Friday, November 11, 2011

tablo - Kuala Kubu Bharu

Aku orang kota. Kali pertama sampai ke sini. Pekan ini kelihatan masih vergin – bagai tak terusik. Membelakangkan Banjaran Titiwangsa membiru. Jalan masuk yang sopan berliku. Pepohon tembesu di tubir Bukit Kerajaan antaranya ada yang sudah renggeh, pengenalan bahawa bangsa kolonial pernah sampai ke sini. Petang hari minggunya – jalannya yang lapang, pekannya lengang. Inilah Kuala Kubu.

Masuk sahaja ke pekan ini, aku dipesan; “Lupakan dulu tanda tarikh pada bumbung deretan kedai Hakka di Jalan Mat Kilau,Jalan Abdul Hamid atau Jalan Bowen. Di sini, di sana, di mana-mana kami tidak berasa pentingkan tanda itu. Tanda-tanda itu bukan kami. Namun kami tetap tahu; kamilah – kita yang terawal di sini.” katanya. Pesan itu lagi; seperti di Pulai Pinang, sejarah Orang Putih kata; Francis Light yang buka. Sedangkan sah-sah ketika itu Orang Melayu sudah berketurunan di situ. Sultan Kedah sudah berkerajaan di situ. Kami tahu. Kuala Lumpur sejarah Orang Putih sebut ianya dibuka Yap Ah Loy; ketika mana daerah itu sah-sah dibawah milik Sultan Puasa dan Raja Laut. Itu pun kami tahu.

Hakikatnya ini tanah leluhur nenek moyang; pesan itu mengumam. Lalu aku menyampuk; ah demi 1 Malaysia kata Pak Menteri Perdana; kawan-kawan, saudara-saudara, sepupu-sepapat, pakcik-makcik, abang-adik, datuk-nenek; lupakan saja soal tanah warisan nenek moyang. 1 Malaysia, rakyat didahulukan – Orang Melayu, Orang Cina, Orang India sudah jadi satu; pencapaian diutamakan. Dan orang Melayu memang tetap seperti dulu-dulu. Orang Melayu sudah capai apa ?

Kuala Kubu Lama – kira-kira 3 kilometer di sebelah sana; dipertemuan Sungai Kubu dan Sungai Rening di Lembah Sungai Selangor. Orang Melayu di sana dan di sini sudah hampir 200 tahun lamanya. Berbagai cerita dan peristiwa. Banyak. Orang Melayu melanda bijih. Orang Melayu jadi tokeh, orang Melayu jadi boroh; jadi tuan dan atau memilih tuan sendiri. Dari belum berkerajaan kepada berkerajaan dan atau berperang menuntut kerajaan.

Ini Kuala Kubu. Kami warganya dari suku Mandailing dan Kerinci dan Rawo dan Minang dan Bangkulu dan Bugis. Kami pendatang. Iya; betul. Betul benar. Tapi pendatangnya kami dari suatu daerah sama – Kepulauan Melayu. Pernah dengar The Malay Archepilago. Di mana-mana ceruk-rantau kepulauan itu; kamilah di situ. Tak kisahlah. Cuma nak bagi tahu, sejarah mencatat begitu. Sejarah jangan dibagi mati. kalau sejarah mati, politik akan ikut mati.

Dan sekarang apa bangsa dan suku pun kita semua sudah jadi satu. Satu warga. Angkara siapa. Asal bahagia.

Ini Kuala Kubu Bharu. Ada kisah perang dan damai. Kisah kalah dan menang. Kisah Raja Mahadi; penguasa kawasan yang tidak puas hati kerana ayahanda tidak diangkat menjadi Sultan selepas kemangkatan Padukan Raja. Tunangnya, Raja Arfah dirampas kerana tidak bayar cukai kepada istana. Pecah perang antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin; anak Kedah yang datang menyemenda.

Pengikut Raja Mahadi dibantu Syed Masyhor membina kubu. Itu mulanya perkataan Kubu. Iya; ini Kuala Kubu – kisah anak raja dan pembesar Melayu. Kisah bersulam dendam, iri-hati, ketidak-adilan, adu-domba dan perebutan kawasan. Inilah cerita Melayu. Bangsaku dari dulu hingga sekarang.

