14hb. Nov., 2010. Pagi hingga tengahari; hadir pada program Ihtifal Sekolah Agama Rakyat Al Imaniah, Kg. Malayu Bt 16, Rawang – penyampaian anugerah kecemerlangan, ucapan dan persembahan murid. Keputusan peperiksaan SPRA keluar hari Jumaat lepas. Sekolah Al Imaniah dapat tempat Ke 3 dalam Daerah Gombak; daripada 55 buah sekolah (bagi sekolah Kategori B – sekolah yang menghantar murid masuk periksa di bawah 100 orang) dan tempat Pertama bagi Zon Rawang (dari 11 buah sekolah).
Ini pencapaian terbaik yang pernah diperolehi. Tak sangka. Pentadbiran menjangkakan untuk mumtaz hanya dapat 5 orang; tapi; alhamdulillah dapat 11 orang, Jaidan Jaid 16 orang, Jaid 8 orang, Maqbul 3 orang. Gagal seorang. Jumlah kendidat ialah 39 orang. Markah perolehan ialah 97.4%. Peperiksaan UPKK Al Imaniah dapat tempat Pertama untuk seluruh Daerah Gombak. Perasmian dilakukan oleh Tn Hj Mohammad Hj Abdul Rahman; Penyelia DUN Templer.
Ini Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Integrasi Al Imaniah; sudah berusia hampir 15 tahun. Muridnya sekarang seramai 304 orang murid. Aku beri kata-kata aluan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah. Aku mengucapkan ribuan terima kasih kepada ustaz/ustazah yang tidak pernah berasa lelah dan jemu dalam tugas mereka. Terima kasih kepada ibu-bapa kerana sama-sama membantu/memerhatikan anak mereka di rumah. Pastilah dengan kerjasama itu telah membantu kemajuan anak-anak.
Aku pun sedikit bernostalgia tentang sekolah itu. Al Imaniah adalah hasil dari sessi percambahan fikiran dalam program usrah (Di situ ada Ustaz Usman Hamzah al Hafiz, Jamil Rafaie, Zakaria, Haron, Jinlapudin, Syaari, Cikgu Yusuf Abd Rahman, Yunus dan aku). Aku cetuskan idea penubuhan sekolah agama, sebagai sumbangan kepada masyarakat; sementelah sebagai kemudahan kepada anak-anak kami juga; tidaklah susah-susah menghantar mereka ke Sekolah Rendah Agama Ibnu Khaldun (dekat Pekan Rawang) yang jauhnya dua batu dari rumah kami - untuk keselamatan dan dapat dielak dari anak-anak itu menyimpang ke lain lepas habis waktu sekolah. Yang pasti ianya akan juga dapat menampung sedikit-sebanyak keperluan anak-anak ahli qariah kampung kami. Cikgu Usop pada usrah minggu depannya membentangkan sukatan pelajaran dan keperluan gurunya Kebetulan Ustaz Usman Hamzah al Hafidz balik dari Mesir dan hadir dalam usrah tersebut; idea itu terus dimurnikan; ustaz Usman terus dipertanggung-jawabkan merangka kurikulum dan sukatan pelajaran.
Itu 15 tahun dahulu. Dahulunya di rumah aku – serambi (ruang letak kereta) yang berukuran 24kaki x 11kaki, kami jadikan bilik darjah. Zakaria, Jamil masing-masing bawa kayu beroti 2”x 3”, 2”x 4”, Harun, Syaari, Pudin; masing-masing bawa alat/serahan masing-masing – beri simen, beri duit beli playwood dan dawai mata punai. Kami bertukang dua hari; kelas siap. Jamil uruskan beli kerusi plastik.Aku bertukang buat meja.
Kalau hujan, tempias akan masuk; basahlah kain/ kaki seluar murid perempuan/ lelaki kami. Kelas itu dimulakan dengan kalau tak silap aku dalam sepuluh orang murid – anak-anak kami; anak aku 2 orang, anak Jamil 2 orang, anak Zakaria seorang, anak Harun seorang, anak Pudin dua orang, anak ustazah Khadijah seorang dan seorang berdua anak jiran dekat rumah.
