Saturday, November 24, 2012

Pagi hari minggu yang cerah.

Pagi hari minggu yang cerah. Selepas makan ubat sambil mendemah lutut yang bengkak. Menghadap ke luar tingkap ...

Di depan rumah saya ialah sepohon jambu yang kerap berbuah. Di situ juga tumbuh pohon kari dan senduduk – pernah seorang rakan dari kampung yang singgah di rumah memberi komentar; buat apa dibiar pokok senduduk; pokok liar yang tidak berapa berguna (kecuali kepada cabangnya yang cantik dipangkas dan dibuat lastik oleh budak-budak nakal buat melastik segala kelawar yang melekap di bawah pelepah kelapa dan segala ciak dan merbah; atau sesekali pucuk mudanya dipetik dan diuli dengan kapur dan disapu ke dada kanak-kanak asma). Saya berdegil lalu membiarkannya terus mekar. Saya kerap ralit menatap kelopak bunganya yang ungunya; meski sesekali rimas tatkala dedaunnya menjadi tua dan menyerlahkan ranting-ranting berceracak. Di sebelah rusuk kanan rumah saya ialah pohon belimbing yang mulai renggeh namun ramah juga berbuah.

Pohon jambu, senduduk dan belimbing sering berpakat serentak berbunga. Warna merah-ungu pun merata ruang. Segala kecil-besar kumbang, lebah dan tabuan datang hinggap dari kelopak ke kelopak dari kuntum ke kuntum. Sang kelicap juga bercelahan hinggap menerukkan paruh tajam melengkung jauh ke dalam rahim bunga dan sesekali menerjah menusuk bebola keras buah kari. Masing-masing memperoleh rezeki kurniaan Ilahi.

Di kala buah mulai ranum berdatanganlah serindit, gembala kerbau dan balam. Berterbangan; meniti dahan ke dahan antara pohon belimbing dan jambu; mengungsi. Tiada pertarungan menikmati rezeki anugerah Tuhan. Semuanya keriangan.

Satu ketika seorang rakan membawa usul supaya dipangkas pohon jambu yang mulai meninggi; supaya pohon menjadi lebih rendang. Pohon jambu saya pangkas menjadi setinggi tujuh kaki. Beberapa musim beburung tidak lagi singgah. Tidak kelihatan lagi serindit berbulu cantik atau tiong bersuara nyaring. Hilang segala kicau gembala kerbau dan siulan balam. Hati saya menjadi gundah. Terus-terusankah semua beburung pindah.

Saya kembali membiarkan tunas baru pohon jambu menancap ke langit. Biarlah dia melonjak setinggi yang dia mahukan; dan sekarang sudah kembali melepasi bumbung rumah saya. Sekarang beburung sudah kembali singgah dan meriah.

Dinbatubara

No comments:

Post a Comment