Tuesday, June 21, 2011

abah - untuk ADILA, Klasik Nasional (tarikh siaran : 21hb. Jun; 2011; memenangi hadiah sempena Hari Bapa)

Abah jarang tinggalkan kampung. Ada beberapa kali sahaja. Sekali tu, abah ikut kursus imam di Masjid Negeri – dua hari abah tidur di Ipoh. Ketika ada arwah emak; dua kali sahaja abah ikut aku Kuala Lumpur. Itu pun; kerana sebab yang bagi abah patut – kenduri kahwin sepupu aku. Habis kenduri abah minta dihantar balik. Kalau saja-saja; payah abah hendak ikut kami. Lima orang anak abah; semua di Kuala Lumpur. Arwah emak mahu juga ikut kami – bila emak ke Kuala Lumpur; abah sendiri di kampung. Selepas emak meninggal, abah langsung tak mahu ikut kami.

Abah bukan ada ayam-itik, kambing-kerbau yang perlu dijaga. Tak ada. Tapi abah risau; bimbang; dengan ketiadaannya, jika berlaku kematian, orang kampung susah; terpaksa panggil imam kampung sebelah untuk uruskan orang mati.

Abah diminta datang ke hulu; di ajak turun ke hilir. Lepas Subuh, sebelum Asar abah sudah tiba; ziarah orang sedang nazak, ajarkan asy-hadu. Abah mandikan orang mati, sembahyangkan orang mati, Abah baca talkin. Abah diminta bacakan doa tahlil-arwah. Abah jadi ketua membaca dikir dan marhaban kala ada kenduri kahwin.

Dan paling abah bimbang ialah tak ada orang yang akan jadi imam di surau. Allah takdirkan; anak-anak murid abah – abang Jidi, Cu Amat, Pak Cik Cat, Abang Asin – mereka yang menggantikan abah kala keuzurannya; semuanya mati dahulu.

Iya, itu bukan pertama kali abah meninggalkan kampung. Tapi kepergian abah kali ini berlainan benar. Abah sakit. Abah memang ada gout. Tapi tak bangun abah dari katil, aku lihat bukan kerana goutnya. Sakit abah kali ini lain benar. Abah demam. Tapi aku rasa abah bukan demam biasa. Abah batuk. Sempitnya salur kerongkong abah memberikan lantunan bunyi dan dengus yang lain.

Aku pujuk abah . Aku beritahu emak (emak tiri kami; yang dikahwini ayah selepas sepuluh tahun emak meninggal) : ”Sudah puas dengan air penawar, golek telur atas perut, bahu dan belakang; baling bawang dan hirisan limau; biar aku bawa abah berubat di Kuala Lumpur.”

Petang itu, anak-buah abah; suku-sakat datang. Air mata bergenang di kelopak masing-masing, besalaman; mengucapkan selamat jalan kepada abah; tika abah dipimpin masuk ke kereta.

Abah disahkan kanser paru-paru. Nama medikalnya; adino kasinoma – cantik nama itu. Tapi itulah yang bakal merenggut hayat abah.

Suatu pagi yang cerah, tenang dan dingin; petugas wad baru selesai mengemas dan mencuci. Doktor mula memeriksa pesakit dari katil ke katil. Salur-tiub yang menyambung salur-darah di lengan abah ke botol tergantung, sudah ditanggal. Dengan sebak aku beritahukan jangka-hidup abah; seperti yang diberitahu doktor. Abah mendengar dan mengangguk tenang. Aku yakin abah sendiri sudah melihat sibuk kelibat malaikat-maut singgah bersimpuh datang pergi dan datang lagi di katil abah. Abah akan pergi bila-bila masa. Doktor beri abah cuti seminggu dan masuk wad semula selepas itu. Abah mengusulkan pulang ke kampung. Abah tidak mahu masuk wad kembali.

Ah, ingatanku; jauh, jauh mengimbau kepada abah. Tahun-tahun selepas aku berumahtangga, aku bawa anak-anak dan isteri pulang ke kampung, saban dua atau seminggu sekali. Biar sekejap. Dapat makan tengahari bersama abah – cuma makan tengahari, dan kembali ke KL selepas itu; aku merasa cukup puas; hingga aku tahu benar sakit-pening abah.

Bila abah diserang kanser; dan hayat abah cuma ada kira-kira tiga minggu seperti kata doktor; aku kenderai kereta setiap hari antara KL-Parit. Menjelang Isya aku sudah terpacul di kampung dan seawal tujuh pagi aku sudah bercokoh semula di KL untuk bekerja.

Aku mahu memberikan khidmat semahunya untuk abah kerana dialah satu-satunya; segala-galanya. Hayat abah habis di ribaanku. Abah pergi pada usia 83 tahun. Memang terasa amat kehilangannya. Namun aku puas meladeni abah; mencium tangannya – baik semasa sihat, sakit dan; saban berpisah, seraya memohon doanya akan keselamatan dan kesihatan aku dan anak- isteri. Semoga tidak ada tindak-laku aku dan isteri yang cela pada pandangan abah. Semoga aku sudah berbuat yang terbaik untuk abah. Dan surau kampung kami lepas itu menjadi sepi.

Dinbatubara, Rawang, Selangor

No comments:

Post a Comment