Empat orang guru – Ustazah Khadijah; emak mertua Ustaz Usman yang baru bersara, Ustaz Usman sendiri, adik Ustaz Usman dan rakan sekampung adik ustaz Usman. Dua orang guru iaitu Ustaz Usman dan Ustzah Khadijah tidak ambil gaji sepanjang mengajar di Al Imaniah; rasa-rasanya hampir setahun.
Isteri aku seorang guru - mengajar di sekolah kebangsaan sebelah petang; sebelum pergi sekolah dia buat kuih dalam dua puluh atau tiga puluh biji untuk kudapan pelajar seramai sepuluh orang itu. Kami ahli usrah pakat-pakat beli barang keperluan bersama seperti beras, tepung, kicap, gula, bawang, telur, meehun, minyak masak dan lain-lain keperluan dapur di Pasar Borong – beli pada harga borong dan jual kepada ahli pada harga pasaran. Untung jual barang runcit + untung jual kuih + sumbangan ahli usrah atau orang perihatin dapat bayar gaji ustazah.
Lapan bulan sekolah itu di serambi rumah aku. Pertambahan pelajar (serta kami membuka pula Sekolah Tahfiz al Quran tahun berikutnya. Kelas Tahfiz dengan pelajar 30 orang bertahan hingga tiga tahun); sekolah pindah-menyewa di rumah Razak ingener APMC yang bermurah hati sewakan rumahnya. Kami ubah-suai; besarkan rumah itu untuk tampung kelas. Kami buatnya sama-sama. Yang tidak pernah pegang tukul dan gergaji akhirnya pandai bertukang - bancuh simen, ikat batu-bata, plaster dinding dan melepa simen lantai. Encik Razak tidak pernah menaikkan sewa hingga hampir 8 tahun. Kami pinta bantuan MAIS untuk buat bangunan baru. MAIS beri RM50,000 dan kami cari lagi RM50,000. Itu bangunan yang ada di atas tapak sekarang, yang menampung 12 bilik darjah. Kemasukan awal tahun dahulu sekolah terpaksa menolak hampir satu kelas, kerana tidak cukup bilik darjah untuk menampung.
Aku ceritakan juga perihal sekolah - di awal perjalanannya, perkembangan dan tohmah mehnah yang diterima. Tujuh tuduhan – aku sebut satu sahaja; iaitu perihal sekolah kenakan yuran RM40; kenapa RM40 (lagi enam tuduhan aku pernah sebut pada ihtifal tahun-tahun lalu) dihantar orang kepada Menteri Besar Selangor; Dato’ Abu Hassan Omar dan Dato’ Mohd Khir Toyo selepas itu. Menteri Besar arahkan Pegawainya berbincang dengan kami. Alhamdulillah, kami berjaya melepasi ujian itu.
Sekolah agama ini dibangunkan tidak berasaskan keuntungan. Dan sehingga ini kami Ahli Lembaga Pengelola tidak pernah mengambil sebarang alaun. Aku beritahu; yuran dikenakan sebanyak RM30 - dulu RM40; di nasihatkan oleh JAIS diturunkan kepada RM30 kerana permintaan( aduan?) orang kampung untuk bayar api-air, atap bocor, tandas/pintu rosak, beli peralatan mengajar dan peralatan kelas serta gaji guru. Kerana sekolah ini Sekolah Agama Rakyat, bantuan kerajaan (JAIS) tidak sama seperti diterima oleh Sekolah Rendah Agama (SRA). SAR, semua kena belanja sendiri - kena cari duit sendiri. Betul sekolah ada terima wang perkapita tiap tahun. Dari wang perkapita, 30% dibayar kepada guru (sebagai insentif; bonus ?) dan 70% lagi untuk prasarana sekolah. Dan tahun ini (Di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat), peruntukan untuk sekolah-sekolah agama - termasuk sekolah agama yang tidak pernah menerima bantuan di bawah 'kerajaan lama' dahulu menerima peruntukan; Al Imaniah juga menerima RM5,000 dari peruntukan di bawah Exco Pendidikan Dr Halimah tersebut.
Guru ada 11 orang. Gaji guru di sekolah ini adalah yang termahal di Selangor (begitulah aku kira). Setiap tahun kami beri bayaran tambahan (bonus) kepada tenaga pengajar sepertimana pembayaran Kerajaan Pusat terhadap kakitangan awam. Ketika sebelum dapat peruntukan dari JAIS dulu, kami bayar sendiri gaji guru RM400. Bila JAIS mula bayar gaji kepada guru RM600; sekolah tambah-bayar juga RM400. Sekarang JAIS bayar RM1000; sekolah tetap tambah-bayar lagi RM400.
Guru ada 11 orang. Gaji guru di sekolah ini adalah yang termahal di Selangor (begitulah aku kira). Setiap tahun kami beri bayaran tambahan (bonus) kepada tenaga pengajar sepertimana pembayaran Kerajaan Pusat terhadap kakitangan awam. Ketika sebelum dapat peruntukan dari JAIS dulu, kami bayar sendiri gaji guru RM400. Bila JAIS mula bayar gaji kepada guru RM600; sekolah tambah-bayar juga RM400. Sekarang JAIS bayar RM1000; sekolah tetap tambah-bayar lagi RM400.
Aku titipkan beberapa pesanan agar ibu-bapa dan guru terus bersama dan bersemangat mengenderai agenda pendidikan (agama khususnya). Jangan ada ibu-bapa yang berasa ’cukuplah,, jadilah' – peruntukkan sejumlah masa yang kondusif (meski sedikit namun berharga) untuk memerhatikan kerja sekolah anak-anak. Para guru juga agar terus membembani tugas dengan sempurna dan ikhlas – kerja mereka yang mulia; seperti tugas malaikat yang mengajar Nabi Muhammad. Nabi yang fatonah masih perlukan ajaran (untuk menjadi hadith) inikan pula anak-anak kita manusia yang bukan yang bersifat fatonah.
Banyak hadiah/anugerah diberikan - hadiah kepimpinan pelajar, cemerlangan dalam mata pelajaran peringkat kelas, kerajinan datang sekolah, pelajar harapan, sumbangan kepada pelajar yang yatim dan hadiah pencapaian SPRA serta UPKK.
Untuk pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang(mumtaz), ibu-bapa pelajar diminta naik sama ke pentas. Pelajar gembira dengan hadiah/ anugerah masing-masing. Pun ada air-mata kegembiraan tergenang ditubir mata penerima dan ibu-bapa.
Penyampaian anugerah diselang-seli dengan bacaan sajak, choral speeking (bahasa arab), persembahan nasyid dari pelajar dengan iringan gendang akustik dan tamborin dan marakas. Mereka menyanyikan lagu Mahir Zein; Barakallahhu lakum, Lagu Ingat Mati oleh Band Wali dan sebuah lagu perpisahan yang disampaikan secara beramai-ramai oleh semua pelajar darjah 6. Mereka mampu menyampaikan lagu-lagu itu dengan berkesan.
Semoga Al Imaniah terus melakar kegemilangan. Aku bisikkan kepada Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah : ”Kita kena bagi ustaz-ustazah kita penghargaan; guru besar kenen-kenen kalau kita boleh bagi mereka makan malam atau apa-apa. Kita buat annual dinner, apa macam”
Mesyuarat Agung Pertama PAS Cawangan Appartmen Kesumbar
14hb. Nov., 2010; Malam – Merasmikan Mesyuarat Agung Pertama PAS Cawangan Appartmen Kesumbar, Bukit Sentosa Fasa 3. Cawangan ke 35 dalam Kawasan Hulu Selangor dan ke 8 dalam Zon Bukit Beruntung.
dinbatubara
wah Alhamdulillah hebat pengorbanan tuan2..InsyaAllah Allah je yg berhak membalasnya..Aminnn
ReplyDeletehaha tempias hujan jadi kenangan zaman kanak-kanak...alhamdulillah berkat tuan-tuan di kg melayu bt 16 saya mendapat pendidikan agama...terima kasih banyak....
ReplyDelete