Thursday, November 11, 2010

Tablo : Sultan Alang Iskandar; Sultan Perak Ke 30 - Ceritera 1

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Amat Penyayang.
Maka berkehendak oleh Baginda akan seorang orang alim untuk menjalan akan hukum igama di negeri itu.  Maka diberitahu orang,  di Teluk Anson ada seorang orang yang terlalu alim dia akan hukum-hukum igama; yang berasal dia dari Tanah Minangkabau. Sheikh Muhammad Saleh namanya. Maka menitahkan Baginda akan Orang Besar Delapan Yang Berbahagia Orang Kaya-Kaya  Seri Agar Diraja, menjemput akan dia orang alim itu datang mengadap.  Maka apakala tiba sahaja Sheikh Muhammad Saleh itu  di Balai Penghadapan; lalu dipersalin akan  dia dengan pakaian kebesaran.  Maka menganugerah Baginda akan gelaran Shaikul-Islam akan Sheikh Muhammad Saleh bagi menjalankan hukum Igama Islam Negeri Perak. 

Arakian diceritakan orang pula akan Shaikul-Islam Sheikh Muhammad Saleh itu terlalulah amat menjaganya dia lagi taat patuhnya kepada perintah pekerjaannya.  Direncanakannya senarai nama anak-anak qariah yang sudah baligh lalu mencatat kehadirannya pada kedatangan sembahyang Jumaat di masjid.  Yang tidak datang berurut-turut sebanyak tiga kali, maka akan dicorengkan mukanya dengan warna hitam dan diarak akan dia di keliling kampung dan kota.  Jika terdapat  mereka itu yang juga sudah sampai perintah hukum fiqah itu maka pada bulan puasa makan dia di tempat ramai juga, maka digantung akan dia di lehernya periuk, kuali, lekur dan belanga lalu diarak dia sekeliling kampung dan kota juga.  Yang demikian itu akan malulah dia oleh perbuatannya itu.

Syahadan itulah yang diceritakan orang akan Sultan Alang Iskandar itu terlalu amat menjaga  Baginda urusan igama anak negerinya. Bahawa Baginda sendiri selalu melawat dan memberi titah ucapan mengenai ajaran Igama Islam kepada rakyat Baginda di bandar-bandar dan di kampung-kampung. Aman makmurlah negeri Perak dalam pemerintahan Baginda lagi disayangi rakyat jelata selama 20 tahun itu.

dinbatubara

No comments:

Post a Comment