Ini adalah kesan pembacaan buku terbaru Pak Nora (Hj Ali Hj Ahmad). Kesibukan dengan macam-macam urusan; empat hari baru selesai membacanya. Ini adalah catatan sepontan seusai pembacaan; sekira-kira boleh memberikan gambaran awal kepada yang berminat untuk membaca/mengetahui buku tersebut seterusnya.. Selamat membaca.
Tajuk buku : Di TengahKOTA
Tajuk buku : Di Tengah
Memoir Sasterawan Nora
Penulis : Hj Ali Hj Ahmad (Nora)
Penerbit : Galeri Ilmu
Tahun terbit : 2010
Harga : RM20.00
Jumlah Mukasurat : 245
Kata Pengantar : Pahrol Mohd Juoi.
Buku ini adalah plot kehidupan peribadi Sasterawan Nora sebagai cerpenis, novelis, penyair, wartawan, bekas wartawan/editor, pendakwah dari bekas sebuah kumpulan dakwah dan kolumnis. Inilah himpunan catatan; pernyataan rindu, gembira dan sedih; sama ada yang pernah terakam lewat sekian tulisannya selama hampir lima dekat; atau fregmen kehidupan di luar lingkaran pengetahuan umum – kehidupan sehariannya, keluarganya, keberadaan di tengah rakan taulan dan teman penulis.
Nora; dilahirkan pada 25 Jun 1927 , anak kelahiran kampung Sg Air Mati, Muar, Johor. Persekolahannya terbentur akibat pecah Perang Inggeris-Jepun (1941). Umur seawal tujuh belas tahun – demi sesuap nasi, bekerja sebagai peon dengan tentera Jepun di Johor Bharu, menjadi polis Jepun dan Polis Diraja Malaysia . Peraturan kepolisian yang melarang menulis dalam media cetak, Nora pun dibuang kerja. Berhijrah ke Kuala Lumpur – bekerja di Utusan Melayu sebagai wartawan dan editor sekaligus, berkahwin dan mempunyai anak. Tinggal di beberapa tempat di Kuala Lumpur – Kg Baru, Ampang Jaya & Tasik Puteri Rawang.
Dipaparkan tugas ruwetnya sebagai editor di Utusan Melayu. Saudara Pahrol Mohd Joui dalam kata pengantar buku ini menukilkan : “Saya masih teringat ketika kali pertama menyerahkan hasil tulisan kepadanya. Saya begitu malu dan takut-takut. Namun semuanya hilang apabila beliau bersuara mesra, “Oh, penulis muda. Orang muda boleh pergi lebih jauh.” Tanpa banyak bicara beliau terus “mengerjakan” tulisan saya dengan cepat dan cermat. Tanda-tanda merah sewaktu dia menyunting tulisan saya tercalit di sana-sini.”
Namun apabila bersara beliau adalah ‘pengemis cerpen’ – mengetuk daun pintu ‘dapur redaksi’ (istilah yang dipakai beliau), mengharapkan penyiaran karyanya di akhbar, hatta di akhbar yang pernah beliau pimpin.
Diceritakan rutinnya membantu isteri berjual kuih apabila tamat bekerja dengan Utusan Melayu, menulis, keluar berdakwah di serata pelusuk tanah air, hadir kuliah dua minggu sekali di Sg Pencala, ke masjid sebelum masuk waktu dan duduk di saf paling hadapan menunggu azan - membaca al Quran/ berwirid, dan bertemu rakan penulis apabila ada jemputan.
Seorang penulis tetap akan mengingati karya pertama yang tersiar. Karya pertamanya; Mengenang Si Hitam katanya tersiar dalam Utusan Film & Fesyen 1955. Dicatatkannya hal ini dalam Bab 7. Bebarapa tajuk novel, cerpen, puisi dan nama penerbit juga dicatatkan pada sekian urutan peristiwa.
Memoir ini mengakhirkan lembarannya dengan jambakan puisi yang menjadi kemuncak hambatan rasa kehambaannya – Sakaratulmaut. (Saya hadir pada malam kesenian Islam anjuran al Arqam di Dewan Civic Petaling Jaya awal tahun-tahun 1980an – puisi ini di deklamasi oleh Dini Juri bersama saratnya pentas proscenium itu dengan kesan bunyi petir, kilat dan asap, diselangi suara tangis bayi pada masa kelahiran dan gerak pentomin. Dewan gelap-senyap teridengar desis-esak sebilangan audien menahan tangis. Sebelum lampu dewan dibuka saya cepat-cepat mengesat airmata di pipi dengan sebak yang belum hilang, berkata dengan suara tertahan-tahan yang sukar melepasi kerongkongan kepada seorang audiens di sisi : “Kalau begini seni Islam, panggung wayang tidak perlu ditutup”- penulis; Dinbatubara)
Di Tengah KOTA Memoir Sasterawan Nora : Tulisan yang mudah difahami dan dihadam. Meski ada babnya adalah puisi; liriknya tidak banyak isyarat pelbagai makna. Metaforanya tidak sukar ditanggap – sesuai dengan tujuan dakwah yang menjadi tujuan penulisan beliau.
Mengapa aku menulis ? Tanya Pak Nora. Dijawabnya sendiri : “Sebagai seorang penulis Islam, wajib ke atas aku menulis sesuatu yang dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada khalayak pembaca. Bukankah Allah yang menganugerahkan bakat penulis itu ? Jadi, bakat itu mestilah disalurkan sebaik-baiknya ke jalan yang diredhai Allah. Aku petik sebuah puisi Arab. Begini bunyinya : Tiap-tiap penulis akan fana jua akhirnya. Tapi hasil karyanya akan kekal dibaca orang. Oleh itu janganlah anda menulis sesuatu selain tulisan-tulisan yang akan menggembirakan kamu pada hari akhirat kelak.”
Di Tengah KOTA Memoir Sasterawan Nora. Inikah kemuncak kepada penulisan Pak Nora – buku yang mengandungi 58 tajuk kecil mengisi bab-bab : Prolog, Di Tengah Kota dan Epilog. Pak Nora sudah berusia kira-kira 83 tahun. Beliau telah menuntun kemampuan menulisnya sebagai hamba kepada Khaliq dengan tanggungjawab dakwah hampir tiga suku dari usianya. Menjejak usia yang hampir pikun itu, diakuinya dia sudah semakin kurang ingatan dan malah kadang-kadang terlupa kekunci mana pada komputer yang mahu ditekan. Pun seperti catatan Pahrol Mahd Joui dalam kata pengantarnya Pak Cik Nora telah menunaikan satu amanah yang kerap diwasiatkan oleh hukama : “Lakukanlah sesuatu yang terus hidup setelah kamu mati!”
Buku ini penting dibaca oleh penulis dan bakal penulis bagi mengingati tanggungjawab sebagai penulis dan meneladani peri ketekunan dan sabar sebagai penulis. Sayang, buku ini barangkali tidak sempat untuk menyenaraikan sejumlah karya-karya beliau. Saya masih mengingati watak dalam novel Gelandangan; 1980an, terbitan Utusan Melayu – memaparkan kehidupan sekumpulan kecil manusia gelandangan di tengah kota . Dan masih teringat poster menukilkan puisi Pak Nora : Di Balakang Ayah Di Depan Ummi Dan Aiman (kalau tak silap itulah tajuknya).
dinbatubara
Salam, boleh saya tengok macam mana tandatangan Nora
ReplyDeleteSalam, boleh saya tengok macam mana tandatangan Nora
ReplyDelete