Tuesday, November 23, 2010

Moyang Midah meninggal dunia - tribute untuk Moyang Midah

      Moyang Midah (isteri Moyang Jarbi) meninggal dunia bulan lepas di rumah Talit; Kuates Polis Kuala Kerai Kelantan. Baru dapat berita menerusi fb Pak Jamal pagi ini.
      Innalillaahhiwainnailaihirooji'uun.
      Masa aku budak-budak dulu; umur dalam lingkungan 7 ke 12 tahun - pagi raya; Pak Han, Pak Hin, Pak Hon, Pak Min dan aku boleh kata tak pernah mis ke rumah moyang Midah; makan sup. Rumah itu sebelah hulu (sebelah kanan) ke belakang sedikit dari rumah almarhum Tok Haji Yeop Majlis, Teluk Pedayung, Lambor Kanan, Perak. Moyang Midah; aku boleh kata tak pernah lat buat sup tulang.
      Naik tangga rumahnya; menjengah sahaja ke dalam rumah jumpa dua tiga helai tikar mengkuang bertindan - tindih; belum sudah dianyam. Beberapa gulungan tikar sudah siap teranyam tersandar di suatu sudut. Ada juga rangka sangai (tudung saji) yang sudah mula disemat dengan mengkuang. Di dinding tergantung beberapa biji lagi sangai yang sudah siap  "Ha; naik le, naik, naik. Duduk" kata moyang Midah - mengerutup mulutnya nyambut kami tiba. Moyang Jerbi duduk di anjung merenung panjang hala ke jalan sambil menyuruh kami makan ... "Makan le kome, makan, makan.  Aku ni penat !" katanya sambil batuk-batuk. Dekat tingkap tu ada tergantung beberapa biji botol dan mentol lampu berisi air berwarna merah. Dalam hati terpikir; air apa ? ... air sirap digantung !!
     "Tambah le, lagi. Tambah. Tambah. Ambik senighi dalam poyok. tu"  Moyang Midah menggesa kami tambah makan. Beberapa puntung tulang sudah bersisa dalam pinggan. Lepas makan kami pun minta diri.  Moyang Midah bagi kami 20 sen, duit raya.  "Nah, nah. Ambik duit, ni dulu !"  Seronoknya.  Kami masing-masing menyorong tangan kanan menyambut pemberian moyang Midah, sambil bahu terangkat sedikit menonyoh bibir yang berminyak berselemuih hingga ke dagu.
     Hampir 20 tahun tak jumpa moyang Midah.  Alfatihah.

dinbatubara

No comments:

Post a Comment