Empat gadis pingitan itu kemudian muncul. Mereka menjinjit kasut tumit tinggi masing-masing. Woow ! dara pingitan Kg Gajah melaram di Ibu Kota – berkasut tumit tinggi. Tumit dah melecitlah tu. Peluh memercik di dahi. Sambil termengah-mengah Si Maimun beritahu : “Kami sesat, sampai ke Masjid Negara” Katanya. Kawan-kawan terlopong mendengar cerita dia.
Itu peristiwa pada kira-kira 38 tahun lalu – sewaktu di sekolah menegah. Sekolah kami buat rombongan ke Kuala Lumpur . Setelah pusing-pusing KL – tengok Ekspo Pendidikan di Stadium Negara, ke Muzium & Tugu Negara – tinjau Bangunan Parlimen dari jauh dan Zoo Negara; kami singgah makan malam di Pasar Minggu Kampung Baru. Kata orang; tak sah rombongan ke Kuala Lumpur kalau tidak singgah di Pasar Minggu Kampung Baru – medan niaga orang Melayu yang terkenal dan paling sibuk di Ibu Kota . Di situ menjual beranika barangan; dari buah-buahan, pakaian dan permainan kanak-kanak, pakaian lelaki/wanita, aksesori saduran untuk wanita seperti cincin, gelang dan subang, barangan alat dapur, hingga ke parang dan golok, barangan antik dan ramuan ubatan tradisional Melayu. Semuanya ada.
Menyusuri deretan gerai makanan pula ditemui beranika juadah kuih-muih, nasi padang , jagung rebus, tapai dan pecal. Wap dari kuah laksa menerjah cahaya lampu apabila tudung tempayannya dibuka bercampur kepulan asap dari bakaran sateh dan aroma nasi ayam, mee goreng dan lain-lain – terbang menusuk ke hidung setiap pengunjung dan memecah liur.
Pasar terang benderang dan hiruk pikuk oleh orang ramai yang bergeselan, bertali arus; Pekik-laung dan lambaian juru-jual memperaga/ mempromosi dagangan menjadikan suasana hingar dan gamat. Ada suatu medan di tangah-tengah pasar menempatkan sebuah pentas proscenium; tempat persembahan kugiran dan teater (masa itu disebut drama). Drama bangsawan sedang dipentaskan.
Itu Pasar Minggu Kg Bharu. Terkenalnya hingga dijadikan latar tempat, dalam novel Gelandangan tulisan Nora – cerita tentang kehidupan pengemis dan sekumpulan kecil pelacur di Ibu Kota . Novel terbitan Utusan Melayu awal 80an.
Kira-kira 20 tahun selepas itu aku bawa anak-anak dan isteri makan di sebuah gerai di Pasar Minggu – medan niaga orang Melayu yang sudah tidak lagi semeriah dulu. Pendatang dari Seberang sudah mula ambil-tempat; beniaga di situ. Aku ceritakan peristiwa empat gadis pingitan tersesat dulu itu. Tak munasabah tersesat sampai ke Masjid Negara; masjid yang kami lihat dari jauh ketika dalam perjalanan ke Stadium Negara. Tak kan lah sampai ke Masjid Negara. Berapa lapis jalan yang perlu mereka tempuh dan seberangi antara Kampung Bahru ke Masjid Negara Banyaknya bangunan yang mereka kena selusuri. “Yang mereka jumpa itu, mesti Masjid Kampung Bharu” kataku. Masjid yang besarnya lebih lima kali ganda masjid kampung aku; dengan gemerlapan cahaya neon merah-kuning-biru mengelilingi kubah, menara dan bangunan masjid.
Isteri aku menyampuk : “Ayah kamu tu, memang orang kampung” Kami sama-sama ketawa geli hati.
Apa khabar Mun, Jamaiyah, Rusnah, Zah, Timah, Mizi, Shad, Megat. Azizah dah pencen – dia opsyen awal; ceburi bidang katering bersama suami – aku jumpa di majlis kahwin anak lelakinya tahun lepas. Aku tersesat hampir dua jam mencari rumah dia di Taman Medan , Jln Klang Lama. Pertemuan setelah hampir 30 tahun tak jumpa. Pun tak dapat berbual lama, dia sibuk melayan tetamunya malam itu.
Kalian yang lain tidak pernah lagi aku temui setelah lebih 38 tahun. Aku rasa ramai antara kita sudah jadi bahagian dari KL; bersama-sama membangunkan suatu rupa bangsa – yang jadi usahawan; macam Si Jamil (rakan kita yang pandai matematik dan kimia dulu) masa KL ada bas mini dulu; dia jadi pengusaha bas mini. Sekarang jadi usahawan besarlah, kut. Kayah jadi pembekal/ penender alat pendingin hawa ke jabatan-jabatan kerajaan – masa senggang berkongsi minat dengan suami main golf bersama rakan-niaga dan orang besar-besar. Tapa, khabarnya jadi boss di JKR (Bahagian/ Jabatan mana aku pun tak tahu). Latip Naman jadi boss di Pos Malaysia . Saadiah di Pusat Perubatan Universiti Malaya ; Noraini di HKL. Apa khabar Saadiah, Noraini – dah pencen juga, agaknya ? Pun masing-masing kita sudah beranak-pinak dan bercuculah, ya. ? Harap-harap anak-cucu kita tidak tersesat di Kuala Lumpur .
Kiriman;
Naharudin Abdul Rashid (DinBatuBara, Rawang, Selangor)
dinbatubara
No comments:
Post a Comment