Friday, November 9, 2012

Sek. Men Dato' Maharajalela Kg Gajah - Bagaimana akan aku lupa


Aku dulu bersekolah di  Sek. Men. Dato’ Maharaja Lela Kg Gajah, Perak.  Tahun ‘68 hingga1972. Tersohorkah sekolah itu ?  Entah.  Ada dari sekolah itu lahir seorang menteri ?.  Tak terdengar pulak.   Mungkin ada; iaitu dari kalangan junior aku.  Usahawan ?.  Aku tahu ramai !.   Ada juga pelakon. Yang jadi datuk ?  Ramai !!.  Hari Raya Puasa yang lepas kami bikin re-union di sekolah.  Ada seorang rakan aku bergelar Dato’ datang.  Dan aku berpangkat datuklah juga.  Datuk kepada dua orang cucu aku.

Aku di Tingkatan 5 Sains.  Khabarnya,  sekolah aku itu adalah satu-satunya Sekolah Luar Bandar yang ada aliran Sains.  Elektrik tak ada.  Kipas angin bergantungan di siling; tak boleh berpusing.  Mentol-mentol lampu melekap di siling; tak menyala.  Pondok  bagi menempatkan jenerator  untuk makmal sains ada, tapi sampai ke sudah aku di situ, enjinnya tak ada.   Bila ada amali sains yang menggunakan  bahanapi, kami pakai ‘penunu bunsen’ yang rupanya lebih kurang pelita minyak tanah di rumah aku.

Kami  tumpang menjalankan peperiksaan amali  di Sek. Men. Sultan Yusof di Batu Gajah.  Julung-julung kalinya kami menggunakan ‘penunu bunsen’ yang gasnya disalur terus ke bekalan pusat.  Manalah kami tahu cara mengawal nyalaan api dan langkah-langkah keselamatan. Tergamam.  Kami diminta mengesan gula dalam larutan.  Tak reti nak kawal api !!  Apalagi, menyembur-nyemburlah cairan dari test-tube masing-masing; menembak ke dinding – warna kuning, hijau atau biru.  Di meja Tajuddin; api menyembar salur getah di kaki penunu bunsen.  Kelam kabut dia minta bantuan pengawas.

Cikgu sains kami ialah Pak Kusdinar Harnatmatnja dari suku Sunda dan Pak Adrianus dari suku Batak.  Pak Kus mengajar Biologi dan Kamisteri.  Pak Adrinus mengajar Fizik dan Hisab Moden.  Seronok mengajuk-ajuk slang Indonesia mereka  … “Wah !! coba-coba bawa ke muka …” Lembut suara Pak Adrianus mengusulkan; bila soalan yang diberi dijawab betul oleh rakan sekelas.  ‘Bawa ke muka’, bermaksud menuliskannya ke papan hijau di depan kelas.  Suatu hari itu, ramai kami yang tidak menyudahkan home-work yang diberi Pak Kus.  Pak Kus naik berang : 
…”KATANYA INGIN MAJU.  DIBERI QERJA TIDAK DIQERJAQAN.”   …. “DUUMM” – serentak itu kaki Pak Kus hinggap di papan hijau.

Pak Kus dan Pak Adrianus datang ke sekolah kami semasa kami di Tingkatan 4;  Pak Adrianus memperkenalkan namanya; Adrianus Panjaitan.  Dan dia pun menceritakan, jumlah suku-kaum Indonesia; tidak kurang daripada 740 suku kaum.   Daripada nama seseorang dapat dikenali kaumnya.   Dan kami, seronok pula mereka-reka nama Indonesia kami dan menulisnya di kulit buku latihan masing-masing.  Nazri menjadi Nazri De la Renzo.  Konon nama Indonesialah tuuh !.  Sampai sahaja buku latihan itu ke tangan Pak Adrianus, Pak Adrianus  dengan kening berkerut, hairan menyebut lambat-lambat …”Aaapa ini … Najri de la .. la  Renjo”  Kami semua ketawa. Pak Adrianus tidak boleh menyebut huruf ‘zek’Zek akan disebutnya ‘jek’

Kami cuma dua puluh tujuh orang sahaja.   Hampir 40 tahun sekarang, aku masih boleh ingat kesemua mereka.   Hashim, Termizi, Nazri, Tajuddin, Derus, Azizah, Rosiah, Khadijah, Maimon, Lokman, Arshad .  Ah; semuanya aku masih boleh ingat.  Teringat mereka, mengembalikan semula ingatan kepada semua peristiwa.

dinbatubara

2 comments:

  1. Disekolah itu juga saya telah mengenali saudara buat pertama kali iaitu semasa majlis pertemuan pengawas2 sekolah SMDARY Bota dengan SMDM Kg Gajah. Sehingga sekarang persahabatan kita masih terjalin walaupun kita telah dimamah usia.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Shaf ... Iya masih aku ingat nama itu ... Shafrus Affandi. ... huduhnya wajah kita sekarang yang sudah dimamah usia. Dan alangkah indahnya jika iman tidak termamahkan sama oleh usia. Moga-moga. Amin.

      Delete