Wednesday, November 9, 2011

Bingkisan dari Sarawak (versi asal) untuk ADILA, Klasik Nasional (tersiar pada 9hb. Nov.; 2011)

Sarawak Bumi Kenyalang. Kenyalang ialah spesis burung yang hanya terdapat di Kepulauan Borneo; khususnya di Sarawak. Burung Kenyalang adalah lambang ketuhanan yang menjadi wakil Dewa Perang; dewa yang paling berkuasa dalam kehidupan masyarakat Dayak. Hari ini lambang burung kenyalang ialah topografik hutan hujan tropika dengan sungai, jurang dan jeram; khazanah hutan tersimpan; gua dan pantai – semuanya manjadi satu, membentuk budaya warisan anak watan dan sumber ekonomi negeri Sarawak

Sarawak juga dikenali sebagai Bumi Yang Memiliki Banyak Sungai. Memang, sebaik diumumkan pesawat akan mendarat; sudah mulai kelihatan alur-alur sungai yang membelah-bahagi bumi Sarawak – hilang dan muncul kembali di celah-celah hutan tebal dan lereng perbukitan.

Lama sebelum itu, Sarawak dikenali sebagai The Land of The Head Hunter (Bumi Pemburu Kepala) – identifikasi daripada keberanian, kemenangan dan ritual kaum Dayak. Tanda kemenangan dalam sesuatu pertarungan ialah yang kalah, kepalanya dipotong dan otaknya menjadi habuan makanan ketua kumpulan yang menang.

Dan sekarang Bumi Kenyalanglah pengenalan - menceritakan Sarawak yang sudah mengalami transformasi. Sudah tidak ada peristiwa penggal kepala.

Luas Sarawak ialah 124,450km.persegi; hampir sebesar Tanah Semenanjung. Terbahagi kepada 11 Bahagian Pentadbiran Daerah. Jumlah penduduknya 2.4juta orang; dengan taburan kira-kira 30 kumpulan etnik. Iban merupakan suku terbesar; diikuti kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan etnik yang lain. Berbilang kaum memperlihatkan pula kepelbagaian adat resam.

Lawatan 3 hari 2 malam tidak cukup untuk melihat dan menyelami cara-hidup dan adat resam sekian sukuan. Bagaimanapun di Kucing; kita boleh menyingkap album geo-budaya bumi Sarawak seluruhnya. Di sini Pusat Pentadbiran Negeri, pusat komersial dan pusat himpunan budaya. Bangunan lama sejak zaman British masih banyak yang dikekalkan, bercelahan bangunan baru yang tinggi-tinggi; yang mengremajakan kembali Bandaraya Kucing – pintu masuk ke Sarawak.

Di sini letaknya Muzium Sarawak yang menempatkan fosil, artifak dari laut dan perut bumi serta hutan Sarawak. Di tingkat atas, dalam sebuah rumah Iban anda dapat melihat tengkorak manusia bergantungan menjadi hiasan dinding atau seolah-olah gantungan lampu cendeliar di bawah bumbung.

Kampung Budaya Sarawak terletak di kaki Gunung Santubung – 32km dari Pusat Bandar. Melintas sahaja Sungai Sarawak; sudah kellihatan Gunung Santubung; yang menjadi metos dalam cerita rakyat Sarawak yang popular itu. Di sini terdapat binaan sebenar rumah suku kaum terbesar. Anda dapat melihat dan berintraksi - bertanyakan aktiviti harian mereka. Di pentas teaterit; dihidangkan tarian kebudayaan, gambaran kehidupan rakyat peribumi.

Menyusuri jalan-rayanya yang bersih di Riverfront anda boleh membeli-belah pelbagai cenderamata kraf-Sarawak seperti anyaman manik, tenunan, hasil seni-pahat dan poselin. Atau anda menyeberangi Sungai Sarawak dengan bot-tambang 50sen, membeli kek batik Sarawak dan terubuk masin di Kampung Gersik.

Pun, setibanya anda di Perkampungan Melayu ini, pada kira-kira 100 meter di sebelah kiri; di situ Fort Margherita – istana di tebing Sungai Sarawak yang didirikan oleh Rajah Brooks pada tahun 1878 sebagai hadiah perkahwinan kepada isteri tercinta; Margheret Alice Lili de Windt. Ini, istana dengan kubu dan menara tinjau, yang menjadi benteng pertahanan Brooks menantang kemaraan lanun dari muara. Ini monumen menjadi tanda Orang Putih pernah jadi tuan tanah di sini.

dinbatubara

No comments:

Post a Comment