Agaknya bangsa Melayu ini sememangnya dari baka yang senang bergaduh, berparang. Kata orang, memang Melayu punyai tendensi suka beramok. Dua ribu orang Melayu Hulu Selangor di bawah Raja Mahadi berarak menentang Engku Din dari Rawang. Engku Din dibantu pula oleh ribuan pengikut Tok Gajah dari Pahang menyerang hendap dari belakang. Dan datanglah pula ‘Orang Lain’ dari Ulu Yam dan Ulu Kerling menawar kongsi menyebelahi antara ke dua – Ghee Hin dan Haisan yang mahu berbuat jasa juga. Kerja siapakah ini. Kalau bukan angkara orang besar-besar atau anak-anak raja.

Berperang. Berperang. Dan perang. Akibatnya empangan yang merentangi Sungai Kubu – yang diperbuat daripada ceracakan kayu dengan pematang tanah dan pasir sepanjang 1.6km dan lebarnya 91.4 meter tidak terselia. Hujan musim tengkujuh pada 29.10.1883 yang amat lebat telah memokah empangan. Pecah. Bah pun melimpah.menenggelamkan kampung dengan selut setebal 30 meter. Bukan kerana amukan jembalang buaya putih yang amarah kerana ditembak. Di situlah Kampung Empang Pecah .

Ini Kuala Kubu Bharu. Si Inggeris bernama Cecil Ranking pernah jadi Pegawai Daerah; sekaligus Majestrit di sini. Beliau mengawal kepentingan koloni; mati dalam tragedi empang pecah. Sebelah tangannya sahaja yang ditemui dan ditanam di bawah pokok di tepi jalan di hadapan Masjid Ar Rahimah; dan telah dipindah di depan Rumah Rehat Kerajaan. Ada yang kata si Inggeris itu sendiri meletupkan empangan; guna menghalau orang Melayu tempatan ke hutan supaya mereka mengaut kekayaan. Bom buatan sendiri menghancur diri.

Ini Kuala Kubu Bharu. Ada kisah Si Inggeris Pesuruhjaya Tinggi di Tanah Melayu. Sir Hendry Gurney namanya. Beliau bekas Ketua Setiausaha Pentadbiran Inggeris di Palestina; mati di tembak bendit di pertengahan jalan ke Bukit Fraser pada 7.10.1951. Maaf, kerana kematiannya tidak perlu terlalu aku kenang kerana kekejamannya merampas Palestina untuk Yahudi – itu bumi saudara-Islamku.

Ini Kuala Kubu Bharu. Sosok yang paling lama aku kenal ialah Saudara Azizan Nordin. Dulu dia buka TASKI – Taman Asuhan Kanak-Kanak. Beliau menggaji guru, ajar anak-anak akhlak dan mukadam. Bawa bas sekolah angkut kanak-kanak. Kenal dengan ramai polis di sini. Rumah beliau pernah jadi markaz pilihanraya parti kami. Azizan anak Melayu KKB jati. Sekarang sudah jadi Tok Pati.

Aku kenal Fauzi – anak Kedah mengutip rezeki dilempar tuhan di sini. Sekarang taukeh ayam di Pasar KKB. Mula berhenti tentera jual cendol dan laksa di bawah pokok jati depan masjid ar-Rahimah. Mungkinkah 50 tahun lagi atau 100 tahun akan datang akan ada nama Fauzi di salah satu jalan atau lorong di sini.

Aku kenal Pak Aji Shaari – siak masjid ar-Rahimah; sudah lebih 20 tahun masih melerang apam balik di Pasar KKB.

Aku kenal Pak Aji Rostam – jual roti canai dan nasi lemak di Pasar KKB. Anak perempuannya yang cantik itu; yang sedari kecil membantu menghidang tetamu kini sudah bersuami.

Sebelum pamit, kutitip sejambak puisi untukmu Kuala Kubu Bharu.

dan malam pun kian cair di pagidingin menyahut tarhim dari menara masjid ar-Rahimah. Mengimbau-sayup takbir bulansabit menyurut bersahutan tahmid kabus menuruni Bukit Fraser bugar; menyusup mengelus rinduku yang berhimpun di Subuh Suci.

Salam sejahtera beburungpagi. Ini aku musafirlelah bermukim di pedalamanmu. Ini kubawa salam dari wargakota yang resah di hutanbatu angkuh yang kerinduan ini taman-megahmu yang tak terjajah.

Aninbasah mendesah dan singgah di belkoni mesra tertipmenyapa. Tuhan, Kau buka pintu-Mu berikan laluan desis akliku menemui tafsir di Sungai Kubu. Di sini ada cerita segala; tentang empang pecah dan raja dan pembesar dan Melayu dan penjajah semuanya membentuk sejarah.

naharrashid
Rawang 13hb. Feb.; 2010


dinbatubara

1 comment: