Sunday, February 3, 2013

Membaca Semula Bumi Bertuah

The Good Earth karya Master Peace Pearl S. Buck. Terjemahan ke dalam Bahasa Malaysia bertajuk Bumi Bertuah dari buahtangan Dato’ Abdullah Hussain. Kisah keluarga Wang; petani China miskin yang bergantung hidup kepada pertanian – mencintai tanah melebihi dari keluarga dan dewa-dewanya. Wang Lung memperolehi kemewahan dan penghormatan.

Cerita bertolak dari hari pernikahan Wang Lung. Hari itu dia pergi ke rumah Hwang; seorang tuan tanah yang kaya, untuk menjemput seorang hamba perempuan bagi dijadikan isterinya. Perempuan itu O-Lan yang menjadi hamba sejak kecil di rumah agam tersebut. O-Lan tidaklah memiliki paras yang menarik – muka berbentuk empat persegi, berkulit hitam serta punyai saiz kaki yang besar kerana tidak pernah dibungkus; dipercayai masih dara kerana tidak menarik nafsu lelaki di rumah tersebut. Namun perempuan begitulah yang sesuai untuk dinikahi seorang petani miskin seperti Wang Lung.

O-Lan adalah isteri yang ta’at suami, pandai mengurus rumah-tangga, tidak banyak cakap tetapi rajin dan tekun bekerja, tidak pernah menuntut apa-apa dari suaminya. Hati Wang Lung senang, karena kemiskinannya dia tidak perlu membelikan barangan mewah seperti perhiasan, baju-baju atau sepatu cantik serta mahal buat isterinya. O-Lan sering membantu suaminya di sawah sesudah membereskan semua urusan rumah seperti memasak, membersihkan serta mengurus bapa Wang Lung yang sudah tua. O-Lan bersalinkan anaknya seorang diri dalam bilik, turun kembali ke sawah sebaik sihat dan beranak lagi selepas itu dan turun semula ke sawah; membantu Wang Lung membajak dan mencangkul – menanam padi, gandum dan sayuran.

Wang Lung dan O-Lan mengusaha tanahnya dengan tekun. Kala orang lain kebuluran akibat tanaman tidak menjadi kerana diserang petaka alam, tempat simpanan padi Wang Lung masih penuh berisi. Dia menyimpan wang dari hasil tuaian hingga mampu membeli tanah milik keluarga Hwang tempat O-Lan pernah jadi abdi dulu. Suatu ketika terjadi bencana kemarau melampau dan kelaparan; untuk mengelak dari mati kelaparan, Wang Lung bersama isteri, ayahnya yang sudah tua, serta tiga anaknya menyertai orang lain berpindah ke Daerah Selatan; meninggalkan tanah yang sudah tidak mendatangkan hasil itu. Di kota di Selatan mereka menjalani kehidupan jalanan yang sukar; seperti pengungsi kota yang lainnya – tidak punyai rumah dan makan sekadar pengalas perut pun tidak menentu. Wang bekerja tarik beca manakala anak, isteri dan bapanya yang sudah tuan bekerja minta sedekah.

Kehidupan di kota tidak menyeronokkan jauh daripada kesenangan. Apatah lagi lantaran pecah revolusi. Wang Lung hingga terfikir untuk menjual anak perempuannya untuk membeli makanan. Wang Lung sentiasa mengimpikan akan pulang ke kampung. Kesempatan yang baik dari suatu peristiwa kekalutan dan hiruk-pikuk manusia kota menyelamatkan diri, Wang Lung mendapat sedikit wang, untuk beliau membawa keluarganya pulang ke kampung – kembali mengusahakan pertanian.

Cerita kemudian berlanjutan hingga akhirnya Wang Lung mampu membeli lebih banyak tanah hasil dari kerja kerasnya serta bantuan isterinya O-Lan. Wang Lung sekarang sudah jadi tuan tanah yang mampu bermewah-mewah sebagai orang yang kaya, dan dihormati. Bagaimanapun menjadi kaya tidak sahaja memberikan keseronokan dan ketenangan.

Masalah datang silih berganti seperti serangan belalang yang menyerbu tanah pertaniannya, banjir besar, gangguan dari bapa saudara dan sanak saudara dan orang miskin lain yang datang mahu merompak hartanya. Dan dia sendiri malah tidak-mampu membendung hawa nafsu, hingga menjalin hubungan dengan perempuan lain. Di ujung usianya dan mula lupa-lupa, anak-anaknya yang yang sudah pandai mengira dan membaca mengkhianati keujudan dinastinya sendiri, apabila mahu menjual tanah dan hartanya.

Dinbatubara

No comments:

Post a Comment