SELEPAS parti-parti politik diharamkan kecuali Umno, pemimpin-pemimpin dan aktivis pejuang kemerdekaan ditahan, suara menuntut kemerdekaan tidak kedengaran. Pemimpin Umno yang juga Menteri Besar Johor, Dato Oon Jaafar sudah menjadi pegawai anak negeri paling kanan dalam pentadbiran Persekutuan Tanah Melayu bertaraf menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri. Antara tanggungjawabnya menahan dan menjaga tahanan politik serta memantau suasana komunis. Dato Onn mula rapat dengan Sir Cheng Lock, Tan, pemimpin MCA yang ditubuhkan selepas pembentukan Umno. Tan Cheng Lock atau Sir Cheng Lock, Tan sebelumnya pernah bermuafakat dengan Dr. Burhanuddin al-Hilmy mengenai status masyarakat Cina dalam kemerdekaan. Cheng Lock dengan gagasan Dr. Burhanuddin tentang satu rupa bangsa iaitu Melayu. Cina dan India akan menjadi bangsa Melayu keturunan Cina dan bangsa Melayu keturunan India. Semuanya tidak menjadi kenyataan apabila parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan. Sebagai menteri kerajaan penjajah Dato Onn mempunyai hubungan yang rapat dengan Inggeris. Ketika dia sudah rapat dengan Cheng Lock, Dato Onn mengusulkan Umno membuka keahlian kepada bukan Melayu dan tentunya jika disetujui Umno akan dipinda dari United Malay National Organization kepada United Malayan Nasional Organzation. Perhimpunan Agung Umno menolak usul itu. Dato Onn mengundur diri dan keluar dari Umno. Dia digantikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra. Tunku tidak ada pengalaman politik. Peranan dalam Umno tidak ketara semasa pimpinan Dato Onn kerana dia keciwa Dato Onn tidak mempertahankan nasib Natrah. Tindakan pertama Tunku sebagai pemimpin Umno ialah menyambung perjuangan kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang diharamkan. Dia menukar perjuangan HIDUP Melayu Umno kepada MERDEKA. Dia membuka pintu Umno kepada pemimpin dan ahli PKMM untuk bersama-sama memperjuangkan kemerdekaan. Beliau pergi ke London bertanya Setiausaha Tanah Jajahan British cara mana Malaya boleh mencapai kemerdekaan. Jawapan British ialah tiada cara Malaya boleh merdeka jika ia dituntut oleh orang Melayu saja. Ia mesti dituntut oleh semua kaum yang ada di Tanah Melayu. Piagam Atlantik dan piagam PBB yang ikut ditanda tangani oleh British sudah menetapkan semua kuasa penjajah memerdekakan tanah jajahan masing-masing tetapi British memberi syarat demikian kepada Umno. Apa motifnya? Lord Cromer, gabnor terakhir British di Mesir dalam bukunya menyebut, empayar British tidak akan bertolak ansur bagi melepaskan tanah jajahan barang seinci jua hinggalah wujud satu generasi yang berfikir seperti British. Tanah Melayu boleh merdeka tetapi mesti mengikut acuan British. Kemerdekaan tidak diberi kepada Melayu yang seratus peratus Islam. 400 tahun Tanah Melayu dijajah orang Melayu tidak bertukar agama. Ia satu kegagalan bagi penjajahan Kristian Eropah apabila orang Melayu tidak berpecah dalam banyak agama. Bekas pimpinan PKMM dan Hizbul Muslimin tidak yakin kemerdekaan yang Tunku dan Umno mulai gerakkan kerana pemimpin-pemimpin Umno ada peranan mengharamkan PKMM dan menahan mereka. Mereka tidak respons kepada pelawaan Tunku kerana masih ramai tahanan politik yang Umno restui merengok di khemah tahanan. Tetapi pengikut mereka seperti Ghafar Baba dan Ibrahim Fikri tidak menunggu restu dari bekas pemimpin mereka lalu menyertai Umno yang mula mengaku memperjuangkan kemerdekaan. Tunku membentuk satu jawatan bagi membebaskan tahanan politik dengan Aziz Ishak, seorang wartawan dan penyokong kuat Ibrahim Yaakub yang mengasaskan KMM sebagai Setiausaha. Tunku dikatakan mahu sangat Ahmad Boestamam dibebaskan supaya dapat memimpin Pemuda Umno. Aziz Ishak bukan ahli Umno semasa menjadi setiausaha bagi membebaskan saki baki tahanan politik. Dia adalah orang Ibrahim Yaakub dan dekat dengan Dr. Burhanuddin. Tunku kemudian berjaya menariknya menjadi ahli Umno. Aziz menjadi ketua Umno Selangor ketika Majlis Perbandaran Kuala Lumpur hendak mengadakan pilihan raya awal tahun 1950an. Aziz mengadakan muafakat dengan ketua MCA Selangor, Ong Yoke Lin mengadakan persefahaman Perikatan bagi menghadapi Dato Onn yang memimpin Parti Negara dalam pilihan raya itu. Tiada tanya ia idea Tunku tetapi Tunku merestui tindakan Aziz. Muafakat itu berjaya memenangi pilihan raya itu dan bermulalah muafakat Perikatan untuk menuntut kemerdekaan. Pembentukan Perikatan itu adalah bagi memenuhi syarat British untuk Malaya merdeka. Syarat British itu adalah helah bagi menjadikan masyarakat Malaya merdeka nanti menjadi masyarakat majmuk, berbilang kaum, agama, bahasa dan budaya. Begitulah British bila ia memerdekakan tanah jajahannya, ia meninggalkan masalah perkauman yang sukar diselesaikan. Bagi Tanah Melayu ia adalah helah bagi mengelakkan ia menjadi sebuah negara berperintahan Islam seperti yang perjuangan oleh Hizbul Muslimin. Dr. Burhanuddin dan Dato Onn menggesa supaya Umno jangan menerima syarat British itu kerana lambat laun Tanah Melayu akan merdeka juga kerana piagam PBB sudah memaktubkan hal itu. Tetapi kerana Tunku dan Umno mahu cepat-cepat merdeka maka ia menerima formula meninggalkan api perkauman itu. Lau Pak Kuan pemimpin saudagar Cina Ipoh pergi ke England menuntut British tidak memberi kemerdekaan kerana dipercayai tidak menjamin masa depan Cina. Tetapi syarat British itu adalah peluang yang baik bagi penduduk Cina dan India yang ramai itu untuk diterima menjadi rakyat. Persetujuan Cina dan India menyokong tuntutan kemerdekaan yang menjadi syarat British itu ialah dijamin hak menjadi rakyat. Perikatan dalam memonya kepada Suruhanjaya Reid yang bertanggungjawab menggubal perlembagaan Tanah Melayu merdeka bersetuju dengan formula jos suli iaitu memberi kerakyatan mudah kepada pendatang yang menetap di Malaya bagi tempoh tertentu. Peluang itu bukan sekadar mereka yang telah lama bermastautin tetapi termasuk pelarian berikutan pembentukan negara komunis China tahun 1948. Tunku menjadi orang pertama mencapai kemerdekaan melalui perundingan tahun 1957 tetapi formula itu sudah disarankan oleh piagam PBB. Tidak minta merdeka pun boleh merdeka seperti yang terjadi di Brunei Darussalam. Sumber : Harakah Daily |
Sunday, November 14, 2010
Dari Minda Subky Latif - Kemerdekaan negara 1945 - 57: Bahagian 11
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment