumpulan pelajar teater anjuran Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan di Tmn Budaya ; di bawah asuhan Matari Raman, Hassan Jali dan Mokhtar Moin. 

Panggung Bandaraya di Pusat Bandar (bersebelahan Balai Polis Jalan Bandar) dan Taman Budaya Jln. Tun Ismail (belakang Pejabat JKR, Jln Dato Onn berhampiran Studio Anak Alam), sekarang di kenali sebagai Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sentiasa ada kegiatan; sama ada latihan atau pementasan. 

Yalal berteater dengan kelabnya di UM (rasanya Johan Jaafar ketika itu masih student di UM – dia pentaskan teater ‘main-mainnya’ Kotaku oh Kotaku dalam pertandingan drama di Dewan Serbaguna Datuk Keramat.  Lepas itu Johan menghasilkan Angin Kering yang dikira sebagai masterpeace beliau).

Dan Yalal berlakon hingga hari ini sama ada di pentas teater, film dan di TV; menjadi pengarah dan perunding skrip.  Ada antara rakan-rakan sudah berhenti berlakon. Yalal memang pelakon watak yang baik.  Asas teaterlah yang membentuk lakonannya.  Kemampuannyalah makanya dipilih oleh Abdullah Zainol bagi memegang watak dalam drama TV Anjung Batu, karya Jaafar Khan; yang dilakonkan bersama Nancy Foo.  Abdullah Zainol yang terkenal pentingkan karekter dan perfectionist.  (Pelakon yang jadi ‘orang’ Abdullah Zainol ialah seperti Muhamad Abdullah, Omar Abdullah, Fauziah Nawi, Tamam Idris, Abu Bakar Juah – sekadar menyebut beberapa nama).  Yalal berlakon dalam Alang Rentak Seribu arahan Ahmad Yatim pada 2003 di Istana Budaya.  Beliau berlakon dalam teater Puteri Gunung Ledang 2006 dan drama-drama pentas yang lain di samping telemovie di RTM dan TV3.

Yalal tidak sukar untuk berlakon bersama-sama pelakon baru seperti muncul bersama Aqasya, Awal Asyaari, Fadhil Dani, Rita Rudaini dalam Noktah Erna, slot Samarinda TV3.  Dalam telemovie Tetamu Malam, skrip Nurhalim Ismail terbitan Eurofine, Yalal berlakon bersama Ady Putra, Shafiq Samuri, Norman Hakim dan Zaidi Omar. Zaidi kira orang lama jugalah.  Pelakon-pelakon muda tentunya beruntung dapat pengalaman, tunjuk-ajar dan pelajaran dari Yalal Chin.

Yalal sekarang sedang koma.  Ramai rakan taulan beliau.  Mari  kita bersama-sama membacakan yassin dan berdoa akan kesihatan beliau.  Semalam saya terjumpa Pak Aziz Sattar dan Sdr S Sahlan di kafeteria HUKM; baru turun dari Wad CCU, Tingkat 6, menziarahi beliau.    Semoga Yalal akan segera sembuh, Amin.  

14hb. Okt.; 2010 

dinbatubara

No comments:

Post a Comment