Wednesday, November 14, 2012

Catatan Tertunda - Coretan untuk ADILA

Bulan Melayu sekarang, Sya’ban. Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan bulan-bulan lain dalam kalendar Islam itu, orang kampung aku sebut bulan Melayu. Ini kisah masa aku budak-budak dulu. Ini bulan orang sudah tidak turun ke sawah. Padi sudah habis dituai dan di simpan dikepuk; cukup untuk bekalan makan sekeluarga enam bulan mendatang. Tiga bulan lagi baru turun semula ke sawah. Yang tinggal di sawah ialah rumpun-rumpun jerami kering yang tegak merenta dan belukar kecil yang mula merata. Langit biru. Beberapa ekor kerbau sedang bermalas-malas di lopak-lopak kering di pinggir permatang.

Bahang panas bulan Sya’ban sesuai benar – orang kampung menjemur padi di halaman rumah masing-masing. Padi yang sudah benar-benar kering akan di mesin atau ditumbuk dengan lesung endek bagi mengeluarkan berasnya.
Ikan di lopak dan tali air sudah habis dikutip; dan sekarang sedang bergantungan di depan rumah di bawah bakaran matahari untuk menjadi ikan kering. Emak juga buat pekasam.

Apa lagi aktiviti orang kampung aku. Mereka berpakat untuk kumpulkan kayu api pula. Ada beberapa batang durian yang tumbang di hujung kampung; dan beberapa pokok getah tua yang sudah punggor dimamah usia di sempadan tanah ayah alang.

Arwah abah pakat pak saudara dan emak saudara aku serta beberapa orang lain menebang. Mak cho bawa gergaji besar. Abang Ripin pikul kapak dan baji. Batang-batang durian dan getah saiz sepemeluk itu mereka potong beramai-ramai silih berganti. Penat menggergaji mereka berhenti sambil makan kudapan yang dibawa. Ketulan kayu berukuran sekaki setengah setiap satu itu mereka bahagi-bahagikan sama rata.

Tugas mereka seterusnya nanti ialah membelah bungkah kayu itu menggunakan kapak besar menjadi pilar-pilar sebesar lengan budak. Pilar-pilar kayu itu dibiarkan simpang perenang di depan rumah untuk dibaham cahaya matahari. Bau kayu durian dan getah yang dibakar matahari berassimilasi bau jemuran padi dan ikan yang sedang disalai di ampaian mengeluarkan bau khas desa petaniku. Aku dengan beberapa orang rakan seronok menyusun pilar-pilar kayu sambil menghalau ayam yang mencuri padi di jemuran. Pilar-pilar kayu disusun bersilang setinggi empat kaki berbentuk kotak atau seolah-olah rumah pangsa sekarang. Belum sempat terdiri setinggi ubun kami, rumah pangsa itu rebah. Kami menyusunnya semula. Adik perempuan aku ambil anak ayam lalu melepaskanya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam melompat keluar dan kami tangkapnya semula dan meletakkannya ke dalam rumah pangsa. Anak ayam keluar lagi. Kami menangkapnya berkali-kali.

Seminggu pilar-pilar kayu sudah cukup kering. Kami anak-anak abah angkat pilar-pilar kayu dan susun di bawah rumah dapur. Orang kampung aku mana ada dapur minyak. Semua pakai dapur kayu. Kayu itu juga untuk memasak nasi dan menjerang air untuk more berbuka bulan puasa di surau.

Bulan Sya’ban, selalunya kami tidak bermain jongkang-jongkit di atas tunggul kelapa di tepi paya sambil menyanyikan lagu : “Cong cong codak, codak mayang labu; mana pergi budak, ambil air selabu. Buat apa air selabu, nak asah lading. Buat apa lading, nak tetak bemban. Buat apa bemban, nak jolok bulan. Buat apa bulan, nak buat agok adik.” Permainan kami bulan ini ialah duduk di hujung kayu terjongkit yang sedang digergaji oleh mak cho dan wah. Seronok duduk berjuntai kaki sambil terhinggut-hinggut ke kiri dan kanan; menunggu hingga kayu putus dan kami terguling di dalam semak. Kami pun ketawa terkekeh-kekeh. Atau pun main yang juga asyik iaitu mendirikan rumah pangsa; hingga tidak sedar ayam makan jemuran. Seronok teringat kisah lama; mungkinkah kerana aku sudah semakin tua.

Kiriman : Naharudin bin Abdul Rashid (DINBATUBARA)

1 comment: