Aku kutip kata pengantar Sdr Pahrul Mohd Juoi dalam buku Di Tengah Kota Memoir Sasterawan Nora : “Saya masih teringat ketika kali pertama menyerahkan hasil tulisan kepadanya. Saya begitu malu dan takut-takut. Namun semuanya hilang apabila beliau bersuara mesra, “Oh, penulis muda. Orang muda boleh pergi lebih jauh.” Tanpa banyak bicara beliau terus “mengerjakan” tulisan saya dengan cepat dan cermat. Tanda-tanda merah sewaktu dia menyunting tulisan saya tercalit di sana-sini.”
Mengambil iktibar dari pengalaman Nora menjadi ‘pengemis cerpen’ – mengetuk daun pintu ‘dapur redaksi’ (istilah yang dipakai beliau), mengharapkan penyiaran karyanya di akhbar, hatta di akhbar yang pernah beliau pimpin; apabila bersara dari kerjanya sebagai pengurus ruang sastera di akhbar – aku nak tulis juga.
Tidaklah sebanding si bilis ini untuk berganding pengalaman dengan sasterawan tersohor itu, Tetapi berdepan ‘pandai sastera’; pengurus sastera di akhbar (majalah ?) seperti dialami oleh Sasterawan Nora; kepingin rasa merakam pengalaman….
Sudah tiga bulan aku hantar cerpen ke sebuah akhbar perdana. Selama itu jugalah aku amat setia mendapatkan naskah akhbar mingguan penerbitan tersebut. Sampai suatu ketika aku rasa tidak tertahan lagi. Cemburu aku menjadi-jadi mendapati dua tiga penulis yang sama, cerpen mereka tersiar. Aku baca cerpen mereka. Buruk sangatkah cerpen aku. Memang aku tidak banyak tahu tentang hukum dan tatarias menulis cerpen; kerana aku bukan nak jadi pengkritik cerpen. Aku cuma nak tulis pengalaman aku yang dipindah kepada cerpen. Kurang apanya cerpen aku ? Tak ada ceritakah ? Atau aku tidak menggilap watak sebaiknya – semua cerpenkah mesti diukir wataknya ? Atau cerpen aku tak ada dialog ? Ada. Monolog ? Ada. Interior monolog ? Ada. Latar masa ? Ada; malah awal-awal lagi sudah aku nampakkan masa berlakunya. Latar tempat ? Ada. Aku percaya cerpenlah, tu. Apa lagi ?. Oh, tema; perkara pokok yang aku tulis, itulah temanya. Aku mengomel kepada diri sendiri; karya absurd pun ada tema. Terlalu buruk dari cerpen absurdkah cerpen aku. Aku pernah baca novel Ziarah oleh Iwan Simatupang. Terakhir aku baca novel Shit Pak Shahnon – apa yang diceritakan oleh Pak Shahnon semuanya berlegar pada kebusukan dalam ‘lubang itu’ Tetap jadi cerita.
Sebesar zarah aku tidak berperasangka tidak baik kepada akhbar tersebut – akhbar mingguan yang lama sebelum itu pernah menyiarkan puisi-puisi aku. Sebenarnya tidak sebanyak mana pun aku menghantar puisi ke akhbar itu; kerana aku bukan orang yang prolifik. Proses kepengarangan aku terlalu lambat. Aku payah hendak puas hati terhadap hasil penulisan aku. Tapi bila puisi aku tersiar, aku puas. Tidak ada satu pun tulisan aku dibakul sampahkan. Sepanjang aku menghantar ke akhbar, seingat aku hanya dua kali sahaja karya aku dipulangkan. Pada suatu cover latter yang disemat bersama puisi yang dipulangkan, penyelenggara ruang puisi (agakan aku) menuliskan : “Sajak ini tidak berapa sesuai untuk disiarkan. Bagaimanapun sajak saudara sebelum ini ada dalam simpanan kami; akan disiarkan mengikut giliran.”
Puisi aku pernah tersiar menerusi akhbar Mingguan Islam (belansugkawa) dan Majalah Wanita, penerbitan Utusan Melayu. Satu puisi ada memenangi hadiah sagu-hati peraduan mengarang (bahagian puisi) sempena Maulidur Rasul s.a.w. negeri Perak – lama dahulu; aku pun tak ingat dah tahunnya. Naik bas ekspress ke Ipoh dari Pudu Raya. Dari Medan Kid berjalan kaki ke Masjid Negeri; namun bangganya dapat bersalam dengan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Perak - terima hadiah sagu hati !! Okaylah.
Excitednya aku menunggu penyiaran puisi-puisi yang dikirim. Pulang dari menonton tayangan larut malam, sambil makan nasi lemak tengah malam di sebuah warung di Jalan Raja Bot, aku buka akhbar mingguan yang baru berada di pasaran – puisi aku keluar lagi. Menggigil tangan aku. Ah, aku sudah jadi penulis; bentak hati kecil aku.
Puisi pertama terhasil dari percakapan seorang diri ketika improvisasi – latihan teater di Kompleks Budaya. Entah apa-apa yang aku cakap, cikgu Mokhtar Moin minta aku ulang-ulang; hingga diminta aku berdiri depan pelatih lain; ulang apa yang aku cakap dengan intonasi yang teaterikal. Di rumah aku tulis semula apa yang aku cakap. Aku kembangkan. Aku perbaiki bahasanya, metafora dan figuranya, susunan baris dan titik- komanya. Aku mula membuka Kamus Dewan. Perbaiki. Berhari-hari. Puas. Yakin. Aku pun hantar ke akhbar.
Bangganya rasa – puisi aku tersiar bersama puisi AM Thani dan Khalid Salleh. AM Thani, siapa ? Aku rasa dia seorang akedemisyen (aku ada baca tulisannya dalam Dewan Sastera dan Dewan Masyarakat). Khalid Salleh ? Oh, dia penjual ubat (berteater) – sering aku terjumpa di Benteng (belakang Hong Kong & Shanghai Bank) - saban kali aku balik dari latihan teater di Kompleks Budaya; dan akhir-akhir itu dia berhenti berjaja kerana berlatih teater dengan Pak Utih (Krisyen Jit) untuk teater Bukan Bunuh Diri di Kompleks Budaya. Ada dia di situ akan adalah T Alias Taib yang mudah tersenyum bila berjabat tangan dengannya. Pada penyiaran yang lain, puisi aku berganding dengan Kasajiza AS dan Yassin Salleh. Oh, Kasajiza; puisinya pernah menang hadiah sastera. Ada yang bersama Fuzi Hadi dan entah siapa-siapa lagi tak ingat aku. Ada dua kali puisi aku tersiar tidak ada pasangan dengan penyair lain.
Hal yang terakhir itu, meyakinkan aku yang penyiaran puisi aku, ialah disebabkan tidak ramai penulis mapan hantar karya mereka ke akhbar kerana tahun-tahun itu Hadiah Sastera Kebangsaan sudah diberhentikan. Alhamdulillah, aku rasa itu juga suatu tuah.
Membanggakan aku ialah apabila puisi aku bersama beberapa orang penyair disorot pada bulan berikutnya. Disentuh tentang pemilihan tema dan memotivasi, katanya : “Satu dua karya yang tersiar belumlah boleh penulis yang karya mereka tersiar ini berpuas hati” kata Wijaya R – pengkritik sajak-sajak yang tersiar. Siapa Wijaya R. Entah.
Kemala pula mengisi ruang menyorot. Ah, bangganya aku. Sorotan Kemala lebih tuntas. Kemala memerhatikan keseimbangan tema dengan isi; pemilihan diksi, personifikasi dan metafora, pemenggalan ayat dan tah apa-apa lagi. Puisi yang tersiar pada bulan sebelumnya disorot ikut kumpulan berasaskan tema, dan secara perbandingan melihat kekuatan sajak-sajak mengikut hukum/disiplin penulisan genre tersebut. Paling mengujakan aku ialah apabila Kemala menyebut unsur kebetulan dalam sajak aku – “sebutir embun jantan jatuh ke bibir” sama seperti unsur kebetulan yang (menyebabkan sesorang melakukan perubahan) seperti yang terdapat dalam cerpen Roshmon. Bezanya, kata Kemala ialah dalam puisi aku pertembungan lembut dengan lembut – embun dengan bibir. Roshmon ? Siapa Roshmon. Aku tidak pernah mengetahui nama itu. Pastilah Roshmon itu penulis besar. (Lama kemudian aku baru terjumpa kumpulan cerpen Roshmon).
Itu sebenarnya yang aku mahukan. Agar tulisan aku disorot. Itulah juga yang mendesak aku untuk menghantarkan cerpen ke akhbar; setelah berhari-hari malah berminggu dan berbulan aku menekuninya; setelah aku menjalani ‘cuti yang panjang’ – tidak berkarya.
Hingga tiga bulan aku tidak mendengar apa-apa berita darinya. Aku beranikan diri ‘mengetuk daun pintu dapur redaksi’ – meminjam istilah Pak Nora. Aku perkenalkan diri aku. “Ya, rasanya saya ada terima cerpen itu” kata editor. Aku cuba berlelucon; “Saya tunggu sampai tiga bulan; saya mendapati satu dua nama tu cerpen-cerpen mereka dua tiga kali sudah tersiar” kata aku. “Siapa awak. Saya tidak pernah kenal siapa yang hantar tulisannya kepada saya” sambut suara di hujung telefon. “Tidakkah karya yang tidak tersiar akan dikembalikan.” kata saya, dan menyambung; “Saya ada sediakan sampul surat bersetem bersama tulisan itu.” “Saya tak ada masa untuk semua itu.” balas dia. Geramnya aku. Betul seperti kata seorang rakan penulis aku; dengan editor itu hati-hati sedikit; dia tu angin sedikit.
Hingga tiga bulan aku tidak mendengar apa-apa berita darinya. Aku beranikan diri ‘mengetuk daun pintu dapur redaksi’ – meminjam istilah Pak Nora. Aku perkenalkan diri aku. “Ya, rasanya saya ada terima cerpen itu” kata editor. Aku cuba berlelucon; “Saya tunggu sampai tiga bulan; saya mendapati satu dua nama tu cerpen-cerpen mereka dua tiga kali sudah tersiar” kata aku. “Siapa awak. Saya tidak pernah kenal siapa yang hantar tulisannya kepada saya” sambut suara di hujung telefon. “Tidakkah karya yang tidak tersiar akan dikembalikan.” kata saya, dan menyambung; “Saya ada sediakan sampul surat bersetem bersama tulisan itu.” “Saya tak ada masa untuk semua itu.” balas dia. Geramnya aku. Betul seperti kata seorang rakan penulis aku; dengan editor itu hati-hati sedikit; dia tu angin sedikit.
Sahlah karya aku tidak disiarkan. Aku perbaiki tulisan itu. Berminggu. Berbulan. Aku membacanya lagi, cerpen itu untuk kali ke ratus yang entah berapa.
Aku tukar tajuknya. Aku hantar pula ke akhbar mingguan yang lain. Aku tunggu. Tiga bulan lagi aku tunggu. Aku redah pejabat editorial akhbar tersebut. Tanpa permohonan janji temu. Tidak lama menunggu, aku bertemu Editor *** *****. Dia sambut aku mesra. Aku perkenalkan diri dan tunjukkan duplikat cerpen yang telah aku hantar berserta gambar aku. Dia telah berikan cerpen itu kepada penyunting, katanya. Aku puas hati. Seronoknya aku. Sebelum pulang aku tanyakan persoalan-persoalan yang menjadi hambatan editorial akhbar tersebut supaya penulis (cerpen) menulis. “Apa sahaja tema; asal menarik dan baik” katanya.
Beberapa hari selepas itu, aku hubungi penyunting yang disebutkan. Apa jawabannya; “Rasanya saya tidak terima pun cerpen saudara itu.” Kecewanya aku.
dinbatubara
No comments:
Post a Comment